Friday, July 5, 2013

Pek Nga Dekat Pizza Hut



Satu awal pagi Jumaat, saya bersenam dengan berjalan-jalan meninjau orang berjualan di sekitar Pasar Kampung Berjaya, Alor Setar. Tempat ini, pada hari begini, memang terkenal di Alor Setar seperti Rope Walk, Pulau Pinang. Pelbagai barangan lama dan terpakai dipamer untuk jualan.

Setelah otot mata pun turut kepenatan bersenam, sambil membimbit sedozen majalah Readers Digest lama, saya beransur untuk pulang. Dalam pergerakan laluan pulang yang perlahan, di satu gerai makanan saya terpandang perkataan Pek Nga.


Tertarik, saya menghampiri puan yang berniaga itu. "Ya, bang. Makan ka bungkus? Cicah gula ka....?" Belum sempat saya mendengar dia menghabiskan ayat tanyanya, saya menjawab, "Gula! Makan!"


Pek nga. Tidak pasti sama ada ejaan di gerai itu tepat atau tidak. Sepatah atau dua patah perkataan. Yang saya tahu sejak asal, pek ngaadalah kependekan perkataan 'tempek dalam belanga'. Ramuannya mudah dan murah. Anda boleh meminta tolong Google untuk mendapatkannya!


Emak selalu menyediakan pek nga kerana ayah amat menggemarinya. Apa lagi jika ada gulai kering (gulai sehari dahulu atau sebelumnya yang dipanaskan semula). Sambil berbual, ayah akan mengunyah pek nga yang dicicah dengan gulai atau paling tidak dengan gula. Biasanya emak akan membuat banyak keping untuk kami sekeluarga.sebab setiap orang tidak akan berhenti mengunyah selepas kepingan pertama...................


Siap!


Seorang anak sekolah rendah menghantar pinggan berisi sekeping pek nga ke meja saya. Aroma kelapa dalam kepanasan tepung pek nga menerjah deria bau saya... dan jiran semeja. Selesai doa makan yang pendek itu, saya mengoyak hujung pek nga, membenamkan ke tompokan gula yang diletakkan di tengah-tengah pek nga, lalu menolak masuk ke mulut.


Tiga empat kali kunyah, saya berhenti, mencari sesuatu yang telah saya tinggalkan hampir suku abad - rasa pek nga emak. Walaupun, pek nga pagi ini telah dikomersialkan - kelapa dalam adunan tidak sebanyak emak gunakan - rasanya tidak jauh berbeza. Cuma lain kali saya akan minta lebih digaringkan....


Begitulah. Pagi ini bermodalkan seringgit setengah, saya dibawa ke era di mana ayam goreng Amerika masih terlalu jauh dari kotak fikir kanak-kanak. Sehingga cebisan terakhir, saya seolah nampak ayah mengunyah pek nga sambil menghirup kopi o panas. Emak pula memasukkan kepingan tambahan yang baru diangkat dari belanga ke pinggan ayah. Asap nipis menerawang.........


Bertentangan dengan gerai itu, sedikit ke kanan, di hujung bangunan, saya nampak premis KFC dan Pizza Hut mula disimbah terik matahari pagi...........

No comments:

Post a Comment