Wednesday, August 14, 2013

Toni, Tentang Sebuah Nama

Keluarga Husni anak Paktih Husin


Saya tidak pernah menjejak tadika atau tabika atau seumpamanya. Memang tiada pun ‘benda’itu di sekitar mukim pada masa itu. Saya hanya tahu membaca setelah berada di dalam darjah satu. Ertinya ceritera ini pastilah sekitar hujung tahun 1969 – sebab adik ketiga [Salmiza] masih kecil dalam dukungan emak.

Satu pagi Sabtu, emak membangunkan saya lebih awal dari selalu. Menyuruh saya mandi dan berpakaian terbaik yang saya ada dan ayah mampu. Kebiasaannya, suruhan pada hari cuti sedemikian bererti saya akan dibawa mengikut rombongan anjuran orang kampung -  biasanya juga ke Tanjung. Tetapi tidak pula saya mendengar tentangnya dari kawan-kawan atau dari sok-sek orang dewasa sepanjang minggu, juga seperti selalunya…

Di dapur, ayah sedang menghadap sarapan. Ayah juga berpakaian terbaru dan terelok yang dia mampu… Sahlah saya akan pergi bersama ayah pada pagi itu, kerana hanya kami berdua yang ‘bersiap’. Emak  hanya berpakaian biasa-biasa, apalagi tiga adik yang baru bangun tidur.Tapi ke mana?

Selepas sarapan, sedang saya mengenakan stokin dengan diperhatikan emak di anak tangga rumah paling bawah, saya nampak ayah ke rumah Tokwan. Sekejap sahaja dia naik ke situ sebelum turun semula dan berkata sesuatu kepada emak yang sedang mendukung adik ketiga saya.

‘Duduk elok-elok. Jangan buas….’pesan emak kepada saya yang sudah selesai memakai kasut.

‘Jom!’  kata ayah kepada saya sambil bergerak ke arah jalan masuk ke rumah kami. Saya menjeling basikal tua ayah yang tersandar di bawah rumah. Seperti basikal itu, saya turut kehairanan kerana kali ini ayah tidak akan berbasikal, sebaliknya hanya berjalan kaki. Tapi ke mana?

Mungkin ada bas rombongan menanti di jalan besar [Jalan Batas Paip], fikir saya.  Saya tidak bertanya apa-apa. Sekadar mengikut  atau mendahului pergerakan ayah menghala ke jalan besar. Tidak ada bas pun yang saya nampak dari kejauhan hinggalah kami sudah sampai ke jalan yang baru berturap itu.

Lama di situ hingga ayah sempat berbual panjang dengan beberapa jiran sekampung yang mahu ke sawah atau berbasikal ke Alor Pulai atau ke Sungai Nonang. Akhirnya datang bas RIDA dari arah Tebengau. Bas itu berhenti di depan kami. Ayah mengheret saya naik. Tidak ramai penumpang, malah konduktornya boleh duduk bersembang dengan ayah sebaik memberikan tiket setelah ayah menyebut satu perkataan yang saya tidak dengar. [Lama kemudian saya tahu nama konduktor itu adalah Elyas, orang Batu Empat, berhampiran rumah Ndak sekarang]

Sambil ayah berbual, saya membuat urusan sendiri. Sekejap memandang ke luar tingkap. Sekejap membelek dua tiket bas yang ayah berikan kepada saya. Dua warna dengan dua pasang angka besar yang berbeza. Saya baca semua yang tertulis di dua tiket itu, depan belakang. Ayatnya sama. Saya membelek dua tebukan pada angka berlainan di tiket tetapi tidak memahami maksudnya… Kemudian saya meninjau keadaan bas. Saya tertarik pada loceng bas yang terletak di atas sedikit dari tingkap, pada bahagian bawah bumbung.

‘Pus….. on…se…’saya menyebut dua tiga kali perkataan yang tertulis  melengkongi setiap punat loceng bas itu. Tidak tahulah apa maknanya tapi rasanya betullah sebutan saya untuk perkataan ‘PUSH ONCE’ itu.

Di pagar yang memisahkan pemandu dengan penumpang, ada sekeping kad plastik hitam bertulisan putih. Ada tulisan rumi, jawi, tamil dan cina. Saya tidak faham tulisan jawi, apalagi tulisan tamil yang mengerekot serta tulisan cina yang bergaris-garis. Maka berkali-kalilah saya membaca yang ruminya, dua baris, kuat-kuat, malah ada ketikanya sambil berdiri!

‘Di-tegah meludah’

‘Do not spit’

Perulangan sebutan dua baris itu akhirnya membentuk satu lagu ciptaan sendiri….. Ayah menyuruh  saya duduk diam setelah melihat beberapa penumpang tersenyum, agaknya tertarik dengan suara dan lagu saya…….

Kerana tidak tahu apa lagi yang mahu dibuat, saya terlelap……

Ayah mengejutkan saya untuk turun dari bas yang sedang berhenti. Saya terpinga-pinga. Sebaik bas berwarna coklat itu bergerak meninggalkan kami, ayah memimpin saya melintasi jalan besar. Kemudian kami menyusuri jalan kecil yang selari dengan sebatang sungai sempit.

Lama juga kami berjalan. Dua tiga kali berhenti setelah ayah melihat saya kepenatan atau tertarik pada objek  di dalam sungai yang bergerak perlahan mengikut arus….

Akhirnya kami sampai ke depan rumah kayu yang agak besar.

Di tangga depan,  ayah memberi salam. Muncul seorang wanita tua yang saya kenal wajahnya, yang selepas merenung saya, terus menjemput kami naik ke rumah…..

Ooo … inilah rumah Toktam Yah, kakak Tokwan.

