Showing posts with label Paktam. Show all posts
Showing posts with label Paktam. Show all posts

Monday, May 26, 2014

Piala Thomas a.k.a Piala Tomoih



Saya terlalu kecil untuk tahu erti kegembiraan menjulang Piala Thomas ketika Malaysia memenanginya pada tahun 1967. Perlawanan yang penuh kontroversi itu berlangsung di Istora Senayan, Jakarta dengan Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah Indonesia!

Saya hanya ternganga mendengar ayah bercerita beberapa tahun kemudian [ketika berteduh di bawah pokok pudak, berehat  sebentar dari kerja meramu [maaf, saya tidak tahu kalimat lain]rumput, di dalam bendang ayah di Kuala Kangkong].

Ayah pula bukanlah mendapat cerita itu dari liputan akhbar atau siaran langsung di tv. Dua media itu terlalu asing bagi ayah, malah mungkin tiada pun siaran langsung tv ketika itu. Ayah MUNGKIN mendapat cerita tentang kejuaraan badminton terunggul dunia itu dari  RADIO – juga benda asing bagi ayah adik beradik atau sekeluarga.  Saya katakan MUNGKIN  kerana terlupa bertanya hal itu kepada ayah. Tanpa akhbar dan tv, apa lagi media yang ada sehingga ayah dapat bercerita dengan agak terperinci tentang kejohanan tahun itu, sambil kami menjamah bekalan di bawah pokok pudak itu. Semasa itu, saya tidak merasakan penting untuk bertanya sumber ayah. Lagi pula mulut saya selain dari ternganga mendengar, hanya digunakan untuk mengunyah bekalan…

Rumah Tokwan tiada radio. Malah seluruh kampung juga tiada radio, kecuali di sebuah rumah. Rumah Haji Pendek bin Haji Saad. Di atas tangga rumah Hj Pendek itulah seluruh warga kampung yang berminat mendengar siaran radio, bertumpu. Ayah mendengar  tentang perlawanan akhir itu di radio rumah orang ada-ada itulah, gamaknya.
Juara 1967

Malah, kata ayah, setiap ada drama radio [seminggu dua kali] di depan tangga rumah Toknjang Hj Pendek [panggilan kesemua budak kampung kepada Hj Pendek] itulah mereka berkumpul, mendengarnya …. dan berimaginasi….

Bab mendengar radio pun saya ternganga mendengarnya, apalagilah perincian ayah tentang kemenangan Malaysia menundukkan Indonesia pada tahun 1967 itu, hanya dua tahun selepas konfrontasi dua negara berkenaan. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan pemain dan kontinjen negara ketika itu – menang di gelanggang lawan. Pastinya lebih perit daripada yang dialami oleh skuad bolasepak Malaysia yang memenangis Piala AFF Suzuki pada tahun 2010 lalu….

Piala Thomas ketika itu dilangsungkan tiga tahun sekali. Bermula 1984, [selepas kemasukan China ke dalam IBF pada tahun 1982], barulah kejohanan itu diadakan dua kali setahun, bersama Piala Uber [untuk pemain wanita].

Kejohanan tahun 1970 diadakan di Malaysia – tepatnya Kuala Lumpur. Kali ini rumah ayah sudah ada radio transistor – saya tidak ingat siapa yang belikan – tapi yang pasti siaran langsungnya saya dengar di atas rumah ayah. Saya tidak ingat sangat akan keputusan perlawanan itu, yang pasti Malaysia pula yang kalah di final. Indonesia ada Rudy Hartono – legenda badminton yang mengungguli keselurannya hampir 10 kali kejohanan All-England [kejohanan badminton individu tertua dunia], manakala Malaysia ada Punch Gunalan, Ng Boon Bee, Tan Aik Huang, Tan Aik Mong serta Abdul Rahman Mohammad. Perlawanan lain saya tidak ingat sangat, tetapi perlawanan melibatkan Abdul Rahman Mohammad tersimpan kukuh dalam ingatan. Betapa tidak, dua malam berturut-turut, pemain tunggal Melayu itu termuntah semasa bertarung. Berkali-kali. Berkali-kali pulalah pengulasnya [ mungkin Baharin Tahir atau Zulkarnain Hassan] memaklumkan kepada pendengar akan keadaan pemain tersebut. Entah di mana silapnya pemain perseorangan itu tidaklah diketahui hingga kini…Beliau tewas kepada Rudy Hartono pada malam pertama dan kepada Muljadi [sebutannya: Mulyadi] pada malam berikutnya...

