Saya terlalu kecil untuk tahu erti kegembiraan menjulang
Piala Thomas ketika Malaysia memenanginya pada tahun 1967. Perlawanan yang
penuh kontroversi itu berlangsung di Istora Senayan, Jakarta dengan Malaysia
menewaskan pasukan tuan rumah Indonesia!
Saya hanya ternganga mendengar ayah bercerita beberapa tahun
kemudian [ketika berteduh di bawah pokok pudak, berehat sebentar dari kerja meramu [maaf, saya tidak tahu
kalimat lain]rumput, di dalam bendang ayah di Kuala Kangkong].
Ayah pula bukanlah mendapat cerita itu dari liputan akhbar
atau siaran langsung di tv. Dua media itu terlalu asing bagi ayah, malah
mungkin tiada pun siaran langsung tv ketika itu. Ayah MUNGKIN mendapat cerita
tentang kejuaraan badminton terunggul dunia itu dari RADIO – juga benda asing bagi ayah adik
beradik atau sekeluarga. Saya katakan
MUNGKIN kerana terlupa bertanya hal itu
kepada ayah. Tanpa akhbar dan tv, apa lagi media yang ada sehingga ayah dapat
bercerita dengan agak terperinci tentang kejohanan tahun itu, sambil kami menjamah
bekalan di bawah pokok pudak itu. Semasa itu, saya tidak merasakan penting
untuk bertanya sumber ayah. Lagi pula mulut saya selain dari ternganga
mendengar, hanya digunakan untuk mengunyah bekalan…
Rumah Tokwan tiada radio. Malah seluruh kampung juga tiada
radio, kecuali di sebuah rumah. Rumah Haji Pendek bin Haji Saad. Di atas tangga
rumah Hj Pendek itulah seluruh warga kampung yang berminat mendengar siaran
radio, bertumpu. Ayah mendengar tentang
perlawanan akhir itu di radio rumah orang ada-ada itulah, gamaknya.
Juara 1967 |
Malah, kata ayah, setiap ada drama radio [seminggu dua kali]
di depan tangga rumah Toknjang Hj Pendek [panggilan kesemua budak
kampung kepada Hj Pendek] itulah mereka berkumpul, mendengarnya …. dan
berimaginasi….
Bab mendengar radio pun saya ternganga mendengarnya,
apalagilah perincian ayah tentang kemenangan Malaysia menundukkan Indonesia
pada tahun 1967 itu, hanya dua tahun selepas konfrontasi dua negara berkenaan.
Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan pemain dan kontinjen negara ketika
itu – menang di gelanggang lawan. Pastinya lebih perit daripada yang dialami
oleh skuad bolasepak Malaysia yang memenangis Piala AFF Suzuki pada tahun 2010
lalu….
Piala Thomas ketika itu dilangsungkan tiga tahun sekali.
Bermula 1984, [selepas kemasukan China ke dalam IBF pada tahun 1982], barulah
kejohanan itu diadakan dua kali setahun, bersama Piala Uber [untuk pemain
wanita].
Kejohanan tahun 1970 diadakan di Malaysia – tepatnya Kuala
Lumpur. Kali ini rumah ayah sudah ada radio transistor – saya tidak ingat siapa
yang belikan – tapi yang pasti siaran langsungnya saya dengar di atas rumah
ayah. Saya tidak ingat sangat akan keputusan perlawanan itu, yang pasti
Malaysia pula yang kalah di final. Indonesia ada Rudy Hartono – legenda
badminton yang mengungguli keselurannya hampir 10 kali kejohanan All-England
[kejohanan badminton individu tertua dunia], manakala Malaysia ada Punch
Gunalan, Ng Boon Bee, Tan Aik Huang, Tan Aik Mong serta Abdul Rahman Mohammad.
Perlawanan lain saya tidak ingat sangat, tetapi perlawanan melibatkan Abdul
Rahman Mohammad tersimpan kukuh dalam ingatan. Betapa tidak, dua malam
berturut-turut, pemain tunggal Melayu itu termuntah semasa bertarung.
Berkali-kali. Berkali-kali pulalah pengulasnya [ mungkin Baharin Tahir atau
Zulkarnain Hassan] memaklumkan kepada pendengar akan keadaan pemain tersebut.
Entah di mana silapnya pemain perseorangan itu tidaklah diketahui hingga kini…Beliau tewas kepada Rudy Hartono pada malam pertama dan kepada Muljadi [sebutannya: Mulyadi] pada malam berikutnya...
Betapa saya tidak akan lupa kata-kata ayah: Malaysia tomoih
[tersungkur]!
Barang diingat, di kampung saya, sejak saya mula tahu
melangut orang bersembang, hampir semua peminat sukan menyebut Piala Thomas
dengan slanga tersendiri: Piala Tomoih….
Kejohanan tahun 1973, Malaysia gagal ke final. Indonesia
memenanginya setelah menewaskan Denmark, di Jakarta.
1976.
Tahun ini istimewa. Ada siaran langsung di tv!
Sejak pusingan kelayakan di Lucknow, India, sudah ada siaran
langsung.
Ketika itu BAM diterajui oleh Encik KJ [arwah Tan Sri Khir
Johari – mantan menteri cabinet zaman Tunku]. Saya ingat bagaimana dalam sidang
akhbar, Encik Khir yang memakai baju batik berbunga halus, tidak pasti warnanya
[maklumlah tv pun masih dua tahun lagi baru ada warna-warni], berkata baju itu
ada ‘tuah’ sebab setiap kali dia memakainya, Malaysia menang. Maka dia berjanji
akan memakainya sepanjang kejohanan. Benar, tuahnya ada. Malaysia berjaya ke
final, yang diadakan di Bangkok. Benar, Encik Khir memakainya samapai malam
final. Tapi tuah itu tiada dalam dua malam final tersebut. Malaysia kalah 0-9!
