Thursday, January 9, 2014

Apa Yang Tokwan Rasa Dahulu...



Setiap kali mahu menulis, ada-ada sahaja pertengkaran di satu ruang. Puas disaring, puas diterangkan kenapa sesuatu itu akan menjadi satu entri baru…

 Ada kalanya sampai saya harus tinggalkan skrin dan keluar ke mana-mana kerana pertengkaran amat panjang… Ini ada satu contoh. Terbaru. Mujurlah pendek sahaja.

KANAN: Lagu  ‘tu pun hang nak cerita?

KIRI: Awatnya?

KANAN: Orang lain ada lebih dari yang hang ada, depa tak cerita pun…

KIRI: Depa takdak akaun…

KANAN: Orang lain ada lebih jauh jarak dari yang hang ada, depa tak cerita pun…

KIRI: Sebab depa takdak akaun... Atau kalau ada akaun, depa takmau cerita. Atau depa nak cerita, tapi takdak masa atau tak tau ‘nak mula…

KANAN: Benda biasa macam ‘tu pun ‘nak cerita ka?

KIRI: Benda biasa? Orang lain cerita bab nasi hangit atau kopi tumpah, takdak sapa kata apa pun… Berdiri depan kedai bihun sup, biasala. Tapi ambil foto, depa masukkan dalam fb,  takdak sapa kata apa pun… Berdiri depan pintu Hard Rock CafĂ© di mana-mana bandar , biasala. Bukan semestinya masuk, apa lagi telan pun kopi atau … tapi depa muatkan foto dalam fb, tanda depa pernah sampai situ… takdak sapa kata apa pun.. pakat like adala…. Ada orang tulis dia ‘ada di bus stand SP’. Itu saja. Tak ada foto tak ada sepotong penjelasan.Tu pun ada makhluk klik like… Takdak sapa kata apa pun… Ada orang pening tengah pilih baju anak sekolah. Pilih baju anak sekolah? Biasala. Tapi peningnya tu dia naikkan dalam fb. Berpuluh juga like yang dia dapat. Takdak sapa kata apa pun…

KANAN: Yala…Dahla… Ikutla… Tulisla..

Akhirnya, setelah sampai peringkat tersebut, barulah saya boleh tulis dengan tenang cerita biasa ini!

***********************

Dalam satu entri awal dahulu, saya pernah berkisah betapa Tokwan akan menghilangkan diri pada hari Paktam atau Paktih bakal berangkat meninggalkan kampung setelah tamat tempoh bercuti. Tokwan seperti tidak mahu menghadapi hari itu. Lama sebelum Paktih atau Paktam berangkat, Tokwan akan menyelinap keluar rumah. Kalau mahu bersalaman dengannya, agaknya sesudah solat subuh paling tepat waktunya. Kalau tergelincir sedikit waktu, mungkin Paktam dan Paktih tidak akan dapat bersalam dengan Tokwan…
Blok SMA AlFalah: Tempat Tokwan 'bersembunyi'
Tokwan akan bersembunyi di dalam bangunan melintang Sekolah Menengah Agama AlFalah – yang berhampiran jalan mini dari rumah Tokwan ke jalan utama [Jalan Yan-Batas Paip]. Dari tingkap cermin sebelah arah mentari naik, Tokwan boleh melihat pergerakan anakcucu di kampungnya. Tidak ada pokok atau seumpamanya yang melindung pandangan. Biasanya kami kan menghantar Paktam atau Paktih secara beramai-ramai. Seorang dua akan mengusung beg – kalau terlalu besar atau berat beg  untuk dijinjing, pelantar basikal tua ayah akan ikut menjadi sukarelawannya – manakala selebihnya bertindak sebagai pengiring. Kami akan bergerak dengan ceria. Berhampiran tempat Tokwan bersembunyi, hampir semua akan nampak kelibat atau bayang Tokwan – yang akan beredar pula ke tingkap arah mentari jatuh, mengikuti pergerakan rombongan penghantar  dengan matanya yang mungkin berkaca… Tetapi seperti satu peraturan tidak tertulis, tiada siapa pun akan memanggil Tokwan. Paling-paling yang tua akan berbisik-bisik, manakala yang muda dan tak tau apa-apa akan bergerak seperti biasa. Sayang sekali tiada kajian dibuat baik di pihak Paktih/Paktam mahu pun pihak Tokwan, bagaimana perasaan masing-masing ketika berada di dalam situasi tersebut. Paktih/Paktam berada di atas jalan manakala Tokwan berada di dalam bangunan berdekatannya. Tanpa komunikasi. [Kalau tidak salah, pernah sekali Paktih melanggar kelaziman, dengan masuk berjumpa Tokwan di dalam bangunan itu. Entah bagaimana adegan itu berlangsung…] 

