Chik |
Chik dalam darjah lima, manakala saya baru masuk ke sekolah.
Saya pergi pada bulan-bulan awalnya dengan dihantar oleh ayah. Beberapa bulan kemudiannya, ayah tumpangkan saya kepada Paktih yang berbasikal dari rumah Tokwan ke Simpang Empat, tepatnya ke sekolah agama rakyat [Pondok Haji Talib, atau nama penuhnya Madrasah Ihya' Ol Ulum Ad Diniah], tempat Paktih belajar [ dan bertugas sekarang...]
Saya diturunkan di hujung kampung berhampiran kedai/rumah Ah Chye, berhampiran Jalan Kangkong-Simpang Empat. Paktih menuju ke destinasinya manakala saya bersama sesiapa juga rakan sesekolah yang terserempak di jalan itu, akan menapak ke Kuala Kangkong.
Saya tidak ingat pernah atau tidak Chik menumpang basikal ayah atau Paktih. Yang diingat pasti: Chik ke sekolah dengan berjalan kaki bersama kawan-kawan sekampung. Menyusuri jalan bendang sehingga tepi jalan raya berdekatan kedai Paklong Hashim Md Ali [kini rumah arwah adiknya, Paknjang Saad Md Ali], sebelum berjalan di atas jalan itu menuju simpang empat di hujung kampung, dan seterusnya berjalan ke Kuala Kangkong.
Ketika Chik di dalam darjah enam dan saya naik ke darjah dua, keraplah pula saya ikut berjalan bersama Chik dan kawan-kawannya. Ketika itu Chik memakai skirt [mana ada budak sekolah memakai baju kurung pada era tersebut!] dan saya berseluar pendek.
Dari rumah kami berjalan beriring. Melintasi kampung Tokngah Yeh, ada cucunya menyertai kami. Melintasi lagi kampung Toklong Seman, ada juga cucuya menyertai lagi. Demikian pula selepas melintasi kampung Tokngah Haji Jaafar dan kampung Toknjang Haji Pendek. Akhirnya berderetlah kami meniti batas bendang hingga bertemu jalan raya dekan rumah/kedai Paklong Hashim itu.
Di atas jalan itulah baru kami dapat berjalan seiring semula. Masa itu kereta tidak banyak. Lima minit sekali mungkin payah untuk berjumpa dengan kereta lalu. Maka jalan itu menjadi milik kami untuk beriring/beremba empat lima orang.
Sambil berjalan ada saja yang Chik bualkan. Bab artis K-Pop kegilaan anak bangsa saya yang tertekan dengan populariti, lalu membunuh diri..... Hehehehe. Tak adalah. Masa itu mana ada orang yang berangan bermertuakan orang Korea dengan menampal muka bermata sepet anak mereka sehingga ke pintu tandas?!
Paling banyak pun Chik dan kawan-kawan akan bersembang bab enaknya mencicah putik nyiur manis [ada lagikah sekarang?], mencicah buah cermai atau dibuat pincuk akan buah itu, tentang musim buah keriang lada yang kebetulan hanya di kampung Tokwan tumbuh subur beberapa pokoknya yang menjadi tumpuan orang kampung, berkongsi tentang hal-hal sekitar kampung...[Bab bermain-main macam saya pada waktu petang tentulah tidak Chik bualkan sebab sebagai gadis sunti, Chik amat terhad kawasannya pada masa lepas sekolah. Lazimnya hanya sekitar rumah dan laman rumah Tokwan. Memang menjadi kepantangan Tokwan, agaknya, kalau anak perempuannya bermain-main macam budak lelaki, sedangkan ramai juga budak perempuan lain [terutama cucu Tokngah Yeh] boleh bermain bersama-sama saya dan kawan-kawan. Main galah panjang, atau main guli dan getah...malah sama-sama main masak-masak....hehehehe ]
Apabila sampai di satu tempat, sekitar kedai yang sekarang ini disewa oleh warga negara yang PMnya bernama Yingluck Shinawatra - untuk menjual makanan citarasa mereka - Chik pasti akan mendekati saya.
