Sunday, September 29, 2013

Bertemu Mak Chaq


Betulkah saya boleh mengingat peristiwa semasa berusia 5-6 tahun?

Demikian tanya seorang pembaca setia blog ini - anak saya........

Jawabannya?

Betul.

Puas juga saya mencari bukti sendiri. Kalaupun ada kena dipadukan pula dengan seseorang yang lain yang ada pada waktu itu bagi membuktikannya. Itupun kalau hamba Allah yang saya rujuk itu tidak pula lupa. Maklumlah waktu usia saya 5-6 tahun itu telah berlalu empat setengah dekad yang lepas!

Satu hal lagi, mungkin seperti anda yang juga mengingati beberapa kejadian semasa berusia seperti itu, saya bukanlah mengingat semua perkara. Cuma dalam bab atau peristiwa tertentu yang melekat kuat di dalam memori.

Misalnya begini:

Akhir sekali, Tokwan berkahwin pula dengan janda tanpa anak dari kampung sendiri - Satariah binti Man. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada penghujung tahun 1960-an, namun meninggal sebaik dilahirkan.

Demikian yang saya catat di dalam entri Enam Isteri Tokwan. Saya hanya catatkan pada penghujung tahun 1960-an. Yakni tidak ingat tahun tetapi cukup ingat peristiwa itu.

Saya ingat bagaimana orang lelaki berkumpul ramai di laman rumah Tokwan. Beberapa orang perempuan berjalan kalut menaiki rumah Tokwan, berselisih pula dengan sederetan kaum perempuan lain yang mahu menuruni tangga. Saya sendiri berada di rumah ayah, berdiri di tepi tingkap melihatnya. Saya ditemani emak yang sedang menyusu adik kedua, Ahmad Yadziz, manakala adik pertama, Norhashimah entah di mana...

Saya tidak tahu apa-apa cuma rasa seronok melihat ramai orang begitu. Selalunya kalau demikian keadaannya, ertinya Tokwan mengadakan kenduri. Riuh juga di depan laman rumah kami. Namun saya tidak nampak tanda-tanda orang sedang memasak apa-apa. Yang ada hanya orang lelaki yang berbual sesama sendiri dengan sesekali memandang ke pintu rumah Tokwan. Tokwan sendiri berada di dalam kelompok jiran dan rakan-rakannya itu, menyambut huluran salam dari orang yang baru datang, menjadikan depan rumah kami semakin riuh...

Tiba-tiba saya nampak orang ramai berelak, membuat satu lorong menuju ke bawah rumah ayah. Saya nampak Toklong Samad [arwah Hj Ahmad Ismail] membawa peralatan bertukangnya di dalam satu 'beg' yang diperbuat dari kayu dan papan..... Laluan tadi kiranya dibuat untuk Toklong itulah. Melihat Toklong hilang di bawah rumah, saya pun mencari pintu untuk turun ke situ. Selalunya kalau Toklong datang dan melihat saya di sisinya, dia akan menyakat - dan saya suka sakatannya!

Tetapi hari itu lain. Toklong serius bekerja. Tidak pun dihirau meski saya berada dekat dengannya ketika dia mengetam papan. Dibantu oleh dua orang, mereka bertukang, sambil sesekali Toklong melayan cakap beberapa penonton kerjanya. Saya terasa tersisih........

[Toklong Samad adalah suami kepada Toklong Hjh Om, ibu saudara sepupu ayah - sebelah Tok Jah - kalau tidak silap. Toklong berdua ini cukup rapat dan mesra dengan saya - sama seperti dengan ayah, kerana kata mereka saya ini 'duplicate' arwah ayah....- sehinggalah mereka meninggal dunia. Toklong Samad [saya tidak tahu kenapa Hj Ahmad bertukar kepada Samad] meninggal ketika dalam perjalanan pulang dari bendangnya di kampung kami, pada 30 Oktober 1999, manakala Toklong Om meninggal di rumah salah seorang anaknya anaknya di Pahang pada bulan Jun 2006. Salah seorang anak Toklong ini adalah Makngah Habsah [Besah, seperti selalu dipanggil orang],  berkahwin dengan anak jiran Tokwan. Makngah Besah inilah yang sekarang secara sambilan membuat aiskrim Malaysia yang paling murah di negara ini - 10 sen satu. Cucu-cucu emak jarang terlupa untuk menikmati aiskrim ini - seorang 3-4 - batang setiap kali pulang bercuti.....]

