Friday, October 4, 2013

Empat Panggilan Buat Seorang Insan

Hjh Habsah Ishak
Hassan Hj Md Isa
Sepupu saya paling tua, Hassan a.k.a Abang Mi, anak tunggal Wa Hj Md Isa memanggilnya Long.
Saleh Hj Mansor

Sepupu saya yang lain,
adik-beradik Saleh Hj Mansor dari Alor Penyengat  juga memanggilnya Long.

M Nasir Ahmad
Demikianlah pula panggilan dari sepupu saya yang lagi satu, M Nasir Ahmad, serta abang sebapanya, Mohd Radzi.

Rasanya anak-anak dari tiga keluarga ini sahaja yang memanggilnya Long, kependekan dari Maklong....
Yusliza Hj Jusoh
Sementara itu, Yusliza Hj Jusoh, juga sepupu saya, beserta adik-adik dari Changloon, memanggilnya Wa.

 
Zul Majdi Hj Abd Hamid  
Khiruddin Ibrahim
Sebahagian sepupu sepapat memanggilnya Ngah.  Khiruddin Ibrahim dan adik-adiknya dari Kg Permatang Ibus memanggil demikian. Begitu pula panggilan oleh adik beradik Zul Majdi Hj Abd Hamid.

Semua panggilan - Long, Wa dan Ngah - itu adalah untuk orang yang sama - Hjh Habsah @ Khadijah binti Ishak @ Sahak.

************************************************

Pada sekitar tahun 1950, Tokwan - Hj Zakaria bin Lebai Isa mengahwini ibu tunggal - Fatimah @ Mah binti Mustaffa - yang mempunyai dua anak perempuan. Habsah itulah anak yang sulung, manakala seorang lagi bernama Andam, tetapi dipanggil Azizah a.k.a Dah.

Tokwan, bapa tunggal ketika itu, mempunyai lima anak,  empat lelaki dan seorang perempuan - Md Isa, Mohd Jusoh, Mansor, Ahmad dan Mariam.

Perkahwinan Tokwan kali ini menjadikan keluarga itu semakin besar dengan tujuh anak.

Di kalangan anak-anak itu, Md Isa, selaku anak sulung dipanggil Bang Chaq, Mohd Jusoh dipanggil Bang Chik, Mansor dipanggil Bang Tih dan Ahmad dipanggil Bang Tam. Bagi tiga yang perempuan, oleh kerana Habsah lebih tua daripada Mariam, dia dipanggil Kak sahaja manakala Mariam dan Azizah yang hampir sebaya masing-masing dipanggil  Cik [ Chik] yakni Cik Yam dan Cik Dah.

Tok Mah melahirkan empat orang cahayamata sepanjang perkongsian hidupnya dengan Tokwan. Abdul Hamid dilahirkan pada tahun 1951, diikuti Ibrahim [1954], Siti Noriah [1957] dan Ommus Shapakoh [1959].

Md Isa yang  berkahwin dengan orang sekampung, Aishah binti Shaari dikurniakan seorang anak- Hassan - kalau tidak silap sama tahunnya dengan tahun kelahiran Ibrahim. Dengan kelahiran anak saudara pertama itu, panggilan untuk bapa-bapa dan ibu saudara mula digunakan secara tertib. Mohd Jusoh dipanggil Pakngah, diikuti Mansor [ Paklang], Ahmad [Paknjang], Mariam [Makndak/Ndak], Abdul Hamid [Paktih], Ibrahim [Paktam].  Siti Noriah dan Ommus Shapakoh, yang lahir kemudiannya, masing-masing dipanggil Chik dan Chu.

Oleh kerana Md Isa sudah semestinya dipanggil Paklong atau Wa oleh anak-anak saudara nantinya, maka buat dua beradik anak tiri Tokwan hiraki panggilannya disusun semula ikut tertib. Habsah dipanggil Maklong/Long oleh Hassan, manakala Azizah dipanggil Makngah/Ngah.

Takdir menentukan, selepas melahirkan anak keempat - Ommus Shapakoh - Tok Mah dijemput pulang ke Rahmatullah. Ketika itu Habsah berusia 16 tahun. Dia dan Azizah yang telah menjadi yatim piatu ada dijemput tinggal bersama bapa saudaranya, Paktam Othman, di Kg Telok, Mukim Binjal, Jitra.

Selain, Ommus Shapakoh yang masih bayi, Siti Noriah baru berusia tiga tahun, Ibrahim berumur 6 tahun manakala Abdul Hamid baru menjejak 9 tahun. Walaupun si bayi kemudiannya diserahkan kepada adik Tokwan, Toksu Zainab, dan selepas itu kepada Md Isa yang ketika itu telah berkahwin dengan Sarah Ariffin, dari Kg Alor Gandak, Limbong - setelah berpisah dengan Aishah, emak Hassan - tetapi tiga adiknya yang lain masih lagi kecil. Mengenangkan itu, Habsah dan Azizah kekal tinggal bersama Tokwan, bapa tiri mereka.