"Hang jangan berjalan dekat dengan Chik dah. Berjalan jauh sikit. Belakang sikit." pesannya.
"Awat?" pernah saya memprotes ketika kali pertama dipesan begitu.
"Nanti Chik habaq..." kata Chik sambil berjalan laju mendapatkan rakan-rakannya yang lain.
Saya pun terpaksalah memperlahankan langkah bersama kawan-kawan sebaya...
Dua puluh meter dari tempat Chik berpesan tadi, ada seorang murid perempuan sebaya Chik menunggu. Mukanya garang. Chik akan menoleh ke arah saya. Kalau dirasanya saya terlalu dekat dia akan mengisyaratkan dengan tangan agar perlahankan langkah atau jauhkan sedikit jarak...
Saya dan kawan-kawan sebaya akan akur.
Begitulah sepanjang jalan sehingga sampai ke sekolah.
Jarak kumpulan kami denga kumpulan Chik mesti kekal jauh. Aduh, seksa betul kalau berjalan pun kena ikut skrip begitu! Setiap hari pula. dan waktu balik pun demikian!
Kemudian barulah saya difahamkan. Faham sungguh-sungguh dan berbekas kekal...
Kata Chik, Yu Na [bukan nama sebenar], murid perempuan sebaya yang menunggu kumpulannya di tengah jalan itu adalah anak orang ada-ada di kampung kami. Kata Chik lagi, Yu Na cukup pantang dengan bau badan budak-budak lelaki yang berpakaian kusam [kumal dan masam]. Apatah lagi pada sebahagian hidung mereka yang berlubang dua itu, ada lelehan a la susu separa pekat, yang dengan mudah pula diseret dengan lengan sehingga meninggalkan kesan kering seretan pada pipi.....
Walaupun hidung saya tidak menghasilkan kumuhan sebegitu tetapi pakaian dan bau peluh saya ditakrifkan termasuk di dalam kumpulan sebegitu. Maka saya mesti berada jauh dari mata dan hidung Yu Na. Itu pun kalau Chik mahu berjalan bersamanya pergi dan balik sekolah...
Demi melihat Chik berjalan seiring dengan Yu Na sepanjang pergi dan balik, maka saya pun akur. Sedapat mungkin saya akan memastikan bau badan dan pakaian kami tidak akan sampai ke hidung Yu Na yang khabarnya cukup sensitif itu.
Pernah beberapa kali kami terlajak sempadan, dan Yu Na mengempiskan hidungnya lalu mengisyaratkan agar kami berhenti melangkah sehinggalah dia serta kumpulannya menjarakkan sedikit lagi dari kami. Chik ikut mengisyaratkan demikian kepada saya. Jegilan Chik sama besarnya dengan jegilan Yu Na. Saya tahu Chik sebenarnya takut Yu Na marahkannya...
Busuk dan hinakah sangat saya dan kawan-kawan?
Aduhai, gaya Yuna menggunakan tangan menyuruh kami berhenti itu dapat saya ingat sampai hari ini.
Peliknya, kami yang tak ingin dilihat atau dihidu bau ini tidak pula dibenarkan berjalan cepat dan jauh ke depan, supaya tidak perlulah kami terpaksa sentiasa mengukur jarak agar tidak melanggar aturan.... Memang agaknya begitu anak orang ada-ada. Mengada-ada!
Mujurlah hanya setahun saya menghadapi suasana itu. Dan mujur juga tidak sepenuhnya hari persekolahan saya mesti berjalan kaki dengan anak orang ada-ada itu. Ada masa, ayah akan menghantar dan mengambil saya dengan basikal tuanya.
Kerana tidak dibenarkan mendekat, saya tidak boleh menggambarkan wajah Yu Na dengan tepat. Hanya yang boleh saya bayangkan adalah wajah itu amat garang, matanya yang seolah sentiasa dijegilkan sambil melilau liar memerhati sekeliling.
