Paktih |
Zul Majdi |
Sudah banyak kali acara keluarga - terutamanya kenduri-kendara serta perjumpaan raya - Zul menggunakan kameranya. Mengelik pada sudut-sudut yang dirasanya sesuai. Sesetengah foto dimuatkan di laman fb, baik di grup keluarga mahupun di timeline sendiri. Seronok sepupu sepapat menggiatnya, seronok juga menyakatnya apabila foto-foto untuk acara tertentu lambat muncul di alam maya....
Tetapi sepupu kami yang pernah menggunakan nama samaran Datok Seri Aman Jaya itu tetap selamba dan tenang, juga tidak kisah dihentam atau diperli. Dengan gaya tersendiri dia terus mengusung kameranya serta terus mengelik....
Terbaru, Zul beraksi cemerlang pada majlis kenduri perkahwinan Ahmad Tarmizi di Jitra, pada hari Sabtu, 31 Ogos 2013, serta di Kampung Permatang Ibus, Kangkong, [juga pada hari Sabtu], 14 September 2013.
Empat dekad lalu......
Amat sukar untuk orang di kampung kami menemui sebuah kamera peribadi. Budak-budak sekolah rendah hanya mampu bergambar sekali setahun - pada sesi bersama rakan serta guru kelas pada hujung tahun.Itupun dengan menggunakan khidmat jurukamera yang didatangkan dari bandar. Bagi yang sudah cukup umur 12 tahun, dapatlah pula peluang muncul di dalam studio untuk diambil foto, digunakan untuk membuat kad pengenalan...
Maka tidak hairanlah jika saya muncul budak paling bertuah di kampung, apabila diberi peluang mengilik kamera sesekali ketika berjalan bersama tuannya, Paktih. Malah, kalau mengikut peringkat umur, mungkin saya insan pertama di seluruh mukim yang sudah tahu mengelik kamera bagi mengambil gambar yang melibatkan Paktih sebagai subjek tunggal atau subjek bersama!
Walau banyak foto dirakam, namun sayangnya, dengan peralihan masa serta pemahaman yang rendah terhadap kepentingan mempunyai arkib peribadi, tidak banyak lagi foto tersebut di dalam simpanan. Sebahagiannya, sama ada masuk ke usus anai-anai, atau dibiarkan lidah api menjilatnya atau tercicir dari album begitu sahaja...
Namun beberapa foto terus kekal di dalam memori. Bagaimana Chu dan Chik memperagakan pakaian kerja Paktam jenis overall yang dibawa dari Pusat Latihan Belia Dusun Tua. Dikenakan pula kacamata hitam. Betapa Ndak berbedak sakan ketika ingin bergambar seolahnya aroma bedak dapat dikesan di dalam foto... Bagaimana adik-adik teroleng-oleng menari ketika di depan kamera, seolahnya pergerakan demikian akan dapat dilihat di dalam foto. Betapa Tokwan terkesot-kesot cuba mengelak dari bersentuhan dengan Tok yang tersipu-sipu tatkala diminta bergambar bersama. Betapa saya dan sepupu, Saleh, beraksi dari bawah pokok pukul lima di depan rumah Tokwan, berpindah ke tepi jelapang padi Tokwan dan juga ke pinggir parit berdekatan jalan masuk ke kediaman kami.....
Satu hal yang saya juga ingat ialah betapa [serta entah kenapa] setiap kali kami bergambar penuh, Paktih akan meminta salah satu kaki kami dijulurkan ke depan. Maka terhasillah foto-foto yang hanya berlainan lokasi tetapi dengan kedudukan kaki yang hampir serupa....
Selain foto keluarga, Paktih juga merakam wajah-wajah beberapa jiran dan rakan sekampung. Saya tidak ingat berapa kos mencetak sekeping gambar [masih dalam dua warna - hitam dan putih], namun tentulah masih terlalu mahal untuk kebanyakan orang kampung yang harus memikirkan benda keperluan harian lain terlebih dahulu tatkala menguruskan belanja. Maka banyaklah foto mereka yang tersimpan terus di dalam sampul di laci almari di rumah Tokwan.
Sekali peristiwa, ada seorang dari kampung sebelah - Kampung Perlis - mahu gambarnya sekeluarga dirakam dan dia berjanji akan mengambil semua gambar tersebut apabila siap dicetak. Saya masih ingat bagaimana saya bertindak sebagai pembantu jurukamera merangkap pembantu produksi, dengan menggalas kamera tersebut ke sebuah kawasan dipenuhi pokok mengkula. Paktih cukup bersemangat berdasarkan caranya berjalan laju pada petang yang bening itu....
Di situ telah menunggu En. ****** Abdullah atau lebih dikenali sebagai ****** Keling, seorang lelaki India mualaf. Bersamanya, isteri serta tiga orang anak. Mereka tersengih menyambut kami, maklumlah bukan selalu ada orang mendapat slot khusus begitu untuk bergambar...
Maka beraksilah mereka sekeluarga dalam lebih setengah dozen posisi. Sebagai pembantu produksi, saya merasakan peranan saya cukup penting, memastikan tiada orang luar - kebanyakannya kanak-kanak sebaya saya - yang akan mengganggu proses penggambaran.... Memanglah ada yang berdiri terlalu hampir dengan keluarga yang ketuanya mirip pelakon filem Tamil itu. Tugas sayalah bagi memastikan mereka beredar jauh sedikit....
Besoknya, Paktih ke Alor Setar bagi proses mencuci filem. Dua tiga hari kemudian, siaplah gambar tersebut dibawa pulang ke rumah Tokwan. Malangnya, sehingga semua gambar itu hilang entah ke mana, tidak sekali pun En. ****** Keling bertanya khabar tentang hasil rakaman aksi keluarganya itu.... Sebuah cerita malang yang mungkin menyebabkan Paktih tidak lagi berminat untuk mengambil tempahan merakamkan foto orang lain....
Saya tidak ingat akan nasib kamera pertama Paktih itu. Tetapi saya cukup tahu Paktih amat sayang dan bangga memiliki sendiri sebuah kamera. Saya dan kaum kerabat yang hanya menumpang bergambar pun menumpang juga gembira dan bangga, apatah lagi pada Paktih, si empunyanya!
Jenama kamera itu?
HALINA.
Nota:
* Bagi pembaca yang tidak mengenali keluarga kami, Paktih - Abdul Hamid Hj Zakaria - adalah ayah kepada Zul Majdi yang saya catatkan sedikit di permulaan entri ini....
** Kamera yang dibeli Paktih mungkin model Halina Paulette seperti gambar di atas, kerana model tersebut dihasilkan di antara tahun 1967 - 1974, berdasarkan catatan dari laman Youtube yang sempat saya jengah. Kalaupun berbeza dengan yang digambarkan ini,mungkin ketiadaan 'electric' tapi masih dalam suku-sakatnya....
No comments:
Post a Comment