Betapa saya tidak akan lupa kata-kata ayah: Malaysia tomoih [tersungkur]!

Barang diingat, di kampung saya, sejak saya mula tahu melangut orang bersembang, hampir semua peminat sukan menyebut Piala Thomas dengan slanga tersendiri: Piala Tomoih….

Kejohanan tahun 1973, Malaysia gagal ke final. Indonesia memenanginya setelah menewaskan Denmark, di Jakarta.

1976.

Tahun ini istimewa. Ada siaran langsung di tv!
 
Sejak pusingan kelayakan di Lucknow, India, sudah ada siaran langsung.

Ketika itu BAM diterajui oleh Encik KJ [arwah Tan Sri Khir Johari – mantan menteri cabinet zaman Tunku]. Saya ingat bagaimana dalam sidang akhbar, Encik Khir yang memakai baju batik berbunga halus, tidak pasti warnanya [maklumlah tv pun masih dua tahun lagi baru ada warna-warni], berkata baju itu ada ‘tuah’ sebab setiap kali dia memakainya, Malaysia menang. Maka dia berjanji akan memakainya sepanjang kejohanan. Benar, tuahnya ada. Malaysia berjaya ke final, yang diadakan di Bangkok. Benar, Encik Khir memakainya samapai malam final. Tapi tuah itu tiada dalam dua malam final tersebut. Malaysia kalah 0-9! Juga kepada Indonesia. [Selama ini pun hanya Malaysia dan Indonesia yang memegang piala berkenaan]

Dua malam?

9 perlawanan?

Jangan tidak tahu, ketika itu memang kejohanan berlangsung embilan perlawanan. Terpaksalah diadakan selama dua malam, baik peringkat awal atau final.

Formatnya ialah dua pemain perseorangan dan dua pasangan setiap pasukan akan bertemu secara menyilang dalam dua malam tersebut. Hanya perseorangan ketiga akan bermain sekali pada malam kedua [terakhir]. Mudahnya difahami: Perseorangan A Malaysia bertemu perseorangan A Indonesia. Begitu pula pasangan A, perseorangan B dan pasangan B masing-masing. Lengkap 4 perlawanan pada malam pertama. Malam kedua, yang A akan bertemu B pasukan lawan, baik perseorangan atau bergu. Diakhiri dengan perseorangan ketiga [C}.

Sebab itulah ada keputusan 5-4, atau 6-3, atau 7-2 atau 8-1 atau 9-0.

Menariknya, walapun sudah mendahului 5-0, perlawanan masih diteruskan sehingga tamat semua sembilan perlawanan. Demi maruah pasukan, pertarungan tetap sengit meski pun, secara keseluruhan, pasukan sudah ketinggalan 0-5 mahu pun 0-8!

Pada tahun 1976 itu, saya bersama ayah menonton perlawanan akhir dua malam di dua rumah anak Toknjang Hj Pendek – Baharom dan Hj Saad. Tidak ingat pula kenapa begitu jadinya. Mungkin ayah mahu berlaku adil kepada dua rakan sekampungnya itu…

Saya masih ingat nama hampir keseluruhan skuad tahun itu: Phua Ah Hua, James Selvaraj, Cheah Hong Chong, Dominic Soong, Moo Fot Lian, Kwek Chew Peng…. Biasalah. Macam anak sekarang yang kenal Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Darren Liew….. Samada mereka akan ingat nama tersebut untuk empat dekad akan datang, terpulanglah kepada berapa GB memori masing-masing……

Selepas penyertaan China dalam Piala Thomas, Malaysia hanya menelan liur sepanjang dekad 80-an. China dan Indonesia seperti bergilir menjuarainya dalam kejohanan dwi tahunan itu.

1992.

Ini tahun istimewa untuk skuad Malaysia. Di Kuala Lumpur, kita menjuarainya setelah kemarau kejuaraan  selama suku abad!

