Wednesday, September 11, 2013

Padprik Dari Pattani



Maha Suci Allah Yang Tidak Pernah Tidur, Tidak Pernah Lupa.

Saya tidak ingat bagaimana bermula perancangan itu.  Mungkin Paktih  masih boleh mengenangnya.

Yang pasti, bagaikan saya masih nampak dari dalam kereta yang berhenti di jalan di hadapan rumahnya di Kangkong, rakan saya,  Cikgu Non melenggang selamba menuju ke arah kami. Dia tersenyum, sedang kami terpinga-pinga. Membuka pintu untuk masuk, saya bertanya, “Mana beg hang?”

“Awat, ‘nak tidoq sana ka?” Cikgu Non bertanya kembali.

Kami yang di dalam kereta berpandangan.

“Laa, takkan ‘nak balik haghi kut….?” Tanda tanya lagi. Cuma kali ini pertanyaan tersebut bukannya dari mulut saya. Ia muncul dari peti suara Paktam, yang berada di tempat duduk depan, di sebelah Paktih  yang sedang memegang stereng keretanya.

Cikgu Non tersengih. “Ingatkan ‘nak balik malam ‘ni….” katanya ketika berpatah semula ke arah rumahnya. Paktam menggeleng kepala. Paktih mengetuk dua jari telunjuk ke stereng.  Kami berkongsi senyum melihat Cikgu Non yang berseluar jean biru dan berbaju - t  melangkah pantas, melangkau simen pelapik tangga rumah, lalu menghilang dari pandangan.

Dia mencapai apa yang patut dari almari lalu  dimasukkan ke dalam sebuah beg galas yang tersangkut di paku pada tingkap berhampiran katil. Meski berada di dalam kereta, pergerakan Cikgu Non di dalam biliknya cukup saya tahu. Sejak belajar  serba sedikit tentang Peta Minda, maka saya pun mengaplikasikannya. Bilik Cikgu Non  di penjuru rumah ibu, dengan satu tingkap menghala ke Selat Melaka di barat, serta satu lagi menghala ke selatan, bukanlah asing sangat kepada saya.  Tempat dia meletakkan pengepit kuku pun saya tandakan di minda, inikan pula yang lebih besar…..

Dalam tiga minit kemudian, Cikgu Non muncul semula di pandangan. Menuruni tangga sedikit perlahan. Dia sedang bercakap dengan emaknya, memberitahu tidak akan balik malam nanti. Emaknya yang terlindung oleh semurup yang dibina bagi menghalang tangga rumah ditimpa hujan atau terik cahaya matahari tidak membalas apa-apa. Hanya memerhati anak bongsunyamenyarung kasut dan bergerak lebih pantas ke kereta. Minda saya telah memetakan sekali gaya emaknya melihat anak keluar dari rumah – memberi restu beserta mendoakan keselamatan, terangkum  di dalam hati….

Cikgu Non masuk ke dalam kereta, duduk di kiri saya di bahagian belakang. “Bawa pass dak? “ Paktam bersuara. Cikgu Non menepuk peha kanannya dua tiga kali sambil berkata “Ada”, juga dua tiga kali.

Paktih menyebut Bismillah, kali kedua selepas awalnya mengambil saya dan Paktam di Kampung Permatang Ibus. Kali ketiga, sekurang-kurangnya, sejak meninggalkan rumahnya di Pekan Gurun.

Kereta Mazda Grand Familia bernombor platKU 7883 itu pun bergerak. Mulanya, keluar dari Kangkong.  Selepas itu, keluar pula dari Alor Setar. Kemudian lagi keluar dari Kedah. Akhirnya terus keluar dari Malaysia!

Maka tentulah terkejut kami dibuatnya tatkala Cikgu Non melenggang sehelai sepinggang ketika kami pergi mengambilnya. Boleh pula dikatanya, “Ingatkan ‘nak balik malam ‘ni….”. Tak tahulah jika ketika itu destinasi kami, baginya, tidak jauh berbeza dengan pergi ke Sungai Petani!

Ustaz Man
Sebenarnya, kami – Paktih, arwah Paktam, Cikgu Non dan saya – dalam perjalanan ke Negara Gajah Putih - Thailand -  tepatnya ke Pattani, tanah tumpah darahWae Samae Wae Mat a.k.a Ustaz Man!