Saya pernah menceritakan hal itu kepada emak. Mengharapkan simpati tetapi yang saya dapat adalah kata-kata motivasi: "sebab itulah kena selalu bersih badan, jangan main kotor, jaga seluar baju elok-elok...." dan "orang susah macam kita kena tiru orang kaya - kena sentiasa kemas..."
Yang saya tidak faham adalah mengapa kebanyakan orang ada-ada bersikap begitu - sering memandang rendah kepada orang tiada-tiada? Mereka juga kena mengikut skripkah? Kalau begitu, samalah dengan imej hantu atau jin di dalam filem melayu yang pernah saya tonton di tempat wayang pacak: setiap kali muncul, mesti ketawa berdekah-dekah malah menepuk dada menyebut "akulah jin!" Kata cikgu yang pernah saya tanya, itu adalah kehendak skrip... Hehehe. Saya tertawa. Orang ada-ada juga semacam jin. Kena ikut skrip. Kalau begitu samalah dengan orang miskin macam saya. Kiranya semua manusia - kaya atau tidak - samalah! Hehehe.Demikian yang saya fikirkan.
Apabila Chik tamat peringkat sekolah rendah, tamatlah juga acara berjalan di belakang [dan dari jauh] anak orang ada-ada itu. Dan sejak itu pula saya tidak lagi mahu bertemu wajah garang tersebut, walaupun kami tinggal sekampung.
Chik belajar di sekolah yang sama dengan Paktih. Saya tidak ingat sehingga tingkatan berapa. Akan Yu Na pula tidaklah saya tahu sehingga ke mana dia belajar.
Tahu-tahu emak menyatakan Yu Na sudah berkahwin dengan seorang yang jauh lebih berusia darinya. Dan tetap tinggal di kampung kami.
Oooo. Saya melopong. Semasa berjalan dengan Chik dahulu, berdasarkan caranya memandang saya dan kawan-kawan yang comot dan berpakaian kusam, saya menjangka, tentulah Yu Na tidak akan menetap di kampung ketika menginjak alam remaja dan dewasa. Mestilah berkahwin dengan putera dari negeri antah berantah, seperti yang Cikgu Hamzah, guru kesayangan saya, selalu ceritakan. Tak akanlah dia mahu bersuamikan orang biasa-biasa...
Rupanya skrip yang Allah aturkan tidak begitu.
Hari ini, 7 Disember, ada kenduri di sebelah rumah Tok. Rumah cucu Tokngah Yeh - rakan dan jiran Tokwan dulu. Ramai sekali tetamu yang hadir. Ramai juga warga kampung datang membantu.
Di celah warga kampung itu, saya nampak kelibat Yu Na yang sekarang telah pun menjadi nenek. Wajahnya sudah banyak berubah, tanda telah melalui perjalanan masa yang panjang. Cuma matanya masih seperti dijegilkan dan seolah liar memerhatikan orang sekeliling.
Yu Na ikut duduk bersama kaum sejenisnya yang dari pelbagai latar.
Seronok melihat orang ada-ada telah membuang sempadan tidak terlihat, lalu bergaul dengan orang tiada-tiada...
Tapi ingatan pada hujung dekad 60-an, di dalam perjalanan ke sekolah dahulu, membuatkan saya enggan menghampiri Yu Na yang menghulurkan sebesen sambal belacan untuk ditambah di meja makanan di bawah khemah tetamu. Saya menolak seorang rakan yang jauh lebih muda untuk mengambilnya.
Saya takut Yu Na akan mengempiskan hidungnya apabila terhidu bau baju saya yang dibasahi peluh tua...
Chik, sehingga lebih empat dekad, saya masih trauma dengan Yu Na!
Nak tahu siapa Yu Na?
Jumpa Chik, baca entri ini di depannya. Kalau Chik ingat, dia tentu akan beritahu...
No comments:
Post a Comment