Saturday, August 17, 2013

"Atu Teyima Nitahnya......!"

Ahmad Tarmizi & Faizah

Saleh, sepupu saya, tinggal di rumah Tokwan semasa di peringkat sekolah menengah. Semasa itu, sekolah menengah amat jauh dari rumah Paklang [Mansor Zakaria] di Alor Penyengat. Belum ada bayang SMK Tajar lagi. Di Jalan Kuala Kedah, itu yang paling dekat pun, ada SM Tunku Sharifah Rodziah. Saleh boleh belajar di situ dengan dua syarat: kena memakai skirt seperti pelajar lain serta menukar nama kepada Saleha atau sekupu dengannya.....

Selain waktu bersekolah sehingga tingkatan lima, sebelum itu pun Saleh akan datang ke rumah Tokwan jika sekolah bercuti. Satu keistimewaan Saleh, dari kecil sehingga awal peringkat menengahnya ialah pelatnya yang tersendiri - dalam bahasa kami 'çakap tidak terus'- dalam beberapa perkataan yang mempunyai huruf 'k' dan 'l' serta 's' terutamanya.

Sekolah disebutnya 'syetoyah', kami dilafaznya 'tami', mangkuk dibantainya 'mantuk', malam di mulutnya menjadi 'mayam'.....

Semasa bercuti di peringkat awal sekolah rendah, Paktam selalu menyakatnya dengan bertanya namanya dan nama sekolah.

Ramah saja dia menjawab: "Nama syaya Syayeh bin Mansyur. Syetoyah Tebangsyaan Ayor Mentudu!"

Besyoknya, Paktam atan .....err.... Besoknya Paktam akan bertanya lagi soalan itu dan secara konsisten, Saleh akan menjawab demikian juga...

Begitulah.

Satu malam, di rumah jiran kami, ada acara akad nikah. Kami, selepas Maghrib lagi, siap berada di laman rumah itu - bermain-main bersama kawan-kawan , sambil menanti kedatangan rombongan pengantin, serta, yang paling utama, menanti menyantap hidangan yang disediakan untuk tetamu yang terdiri dari beberapa keluarga jiran terdekat, selepas akad nikah dijalankan.

Biasanya acara begitu, hanya jiran lelaki sahaja yang dijemput. Tokwan dan ayah akan duduk di atas rumah bersama rombongan pengantin lelaki serta jiran-jiran lelaki dewasa yang lain.

Saleh dan saya berada di dalam kelompok penyeri laman yang terdiri dari cucu-cucu tuan rumah yang sebaya kami bagi meriuhkan suasana....

Ndak, Chik dan Tok berada di rumah Tokwan, hanya dapat menumpang mendengar keriuhan kami. Begitu juga emak di rumah.

Selepas orang bersolat Isyak barulah rombongan pengantin lelaki tiba, disertai jiran-jiran yang sebelum ini menanti di dalam kelam di sekitar rumah tersebut. Bersesak mereka menaiki beranda dan seterusnya ke rumah ibu. Berasak-asak pula kumpulan kami meninjau bagi melihat wajah pengantin lelaki....

Selepas Tok Imam dari Masjid Alor Pulai datang, kami berhenti bermain dan duduk diam-diam di bawah rumah. Bukan sangat kerana mahu mengikuti perjalanan majlis, tetapi lebih kerana takutkan Tok Imam. Kata ayah seorang kawan saya, ketika menyuruh kami diam itu, telah ramai budak-budak di sekitar Alor Pulai yang separuh bisu setelah memakan penampar Tok Imam yang berang kerana terganggu tugas menjalankan majlis akad nikah! Ish, tidaklah kami mahu menjadi bisu pada majlis pernikahan orang....


Saleh duduk di sebelah saya, di atas hamparan tikar mengkuang yang selalunya digunakan oleh tuan rumah untuk menjemur padi. Bersama kami ada lagi enam tujuh orang rakan serta sedozen lelaki dewasa yang alah dengan majlis dan Tok Imam. Mereka, seperti kami, hanya menunggu untuk menyantap nasi kenduri...

Beberapa rakan naik ke atas beranda, berdiri berasak di tepi tingkap ke rumah ibu bagi menyaksikan upacara. Terdengar mereka saling bertolakan dan ada suara-suara bertelingkah. Biarlah. Entah siapa di antara mereka yang akan kenyang memakan penampar Tok Imam kelak...