Siapa pada zaman itu dapat melupakan bingitnya Stadium Negara tatkala Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang mendapatkan mata kemenangan negara. Wong tat Meng yang bermain untuk melengkapkan jadual mungkin boleh menceritakan bagaimana lambatnya masa bergerak untuk dia mengalah bagi memberikan keputusan keseluruhan 3-2.

Sebelum itu, Rashid Sidek menewaskan Ardi Wiranata pada game pertama sebelum disamakan oleh Indonesia setelah dua abang Rashid – Razif dan Jalani – tewas kepada bergu utama Indonesia.  Masih ternampak lagi bagaimana salah seorang pemain lawan itu menggoyang punggungnya setelah berjaya mengikat kedudukan.

Kemudian muncul ‘kuda liar’ Foo Kok Keong yang tidak mengenal penat menguasai seluruh gelanggang, menewaskan pemain yang lebih muda darinya, Alan Budi Kusuma.

Kami melompat kegirangan pada dinihari itu bersama seluruh rakyat Malaysia. Suara Hasbullah Awang yang menyebut dengan tepat waktu pasangan Soon Kit –Beng Kiang mendapat mata penamat, tenggelam.

Kami?

Ya, kami.

Tapi bukan saya dan ayah, seperti tahun 1976 dulu. Ayah mungkin menontonnya bersama rakan-rakan sekampung – Wak, Pakndak Noq, Baharum atau Pakngah Lazim….

Saya menonton perlawanan itu jauh dari kampung.

Saya menonton di rumah Paktih, di Gurun. Entah kenapa, malam itu, Paktam mengajak saya ke rumah Paktih untuk menyaksikan final Piala Thomas tersebut.

Bergembiralah kami bertiga malam itu bersama jutaan rakyat Malaysia yang lain.

2014.

Malaysia masuk final buat sekian kalinya.

Petang itu, saya hanya bertanya keputusan pertemuan Dato Lee Chong Wei dari anak rakan sekampung. Sekali pun saya tidak cuba menjeling ke tv yang berada di dalam rumah rakan itu.

Jam lapan malam lebih, saya diberitahu kedudukan terikat 1-1.

Saya  tidak juga melihat ke kaca tv. Saya cuba mengalih tumpuan, membelek buku terjemahan Bahkan Malaikat Pun Bertanya tulisan Jeffrey Lang….

Melepasi jam 10, difahamkan kedudukan terikat 2-2.

Saya ke rumah adik, berjumpa anak yang singgah di situ. Mujurnya, mereka sedang melihat satu program orang cuba buat lawak di siaran lain….

Tamat acara yang mengundang tangisan di dalam hati itu, saya mengajak anak ke kedai makan di seberang jalan. Bimbang kalau ada seseorang menekan punat menukar ke siaran langsung dari New Delhi…

Semua gerai yang kami lintasi ada peti tv. Semua tv memancarkan siaran langsung perlawanan perseorangan ketiga – perlawanan penentuan.

“Kita cari  yang takdak tv….” Kata saya. Si anak akur…

Akhirnya kami singgah ke gerai nasi kandar yang taukenya pun tidak pernah melihat pengandar….

Tiada tv. Yang ada hanya beberapa pelanggan dari spesies tak akan kisah sekalipun Malaysia bermain dalam perlawaanan akhir bolasepak Piala Dunia FIFA….

Kami memilih lauk.

Kami makan. Berulam air dingin.

Kami bersembang sekitar 300 patah kata.

Selesai makan, anak membuat pusingan U untuk kembali ke rumah ibu saudaranya. Saya mengajaknya berjalan melalui jalan lain. Biarlahjauh sedikit, asalkan tidak melintas di depan gerai yang ada peti tv.

Di rumah adik, tv telah ditidurkan.

Lega.

“Tah cuti apa esok…” kata adik yang dalam telekung, sedang menghampar sejadah.

“Awat? Menang ka?” tanya saya.

“Dak lagi. Baru seri ….” Maksudnya akan ada set ketiga… Agaknya adik tidak dapat menonton dalam tekanan, maka dipadamnya tv…

Saya tinggalkan anak yang mahu bermalam di rumah adik.

Saya tinggalkan rumah adik.