Namun, seperti dinyatakan, saya terlupa bagaimana perancangan itu terjadi. Saya hanya mengingat dari detik mengambil Cikgu Non di rumahnya sahaja. Kalau yang lebih awal dari itu, adalah bagaimana saya mengambil peta dan petua dari Ustaz Man,  sehari dua sebelum dia balik ke negaranya – sebaik bermula cuti hujung tahun. Berjela petua dan berselirat pula sekeping kertas saiz F4 dengan lakaran jalan ke rumahnya. Di atas kertas itu juga, tertulis nama-nama  tempat dan beberapa tanda yang senang, baginyalah, dilihat sepanjang perjalanan sehingga sampai  ke destinasi.Ketika itu, saya hanya menceritakan hasrat Paktih dan Paktam untuk ke rumahnya, tarikhnya belum dipastikan. Jika Allah izinkan....

Seperti kelaziman kepada saya, jika mahu ke mana-mana, perut adalah juzuk badan yang paling teruja – enggan menerima apa-apa. Maka setelah melepasi sempadan negara, waktu hampir tengah hari, perut mula menuntut haknya. Mulanya saya sangkakan Paktih akan berhenti di Pekan Danok, sebaik selesai berurusan dengan pihak Imigresen Thai. Tetapi, katanya pekan itu hanya bersebelahan Bukit Kayu Hitam, pasti makanannya tidak jauh berbeza …..

Kami teruskan perjalanan. Sampai di Pekan Sadao, barulah kami singgah di sebuah restoran Muslim  - imejnya terpampang jelas pada cermin hadapannya. Ada tulisan khat Bismillah,  dengan apitan khat nama Allah dan nama Muhammad.

Masuk ke dalamnya, kami bagai memasuki zon hawa lain. Sejuk dan nyaman, berbanding panas dan berabuk di luarnya – barangkalilah sengaja dikekalkan keadaan demikian kerana bandar tersebut dikenali sebagai pekan koboi…..

Kami memesan tomyam dan nasi paprik. “Kita tengok beza dengan tomyam di Kedah….” Kata  Paktih sebaik pelayan berlalu membawa buku tempahan makanan ke bahagian dapur.

Pelanggan tidaklah terlalu ramai ketika itu. Dalam lima belas minit, pesanan kami siap diletakkan di atas meja. Aroma masakan panas itu serentak memenuhi rongga hidung kami,  dan impuls menghantarnya ke otak untuk ditafsirkan. Tanpa menggunakan deria rasa, Paktih terus membuat kesimpulan, “Lebih sedap yang di sini!” Dan tafsiran otaknya itu tidak menipu tunas rasa kami yang mula menghirup kuah dari mangkuk masing-masing. Memang ada kelainan entah pada bahagian apa kuahnya, berbanding dengan tomyam yang sering kami slurrrrp di Kedah…….

Padpriknya berkuah pekat. Kandungan campuran sayuran serta daging memanglah serupa sahaja.  Tetapi perbezaan paling ketara adalah pada rasanya. Ternyata lebih sedap dari yang pernah saya makan di sekitar Alor Setar. Maaf,jika dalam bab ini saya terlupa untuk bersikap lebih patriotik. Kiranya, Thailand tidak mengeksport sepenuhnya rasa masakan negara itu yang mula menjadi kegilaan rakyat Malaysia!

Kami meneruskan perjalanan, semakin ke ‘dalam’ Thailand. Kertas lakaran dari ustaz Man sentiasa saya pegang. Jalan rayanya elok,  tidak sibuk.  Alam yang melatari pergerakan kami pelbagai sifatnya. Memasuki kawasan berbukit dengan panorama yang tidak jauh berbeza dengan di tanah tumpah darah kita, demikian juga ketika melintasi kawasan sawah yang di sekitarnya ditumbuhi pokok tai.

Simpang pertama  selepas beberapa puluh kilometer dari Sadao, yang dipetuakan oleh Ustaz Man telah kami lalui dengan jayanya! Lama kemudian kami terjumpa pula dengan satu simpang. Saya membelek lakaran di kertas A4. Selepas simpang pertama tadi, Ustaz Man  menulis NAWE.   Yang kami temui adalah papan tanda bertulisan Siam yang  berlingkar-lingkar, dengan tulisan rumi yang agak kecil di bawahnya, bertulis NATHAWI.

