Pertengahan Disember 1990. Hari Isnin.
Emak berpesan juga-juga agar saya balik walau sekejap tengah hari nanti. "Jangan biar orang mai kosong..." pesan terakhir emak ketika saya mahu membonceng motorsikal cikgu Non, teman rapat saya.
Emak berhak untuk bimbang.
Minggu sebelumnya, ketika semua sudah bersedia untuk berangkat ke Kubur Panjang, saya menyelinap ke asrama AlFalah. Puas mereka menunggu, saya tetap terhendap-hendap di celah tingkap asrama. Akhirnya, saya nampak emak, ayah, tuk dan Paksu bertolak. Kereta melintasi asrama AlFalah.. Tidak tahulah apa yang mereka bualkan semasa di dalam kereta. Yang pasti, dalam memarahi saya, mereka terpaksa mencipta alasan kenapa saya tiada dalam kereta tersebut - bukan saja kepada orang yang di Kubur Panjang, malah kepada Paknjang, Maknjang dan sepasang suami isteri (Kak Shadah dan Bang Man), sahabat mereka dari Jeniang yang bertindak sebagai orang perantaraan.
Khabarnya, panas juga hati mereka sebaik tidak nampak kelibat saya di laman rumah bakal besan emak ayah di Kampung Tok Dam, Kubur Panjang, hari itu. Sedangkan telah berkali-kali saya diingatkan untuk datang. Lebih panas lagi hati Paksu. Dengan banyak berdiam ketika perbualan antara keluarga saya dengan keluarga tuan rumah, ramai di pihak sana menyangka, Paksulah calon menantu. Sedangkan Paksu adalah sebagai tuan punya kereta merangkap peneman emak dan ayah....Demikian nasib Paksu...
Hari ini pula giliran pihak perempuan datang untuk 'menengok' saya!
Maka, emak berhak untuk bimbang!
Sepanjang perjalanan ke Alor Setar, saya tidak banyak bercakap. Cuma awalnya saya memberitahu Cikgu Non: "Tengah hari 'ni, orang Kubur Panjang 'nak mai rumah aku...." Cikgu Non membalas atau tidak, saya lupa. Namun saya ingat, semasa sampai di pintu pagar Maktab Mahmud, dia berkata, "Tak apa. Waktu rehat tengah hari 'ni, kita balik makan di rumah". Selalunya kami makan tengah hari di gerai sekitar Jalan Pegawai atau Simpang Kuala. Fahamlah saya....
Saya tidak berkata apa-apa. Nampaknya Cikgu Non tidak akan memberi perlindungan pada kali ini.....
Maktab Mahmud: Di blok ini kami berkursus |
Di dalam kelas pagi itu, saya tidak banyak memberi tumpuan kepada pensyarah di depan. Malah kebisingan atau senda yang dicetuskan oleh rakan-rakan lelaki terutamanya tidak langsung menarik perhatian.
Fikiran saya sedang mencipta skrip untuk tengah hari nanti. Bagaimana akan saya hadapi mata-mata yang ingin menengok saya? Inilah balasan agaknya atas kegembiraan saya berjaya mengelak daripada pergi ke rumah bakal besan emak ayah minggu lalu!
Tengah hari itu, sebaik masuk waktu rehat, jam 12.00, saya dan Cikgu Non terus balik. Saya rasa seperti terlalu laju pula tunggangan Cikgu Non kali ini. Sekejap sahaja, kami sudah sampai di depan rumah. Cikgu Non meninggalkan saya dengan janji untuk datang semula pada pukul 1.45 nanti.
Di dalam rumah, di ruang tamu, kelihatan tukwan, tuk, emak, ayah serta beberapa ahli keluarga - termasuk Paknjang dan Paklang - duduk-duduk sambil berbual biasa. Tiada kelibat orang luar. Baru saya perasan, di luar rumah pula tiada bayang kereta yang asing. Mereka sudah sampai dan sudah balik atau tidak jadi datang? Saya meneka sambil menyedapkan hati. Waktu sudah melebihi jam 1 tengahari.....
"Hang duduk dulu. Sat lagi depa sampai la 'tu..." kata tukwan seolah dapat membaca gelodak di benak saya. Dia tukwan saya. Garam yang dimakannya tentu lebih banyak dari yang saya makan.....
"Tapi, sat lagi Non 'nak mai ambik 'dah. Masuk kelas pukul dua....." Saya cuba memberikan rasional.
"Takkan lewat sikit pun tak boleh?" Satu soalan yang saya lupa dari siapa tapi berdasarkan nada suaranya itu mestilah dari orang yang berpeluh menjawab kenapa saya tidak ke Kg Tok Dam dulu...
"Kalau lewat, rugilah...." Saya membalas namun dalam nada yang agak kendur. Terasa benar alasan itu tidak akan diterima....
"Alah, tuang (ponteng) sepetang pun, tak akan depa 'nak kira....Pi sembahyang dulu!" Satu suara lain muncul. Suara emak. Nadanya... sahlah dia termasuk orang yang mendidih minggu lepas!