Saya tidak tahu keputusan perlawanan sehinggalah ada berita di radio pada jam 1 pagi…

Malaysia tomoih

Jam 8 pagi, ketika bertemu beberapa kawan yangmembuat analisis bebas perlawanan  akhir tersebut, saya hanya mendengar. Saya belek laporan akhbar sekali lalu. Kepada yang bertanya, saya ceritakan apa dan bagaimana keadaan saya ketika perlawanan. Mereka tertawa.

“Tertekanlah tu…” demikian semua kesimpulan dari para penganalisis yang serba tahu itu.

Biarlah.

Mereka tidak tahu.

Mereka tidak akan percaya pun kalau saya beritahu.

Sebenarnya, sejak mula, saya tidak kisah sangat hanya Astro yang mendapat hak penyiaran Piala Thomas. Tv di rumah saya tidak pernah dikaitkan dengan syarikat kepunyaan Ananda Krishnan itu…

Tetapi apabila tahu bahawa RTM telah diberi izin oleh Astro bagi menyiarkan final supaya segenap rakyat dapat menontonnya, saya jadi tidak menentu.

Saya buat keputusan untuk tidak menonton. Bukan kerana tidak tahan dengan debaran. Saya pernah melalui detik kekalahan – malah menunggu hingga kekalahan pada sembilan game! Saya pernah merasai detik kemenangan, ikut bersorak puas..

Tapi final kali ini terasa sedikit lainnya.

Ada sesuatu menggugah emosi dan memori…

Saya ingin mencatat sehingga final 1992, sebagai entri menjelang final 2014. Niatnya selepas itu, saya akan berlapang dada untuk ikut menonton Dato’ Lee Chong Wei dan gengnya berhadapan dengan anak didik legenda Korea Selatan – Park Joo Bong. Apa pun keputusan akan saya terima, kerana khabarnya ketika masih di bumi Malaysia, hampir tiada media serta peminat sukan yang menaruh harapan tinggi kepada skuad negara…

Tapi, entahlah.  Saya tidak melakukan apa yang diniatkan itu. Emosi dan memori benar-benar tergugah.

Siapa akan percaya, bahawa kali ini, tatkala saya membuka lipatan sejarah panjang Piala Thomas dalam lingkungan peribadi, ada dua sosok muncul. Kedua-dua sosok itu meninggal berselang 40 hari pada tahun 1997……

Saya benar-benar terkenangkan ayah dan Paktam.


Wednesday, February 19, 2014

Mi Pak In



Pekan Simpang Empat.

Selain pekan seharinya – Pekan Khamis - yang terkenal sehingga kini dan sinonim dengan bihun sup dan ais kacangnya, ada satu kedai makan yang sering saya dengar: Mi Pak In.

[Untuk pembaca dari planet lain: di Kedah, Ibrahim tidak dipanggil Ib atau Rahim, sebaliknya In sahaja, atau sesekali terjumpa panggilan Brahim. Ada satu kes terpencil, anak saudara Tokwan di Sungai Yan, bernama Ibrahim, dipanggil Yen. Mungkin kerana tinggal di daerah  Yan yang kadang kala dulunya ditulis juga sebagai Yen…Entahlah.]

Paktam bernama Ibrahim. Selalunya dipanggil In. Mungkin seorang dua saja – termasuk mertuanya, Toksu Saari – memanggilnya Brahim.

Paktamlah yang sering menyebut tentang Mi Pak In. Paktam belajar di Pondok Hj Talib [SMA Ihya’ sekarang], hanya ¼ batu dari pekan Simpang Empat. Maka agaknya keraplah dia dapat makan mi dari orang yang senama dengannya itu. Paktih juga kerap menyebut mi itu. Maklumlah,Paktam dan Paktih belajar di tempat yang sama…

Saya mendengar dengan menyimpan keinginan merasai mi itu. Paktih hanya menyebut sambil lalu tetapi Paktam sering membuat deskripsi yang mengecurkan air liur dengan bunyi ‘fuh’ pada setiap hujungnya. Kuahnya…fuh! Sotongnya…fuh! Cucur udangnya… fuh! Setiap kali difuhkannya begitu, setiap kali itulah saya yang ternganga, lalu menelan liur.