Saya bertuah sebab sempat mengenali dan masih mengingat wajah Toktam Yah [Arbaayah], bersama seorang lagi kakak Tokwan – Toktih Ah [Che Ah].  Selain itu saya juga sempat kenal dan tahu serta biasa dengan dua adik Tokwan, iaitu Toksu Nab [Zainab] dan Toklong Li [Hambali].

Tokwan ada sepuluh beradik. Mengikut aturan panggilan orang Melayu, satu pusingan ada Sembilan orang – Long[ atau Wa], Ngah, Lang, Njang, Ndak, Tih, Tam, Chik dan Chu. Maka kerana ada yang kesepuluh, diulang semula dari Long. Sebab itulah adik Tokwan, anak kesepuluh, dipanggil Long [ dipanggil Paklong oleh anak saudara atau Toklong oleh cucu saudara…]. Ini menjawab kekeliruan Tokwan berpangkat Pakcik manakala adiknya, Hambali, dipanggil Paklong Li oleh anak-anak saudara.

Berbalik kepada ceritera tadi.

Tiada orang lain di rumah Toktam pada hari itu. Tinggal dia seorang sedang berehat di atas kerusi kayu di  ruang rumah ibu.

Saya tidak ingat atau sememangnya tidak tahu langsung apa tujuan ayah berjumpa Toktam. Malah saya tidak peduli pun akan butir perbualan mereka. Kalaupun ada yang saya tumpu sedikit tatkala Toktam bertanya satu dua soalan kepada saya serta ketika Toktam datang dari ruang dapurnya bersama setekoh kopi dan sepiring biskut….

Selebihnya, saya hanya duduk bersandar di kerusi kayu, di sebelah ayah, sambil mata melilau mencari entah apa di sekitar ruang rumah Toktam. Saya ingat pesan emak supaya duduk elok-elok….

Dalam mata melilau begitu, saya nampak sebuah buku di bawah almari pakaian berhampiran pintu menghala ke dapur. Saya bangun – elok-elok – lalu mencapai buku itu. Kembali bersandar di sisi ayah yang sedang berbual dengan Toktam, saya membelek kulit buku tersebut. Saya tidak ingat tajuknya tetapi tetap tidak lupa pada ilustrasi di kulit buku bersaiz buku folio itu – gambaran seorang lelaki meniup seruling dengan ratusan ekor tikus mengekorinya. Saya membaca cerita di dalamnya, dengan beberapa kali terhenti untuk mengeja perkataan yang mempunyai lebih dari tiga sukukata, sehingga tamat. Saya benar-benar tenggelam di dalam cerita itu – membayangkan betapa banyaknya tikus pada satu tempat dengan pelbagai usaha dibuat oleh penduduk setempat untuk menghapuskan binatang berbahaya dan pengotor itu, namun gagal. Sehinggalah muncul seorang peniup seruling yang boleh memukau dengan tiupannya, lalu meniup  serulingnya yang menarik perhatian seluruh warga tikus untuk berkumpul. Dia pun mengambil kesempatan,  terus meniup seruling sambil berjalan ke  arah sungai/laut dengan diikuti berduyun-duyun oleh semua tikus yang sudah terpana itu, sehinggalah ke tengah sungai/laut, dan akhirnya semua tikus kelemasan…..

Saya terus tenggelam sehinggalah diselamatkan oleh ayah yang mengejutkan saya untuk makan tengah hari di dapur rumah Toktam……

Lima tahun kemudian, semasa di darjah enam, menjaga perpustakaan kelas yang dibuat bentuknya seperti bekas yang dibawa oleh penjual manik Koran, saya terjumpa versi Inggeris cerita tadi. Barulah saya tahu, cerita yang say abaca di rumah Toktam itu adalah terjemahan kisah dongeng The Pied Piper of Hamelin…

Sunyi sungguh rumah Toktam ketika saya melangkah ke ruang dapurnya. Dan tengah hari itu, kami bertiga menghadap hidangan serba ringkas yang Toktam sediakan.

Sehingga menjelang waktu balik, tiada sesiapa anak atau cucu Toktam yang muncul untuk kami temui. Kata Toktam kepada ayah, Paktih Husin – anaknya –  mungkin pergi ke satu tempat,  yang saya tidak ingat dan tidak tahu. Paktih Husin membawa anaknya bersama. Bab ini saya ingat sebab saya tertawa kuat apbila mendengar nama cucu Toktam itu. Ada rasa lucu yang tidak boleh saya simpan apabila Toktam menyebut ‘Toni’sebagai cucunya. Sehingga umur begitu, yang saya tahu, dengan melihat iklan di majalah yang Paktih saya [Abdul Hamid Zakaria] selalu bawa balik, ada jam berjenama Titoni. Saya tertawa kerana ada orang yang bernama macam nama jam……

Sejak itu, Toni menjadi misteri bagi saya. Tidak pernah sekali pun saya berjumpa dengannya, walaupun selepas itu banyak kali juga saya dibawa ke rumah Toktam. Cuma apabila melihat iklan jam Titoni, saya teringat nama cucu Toktam, anak Paktih Husin. Paktih  saya pula, kalau tidak silap pernah memakai jam jenama tersebut.

Beberapa tahun lalu, arwah Paktih Husin pernah ke rumah emak bersama anak menantunya tetapi tidak pula saya teringat tentang Toni……

Raya tahun ini, anak Paktih Husin bernama Husni bertandang ke rumah Paktih saya di Gurun. Paktih memuatkan foto tetamunya dari Negeri Sembilan itu di laman fb grup keluarga.

Saya teringat nama Toni, dan bertanya sama ada Husni dan Toni adalah orang yang sama.

Cucu Toktih Che Ah, Sania, anak Paktih Fadzin mengesahkan dengan menulis:  Yes..org yg sama tu..


Demikianlah.

No comments:

Post a Comment