Wednesday, September 25, 2013

Kedatangan Pakcik.....


Musim menuai padi tahun 1981.

Saya berada di tingkatan enam di Kolej Bakti  ketika itu. Berulang alik dengan bas MARA dari rumah hingga ke sekolah swasta tersebut yang terletak di Jalan Pegawai, Alor Setar.

Tokwan yang sememangnya mahir bertukang sedang mengubahsuai rumah Pakndak Non [arwah Zainol bin Abdul] yang terletak sekitar sepelaung dari rumah emak ayah. Tanpa dilindungi pokok besar atau binaan lain, dengan hanya dipisahkan oleh dua bidang sawah, rumah Pakndak Non dapat dilihat dari rumah kami. Malah ketukan kayu oleh Tokwan ketika bertukang itu dapat didengar di rumah kami. Namun alamat antara dua rumah itu berbeza. Kami di Kampung Permatang Ibus, manakala Pakndak Non di Kampung Perlis. Berjiran bersebelahan kampung.....


Padi di bendang Tokwan di hadapan rumah sedang mula dikerat. Tok dan Chik serta dua tiga jiran melakukan kerja itu, manakala enam anak muda pula diupah bagi memukul /membanting padi - setiap tong pukul padi menggunakan tenaga dua orang.

Satu Sabtu, menjelang tengah hari, saya ke rumah Pakndak Non, sekadar melihati-lihat kerja Tokwan dan berbual dengan tuan rumah yang sememangnya ramah. Makndak Faridah, isteri Pakndak Non, sedang menyiang ikan di bawah pokok jambu bersebelahan dapur rumahnya.

Saya duduk di bangku panjang yang Tokwan gunakan sebagai tempat mengetam kayu termasuk papan dinding dan rangka tingkap. Di sebelahnya ada satu lesung tumbuk tepung yang diterbalikkan, digunakan sebagai tempat meletakkan setalam cawan bersama teko serta sepiring kuih. Tokwan sedang mengasah mata ketam kayu di perdu kelapa paling hampir dengan rumah. Pakndak Non yang mulanya sedang berbual dengan Tokwan, datang duduk di atas bangku panjang sambil menyapa saya dengan sapaan yang cukup saya mesrai sejak kecil, "Apa macam, kawan?"

Pakndak Non pun mendapat jawapan yang saya sediakan sejak kecil: sebuah sengihan bersama sedikit anggukan. Kemudian barulah kami berbual dalam topik yang rencam. Hal rumahnya, hal padi di bendangnya yang terletak di depan rumah sahaja, hal mengaji saya serta hal beberapa kenduri kahwin sekitar kampung selepas musim menuai nanti. Sesekali Tokwan menyampuk sambil matanya tetap ke arah mata ketam kayu yang sedang diasah. Sesekali, dari agak jauh, Makndak Faridah juga menyampuk sambil matanya tetap pada ikan yang sedang disiangnya. Mata saya pula, sesekali menjeling talam di atas lesung tumbuk tepung yang diterbalikkan itu.....

Dalam berbual dan belum pun sempat saya menumpang menghabiskan kopi seperti selalu, muncul dua orang anak muda sebaya saya, dalam pakaian ke bendang - masing-masing bertopi yang diletakkan di atas kepala yang sudah dililit kain basahan. Nampak keletihan, mereka duduk di atas tangga rumah ibu Pakndak Non sebentar sekadar mengangguk kepada saya, sebelum berjalan ke arah Makndak Faridah. Mereka berbual entah apa butirnya kerana amat perlahan untuk ditangkap oleh telinga saya.

Saya pernah bersama mereka menuruni bas dalam dua hari sebelumnya di tepi jalan utama Yan-Alor Setar. Hanya sempat saling tersenyum ketika itu. Tidak menyapa apa-apa walaupun hampir serentak berjalan masuk ke kampung. Kemudian saya tahu, salah seorang adalah adik Makndak Faridah manakala seorang lagi sepupu atau rakan sekampungnya. Merekalah yang menjadi salah satu pasangan yang ikut membanting padi di bendang Tokwan.....

Saya kembali fokus kepada talam di atas lesung tumbuk tepung yang diterbalikkan itu setelah bangku panjang yang diduduki bersama Pakndak Non didatangi seorang lagi penumpang- Tokwan, yang baru selesai mengasah mata ketam kayunya. Saya menuang kopi ke dalam tiga cawan, menghulur satu kepada Tokwan, satu kepada Pakndak Non yang mengisyaratkan tidak mahu, maka ke mulut sayalah bibir cawan itu singgah.... Dua kali hirup, saya saya cuba pula mencapai kuih di dalam piring. Tetapi tidak jadi. Ada suara kuat dari Makndak Faridah.

"Hang tau dia anak sapa?" katanya sambil mengangkat besen berisi ikan yang telah disiang. Tangan kirinya memegang pisau. Menghala ke pintu dapurnya. Ke arah kami.

"Awat?" tanya Pakndak Non. Kalau dia tidak bertanya begitu, tentulah soalan yang sama akan keluar dari mulut saya yang sedang terpempan, gagal mencapai kuih di dalam piring.

