Adik saya, Ahmad Yadziz, baru boleh merangkak ketika itu.
Dia sedang membelek pelita minyak tanah yang baru emak nyalakan – terletak tidak
jauh dari tiang seri rumah. [ namanya memanglah pelita sebab rukunnya lengkap,
ada tempat isi minyak, ada sumbu, tudung yang diletakkan tiang bagi lubang sumbu.tetapi
sebenarnya ia diperbuat dari botol bekas minyak rambut yang pada tudung tinnya
diletakkan tempat tiub tayar basikal sebagai lubang sumbu yang diperbuat pula
dari pintalan carikan kain batik. Paling ‘mahal’ pun sumbu itu diperbuat dari
tali rami….]
Selepas pelita itu menyala, emak bergegas ke dapur sambil menyuruh
saya menemani adik. Yadziz tidak berbaju, samalah dengan abangnya ini. Saya
seronok melihat adik merangkak hingga berhampiran pelita sebelum menyuruhnya
membuat pusingan u…. merangkak lagi hingga tertampan ke dinding sebelah mentari
jatuh, buat lagi pusingan u….. begitulah seterusnya.. Lantai papan tanpa tikar
alas memang bersih dan licin – tiada selumbar. Maklumlah, sekurang-kurangnya sebulan sekali
emak [dan saya serta adik, bila mereka besar sedikit] akan menggosok keseluruhan
lantai itu - yang disimbah terlebih dahulu dengan air - menggunakan berus tembaga [bagi yang senior] atau bata merah [bagi sang novis (novice)] – acara main air yang tidak dapat digambarkan keseronokannya……
Entah bagaimana bentuk pusingan yang dilakukan semasa pergerakan
dalam merangkak itu, kakinya tersangkut pada pelita minyak tanah. Pelita
terbalik. Minyak di dalam botol terkeluar sedikit, segera disambar api
dari sumbu pelita, menghasilkan nyalaan pada papan lantai. Saya panik. Saya
heret adik jauh sedikit dari nyalaan itu sebelum mengangkat pelita yang telah
terpadam api di sumbunya. Nyalaan di atas papan lantai masih ada. Dalam panik rasa
seronok tetap ada melihat nyalaan yang agak lain dari biasa… Saya menunggu sehingga
lidah api menjilat semua minyak di atas papan lantai, tetapi nyalaan masih
berterusan pada kawasan sebesar ibu jari kaki Yadziz. Saya memberitahu emak yang segera menerpa dari dapur. Dipadamnya
nyalaan di atas lantai dengan beberapa kali hembusan sekuat hati. Ada bekas
hitam berlubang di papan lantai itu setelah asap dari nyalaan yang terpadam
melarut di dalam udara. Emak memerhati bekas itu. Agaknya memikirkan ‘cacatlah’
sudah lantai yang selama ini licin bersih digosoknya setiap bulan.
Kemudian emak membawa botol pelita tadi ke dapur. Senja mula
berlabuh. Terdengar ayah sedang berbual-bual di bawah rumah, entah dengan siapa
– mungkin dengan Tok atau Ndak atau Tokwan.
Saya mengajak Yadziz bermain seperti tadi. Dia pun merangkak
hingga terpampan ke dinding sebelah mentari jatuh sebelum mengikut arahan saya
supaya membuat pusingan u. Yadziz kelelahan. Sesekali dia berhenti merangkak,
sekadar meniarap bagi mengambil nafas. Kemudian kembali merangkak. Oleh kerana
tiada halangan pelita seperti tadi, saya menyuruh Yadziz membuat pusingan u
hanya setelah kepalanya bersentuh tiang seri rumah. Yadziz makin kelelahan.
Sebaik membuat pusingan , dia kembali meniarap. i. Tiba-tiba Yadziz meraung sekuat-kuat
kerongkongnya….. Saya panik lagi, tidak tahu apa puncanya. Emak menerpa pula.
Yadziz makin kuat menangis walaupun sudah berada di atas dokongan emak yang
menghembus-hembus bahagian perutnya. Rupa-rupanya ketika meniarap mengambil
nafas tadi, perutnya mendarat
betul-betul di atas bekas api terakhir yang emak padam itu….. Yadziz terus
meraung mengundang terpaan ayah, diikuti oleh Tokwan. Tok dan Ndak terdengar bertanya
sesama sendiri di bawah rumah, sebelum ikut naik ke rumah.
Emak berkata sesuatu kepada ayah sambil mulutnya terus
menghembus perut Yadziz. Yadziz tidak
pula kurang raungnya meski dibujuk ayah, Tokwan, Ndak dan Tok. Ayah mencapai pelita minyak yang baru emak nyalakan. Dibuka tudungnya sedang sumbu tetap menyala. Ayah tunggang sedikit, mengambil minyak tanah dari pelita itu. Dicuba sapu minyak itu pada perut Yadziz tetapi belum pun sampai tangannya ke destinasi, Tokwan menahan.