Pernah sekali [lama kemudian, ketika berbual santai],saya bertanyakan hal itu pada Tokwan sendiri tapi hingga ke sudah, tiada jawapan. Tokwan hanya duduk bersilang kaki sambil menggoyang-goyangkannya dengan mata difokus ke arah lain – mungkin ke Sabah!Pernah juga saya tanyakan kepada emak. Tetapi emak sekadar berkata “nanti tau la…”.

[Dengan anak-anak Tokwan yang lain, tidaklah saya perasan atau ingat, adakah hal yang sama berlaku. Lagi pula tiada anak lain yang tinggal terlalu jauh atau terlalu lama baru akan pulang. Wa hanya tinggal di Langgar, setiap minggu pulang kerana bendangnya bersebelahan bendang Tokwan. Paklang hanya tinggal di Alor Penyengat, beberapa batu dari Simpang Kuala yang beberapa batu sahaja dari Simpang Empat dan beberapa batu pula Simpang Empat dari Permatang Ibus. Kayuh basikal pun boleh sampai dua tiga kali tanpa sempat  menunggu malam. Paknjang pula, walaupun tinggal di Jalan Bukit Selambau, Jeniang, kerap juga datang. Lagi pula, ada rumahkedua dan tanah Tokwan di situ. Ayah? Mungkin tiga empat ratus kali dilihat Tokwan, setiap hari. Jarak antara tiang rumah Tokwan dengan tiang rumah ayah hanya sekitar susunan dua dozen pinggan – tak kiralah yang dicuci menggunakan Glo atau Jif… Lagaan pinggan di rumah Tokwan boleh didengar di rumah ayah. Ndak dan Chik? Mereka berdua memang tingggal bersama Tokwan – belum ada samatua masing-masing. Merekalah merupakan sebahagian tenaga pengiring Paktih/Paktam ke jalan utama tersebut… Chu? Yang ini saya minta maaf. Tidak dapat saya nyatakan berapa kali Tokwan melihat Chu dalam setahun. Ketika itu Chu bersekolah dan tinggal bersama Wa di Kampung Alor Gandak, Langgar]

***********************

Baru tahun lalu, saya faham apa yang Tokwan alami. Tidak tahulah apa nama saintifiknya perasaan ini.

Baru saya terkenang kalimah “nanti tau la…” dari emak.


Ainin Sofiya Salahuddin
Ayang
Awal tahun lalu, anak sulung dari isteri bongsu akan memasuki sekolah menengah, tinggal di asrama.  Saya seronok dan bersyukur. Sekolah anak ditakdirkan sama dengan sekolah ayahnya dahulu. Tetapi apabila datang hari mendaftar ke asrama, saya tidak tahu entah rasa jadah apa datang ke hati. Anak perempuan yang baru berusia 12 tahun lebih  akan meninggalkan saya dan rumah kami… Ayang, anak yang belum sampai empat bulan ada kad pengenalan, akan pergi dan pulang hanya jika ada cuti. Anak yang paling mahir pun hanyalah membuat nasi rendang dan merebus mi segera akan ‘jauh’ dari umi dan ayahnya. Anak yang  baru dua tahun lalu menangis ketika pertamakali  terpaksa belajar menggunakan i-pad [panggilan terkini saya untuk  yang dulunya – semasa membeli barang runcit untuk budak asrama di Sekolah AlFalah - saya panggil roti ] akan mengharungi hidup sendiri… [ Bagi yang tak tahu  i-pad atau roti  yang saya maksudkan itu berjenama Stayfree, Tampax, Sofy, Libresse, …… Kalau tak tahu juga, tak tahulah pula saya apa jenamanya orang yang tak tahu itu! Pernah tengok Adibah Noor berlakon bersama dua biji tembikai, sehinggakan ada kawan saya sehingga hari ini tidak lagi mahu menyentuh hirisan buah tembikai? Tak tahu juga? Entahlah]