Paktih memandu melepasi sedikit simpang  itu. Selalunya kalau mahu ditanya arah dan tempat, carilah peniaga gerai di situ. Itulah biasanya amalan kita di Malaysia. Itulah yang kami cuba lakukan. Tidak jauh dari tempat kereta diberhentikan, ada seorang peniaga minuman sedang berdiri di tepi gerainya. Seorang lelaki.  Paktam menyuruh saya turun, menanya. Sebagai budak kampung, saya mengaplikasikan apa yang saya perhatikan di kampung, dengan menyuruh Cikgu Non pula.

Meniru orang kampung?  Yalah, selalunya kalau dalam majlis tahlil, sebaik selesai meratib, pemimpinnya – biasanya imam, lebai dan ustaz - akan mempelawa seorang dua agar membaca doa. Akan bertolak-tolakanlah orang yang disuruh tadi -  biasanya juga imam, lebai ,ustaz dan haji yang disegani penduduk setempat. Bermacam alasan diberikan. Selalunya akan batu-batuk sedikit ketika menolak…. Akhirnya, pemimpin tahlil juga yang membacakan doa tersebut.

Saya tahu, saya yang kena pergi bertanya. Memang sengaja saya mempelawa Cikgu Non untuk mengambil peranan itu. Seperti diduga, Cikgu Non menolak. “Hang yang ambik petua jalan dari Ustaz Man.” Demikian alasan yang diberikan. Walaupun tidak pula beriring dengan batuk-batuk kecil ketika menolak dengan baik, saya tahu Cikgu Non turut mengaplikasikan amalan orang kampung. Menolak kerana skripnya memang dibiasakan begitu. Dia tahu saya pun hanya berlakon menyuruhnya…. Bukankah Cikgu Non juga budak kampung?

Saya turun. Melangkah perlahan menghampiri peniaga itu. Kertas A4 dari Ustaz Man saya bawa sebagai teman. Selain itu ada enam biji mata turut mengikut setiap langkahan saya.

Peniaga itu memerhati saya. Gelabah juga diri ini dibuatnya.  “Assalamu’alaikum, bang!”, ucap saya dengan ramah. Di dalam hati sahajalah.  Takut kalau rakyat Raja Bhumibol Aduyadej itu bukan beragama Islam.

Dia tetap memandang kosong ke muka saya. “Boleh tumpang tanya…. Mana satu jalan untuk ke Pattani?” Tanya saya lagi, masih di dalam hati. Bimbang kalau insan itu tidak faham Bahasa Melayu.

Peniaga itu akhirnya bercakap beberapa patah perkataan! Tetapi kerana tiada sarikata, tidaklah dapat saya fahami akan butir bicaranya. Kalau Yingluck Shinawatra berada di situ, ketika itu, mungkinlah boleh dia menterjemahkannya untuk saya……

Saya tahu pemilik  tiga pasang mata di dalam kereta masih menanti saya membawa masuk jawapan sedangkan sehingga itu, soalan pun belum dikemukakan….

Tiba-tiba saya terdengar kertas A4 ditangan bersuara garang, “Apo punyo bodo mu ‘ni. Tunjuk aku kat dio!” Sebiji  ia meniru suara dan loghat Ustaz Man….

Saya mengunjukkan kertas itu kepada peniaga tersebut. “Nawi……. Pattani……..” Kata saya ikhlas. Benar-benar ikhlas kerana mengharapkan dia faham maksud saya. Dia memegang kertas, melihat lakaran dan tulisan Ustaz Man. Mulutnya masih melontarkan suara.Ketika matanya kembali memandang saya, saya tunjukkan jalan lurus di sisi kami serta mengisyaratkan simpang yang telah kami lepasi. Difahamkan ketika itu, di dalam kereta, Cikgu Non sedang tertawa melihat bahasa isyarat dan lenggok badan saya…..