Dari atas rumah, jelas terdengar suara Tok Imam melakukan akad kali pertama. Ada balasan dari pihak pengantin tetapi kami tidak mendengar dengan nyata.

Sekali lagi Tok Imam melafazkan ijab dengan jelas, sekali lagi pula kami mendengar sebuah dengungan entah apa dari pengantin lelaki. Seorang lelaki dewasa di depan kami melipat dua jari tangannya, menguit kawan di sebelahnya sambil menunjukkan jari kelingking dan jari telunjuk. Ada dengusan di atas rumah dan di bawah juga.

Sekali lagi Tok Imam melafazkan ijab dengan jelas, sekali lagi pula kami mendengar sebuah dengungan entah apa dari pengantin lelaki. Lelaki dewasa di depan kami tadi melipat tiga jari tangannya, menguit kawan di sebelahnya sambil menunjukkan jari kelingking dan jari telunjuk serta jari manis. Ada dengusan di atas rumah dan di bawah juga.


Sekali lagi Tok Imam melafazkan ijab dengan jelas, sekali lagi pula kami mendengar sebuah dengungan entah apa dari pengantin lelaki. Lelaki dewasa di depan kami tadi melipat empat jari tangannya, menguit kawan di sebelahnya sambil menunjukkan jari kelingking, jari telunjuk, jari manis serta anak jari. Ada dengusan di atas rumah dan di bawah juga.


Sekali lagi Tok Imam melafazkan ijab dengan jelas, sekali lagi pula kami mendengar sebuah dengungan entah apa dari pengantin lelaki. Lelaki dewasa di depan kami tadii tidak lagi melipat jari tangannya, menguit kawan di sebelahnya sambil menunjukkan tapak tangan. Ada dengusan kuat di atas rumah dan di bawah juga.

Tiba-tiba Saleh bangun, menghilang di dalam gelap.
Sekali lagi Tok Imam melafazkan ijab dengan jelas, sekali lagi pula kami mendengar sebuah dengungan entah apa dari pengantin lelaki. Lelaki dewasa di depan kami tadi tidak lagi melipat jari tangannya, tidak menguit kawan di sebelahnya. Kali ini dia hanya menggelengkan kepala.Dengusan di atas rumah dan di bawah makin kuat kedengaran.

Saya tahu, berdasarkan pengalaman di rumah lain, lambat lagilah kami dapat menyantap nasi kenduri...

Kumpulan kami yang duduk tertib di atas tikar sebelum ini, tidak lagi dapat bertahan. Ada yang merebahkan badan atau bersandar di badan rakan di sebelah. Lelaki dewasa di depan kami yang rajin melipat jari itu, kemudiannya bangun. Berdiri di bawah tingkap menghadap ke laman - meninjau ke atas rumah - masih menggeleng kepala.

Saleh tiba-tiba muncul, termengah-mengah duduk di hadapan saya. Saya tidak bertanya apa-apa kepadanya. Mungkin pundi kencingnya penuh tadi....

Terdengar lagi suara Tok Imam melafazkan ijab. Suara pengantin lelaki yang kami sebut anak teruna itu makin tenggelam. Disambut oleh dengusan malah suara terus dari beberapa penemannya. Saya bersandar di pelapik tiang berdekatan yang baru ditinggalkan oleh belakang seorang rakan yang nampaknya sudah gelisah.

Terdengar lagi suara lantang Tok Imam, terdengar lagi balasan entah apa dari anak teruna diikuti ngauman dengus orang dewasa.

Lagi.

Lagi.

Saya makin merendahkan belakang. Lambat lagilah kami dapat menyantap nasi kenduri.... Saya menoleh ke arah Saleh, tetapi tiada kelibatnya. Tempatnya tadi telah diisi oleh seorang rakan yang lain.


Terdengar lagi suara lantang Tok Imam, terdengar lagi balasan entah apa dari anak teruna diikuti ngauman dengus orang dewasa.

Lagi.

Saya cuba menegakkan badan yang mula melenguh. Ternampak Saleh berdiri di depan laman, tertinjau-tinjau ke arah tingkap yang terbuka. Macamlah dia boleh nampak orang di atas rumah. Entah kenapa saya nampak dia seperti tercungap-cungap...


Terdengar lagi suara lantang Tok Imam, terdengar lagi balasan entah apa dari anak teruna diikuti berterusannya ngauman dengus orang dewasa.

Lagi.

Lagi.