Bukan tidak pernah ada perpisahan dengan anak. Lima tahun lalu, anak tunggal dari isteri sulung pun tinggal di asrama. Tetapi tiada serangan rasa yang aneh. Bukan kerana dia lelaki, tetapi kerana asramanya saya jengah hampir setiap hari. Apa yang istimewa yang  saya makan di rumah, - jika ada - tidak mustahil dapat dimakannya juga pada masa yang hampir sama. Asramanya hanya terletak lebih kurang 100 meter dari jalan masuk ke kawasan kejiranan saya! Hampir setiap petang saya boleh ditemui di tepi pagar asrama berkenaan…

Tapi perpisahan dengan anak perempuan sulung ini lain rasanya. Berbagai-bagai muncul di benak yang kalau diikutkan akan menyebabkan anak yang bersemangat itu akan hanya duduk di rumah dan bersekolah di tepi rumah!

Akhirnya, saya lepaskan dia pergi. Pergi dengan ditemani uminya. Ada kawan yang kata saya lelaki, seperti lazimnya, tidak begitu mengambil berat tentang anak. Tetapi dia apa tahu tentang perasaan keayahan saya ketika itu kerana yang berkata begitu anak sulung pun masih di kelas pra-sekolah. Jangan-jangan semasa anaknya ditakdirkan ke asrama enam tujuh tahun lagi, puas pak guard sekolah dan asrama menenangkannya di luar pagar!

Pengalaman tidak pernah berbohong.

Semasa isteri sulung meninggal pada tahun 1995, seorang ahli keluarganya menasihatkan saya agar bersabar dan terima ketentuan Allah. Ingatkan Allah. Redakan pemergian isteri.

Hingga ke malam ketujuh majlis tahlil, dia tidak jemu memberi nasihat yang sama, ditokoktambah  mana yang sesuai. Setiap kali nampak saya balik dari menziarahi kubur, dia akan menghampiri dan memberi juga nasihat agar menerima tulisan nasib. Membela anak dengan baik. Jangan bersedih atau meratap dan berhiba sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan… Setiap yang hidup pasti akan mati, katanya di hujung setiap nasihat.

Selang dua tahun kemudian, takdirnya ahli keluarga yang menasihatkan saya itu, kematian suami. Saya masih ingat sangat sebab menjadi salah seorang pembaca Yaa Siin pada malam di mana keadaan suaminya amat kritikal itu. Sebaik diberitahu oleh Tok Imam bahawa suaminya telah ‘tiada’, mulanya dia meraung, selepas itu menghantuk kepalanya pada tiang besi bersaiz lengan yang menjadi tiang pengganti di tengah rumah, tidak jauh dari hamparan tikar dan tilam tempat suaminya terkaku. Puas disabarkan oleh kerabat sejenisnya.  “Kenapa tak bawa aku sekali”katanya dalam ratap itu. Dia hanya diam setelah adik lelakinya menjerkah sekali dalam bahasa yang saya tidak faham – bahasa Siam!

Kalau mengikut skrip, tidak salah kalau saya nasihatkannya agar bersabar dan menerima ketentuan Allah. Ingatkan Allah. Redakan pemergian suami. Setiap yang hidup pasti akan mati…

Tetapi malam itu saya tidak mahu mengulang skrip klise begitu. Saya mengurut belakangnya dua tiga kali, sebelum menyertai tiga empat orang lagi membacakan seorang satu juzuk AlQuran.

Demikianlah. Apa-apapun, memang mudah untuk sekadar berteori…

Adi Hadi
Abang
Selepas Raya Puasa tahun lalu, anak lelaki tunggal tadi - Abang - akan melaporkan diri di Pusat Latihan Khidmat Negara [PLKN}. Bukannya jauh. Hanya di Merbok, Kedah. Bukannya lama. Hanya sekitar tiga bulan. Ada cuti untuk Raya Haji. Boleh diziarahi pada hujung minggu. Boleh dihubungi pada hujung minggu itu dengan telefon.