Tidak lama kemudian siaplah kerja Toklong dan pembantunya - sebuah rumah papan kecil yang comel. Dibasuh, dilap dan dijemur sekejap oleh seseorang pada perdu kelapa di hadapan rumah.

Tidak berapa lama kemudian, rumah kecil lagi comel itu dibawa ke atas rumah Tokwan. Orang semakin ramai. Saya seronok, bergerak ke merata pelosok laman dan di bawah rumah Tokwan dan rumah ayah, tetapi tiada siapa pun mempedulikan. tiada juga makanan seperti kenduri-kenduri yang selalu Tokwan adakan......

Kemudian saya nampak rumah tadi dibawa turun oleh dua orang. Orang ramai berkerumun di hadapan tangga melimpah hingga ke seluruh laman. Saya tenggelam dan tidak dipedulikan. Saya tidak nampak apa-apa lagi selepas itu selain dari punggung dan pinggang orang ramai....yang secara beransur-ansur makin meninggalkan laman kami, menuju ke jalan luar. Rumah kecil tadi tidak kelihatan. Ketika dibawa menuruni tangga itulah kali terakhir saya melihatnya...

Lama sedikit barulah saya tahu bahawa di dalam rumah kecil itulah anak Tok yang meninggal dunia selepas dilahirkan, dibawa pergi ke kubur. Kalaulah saya dibawa melihatnya ketika dikafankan mungkin memori tentang wajah comelnya akan melekat hingga hari ini.....

Di dalam entri Bermula Dengan Wa Berakhir Dengan Chu saya mencatatkan
tiba-tiba saya teringat akan anak Tokwan bersama Tok Satariah [Tayah]. . Jika usianya panjang - tidak meninggal ketika dilahirkan pada tahun 1967 - maka anak cucu Pakya pastilah memanggilnya Mak Chaq atau Maklong....... 

Tahunnya 1967. 

Ertinya saya berusia enam tahun ketika itu. Saya tahu dengan tepat tahun itu kerana kebetulan saya bertemu anak Toklong Om di Simpang Empat, dua hari lalu. Namanya Nooraini. Saya bertanyakan tahun lahirnya. Dia terkejut, sebelum menjawab, "1967".

Sebenarnya, emak pernah bercerita, anak Tok dilahirkan sama tahunnya dengan kelahiran anak Toklong Om ini. Setiap kali melihat Nooraini,

yang kini berkahwin dan bermastautin di Kampung Kepala Parit, Tokai, saya terkenang anak Tokwan dan Tok itu. Kata Nooraini, Tok juga, setiap kali bertemunya, akan berkata, "Kalau anak Makngah [panggilan Nooraini kepada Tok] ada, dia sama besaq dengan hang la......"


1967. Enam tahun.....

"Awat?" tanya Nooraini yang sedang membimbing tangan anak bongsunya berusia sekitar empat tahun.

"Saja....." kata saya.

"Dulu pun hang pernah tanya lagu tu jugak!" kata Nooraini lagi.

"Dulu untuk pengetahuan peribadi. Sekarang untuk dimuatkan ke dalam blog..." balas saya. Di dalam hati....

Kami berbasa-basi seketika.

Setelah itu saya melihat Nooraini Hj Ahmad, anak Toklong Samad dan Toklong Om itu melintas jalan menuju ke pekan sehari di seberang sana, bersama anaknya.

Tentulah demikian sosok dan usia,  kalau ada hayat hingga kini anak Tokwan dan Tok, yang mungkin kami panggil Maklong atau Mak Chaq itu.....

Kebetulan, Nooraini tadi memang kami panggil Mak Chaq!

No comments:

Post a Comment