Saya tidak ingat harga sepinggan mi ketika itu. Mungkin 80 sen atau seringgit. Mungkin juga hanya 50 sen! Nilai yang terlalu jarang pernah ada di dalam tangan Paktam, apa lagi saya. “Ada duit nanti, kita pi …” Saya menganggguk. Sah, Paktam perasan pergerakan pada halkum saya ketika mendengar ceritanya…

Makan tahun juga lamanya saya perlu menunggu Paktam membawa saya ke kedai mi Pak In. Sebabnya, ketika saya di dalam darjah empat atau lima, Paktam menerima tawaran memasuki Pusat Latihan Belia Pelopor Negara di Dusun Tua, Selangor.

Saya pun terlupa tentang mi Pak In sehinggalah diajak Paktam pada salah satu cutinya [tidak pasti cuti kursus atau cuti kerja]. Tahunnya 1974 – ketika saya baru dua bulan melangkah ke sekolah menengah. Tidak tahulah samada Paktam teringat katanya dahulu atau memang kebetulan dia membawa saya ke Simpang Empat. Kami menaiki basikal tua ayah.

Saya yang tidak pernah merasa mi Pak In malah tidak pernah tahu pun lokasi kedainya, memang tidak kenal Pak In itu sendiri.

Paktam membawa saya ke kedai kopi Cina di Jalan Tokai, di seberang sungai berhadapan pasar. Rupanya di situlah tempat Pak In menjual mi rebusnya. Malangnya saya terlupa untuk bertanya Paktam yang mana satu pemilik tubuh dan jenama Pak In. Sehingga sekarang pun saya tidak tahu adakah lagi Pak In sewaktu pertama kali saya memakan mi bersama Paktam itu pada awal dekad 70-an itu, kerana menurut otai Simpang Empat baru-baru ini, Pak In telah lama meninggal. Tidak pastilah lama itu sepanjang mana.

Kami duduk di atas kerusi kayu berkilat menghadap meja bulat yang permukaannya dibuat dari tembikar tebal bercorak lorekan. Paktam mengisyaratkan ‘dua’ kepada seorang yang sedikit lebih tua darinya yang berada di depan dapur bersebelahan almari mi yang menghadap ke jalan di seberang sungai. Isyarat itu mudah diterima dan difahami kerana bukan ada jualan lain selain dari mi rebus, gamaknyalah. Tidak perlu ditanya ‘mi goreng ka, bihun goreng ka, bihun sup ka, kuetiau sup ka, kuetiau goreng ka, pasembur ka, apa ka…’ seperti yang pernah saya hadapi di sebuah kedai mamak di Jalan Kota Tanah, Alor Setar, pada malam Maulidur Rasul baru-baru ini… Untuk rekod, mamak tersebut tidak lagi melipat hampir semua jari ketika mempromosikan makanan di kedainya kepada pelanggan selepas kami di meja lain, apabila seorang kawan memesan APA KA sepinggan, tatkala saya dan seorang kawan lagi hanya memesan mi goreng…

Kemudian datang Apek berseluar pendek bertanyakan minuman. Saya geleng kepala. Tidak pernah seumur hidup saya minum bancuhan seorang Tionghua. Paktam lama menunggu jawapan saya. Akhirnya dia menyebut sesuatu kepada Apek yang kemudiannya datang bersama dua gelas berisi ketulan ais. Selain itu dibawanya sama sebotol minuman berwarna putih susu. Paktam tuangkan ke dalam gelas untuknya separuh botol. Gelas untuk saya? Saya menekup kejap mulut gelas ketika Paktam mahu menuang baki dari botol. Paktam menggeleng kepala. Dia bangun menuang ketulan ais di bahagian belakang kedai. Saya sempat membelek botol di atas meja ketika ketiadaan Paktam. Yeo Hiap Seng dengan ada pula tulisan cinanya. Entah air apa pula ‘ni, fikir saya. Paktam datang semula serentak dengan kehadiran dua pinggan mi rebus yang dihantar oleh lelaki yang menerima isyarat Paktam tadi. Paktam menyedut sekali minuman di dalm gelasnya sebelum menuangkan air di dalam botol ke gelas saya. Saya menghidu sekali minuman itu. Sebelum menghadap mi, saya sedut sekali air tersebut. Sekali itulah sahaja. Saya luahkan kembali ke atas tapak tangan dan perlahan-lahan saya gosokkan pada peha seluar. Itulah kali pertama saya merasa apa yang namanya air soya! {“Payah nak jamu dia ‘ni… pancing* sangat!”saya masih ingat demikian kata Paktam ketika bercerita kepada Ndak pada petang hari itu di tangga dapur rumah Tokwan, apabila ditanyakan tentang kesan kertang pada peha seluar saya. Saya terkerisin. Ingin menjawab tetapi tidak tahu bagaimana. Saya bukan pancing. Hari itu terlalu banyak kali pertama dalam hidup saya. Kali pertama minum di kedai cina. Kali pertama minum air kacang soya – dengan rasa yang sememangnya  asing bagi tekak saya. Kali pertama pula hendak makan mi Pak In yang selama ini hanya didengar akan mitosnya... Saya berada di persimpangan:  di antara teruja dengan mengkelan*}