Tetapi semasa dia akan berangkat ke tempat pelepasan berpusat, hanya Allah yang tahu rasa hati. Kalau tidak memikirkan apa nanti rasa dan kata hatinya pula melihat rakan-rakan lain ditemani ayah masing-masing hingga ke tangga bas, mahu saya menyerahkan tugas menghantar itu kepada uminya sahaja. Akhirnya saya pergi bersama untuk kemudiannya sebak melihat dia melambai dari dalam bas.

Banyak yang menerpa ke hati. Antara yang utama: keseorangan anak itu dengan rakan baru dan persekitaran  serta pengalaman pun baru. Bukan tidak tahu apa kandungan kerjabuat selama di situ. Bukan tidak ada anak rakan atau saudara yang pernah ke tempat begitu. Tetapi sebetulnya, kesayuan hati muncul sendiri dengan perpisahan itu. “nanti tau la..” kata emak dulu, telah tiba untuk saya…

Terbaru, awal tahun ini, anak kedua dari isteri bongsu, Atih, akan ikut mendaftar di asrama yang sama dengan kakaknya dahulu.  Akan hilang satu lagi periuh rumah kami.  Hilang seorang yang boleh diharap sebagai peneman uminya hingga ke jauh malam menyiapkan tempahan jahitan atau ikut sama menanda kertas jawaban ujian atau peperiksaan murid KAFA uminya. Hilang seorang yang sering diminta memutar butang ‘putar’ dan ‘perah’pada mesin basuh, dan terus menyidai di ampaian… Malah, secara peribadi, saya kehilangan satu suara yang bertanya ‘ ayah nak air oren dak?’ setiap kali saya menghadap komputer seperti sekarang ini.

Hanya Allah dan saya yang tahu kenapa tidak ikut menghantarnya pada petang Sabtu terawal tahun ini. Kawan saya yang anak sulungnya baru lepas pra sekolah dan tahun ini masuk ke darjah satu itu? Apa dia tahu? Waktu rehat sekolah pun , dia terpacak di tepi pagar berdekatan kantin, agaknya menghitung berapa kali suapan harus dibuat anaknya untuk sepinggan nasi lemak berlaukkan ayam goreng sebesar ibu jari…

Dua hari awal persekolahan, sebelum sah ke asrama, saya bersama anak itu mendaftar di sekolah menengah berhampiran kawasan kediaman. Anak bercerita, di dalam dewan untuk semua pelajar tingkatan satu berkumpul, dia telah mendapat beberapa kawan baru. Salah seorangnya berbangsa Tionghua. Mula rapat malah berbual pun sambil saling memegang tangan. Si anak sendiri merasa seronok di situ malah berbelah bahagi rasa untuk bertukar ke sekolah. Tetapi akhirnya dia mahu ke asrama bersama kakaknya. Entah bagaimana rasa hatinya, tetapi saya sendiri semalaman menggelisah membayangkan persahabatan dengan anak Tionghua yang baru berputik itu menjadi layu tiba-tiba. Ada kesayuan yang tidak tahu dicatatkan, serta tidak tahu juga kenapa saya catatkan pula perenggan ini…

Saya tidak tabah melihat anak saya akan berlalu pergi. Saya lindungi mata yang basah ketika bersalam dan memeluknya dengan sengaja memanjangkan doa pada bantal busa getah yang akan dibawanya. Selain selawat dan doa selamat, saya sertakan doa yang emak pesan agar sering diamalkan dari Surah al Ahqaf ayat 15 itu. Doa yang patut diamalkan oleh orang yang melepasi usia 40 tahun – usia yang lebih sedekad telah saya tinggalkan…

Anak itu berlalu dengan lambaian yang dibatasi cermin tingkap kereta. Bukan lama pun, dalam dua minggu  lagi kami akan berjumpa semula. Tetapi desah hati tetap ada.

Saya kagumi kekuatan hati samatua saya – umi mereka. Selamba sahaja dia keluar dari rumah tadinya. Masih nyaring bertanya kalau-kalau ada apa yang tertinggal. Senyaring melaung menyuruh anak itu memutar  atau memerah pakaian di dalam mesin basuh, menyuruhnya menyidai di ampaian atau memanggilnya menemani di bilik belakang bagi menyiapkan tempahan jahitan… Kalaulah saya setabah dia!