“Bubuh tongyu!” kata Tokwan. Agaknya baru teringat bagaimana meredakan kelepuhan pada kulit secara orang kampung.
“Tongyu takdak…..” balas ayah. Emak mengangguk longlai. Yadziz meraung terus di atas ribaan.
“Di rumah pun takdak tongyu…” kata Ndak.
“Lama dah aih tak beli tongyu…..”tambah Tok pula.
Tokwan terdiam, berfikir. “Hang pi minta rumah Chik sikit….!”
Kata Tokwan sebentar kemudian, menghalakan arahannya kepada ayah. Ayah bergegas
turun sedang Yadziz masih kencang raungnya.
{Chik yang dimasudkan oleh
Tokwan adalah Chik binti Haji Alias, jiran kampung bersebelahan kampung dan rumah
Tokwan. Tokngah Haji Yeh [panggilan untuk Haji Alias] dan isterinya , Hajah
Sara [kami panggil Tokngah Sara] adalah jiran Tokwan paling dekat, dan mungkin
rapat sejak dari zaman muda mereka kerana kampung dan bendang Tokwan serta kampung dan bendang Tokngah Hj Yeh ini,
sampai sekarang masih di atas geran tanah yang sama…… Maktih [panggilan anak-anak saudara dan anak jiran-jiran] Chik, anak mereka itu
berkahwin dengan Basir @ Basari @ Shaari, berumah bersebelahan rumah Tokwan, bersebelahan
tanah kampung yang dipisahkan oleh parit selebar lapan kaki. Kini kawasan rumah itu tinggal
tapaknya sahaja setelah rumah mereka terbakar dijilat api tiga empat tahun yang
lalu. Anak-anak pasangan Chik dan Shaari ini, kebanyakannya adalah kawan
sepermainan saya…..]
Tidak lama kemudian ayah muncul semula di atas rumah, diekori oleh Paktih Shaari dan Maktih Chik. Nampak
dari muka pintu lagi ayah berhati-hati berjalan. Di tangannya ada satu camca. Di
dalam camca itu ada tongyu. Tokwan menadah tangan kanannya, mengisyaratkan ayah
menuang tongyu ke situ. Tokwan lekapkan
tangan berisi tongyu itu ke tempat ada lecuhan pada perut Yadziz. Si empunya
perut itu masih meraung di atas ribaan emak, dengan dikelilingi Ndak dan Tok
yang tidak henti mengagah agar Yadziz sekurang-kurangnya menurunkan volume
raungannya, pada ketika senja yang semakin tua itu. Maktih Chik mengikut perlakuan mereka.
Tokwan terus mengusap perut Yadziz. Baki titisan tongyu pada camca di tangan ayah
dimintanya. Diusap juga pada perut Yadziz. Tidak lama kemudian barulah raungan
ditukar kepada esakan sebelum beberapa jam seterusnya – setelah selama itu pula
semua yang ada bersurai - ditukar lagi
kepada dengkuran…….
Ahmad Yadziz, anak ketiga kepada emak- ayah, lahir pada tahun 1966.
Hitunglah berapa lama sudah kejadian yang dicatatkan di atas, berlaku.
Sehingga kini, parut di perut Yadziz itu, rasanya masih ada.
Entahlah, kerana bukan penting sangat untuk saya memintanya menunjukkan selalu
akan parut itu. Lagi pula, dari segi pandangan sisi, perutnya yang dulu bukanlah yang sekarang, dulu sebesar kompang, sekarang semacam gendang……
Lantai yang masih berbekas/berlopak hitam itu pun masih dapat dilihat, sehinggalah dilakukan pengubahsuaian rumah pada awal tahun 1980-an. Papan lantai itu entah digunakan sebagai apa, kerana ketika itu masih elok, berkat gosokan berus tembaga atau bata merah dahulu.....
Akan tongyu itu?
Akan tongyu itu?
Tongyu!
Itulah panggilan seluruh warga kampung kami kepada KICAP!
Demikianlah taraf hidup keluarga kami pada era hujung 60-an. Kicap yang harganya tidak sampai seringgit semasa itu pun, mungkin masih berada di luar senarai barang keperluan harian. Masih di luar kemampuan. Tidak terjangkau kerana sedikit wang yang ada, digunakan untuk membeli barang yang lebih PERLU….. Sos tomato? Lagilah payah untuk berada di dalam rak atau di atas para di dapur. Kalau ada lebihan belanja, di antara kicap dan sos tomato atau sos cili, ayah lebih memilih sos kacang soya yang hitam legam itu..... Nantilah saya catatkan akan kisah tentang sos tomato pula - sesuatu yang tidak pernah menjengah rumah kami sekurang-kurangnya sehingga pertengahan dekad 70-an!
Lama juga masa yang saya perlukan untuk hanya mengakhiri entri ini. Sebak menyerbu qalbu. Hanya yang pernah merasa 'zaman' itu yang tahu nilai secamca tongyu..... Dan kebanyakan yang merasa itu pula telah lama pergi....
No comments:
Post a Comment