Thursday, May 22, 2014

Jerongkong Di Dalam 'Tupperware'

Apologi untuk pemegang saham Tupperware: Di tempat saya semua bekas makanan plastik, bulat atau empat segi, disebut TUPPERWARE walaupun bukan dari kilang tuan. Maka bekas dalam catatan ini pun saya sebut tupperware. Orang saya.... kalau mahu beli filem, minta Kodak, jika diberi Fujica atau Mitsubishi pun, dikatanya Kodak...

*****************************


"Ni Tokwan hang cukup suka...." kata Ndak sebaik terlihat buahtangan yang saya bawa petang itu.

"Apa dia?" tanya saya, sambil memerhati cucunya mencedok sedikit.
Ndak
Ndak

"Tak taula... Kami panggil jeghongkong [jerongkong]..." balas Ndak. Saya mengangguk walaupun dengarnya macam 'jerangkung'. Terus teringat jerangkung dalam almari yang Awie nyanyikan....

Ndak mencampurkan bahan yang disediakan bersama jerangkung itu lalu memakannya. Saya menelan liur....


************


Sampai ke malam saya teringat akan jerongkong itu. Tokwan suka. Tentu sedap.

Esoknya saya ke rumah Ndak lagi.

"Macam mana buat jeghongkong ......?" tanya saya.

"Alah...." Ndak memulakan kelas teori memasaknya. "Alah" itu maksudnya senang sangatlah jawapan kepada soalan saya tadi.

Berikut adalah transkrip ajaran Ndak:


Beras jawi kacau dalam air, bubuh air pandan sikit, bubuh garam sikit. Lepas likat [pekat], masukkan dalam daun pisang. Lengat sat. Lepas tu masukkan santan [sebagai kuah] dengan air gula merah. Kalau ada misan [manisan nipah] lagi sedap.... Tokwan hang dulu, kalau buka posa, kena jeghongkong seketui, kenyang dah....

Mudahnya!


Kenapalah saya tidak teringat langsung akan jerongkong itu?

"Tapi yang hang beli tu, kuah santan depa buat likat, nak jadi macam kepala tepung talam.... kalau kuah santan sedap lagi...." kata Ndak. "kalau kena dengan misan, lagi sedap...."

Saya menelan liur. Ndak? Entahlah, terliur sama atau tidak.


Yang saya belikan secara rambang di Jalan Tokai pada petang sebelumnya [tanpa tahu apa nama kuihnya], adalah siap di dalam tupperware. Bahagian bawahnya berwarna hijau, kepalanya putih. Disertakan juga sebungkus kecil air gula merah. Saya beli bersama satu tupperware bubur kacang...

Malamnya lagi, saya mengunjungi Pakcik Google.

Tiada kuih jerongkong, kata pakcik yang serba tahu itu.

Kut kuih jongkong kutt...tanya pakcik itu semula.

Saya mengangguk. Betullah. Secara rasmi di Malaysia dipanggil kuih jongkong. Ada macam-macam jongkong pula. Tetapi di lidah orang kampung saya, agaknya, diseramkan sedikit menjadi jeghongkong...

Keinginan pun membuak untuk merasa kuih jeghongkong itu.

Malangnya, sehingga petang ini, dengan setiap hari saya ke tempat insan yang menjual kuih di Jalan Tokai itu, tiada kuih tersebut. Bukan itu sahaja, mejanya pun tiada.....apatah lagi tuannya. Entah di mana pula dia berniaga.

Jadilah saya seorang pengidam...

Lalu terpaksalah saya membujuk tekak.

Ramadan kian dekat. Kalau Ndak sihat, saya akan meminta Ndak buatkan kuih jerongkong, sekali pun jadilah. Walau tidak tahu bagaimana keenakan kuih itu yang di dalam tupperware, saya yakin versi Ndak dengan resipi yang pernah Tokwan suka, tentu lebih sedap....


****************



Seorang pembaca pernah bertanya tentang Tokwan - Pakya, sebab katanya sesuai dengan nama blog, ingin juga diketahui siapa Pakya itu.

Maka buat permulaan, saudara, kenalilah salah satu kuih kegemaran Tokwan saya itu.

Kuih jeghongkong. 

Tapi bukan yang di dalam tupperware.....

No comments:

Post a Comment