Saturday, May 31, 2014

Malaysia Ke Separuh Akhir Piala Dunia dan Rumah Baru!



Rumah ayah telah melalui beberapa fasa renovasi sepanjang empat dekad.

Entah kali keberapa, renovasi pada tahun 1975 itu cukup saya ingat.

Kami enam beradik ketika itu.

Ayah menambah rumah dapur. Dapur kecil sebesar mungkin  10’ x 10’ dengan pelantar comel di hujungnya, ayah anjakkan jauh dari rumah ibu, bagi memberi ruang kepada  rumah tengah yang baru itu. Atau tepatnya, dari hanya ada rumah ibu dan dapur, ayah mahu menambah satu ruang lagi sebagai rumah tengah.

Rumah itu memang baru. Semuanya baru. Tiang, lantai dan dinding serta bumbung atap nipahnya. 

Setelah siap rumah baru itu, ayah letakkan pemidang dari anyaman buluh di tengahnya, membahagiduakan rumah itu. Menghala ke rumah Tokwan, ada satu pintu – serta pastinya satu tangga. Tangga itu anak-anaknya adalah kayu 4”x2”, kalau tidak silap. Dari pintu itu, kalau ke kanan ertinya ke rumah ibu, manakala ke kiri boleh terus ke dapur atau belok sedikit, di hujung pemidang, akan membawa pula ke bahagian sebelah lagi rumah baru tersebut dimana terletaknya katil emak ayah. Ertinya itulah bilik emak ayah. [Saya tidak tahu siapa pembuat pemidang tersebut, tetapi seingat saya semenjak belum ada rumah baru , pemidang buluh yang telah usang itu memang telah ada di atas rumah ayah, menjadi pemisah ruang tidur bagi rumah tidak berbilik itu…]

Bersandar pada dinding pemidang itu, betul-betul menghadap ke pintu adalah sebuah set-board dengan cermin bulat sebesar dulang atau talam penutup tempayan besar. Ada lukisan besar tiga kuntum bunga pada bahagian atas cermin set-board itu. Di situlah tempat kami berlangir berbedak…

Ruang antara set-board dengan pintu ke dapur itu boleh dikatakan sebagai ruang serbaguna. Di situlah tempat kami sekeluarga menghadap makanan, di situlah tempat ahli keluarga – adik beradik emak ayah – bersembang jika bertandang, di situlah tempat emak membalut ketupat atau menyediakan adunan kuih kerana ruang dapur memang hanya muat untuk memasak….

Di situ juga tempat emak mengajar kami pelajaran agama atau membaca al Quran.. Tidak akan saya lupakan betapa emak menuturkan pelajaran fekah dan tauhid. Emak akan menyuruh kami menyalin apa yang disebutnya. Dalam tulisan jawi. Maka bagi yang belum mahir dalam tulisan itu, akan bergegas ke balik pemidang, lalu meminta emak menyebut semula, dan dengan pantas menulisnya dalam tulisan rumi…

Di ruang itulah kami menghadam sifat 20[siap dengan wajib dan mustahil bagi sifat Allah], sifat rasul, rukun serta semua yang berkaitan dengan sembahyang…

Ruang itulah menyaksikan pada satu hari Khamis, pada hujung tahun 1976, dengan tangannya masih penuh sisik ikan yang disiang di ruang dapur, emak memegang kepala saya lalu mencium dahi dan pipi anaknya ini, yang membawa pulang keputusan peperiksaan SRP…

Di ruang itulah, pada satu malam, saya terlena di atas ribaan Toktih Che Ah, kakak Tokwan, kerana terpesona pada cerita-ceritanya tentang masa silam keluarga ,tatkala berbual dengan emak. Itulah agaknya kali terakhir saya/kami berjumpa dengan Toktih Che Ah [yang saya panggih Toktih Ah sahaja]. Dia bermalam di rumah ayah sepanjang persediaan hari perkahwinan Paktam pada tahun 1981 itu. Ada fotonya sehari selepas kenduri, selepas sarapan, dalam acara bersalam /berkenalan dengan pengantin – Paktam dan Maktamlah tu…Sayangnya foto itu telah terkubur di perut anai-anai sebelum dikuburkan di perut bumi…Tetapi saya masih ingat Toktih berbaju biru dan berselubung putih pada hari itu, membelakangkan dinding rumah ibu Tokwan, yang menghadap ke rumah ayah, sebagaimana tertera di dalam foto berkenaan.[Kebiasaannya Toktih akan datang ke rumah Tokwan dan rumah ayah tiga empat hari sebelum atau selepas ke rumah anaknya di Sungai Nonang].

