Paktam [Ibrahim Hj Zakaria] |
Paktam Chin tinggal di Pahang , begitu juga anaknya Cha [ingat Md Isa - mudim-mate saya dulu?]. Mereka berhijrah ke kawasan Felda pada penghujung tahun 70-an. Dulunya Paktam Chin adalah di antara jiran kami yang rapat. Dia adalah adik ipar Pakngah Lazim [ingat kisah Chan Tok Chin dan buah dudur?]
Isteri Paktam Chin adalah Maktam Hawa binti Hj Saad. Oleh kerana nama isteriya Hawa, maka teman rapat memanggilnya Adam! Kadangkala dipanggil Chin Tok Adam. Bagi yang tidak tahu asal usul mesti menyangka ayah Paktam Chin bernama Adam...
Ketika saya bertemu dengannya itu, Paklang ada bersama, kerana kami dalam perjalanan menziarahi Toklang Lah, suami emak saudara Paklang, ayah, Wa, Paknjang dan Ndak - Toklang Fatimah. Sengaja kami singgah di rumah tauke nira nipah yang arwah suaminya adalah saudara mara Paklang bersaudara juga. [Nantilah dalam entri lain...]
Kebetulan Paktam Chin pulang dari Pahang dan singgah juga di situ. Maktam Hawa tidak begitu mengecam saya lagi, maklumlah hampir 4 dekad tidak berjumpa, walaupun kerap juga dia pulang ke kampung. Dia keliru antara saya dan adik saya, Ahmad Yadziz. Maka terpacullah nama lain, yang membuatkan Paklang terbelalak. Paklang pernah mendengar nama itu tetapi mungkin sudah lupa.
"Ni Salahuddin [صلاح الدين] , anak sulung Tok Janggut.. " kata Paktam Chin kepada isterinya. Atau kata Tok Adam kepada Tok Hawa...hehehehe. "Tok Pin tu adik dia..."
Saya tergelak. Ingat lagi Paktam Chin akan nama Tok Pin.
Sebelum itu, biarlah saya perkenalkan akan Tok Janggut itu dahulu. Dialah ayah saya dan lapan lagi adik-adik. Sekampung memanggilnya Tok Janggut. Atau Usop Tok Janggut. Agaknya kalau orang luar mendengarnya tentu pula menyangka ayah Usop bernama Janggut... Dan saya pula dipanggil Din Tok Janggut... Kalau nama sebenar, biasanya orang lama akan menyebut dengan bau kearaban, jelas bunyi Sad [ص]dan Dinnya [Deen]...صلاح الدين
Akan Tok Pin yang disebut Paktam Chin itu adalah merujuk kepada panggilan untuk Ahmad Yadziz. Tok Pin adalah kependekan kepada Ariffin. Ariffin Majid nama penuhnya.
Saya tahu benar sejarahnya.
Ada seorang petugas JPJ Alor Setar bernama Ariffin Majid. Dia berbakat dalam bidang nyanyian. Dia pernah muncul bersama Orkes Chandini, Batu 5 Sik yang cukup terkenal di utara satu ketika dahulu. Malah band itu pernah mengikat kontrak mengiringi D J Dave ke seluruh Malaysia menghiburkan abang-abang polis pada tahun 70-an . Anggota polis dan keluarga pada era tersebut tentu pernah melihat persembahan Orkes Chandini atau sekurang-kurangnya mendengar nama band tersebut.
Saya tidak tahu selama mana Ariffin Majid bersama orkes kepunyaan dua beradik yang sering menyanyikan lagu Hindi - A Hamid Khan dan A Ghani Khan itu. Mungkin sekadar penyanyi jemputan, kerana ketika band berkenaan merakamkan album, hanya suara S Mokhtar, M Nasir dan Rohani Sopian yang kedengaran. M Nasir? Itu bab lainlah. Kena klik di sini.
Ariffin kemudiannya pernah menganggotai sebuah band dari Tokai, SBS Band dan seingat saya, mereka pernah muncul di dalam satu rancangan RTM, menyampaikan lagu Andainya Ku Pergi Dulu nyanyian asal grup Alleycats.
Selepas itu saya tidak lagi tahu tentang Ariffin ini sehinggalah bertemunya dalam satu perjumpaan syarikat jualan langsung - Zhulian - di Alor Setar, beberapa tahun dahulu. Rupa-rupanya dia telah menjadi pemimpin berjaya di dalam grupnya di syarikat itu. Agaknya ketika itu dia sudah pun meninggalkan jawatan di JPJ.
Demikianlah.
Sekitar pertengahan 70-an, Paktam memanggil Ahmad Yadziz sebagai Ariffin Majid. Paktam memanggilnya dalam nama penuh. Barangkali Paktam meminati Ariffin Majid, sang penyanyi.
'Ariffin Majid' |
Saleh, sepupu kami, anak Paklang yang tinggal di rumah Tokwan sepanjang persekolahan menengahnya ikut memanggil nama itu. Malah sehingga sekarang pun, kadangkala dia tersasul menyebut nama pendek - Pin!
Agaknya oleh kerana nama Ariffin Majid agak panjang untuk disebut, tinggallah Pin sahaja. Ditambah pula dengan Tok, maka jadilah Tok Pin!
Paktam meninggal pada tahun 1997 - samalah dengan ayah. Tetapi sapaannya secara manja, untuk anak saudara yang ketika dipanggil dahulu berusia sekitar 8 atau 9 tahun, rupanya masih berbekas. Setiap kali melihat anak saudara itu bermain dengan debu dan tanah,di bawah cucur atap atau di tepi rumah, Paktam akan memanggil, " Aripin Majid...." Anak saudara yang dipanggil itu akan mendongak dan tersengih sebelum menyambung semula tugas...
Tidak pernah tersangka panggilan nama itu, meski di dalam versi yang hanya tinggal satu atau dua sukukata [Pin @ Tok Pin], kiranya terbawa-bawa sehingga ke Pahang sehingga kini!
No comments:
Post a Comment