Bagaimana dengan mi Pak In?

Fuh! Fuh! Fuh!

Benarlah seperti yang digambarkan oleh Paktam lama sebelum itu. Kuahnya. Sotongnya. Cucur udangnya.

Kuahnya tidak keruh seperti kuah mi rebus yang saya makan di Kangkong. Jernih hening. Rasanya? Fuh! Saya betul-betul menikmati sehingga hirupan terakhir – tidak tersisa barang sesudu! {Hairan orang yang meninggalkan kuah ketika menghabiskan mi – sering saya berperasaan begitu, hatta hingga sekarang – kalau sekadar mahu menikmati mi dan bumbu-bumbunya, baiklah meminta mi goreng…}
Sotongnya digoreng garing dan dipotong nipis, ditaburkan di atas mi. Berada dalam gaulan, setiap kunyahan akan dapat dirasa kehadiran sotong dengan bunyi keriuk tanda kerangupannya.
Cucur udangnya tidak rangup sangat sebab dibuat dalam bentuk a la jemput-jemput, tetapi rasanya ketika dikunyah setelah bergaul bersama mi dan sotong rangup… fuh!

Senang cakap, kalau orang bertanyakan saya adakah mi rebus Melayu yang sedap, dengan citarasa yang lain terus dengan mi rebus Mamak, saya akan menjawab: ADA. Mi Pak In!
Selepas makan bersama Paktam itu, tidak pernah lagi saya ke kedai cina tersebut. Walau pun keinginan untuk menikmatinya atau mempromosikan pula sentiasa ada, tetapi memikirkan kedudukannya di dalam kedai kopi cina, terpaksalah keinginan itu diurungkan…

Awal dekad 80-an,  anak Pak In – Omar namanya – pernah membuka sendiri kedai mi bersebelahan kedai akhbar tunggal Simpang Empat ketika itu, yakni kedai Hj Zakaria Hj Manaf yang terletak di sisi jalan mini di persimpangan antara arah ke Kangkong dan ke Alor Setar. Puaslah juga kehendak hati. Ada juga saya perkenalkan kepada kawan-kawan dari luar daerah. Malangnya, kedai itu tidak bertahan lama. Adalah dalam dua tahun.

Pak Omar kemudiannya kembali berniaga di kedai kopi cina di seberang sungai di depan pasar Jalan Tokai. Saya pun memutuskan hubungan semula dengan Mi Pak In. Mujurlah di medan selera depan ministor [sebelum itu di kakilima jalan Kangkong] ada sepasang penjual mi rebus - Pak Wahab dan isterinya – yang menghasilkan kuah serta bumbu yang persis Mi Pak In. Kepersisannya mungkin 90%. Dapatlah saya mengubat rindu.  [Pak Wahab menjual pada sebelah petang hingga malam, manakala Mi Pak in dijual pada waktu tengah hari hingga petang]. Tetapi Pak Wahab telah meninggal dunia sekitar enam tujuh tahun yang lalu.

Bukan tidak ingin merasa Mi Pak In lagi tetapi mengenangkan kedai tempat terjualnya, keinginan pun terbantut. Melintas di depan kedai itu pun tidak, apa lagi mahu memasukinya. Entahlah. Maka untuk membeli bungkus pun menjadi tidak mungkin.

Akhirnya saya seperti terlupa tentang Mi Pak In. Tidak kisah lagi tentang perkembangan atau penguncupan perniagaan Pak Omar, anak Pak In.