Lelaki tersebut memberikan semula kertas kepada saya. Dia berisyarat seperti saya tadi. Cumanya isyarat yang diberikan disertakan dengan ulasan yang agak panjang. Yang saya rasa pernah mendengar hanyalah Chenak [Chana], Nathawi dan Pattani. Chenak? Selalu juga orang dari Chenak datang menjunjung jualan ke kampung-kampung di Kedah, terutama pada musim menuai. Ustaz Man pernah berkata rumahnya dengan tempat bernama Chenak itu sejalan, sehingga dipecahkan oleh satu simpang.

Maka saya isyaratkan terima kasih kepada peniaga itu yang masih bercakap, lalu kembali ke kereta. Di dalam kereta, Cikgu Non masih belum hilang senyumnya. “Nak tergelak tengok hang dok gawang-gawang tangan tadi, “katanya , “macam ayam bercakap dengan itik!” Paktih dan Paktam hanya tersengih.

“Jalan betoi ‘ni pi mana tak tau. Kita patah balik kut simpang tadi, cari Chenak.” Saya seakan yakin faham maksud encik peniaga tadi.

“Tu pi simpang Nathawi…..” tingkah Paktam, “kita ‘nak caghi Nawe….”

“Tapi jalan teghuih tu pi tang lain.”balas saya pula seolah menterjemahkan cakap peniaga tadi “….ikut kata kawan 'tu la...!”

Cikgu Non tidak berkata apa-apa. Semua kami merenung Paktih yang sedang berkira-kira sendiri gayanya. 

“Kita patah balik pi simpang ‘tu. Mana tahu kalau jumpa Nawe…..” kata Paktih. Kami akur. Lagi pula stereng di tangannya……

Kami berpatah balik, lalu membelok ke simpang di kiri. Menyusuri jalan lebar yang lurus.Namun sampai ke sudah, Nawe tidak kami temui!

Pada satu simpang, menyersuaikan dengan lakaran kertas dari Ustaz Man, Paktih terus membelok. Begitu yakin pemandu kami itu.
Ini cerita tahun terakhir penghujung dekad 80-an. Jangan cari telefon bimbit atau gajet lain bagi memudahkan pergerakan. Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya bagaimana kami boleh begitu berani pergi ke sebuah negara asing tanpa menguasai bahasa tempatan dan tidak mengenali sesiapa kecuali Ustaz Man? Maha Suci Allah. Kami hanya bertawakkal kepada-Nya! Demi menziarahi seorang saudara lagi ustaz……

Menjelang asar kami menjumpai satu tanda yang ditulis oleh Ustaz Man di atas kertas – sebuah jambatan besi. Alhamdulillah. Kami bersyukur. Ertinya sudah tidak jauh rumah yang kami cari. Beberapa kilometer kemudian kami menemui tanda utama yang bermaksud kami sudah sampai – sebuah tempayan besar terletak di sisi kiri jalan raya, di hadapan sebuah rumah yang di belakangnya terdapat sebuah masjid.

Itulah rumah seorang imam merangkap mertua Ustaz Man! Itulah tempatnya yang ditulis Ban Dok Rak yang dibulatkan dengan dakwat merah oleh Ustaz Man!

Sebaik kereta berhenti,muncul Ustaz Man di muka pintu. Tersenyum. Kemudian muncul isterinya, Kak Jah serta anak mereka, Bushra. Gaya mereka ketika itu boleh digambarkan begini: Seolah mereka tinggal di AlFalah dan kami pula datang dari Pendang atau Jitra! Tiada tanda terkejut melihat kami berdiri di hadapan mereka.  Sedangkan kami dari Malaysia dan baru sampai ke Negara Thai dalam satu perjalanan marathon yang cukup meletihkan! Kiranya Ustaz Man juga bertawakkal kepada Allah ketika menunggu kami sampai….

Kami dipelawa naik.

Di atas rumah, kami disambut pula oleh ayah dan ibu Kak Jah. Mesra sekali dengan senyuman yang bagaikan melekat di wajah mereka. Terasa hilang lenguh dan kebas selama berjam-jam di dalam kereta. Dan rasa segar itu bertambah apabila saya ternampak kelibat seorang gadis, terhendap-hendap di balik tirai menghala ke dapur…..Fuh!