"Ni," Makndak Faridah menuding ke arah adik lelakinya yang masih dalam pakaian ke bendang. "Dia kata anak dara macam yang dok mengerat 'tu, takpa dah kat dia....."

Saya ternganga. Betapa terbukanya sebuah perbualan tentang calon isteri!

"Hang tau dia anak sapa?" sekali lagi Makndak Faridah bertanya adiknya yang sedikit tersipu. Pasangannya membanting padi terpinga-pinga. Saya pun tertanya-tanya: anak siapa yang dimaksudkan?

"Tu.... ayah dia!" kuat juga lontaran suara Makndak Faridah sambil menuding pula ke arah Tokwan. Saya terkejut. Kalau mengikutkan filem lakonan AR Tompel dan P Ramlee, pasti tersembur air kopi di mulut saya, ketika itu.
Pakndak Non tersengih. Tapi Tokwan buat tidak dengar dan tahu sahaja. Masih boleh menggoyangkan kaki sambil menikmati kopi....Tokwanku!

Akan adik ipar Pakndak Non tadi? Bersekali dengan pasangannya, bergerak menjauh, juah dan kemudiannya terlindung oleh rumah dapur......

Demikianlah.

Saya tidak ambil pusing sangat hal-hal orang tua-tua.

Tetapi takdirnya, satu hari saya berada di atas rumah Tokwan sedang hampir semua anak Tokwan duduk berkeliling berbincang. Yang tidak ada mungkin hanya Paktih, Paktam dan Chu.

Mereka yang ada pada hari itu - kecuali seorang - duduk di bahagian rumah tengah, di antara rumah dapur dan rumah ibu.

Saya bersandar pada bendul rumah ibu. [Kalau sepupu sepapat yang sempat, mungkin masih ingat pintu rumah ibu ke rumah tengah dibuat dari kayu tebal tetapi papannya seolah dimakan 'resdung' - mudah terkeluar daging kayunya yang berwarna kekuningan, walaupun hanya digores dengan duit syiling dan seumpamanya - sesuatu yang sering saya buat....]

Mereka yang ada pada hari itu - kecuali seorang - berbual tapi saya tidaklah mengikutinya sangat. Bukan hal saya. Lagi pula, saya lebih tertarik pada pintu rumah ibu ke rumah tengah yang saya catatkan di atas....

Tetapi bahagian saya ada juga rupanya. Entah Paklang atau Paknjang ada bertanya saya tentang adik ipar Pakndak Non. Saya beritahu hal sebenar: saya hanya tahu bahawa itu adalah adik Makndak Faridah dari - kalau tidak silap - Kg Tanjung Inggeris atau Alor Keladi atau Padang Tani, Langgar pun hanya ketika dia ikut membanting padi Tokwan tempoh hari. Selain dari itu, saya tidak tahu apa-apa....

Selepas itu, tiada soalan lagi untuk saya. Tidak juga saya peduli akan kesimpulan yang dibuat di hujung perbincangan tersebut. Bukan hal saya. Saya tetap tertarik pada pintu rumah ibu ke rumah tengah yang saya catatkan di atas.... Kerana di belakang pintu itu - hanya saya yang tahu dan nampak - Chik sedang berdiri mendengar perbualan keluarganya. Tersipu-sipu Chik apabila mata kami bertembung......

Demikianlah.

Saya tidak ambil pusing sangat hal-hal orang tua-tua....

Cuma, beberapa ketika kemudian, emak memberitahu bahawa Tokwan akan mengadakan kenduri perkahwinan Chik di rumahnya, berselang tidak lama dengan majlis kenduri perkahwinan Chu [Hjh Ommus Shapakoh] di rumah Wa Hj Md Isa/Wa Hajah Sarah Ariffin, berhampiran pekan Langgar, pada tahun 1982.

Pasangan Chik? Tentulah Pakcik!

Namanya Abdul Halim Abu Bakar. Adik Makndak Faridah. Usianya dua tahun lebih muda daripada Chik dan dua tahun lebih tua daripada saya.......

Demikianlah.


*********************************************

Pakcik Abdul Halim telah meninggal dunia pada 22 September 2012. Meninggalkan Chik bersama tiga anak dan seorang menantu. Dia hanya tahu bakal mendapat cucu tetapi ditakdirkan tidak sempat melihatnya.

Tokwan, Pakndak Non dan Makndak Faridah pula telah meninggal dunia lebih awal lagi.

Semoga roh semua yang saya catatkan di atas sentiasa dicucuri rahmat Allah. Diampunkan segala dosa dan diterima segala amal baik. Aamin.

*********************************************

Nota kaki:

Pada malam kematian Pakcik, saya amat terkenang dua peristiwa di atas. Saya bercerita hal itu kepada sepupu saya,Saleh dan adik iparnya, Amin, ketika kami bertiga tidur di bawah porch rumah Pakcik pada awal paginya. Bertanyalah Amin, bagaimana saya boleh berada pada dua lokasi itu?

Bagaimana saya mahu menjawabnya?

No comments:

Post a Comment