Saya bangun. Kali ini niatnya mahu menyertai Saleh meninjau ke arah tingkap, ingin melihat apa yang Tok Imam buat sehinggakan perut kami makin kuat berbunyi.... Tetapi Saleh tidak ada di situ dan tidak saya nampak di mana-mana. 


Saya tidak nampak Tok Imam. Terlindung oleh badan seseorang yang bersandar pada besi tingkap. Cuma terdengar lagi suara lantang Tok Imam, dikuti balasan entah apa dari anak teruna dan disambut ngauman dengus yang lebih kuat dari atas rumah.

Saya kembali duduk tetapi tidak lagi di tempat tadi yang telah dijajah oleh rakan lain. Saleh menghampiri saya, tidak berkata apa-apa cuma sedikit mengah. Dahinya berpeluh. Saya faham kerana seperti saya, Saleh juga belum makan apa-apa pada malam itu. Mungkin perutnya meragam menanti nasi kenduri yang tidak kunjung suap.....


Terdengar lagi suara lantang Tok Imam, terdengar lagi balasan entah apa dari anak teruna dan terus diikuti ngauman dengus orang dewasa....

Lagi dan lagi.

Saya bangun membetulkan pinggang yang makin lenguh. Saleh hilang lagi. Perutnya tentu terus memulas.

Dia hanya muncul sebaik ada dengusan kelegaan dari atas rumah. Tok Imam membacakan doa yang pendek, tidak seperti selalu. Saya faham. Sebentar lagi akan terdengarlah bunyi lagaan pinggan. Selesai bunyi lagaan pinggan dan piring di bahagian atas rumah, akan bermulalah acara menghulur pinggan lauk dan tangkupan nasi ke bawah pula.

Tibalah masanya untuk menyantap nasi kenduri. Kami tidak berkata apa-apa lagi, membiarkan tangan dan mulut beraksi....

Waktu itu terasa pula seperti makan sahur. Maklumlah, selalunya sekitar jam sepuluh acara makan orang bawahan seperti kami sudah bermula. Tetapi kali ini...sudah masuk hari lain....

Dua puluh tujuh kali. Demikianlah yang saya dengar disebut orang yang berada di sekeliling. Dua puluh tujuh kali diakadkan, barulah disahkan nikahnya oleh dua saksi. Ada ketika anak teruna menikahkan Tok Imam semula, ada kala anak teruna terhenti ketika membalas dari Tok Imam, adakala anak teruna menyebut nama wali pada tempat nama isterinya.....

Tetapi seperti selalu, malam itu [atau awal pagi itu....] kami tetap balik dalam kekenyangan.....

Besoknya barulah saya tahu. Rupanya setiap kali Saleh menghilang, dia pulang ke rumah Tokwan, memaklumkan sudah berapa ijab kabul tidak menjadi kepada Ndak, Chik dan Tok.....

Sambil pulang, atau ketika mahu pergi semula, Saleh akan bersalaman dengan salah sehelai daun sirih yang perdunya terletak di antara dapur rumah Tokwan dengan dapur rumah ayah, bersebelahan pokok jambu batu.

"Isy, isy, tak buyeh yagi... " katanya, "butan payah..."

Sambil menggenggam daun sirih itu, dengan lagak sebagai pengantin, Saleh pun melafazkan, "Atu teyima nitahnya .......denan mas tawinnya..... TUNAI!"

Ndak dan Chik menahan tawa di ruang dapur rumah Tokwan.....

Cerita ini muncul segar ketika saya menanti waktu, dari jauh, upacara akad nikah adik saya, Ahmad Tarmizi dengan pasangannya Faizah Othman pada petang Jumaat 16 Ogos 2013.


Emak pernah memberitahu, setiap kali anak-anaknya memasuki zon masa akad nikah, dia tidak pernah putus berdoa agar upacara itu berjalan lancar, dan dia hanya meraupkan tangan ke muka hanya setelah tahu semuanya sudah selesai, meski jauh nun di masjid...

Maka saya pun berdoa agar majlis yang melibatkan adik kali ini tetap lancar - yakin dan fasih di depan jurunikah.

Kalaupun ada rasa gelabah, janganlah sampai lebih dua dozen kali ijab kabulnya....Amin.


Mutakhir:

Paktih yang dihubungi pada awal malam 16 Ogos,   memaklumkan upacara itu telah selamat berlangsung, dengan sekali lafaz. Alhamdulillah!

No comments:

Post a Comment