Maka daripada berladung air mata melihat anak melambai dari balik pagar asrama, baiklah saya keseorangan di rumah. Mengimbau masa kecilnya, masa awal sekolahnya, minat dan kecenderongannya, masa dia menghadap komputer, serta masa mula seperti kakaknya menggunakan i-pad

Paling peribadi, tentulah masa dia menjengah saya di dalam bilik menghadap skrin komputer, lalu bertanya, “ ayah nak air oren dak?” Kalau saya mengangguk, hanya seminit dua kemudian dia akan muncul semula bersama gelas oren yang manis…

Menjelang Maghrib, samatua dan anak bongsu yang ikut menghantar kakaknya, pulang. “Atih ‘teriak’..” beritahu samatua. Saya hanya diam. ‘Teriak’ diam-diam di dalam hati. Semoga Allah beri ketabahan kepada anak yang pertama kali terpisah dari keluarganya…

{Hanya untuk pembaca dari planet lain: Teriak [bunyinya teghiyak] bermaksud menangis.}

Sunyinya senja itu tidak tergambar. Si kakak telah sejak 30 Disember mendaftar di asrama. Petang itu, 4 Januari, adiknya pula menyusul. Yang tinggal hanya seorang lagi anak yang sejak memasuki rumah, tidak berapa mahu bercakap seperti selalu.

Sabrina SA
Atih
Selepas solat, bertembung dengan anak yang tinggal itu, saya bertanyanya, “Adik ingat dak kat Atih?” Atih, kakaknya yang kedua  itu adalah lawannya bertengkar, bergomol dan berbalah hampir setiap hari.

Afaf Salahuddin
Adik
Kalaupun ada jawapan, saya menjangkakan tentulah dalam bahasa badan. Mengangguk atau menggeleng. Tapi saya salah terka. Dia menjawab dengan fasih tapi perlahan, “Ingat! Kesian kat Atih…”

Saya berangkat ke tempat kerja dengan iringan imej wajah tulus anak bongsu membuat pengakuan itu …

Sekitar jam 10, saya menelefon samatua. Mahu tahu keadaan Adik yang keseorangan di rumah, tiada teman berebut saluran tv, berebut bantal, berebut membuka komputer, berebut bercerita kepada umi.

Kata samatua, Adik merungut juga tentang ketiadaan kakaknya. Amat terasa ketiadaan itu, katanya lagi. Masih tidak tidur kerana teringatkan kakaknya. Malah menangis… Seperti Adik, saya pun ikut menangis. Agaknya, Atih di asrama juga sedang menangis, merenung siling asrama, membayangkan selesanya adik tidur hanya bersama umi. Tidak payah berebut bantal… Tidak payah didiamkan oleh suara nyaring umi…

“Umi dia ‘teriak’ dak teringat Atih?” tanya saya.

“Adik pun teriak juga…” jawab samatua perlahan.

“Dak. Soalannya, umi dia teriak dak?” tanya saya semula.

“Adik pun teriak juga….haaa…” balas samatua lagi, agak perlahan dan tersekat-sekat.

“Umi dia?” tanya saya lagi.

“Teriakla…..” Dan talian terputus…

Demikianlah.

Malam itu, banyak yang datang ke benak.

Anak-anak di asrama. Itu pun  asrama yang masih di daerah yang sama. Dua tahun lagi ‘adik’ pun mungkin akan ke situ. Selepas di asrama masing-masing lima enam tahun, mungkin lebih jauh mereka akan pergi. Jika mereka bertemu jodoh, dan saya pula masih ada….lagi jauh ……
Emak datang dengan frasa ‘nanti tau la…’

Tokwan muncul tersenyum. Seolah berkata ‘La hang tau la…’

Baru perpisahan seperti itu, saya sudah tidak keruan. Betapa Tokwan yang berpisah jauh dengan anak bujangnya dahulu, berada di rantau orang, serta masing-masing pernah dilaporkan hilang pula…

Tapi saya bangga. Sekurang-kurangnya satu ciri Tokwan yang saya tahu ada pada saya.

Keras dan tegas wajah dan suara Tokwan, tetapi di hatinya tetap ada lompang rasa kasih dan hiba.

Saya pun rasanya demikian.

Sahlah saya cucu Tokwan.

Cucu Pakya.

No comments:

Post a Comment