Saya tidak mahu mencipta sebarang jawapan lagi. Lebih baik, selepas solat, saya berdoa agar mereka selamat sampai selepas terlebih dahulu Cikgu Non sampai!
Sementara itu, dalam melangkah mengambil wuduk, di dapur, saya nampak beberapa lagi ahli keluarga sedang menyiapkan hidangan ......Ya Allah, janganlah pula hamba-Mu ini diminta makan pula dengan rombongan bakal mertua!
Jam 1.30. Salah satu doa saya dimakbulkan. Mereka belum sampai. Tetapi Cikgu Non pula agaknya sedang menikmati rokok selepas makan di rumahnya....
Ketika berharap agar Cikgu Non tercepat datang, dua kereta membelok ke kawasan rumah. Alamak!
Terjadilah apa yang sepatutnya terjadi. Rombongan sepuluh orang itu selamat sampai, seperti doa tadi. Rupanya doa itu ditambah oleh emak: selamat sampai sebelum saya menghilang....
Mereka dijemput masuk. Bersalaman dengan mereka, saya jadi gementar. Gelabah woiii! Mahu tidak menggelabah jika dua puluh biji mata merenung serentak ke arah saya. Direnung kaki dan tangan bagi memastikan tidak cacat, ditenung muka agaknya untuk dipadankan dengan yang di pihak mereka. Saya bukan model yang boleh dimatai oleh ratusan pasang mata, maka bertahanlah saya seadanya. Hendak terlalu tersenyum takut dikata tidak berapa cukup.....Hendak bertanya khabar seperti yang selalu dilakukan oleh penyanyi setiap kali muncul di permulaan konsert, takut dijawab: kalau tidak sihat, takkanlah kami datang ke mari! Hendak bertanya harga getah semasa, nampak sangat nanti saya bermata ringgitan! Lagi pula, dalam acara seperti hari itu, skrip sedemikian tidak pernah dibuat orang....
Diperkenalkanlah semua yang hadir itu, sebaik acara bertukar salam selesai. Semua duduk bersandar dinding, membentuk satu bulatan luas. Seorang yang agak menonjol di kalangan tetamu itu - kemudiannya saya tahu dialah sepupu bakal mertua - memperkenalkan ahli rombongannya. Ada bakal bapa dan ibu mertuaku, bakal adik ipar - satu-satunya, sepupu bakal isteri, emak dan bapa saudara mereka dua pasang serta dua jiran. Mata saya mengikut arah setiap yang diperkenalkan dan mata mereka SEMUA menghala ke arah saya.
Agaknya setiap mereka diberikan kuasa sebagai penilai atau juri, melihat saya dari sudut pandangan masing-masing. Sebab itulah agaknya, maka semua mata seolah melekat kepada saya. Manakala diri ini yang tidak biasa diperlakukan begitu hanya tertunduk, memintal-mintal kaki seluar. Namun dalam menunduk itu, sempat saya menjeling ke arah dapur. Berhampiran pintu pemisah antara ruang tamu dengan dapur, bersimpuh elok emak saya. Matanya juga menghala kepada saya.... Aduh..... Saya faham tenungannya, lalu mengangkat sedikit dagu, supaya semua tetamu dapat melihat wajah ini.... Hendak tersengih, takut dikatakan.... Aduh, sampai kini saya tidak dapat mencari frasa yang sesuai bagi menggambarkan keresahan hati tatkala dijadikan bahan tengok seperti itu. Agaknya beginilah rasa hamba-hamba yang dijual di pasar pada zaman dahulu. Malu tetapi tidak berupaya untuk berbuat apa-apa selain membatu untuk diperhatikan....
Ketika dihidangkan minuman panas dan kuih, "sebelum makan nasi", kata tukwan, terdengar enjin motorsikal Honda 70 Cikgu Non. Dari jarak 100 meter pun saya kenal derumannya. Motor bernombor plat KL 6285 itu juga bukan asing bagi emak dan ayah. Semua mata tertumpu ke arah luar rumah. Terima kasih Non. Saya tidak melihat jam di dinding, tapi pukul berapa pun ia, waktu pilihan Cikgu Non, cukup tepat!
Sebelum sempat emak berkata apa-apa, saya sudah bangun. Berkeliling, saya bersalam dengan semua yang ada. Sepuluh di pihak mereka dan hampir sama banyak pula di pihak saya. "Dia tengah 'duk kursus di Aloq Setaq!" Tukwan membantu mereka memahami duduk perkara. Saya hanya tersengih. Terima kasih Tukwan! Ketika bersalam dengan emak, genggamannya erat sekali - maknanya siaplah apabila saya balik petang nanti!
Tanpa memasukkan sepenuhnya kaki ke dalam sepatu, saya melompat ke atas motor Cikgu Non. Bahunya saya tepuk beberapa kali. Pertamanya, suruh dia cepat bergerak. Keduanya, tanda terima kasih atas ketepatan waktu sampainya. Ketiganya, tanda terimakasih atas ketepatan janji untuk datang... Buatnya dia terlupa atau sengaja meninggalkan saya, tentu catatan ini berlainan nadanya...
No comments:
Post a Comment