Hujung Disember lalu, saya menikmati mi rebus di sebuah kedai makan di jalan Kangkong. Mi rebus Melayu. Hirup sajalah. RM3.
Slurp…

Fuh! Sebiji! Macam pernah asa jer… macam lama tak jumpa jer…

Saya teringat Mi Pak In. Saya teringat In, Paktam saya…

Saya tanyakan kepada wanita penjual mi itu: asalnya serta asal kuah itu.

Saya terkesima. Mengaku saja orang Simpang Empat tetapi…

Rupa-rupanya dia adalah menantu Pak In. Isteri Pak Omar.

“Mana Pak Omar?”

“Dia meniaga di jalan Tokai…”

“Ooo. Kedai cina ‘tu …”

“Dak aih. Dia meniaga di Kedai Jit”

Berbelas tahun saya tinggal di Simpang Empat. Buta sejarah betul saya ini. Buta juga hal ehwal tempatan.

Tidak tahu pun masih ada lagi rupanyaMi Pak In. Dua cawangan pula. Satu diuruskan oleh waris Pak In – Pak Omar – di Kedai Makan Jit [salah satu dari dua kedai makan diusahakan orang Melayu di seberang sungai di depan pasar Simpang Empat]. Satu lagi diuruskan oleh isteri Pak Omar.

Pak Omar – serta Pak In dulunya– pun satu hal. Sejak dahulu, jenama Pak In itu tidak pernah ada secara bertulis. Tidak ada kain rentang atau seumpamanya. Orang hanya tahu Mi Pak In dari cakap-cakap orang lalu berkembang.

Yang ada di kedai itu cuma perkataan mi [mee] rebus dan harga RM3 [baru-baru ini ada pembetulan sedikit: RM3.50…]

Mungkin kerana di kedua-dua tempat itu, mereka hanya menumpang kedai orang, fikir saya.

Kalaulah ada jenama dan kedai sendiri seperti Ais Salji di Restoran Dinalang di kawasan pekan Khamis itu bukankah bagus…

Sejak itu, sudah banyak kali saya singgah di kedai makan jalan Kangkong tersebut. Kadang-kadang bersama seorang dua kawan. Pekena Mi Pak In. Akan kedai di jalan Tokai itu, tidaklah saya kunjungi. Eleh, rokok Dunhill perisa gangren di kedai mana pun sama saja rasanya. Mi Pak In pun demikianlah. Lagi pula kedai di jalan Kangkong itu adalah laluan saya hampir setiap hari.

Baru juga saya tahu bahawa rumah Pak Omar hanya dua tiga langkah dari kedai makan itu. Kalau tidak ada permintaan mi, istei Pak Omar akan berada di dalam rumahnya. Jika ada permintaan atau ada yang mahu membayar, pelayan kedai yang tugas hakikinya mengambil pesanan dan mengangkat minuman pelanggan, akan mengetuk tiang berdekatan kiosk mi rebus. Barulah muncul tauke mi. Unik juga…

Kelmarin, saya singgah lagi di situ. Sedang menanti tiang yang diketuk mendapat respons, saya disapa oleh seorang rakan yang menjinjing beberapa bungkusan minuman. Berbual sebentar tentang cuaca, dia meminta sesuatu yang sememangnya miliknya dan Maha Pencipta – minta diri. Saya pun memberikanlah… Ketika bersalam, entah mengeluh entah apa, rakan itu berkata: “Hai…..Sat saja dah masuk bulan dua noo…”

Bulan dua…

“Makan ka bungkuih?” tanya Pak Omar.

Pak Omar…

“Tak meniaga di jalan Tokai ‘tu?” tanya saya.

“Dak. Empat haghi dah… Mata sakit, ketumbit….” Balas Pak Omar. Saya memerhati bahagian matanya. Ada lagi kemerahan bekas sakit mata.

“Bungkuih ka?” tanya Pak Omar sambil mengambil segenggam mi di depannya untuk dicelur. Saya memerhati Pak Omar. Kedutan pada wajahnya ketara. Tetapi saya pasti, inilah lelaki yang mengangkat dua pinggan mi kepada saya dan Paktam dulu. Ketika pertama kali saya mahu menikmati Mi Pak In.

Tiba-tiba saya teringat kepada Paktam.