Ketika itulah diputuskan bagi dijodohkan Habsah dengan anak teruna Tokwan, Mohd Jusoh. Habsah yang sedang belajar [sambil pula mengajar kelas bawahan] di Madrasah AlFalah, sekolah agama rakyat berhampiran rumah Tokwan, menerima itu sebagai suratan takdir. Ketika mengandung sulung, dia masih gigih ke sekolah yang turut diasaskan bersama oleh Tokwan itu.

Pada masa yang sama Habsah tetap Long bagi Hassan. Dan suaminya, Mohd Jusoh tetaplah Pakngah bagi anak tunggal Md Isa itu.

Pada Ogos 1961, Habsah melahirkan anak pertama - cucu kedua dalam keluarga Tokwan. Meski Hassan adalah cucu pertama, perceraian kedua-dua ibu-bapanya lama sebelum itu, seakan menjarakkan sedikit dirinya dengan keluarga Tokwan, sementelah ayahnya telah berkahwin lain serta menetap jauh dari kampung kelahiran dan dia pula di bawah peliharaan ibunya. Maka anak Habsah itu menjadi semacam pengganti kepada Hassan.

Md Isa menjadi Wa/Paklong kepada anak pasangan Mohd Jusoh-Habsah.

Ngah? Anak pasangan itu masih ada Azizah - adik di sebelah ibunya - untuk dipanggil demikian.....

Pada tahun 1964, selain Mohd Jusoh-Habsah yang mendapat anak kedua, Norhashimah namanya, pasangan Mansor-Halimahton pula beroleh anak sulung, diberi nama Saleh.

Md Isa kini menjadi Wa/Paklong kepada tiga anak saudara. Mohd Jusoh kini Pakngah kepada Hassan dan Saleh. Habsah, selain Hassan, kini menjadi Long kepada Saleh juga.

Pada tahun 1966, Habsah melahirkan anak ketiga - diberi nama Ahmad Yadziz. Dalam tahun itu juga 'Bang Tam' merangkap adik iparnya - Ahmad - mendapat anak sulung hasil perkongsian hidup dengan Hjh Zainab binti Idris, diberi nama Mohd Radzi.

Panggilan anak-anak saudara kepada semua anak Tokwan, termasuk anak tiri, masih seperti mula. Ada Wa hingga Chu. Ada Long dan Ngah.

[Pasangan Mansor-Halimahton juga kemudiannya dikurniakan cahaya mata kembar, namun kedua-duanya meninggal selepas dilahirkan].

Pada tahun 1968, Azizah yang berkahwin dengan Jusoh bin Mat pada tahun sebelumnya, telah dikurniakan seorang cahayamata - perempuan - Yusliza, namanya.

Panggilan Yusliza untuk semua anak Tokwan masih sama dengan cucu-cucu yang lain. Lagi pula empat daripada anak Tokwan itu adalah adik-adik satu emak dengan ibunya, Azizah.

Namun panggilan Yusliza kepada Habsah - satu-satunya saudara seibu-sebapa ibunya - bukan Long tetapi Wa. Panggilan itu diteruskan oleh tiga adik-adik Yusliza serta samatua masing-masing.....

Ahmad, Paknjang saya, selepas berpisah dengan Hjh Zainab pada penghujung dekad 60-an, berkahwin pula dengan seorang ibu tunggal beranak tunggal - Fatimah binti Hj Sulaiman. Anak sulung mereka, M Nasir memanggil Long kepada Habsah. Tetapi,  adik-adiknya pula memanggil Ngah.......

Kemudian, selepas Mariam berkahwin dengan Md Saad Md Saman pada tahun 1977, anak-anaknya serta anak-anak kepada adik-adiknya yang lain, semuanya memanggil Ngah kepada Habsah.

Demikianlah.

Kepada semua abang tirinya, Habsah tetap memanggil mereka mengikut panggilan asal, panggilan ketika dia tidak pun terfikir akan menjadi ipar mereka pada akhirnya. Kepada Md Isa, abang paling tua, tentulah tetap Bang Chaq. Tetapi kepada Mansor dan Ahmad yang sudahpun menjadi adik iparnya, panggilan Bang Tih dan Bang Tam tetap terus digunakan....

Bagaimana pula kepada Mohd Jusoh yang bergelar suaminya?

Habsah tetap memanggilnya Bang Chik.......

Saya mendengar beribu kali panggilan itu digunakan......

Saya tidak ragu-ragu untuk mengakuinya kerana Habsah yang anak-anak saudara memanggilnya Long atau Wa atau Ngah adalah insan yang saya dan adik-adik memanggilnya EMAK.

Dialah E M A K kami dunia dan akhirat.



1 comment:

  1. Salam tuan, menarik perkembangan nama panggilan ni, agaknye, siapa nama bapa kepada Habsah, merangkap Long, Wa dan Ngah ya

    ReplyDelete