Ustaz Man dan ayah mertuanya menemani kami berbual di ruang tamu rumah separa kayu itu. Kak Jah, emaknya dan Bushra pula beredar ke dapur. Saya yang ditakdirkan duduk di sofa tunggal menghadap terus ke dapur,mengekori pergerakan mereka sambil berharap akan ada kelibat lain di balik tirai. Manalah tahu kalau terselak lama sedikit tirai itu ketika kelibat tersebut cuba melarikan diri…..

Perbualan petang itu berkisar  tentang kedudukan geografi dan  sosio ekonomi tempat itu – beberapa kilometer sahaja dari Bandar Pattani.  Perbualan juga menyentuh  tentang perjalanan kami dari Kedah. Saya tidak menumpukan sangat perhatian, malah tidak menyampuk langsung. Saya hanya melihat corak bunga tirai menghala ke dapur itu…..

Cuma apabila sampai ke bab bertanya peniaga berdekatan simpang Nathawi, saya tersentak. Memang tidak ada papan tanda Nawe, demikian mafhum dari kata Ustaz Man. Nathawi itulah Nawe, mengikut sebutan orang Pattani. 

“Ustaz tak tulis dalam kurungan…..”kata saya.

“Lupo…” selamba saja jawapan Ustaz Man.

“Nah aih! Mana aci lagu ‘tu!” Kalau diikutkan mahu secara lembut saya mengutarakan  frasa itu kepada Ustaz Man. Namun hasrat itu terpaksa diselatankan begitu sahaja apabila ada pergerakan di tirai yang menghala ke dapur…..

Sebaik kain tirai tersingkap, Kak Jah muncul bersama dulang yang menampung teko dan cawan. Diikuti oleh emaknya yang membawa dua pinggan berisi kuihapakenama yang manis rasanya. Tangan siapakah  yang membantu menyingkapkan tirai itu? Bushra? Tak mungkin kerana ketinggian Bushra hanyalah separas meja tulis. Jadi….. Sehingga tirai itu kembali ke kedudukan asalnya, mata saya masih di situ. Kelibat itu sempat dilihat membelakangkan kami menuju ke dapur. Ceh!

Selepas minum, kami turun ke laman dan terus ke perkarangan masjid, melihat-lihat persekitaran. Dengan Ustaz Man bertindak sebagai pemandu pelancong, semuanya - kecuali seorang - mendengar ceritanya tentang sejarah pembinaan masjid tersebut , termasuk dana dan rekabentuknya. Yang seorang itu lebih memberi perhatian kepada rekabentuk rumah yang baru kami tinggalkan……

Menjelang Maghrib, beberapa warga emas menyertai kami. Berkenalan dan berbual. Ada di antara mereka amat biasa dengan Kedah kerana pernah mengunjungi saudara ataupun mengambil upah memgerat/membanting padi pada era tanaman padi setahun sekali dahulu. Maka perbualan lebih terarah kepada imbauan ke zaman itu…. Saya hanya mencelah sesekali, lebih kepada melindungi dari dikesan asyik memandang ke arah rumah tadi…..

Selesai solat Isyak, kami dipelawa semula ke rumah mertua Ustaz Man. Kalaupun bukan yang paling depan, saya rasa saya adalah di antara dua terawal melangkah naik ke rumah itu…..  Duduk bersila di tempat kesukaan saya - menghadap ke dapur !

Di ruang tamu itu telah siap terhidang set makan malam. Menunya dengan mudah boleh dikatakan begini: sama dengan yang sering kita minta di restoran makanan ala Thai. Ada tomyam campur, ada daging masak merah, ada ikan tiga rasa [Cuma saiznya agak kecil berbanding yang seluloi kita pilih di restoran] serta paprik ayam. Sambal belacan dan sedikit ulaman untuk meluaskan lagi kawasan yang diperlukan bagi penempatan lauk-pauk…..

Tidak perlu masa yang panjang untuk kami menghabiskan makanan itu. Semuanya kami sebat. Cuma Paktih yang tidak menikmati paprik itu kerana dia tidak memakan daging ayam. Saya sendiri hinggakan terlupa seketika merenung ke arah dapur. Namun dalam mengunyah, hati masih berkata, tentulah ada sepasang tangan yang membantu Kak Jah dan ibunya memasak semua makanan ini…… Dan tangan itu tentunya bukan milik Bushra…….

bersambung.... dalam Gadis Bertudung Putih.

No comments:

Post a Comment