Saya tidak ingat tahun rumah itu kemudiannya diubah/dibaikpulih.

Yang pasti ketika kenduri perkahwinan Paktam, rumah itu masih ada.

Yang lagi pasti, rumah itu dibina pada tahun 1975.

Kenapa saya begitu pasti dengan tarikh pembinaannya?

Ada sebuah radio transistor berwarna merah di rumah ayah. International jenamanya. Dengan bahagian dinding belum berpaku, ayah gantungkan radio itu pada salah satu rangka jenang tingkap. Saya duduk di atas bendul rumah ibu. Tokwan pun ada, bersandar pada tiang seri rumah baru ayah, menyilang kaki. Ayah berhenti bertukang, bersandar pada tiang berhampiran pintu yang menghala ke rumah Tokwan itu.. Emak yang tidak peduli sedang memasak di dapur. Cukup indah panorama itu dalam bingkai kenangan.

Tidak seorang pun bercakap kerana kami bertiga memokuskan pendengaran kepada radio. Agaknya itulah kali pertama dan terakhir kami boleh bertahan amat lama mendengar radio tanpa bergerak dan bersuara.

Semuanya kerana Piala Dunia!

Malaysia bermain di peringkat separuh akhir pada petang itu. Menentang India. Tetapi tewas. Pada penentuan tempat ketiga dan keempat, kemudiannya, juga Malaysia tewas. India menjuarainya.

Ya. Malaysia pernah menjadi pasukan keempat terbaik di Piala Dunia!

……………
Piala Dunia Ketiga
berlangsung di Malaysia
……………..

Itu saja yang masih saya ingat lagu berentak march nyanyian Jamaluddin Alias yang mempromosikan kejohanan Piala Dunia di Kuala Lumpur itu.

Tiada tv di rumah Tokwan apalagi di rumah ayah.

Hanya radio itulah perantaranya. Tidak pasti siapa pengulasnya ketika itu. Mungkin Baharin Tahir atau Zulkarnain Hassan atau Karim Mohammad.

Beberapa hari sebelum kejohanan, saya sudah teruja membaca akhbar tentang kedatangan skuad negara luar. Akhbar akan menyenaraikan nama semua pemain serta gambar masing-masing. Saya paling teruja dengan pasukan Pakistan. Ada nama Islamnya. Di antaranya adalah Manzur Hassan, Akhtar Rasool. Tetapi paling saya suka nama Islahuddin….Entah mengapa…..

Skuad negara 1975
Seluruh negara bergembira apabila buat pertama kali Malaysia layak ke peringkat separuh akhir. Piala Dunia, dik. Kena bersaing di peringkat kelayakan, bukannya main jemput-jemput macam kenduri arwah. Nama-nama pemain kebangsaan mula meniti di bibir. Saya masih ingat nama-nama Poon Fook Loke , M Mahendran, Brian Sta Maria, K Balasingan, A Francis, Franco d'Cruz, Khairuddin Zainal, Sri Shanmuganathan [kapten] dan Len Oliviero…

Maka tidak hairanlah jika kami tidak bersuara sepanjang perlawanan berlangsung. Daya imaginasi yang kuat membuatkan kami seperti nampak setiap pergerakan pemain, selari dengan ulasan di radio. Jatuh, bangun, bersemangat dan kecewa pemain dapat kami bayangkan kerana hampir tidak terhenti ulasan berjalan. Entah berapa cawan liur pengulas jika dikumpulkan sepanjang perlawanan itu, terutamanya ketika Malaysia membuat serangan…

… dan Malaysia kalah …

Itulah juga kali terakhir negara layak sehingga peringkat empat terbaik …

Piala Dunia sedang berlangsung di The Hague, Belanda ketika ini. Malaysia layak ke kejohanan kali ini. Entah edisi yang keberapa.Tetapi melihat senarai lawan, seperti Australia dan tuanrumah, kita tidak boleh mengharapkan keajaiban sangat...

Yang pasti, edisi ketiga kejohanan hoki Piala Dunia telah berlangsung di negara kita, Malaysia.

Pada tahun 1975.

Tahun pembinaan rumah baru ayah…

Baca bersama Piala Thomas a.k.a Piala Tomoih!

No comments:

Post a Comment