“Makan ka bungkuih?” Pak Omar bertanya lagi.

“Bungkuih” balas saya sambil melihat tangan Pak Omar lincah mencapai cucur udang serta sotong goreng dari bekas di depannya. Pak Omar memotong cucur udang manakala sotong – kerana saiznya yang agak kecil – tidak dipotong, cukup dengan mengambil beberapa kepalanya yang terlerai untuk mencukupkan sejemput.

Saya teringat fuh! fuh! fuh! dari mulut Paktam dahulu.

Saya mencapai kerusi di meja paling hampir dengan kiosk Pak Omar. Saya hairan kenapa saya meminta dibungkuskan sedangkan saya mahu makan sendirian. Samatua dan anak sedang di sekolah – kelas KAFA. [Samatua yang tidak tahu tentang sejarah Mi Pak In juga memberi komen positif ketika saya bawakan mi itu tidak lama dahulu. “Sedap!” katanya. “Beli tang mana?” tanyanya. Kerana soalan itu rasanya seperti tidak ada roh, saya hanya menjawab gitu-gitu sahaja… dan dia tidak pun peduli jawapan saya ketika menghabiskan mi…]

Bulan dua. Paktam. Mi Pak In.

Subhanallah. Bulan dua tahun ini genaplah empat puluh tahun detik saya memakan Mi Pak In kali pertama [dan terakhir] dengan Paktam. Februari 1974. Saya tidak ingat pada tahun itu Paktam pulang bercuti dari apa – kursus atau kerja. Saya di tingkatan satu. Masih jelas saya terkangkang di atas basikal tua ayah yang Paktam kayuh. Melintasi tempat yang saya duduki sekarang. Menuju ke jalan Tokai. Ketika itu belum ada lampu isyarat. Paktam hanya memperlahankan kayuhan, melihat ke kiri kanan sebelum mengayuh laju melepasi simpang…

Pak Omar meletakkan bungkusan mi di depan saya. Sebungkus? Makan sendiri?

Pak Omar menjangkakan saya akan membayar segera. Sebaliknya, saya minta sepinggan mi serta dibungkuskan satu lagi.

Saya makan sambil mengimbau pendeknya masa empat dekad yang telah dilalui…

Entah kenapa ingatan kepada Paktam yang telah hampir 17 tahun meninggal dunia amat menebal. Detik-detik bersamanya seperti tertayang cantik di depan. Kesungguhannya menceritakan keenakan Mi Pak In dulu seperti berlaku dua tiga hai lalu…Teristimewa bahagian Fuh! Fuh! Fuh!

Kemudian saya teringat katanya yang perlahan, antara membujuk dan berjanji: “Ada duit nanti, kita pi …” Saya sebak. Harga Mi Pak In sekarang RM3.50. Empat dekad dahulu nilai sedemikian mungkin boleh mendapat hampir empat pinggan. Tetapi kami tidak mampu… terpaksa menanti!

Saya tidak memesan minuman bagi mengiringi mi. Pedas sedikit memang, tetapi saya sendiri tidak tahu mengapa saya tidak perlukan minuman.

Selepas membayar, saya membawa dua bungkus Mi Pak In tadi ke rumah Ndak. Mahu mengenang detik empat dekad lalu bersama orang yang juga mengenali Paktam. Mahu menumpahkan sedikit apa yang dirasa ketika itu. Malangnya, keadaan tidak mengizinkan…

Maka, saya hanya mencipta sejarah peribadi. Tanpa mengetahui kedudukan sebenar, Ndak menghidangkan Mi Pak In untuk saya sama. Dua kalilah saya menikmati mi rebus Melayu itu dalam tempoh sejam…

*****
Semoga roh Paktam dan roh semua keluarga serta roh seluruh muslimin dan muslimat yang mendahului kita dijemput Allah sentiasa dicucuri rahmat-Nya, diampunkan segala dosa dan diterima segala amalan. Amiin.


*mengkelan – menurut Kamus Dewan, bermaksud 1. Tersangkut atau tersekat di kerongkong [barang yang ditelan]; 2. Berasa sebal hati.
*pancing – tiada dijumpai didalam kamus, bermaksud kurang lebih, macam mengkelan terhadap makanan kerana faktor bahan, si pembuat,atau lokasi yang tidak elok atau suci.