Juga kepada Indonesia. [Selama ini pun hanya Malaysia dan Indonesia yang
memegang piala berkenaan]
Dua malam?
9 perlawanan?
Jangan tidak tahu, ketika itu memang kejohanan berlangsung
embilan perlawanan. Terpaksalah diadakan selama dua malam, baik peringkat awal
atau final.
Formatnya ialah dua pemain perseorangan dan dua pasangan
setiap pasukan akan bertemu secara menyilang dalam dua malam tersebut. Hanya
perseorangan ketiga akan bermain sekali pada malam kedua [terakhir]. Mudahnya
difahami: Perseorangan A Malaysia bertemu perseorangan A Indonesia. Begitu pula
pasangan A, perseorangan B dan pasangan B masing-masing. Lengkap 4 perlawanan
pada malam pertama. Malam kedua, yang A akan bertemu B pasukan lawan, baik
perseorangan atau bergu. Diakhiri dengan perseorangan ketiga [C}.
Sebab itulah ada keputusan 5-4, atau 6-3, atau 7-2 atau 8-1
atau 9-0.
Menariknya, walapun sudah mendahului 5-0, perlawanan masih
diteruskan sehingga tamat semua sembilan perlawanan. Demi maruah pasukan, pertarungan
tetap sengit meski pun, secara keseluruhan, pasukan sudah ketinggalan 0-5 mahu
pun 0-8!
Pada tahun 1976 itu, saya bersama ayah menonton perlawanan
akhir dua malam di dua rumah anak Toknjang Hj Pendek – Baharom dan Hj Saad.
Tidak ingat pula kenapa begitu jadinya. Mungkin ayah mahu berlaku adil kepada
dua rakan sekampungnya itu…
Saya masih ingat nama hampir keseluruhan skuad tahun itu:
Phua Ah Hua, James Selvaraj, Cheah Hong Chong, Dominic Soong, Moo Fot Lian, Kwek Chew Peng….
Biasalah. Macam anak sekarang yang kenal Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Darren
Liew….. Samada mereka akan ingat nama tersebut untuk empat dekad akan datang,
terpulanglah kepada berapa GB memori masing-masing……
Selepas penyertaan China dalam Piala Thomas, Malaysia hanya
menelan liur sepanjang dekad 80-an. China dan Indonesia seperti bergilir
menjuarainya dalam kejohanan dwi tahunan itu.
1992.
Ini tahun istimewa untuk skuad Malaysia. Di Kuala Lumpur,
kita menjuarainya setelah kemarau kejuaraan
selama suku abad!
Siapa pada zaman itu dapat melupakan bingitnya Stadium
Negara tatkala Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang mendapatkan mata kemenangan
negara. Wong tat Meng yang bermain untuk melengkapkan jadual mungkin boleh
menceritakan bagaimana lambatnya masa bergerak untuk dia mengalah bagi
memberikan keputusan keseluruhan 3-2.
Sebelum itu, Rashid Sidek menewaskan Ardi Wiranata pada game pertama sebelum disamakan oleh
Indonesia setelah dua abang Rashid – Razif dan Jalani – tewas kepada bergu
utama Indonesia. Masih ternampak lagi
bagaimana salah seorang pemain lawan itu menggoyang punggungnya setelah berjaya
mengikat kedudukan.
Kemudian muncul ‘kuda liar’ Foo Kok Keong yang tidak
mengenal penat menguasai seluruh gelanggang, menewaskan pemain yang lebih muda
darinya, Alan Budi Kusuma.
Kami melompat kegirangan pada dinihari itu bersama seluruh
rakyat Malaysia. Suara Hasbullah Awang yang menyebut dengan tepat waktu
pasangan Soon Kit –Beng Kiang mendapat mata penamat, tenggelam.
Kami?
Ya, kami.
Tapi bukan saya dan ayah, seperti tahun 1976 dulu. Ayah
mungkin menontonnya bersama rakan-rakan sekampung – Wak, Pakndak Noq, Baharum
atau Pakngah Lazim….
Saya menonton di rumah Paktih, di Gurun. Entah kenapa, malam
itu, Paktam mengajak saya ke rumah Paktih untuk menyaksikan final Piala Thomas
tersebut.
Bergembiralah kami bertiga malam itu bersama jutaan rakyat
Malaysia yang lain.
2014.
Malaysia masuk final buat sekian kalinya.
Petang itu, saya hanya bertanya keputusan pertemuan Dato Lee
Chong Wei dari anak rakan sekampung. Sekali pun saya tidak cuba menjeling ke tv
yang berada di dalam rumah rakan itu.
Jam lapan malam lebih, saya diberitahu kedudukan terikat
1-1.
Saya tidak juga
melihat ke kaca tv. Saya cuba mengalih tumpuan, membelek buku terjemahan Bahkan Malaikat Pun Bertanya tulisan Jeffrey Lang….
Melepasi jam 10, difahamkan kedudukan terikat 2-2.
Saya ke rumah adik, berjumpa anak yang singgah di situ.
Mujurnya, mereka sedang melihat satu program orang cuba buat lawak di siaran
lain….
Tamat acara yang mengundang tangisan di dalam hati itu, saya
mengajak anak ke kedai makan di seberang jalan. Bimbang kalau ada seseorang
menekan punat menukar ke siaran langsung dari New Delhi…
Semua gerai yang kami lintasi ada peti tv. Semua tv
memancarkan siaran langsung perlawanan perseorangan ketiga – perlawanan
penentuan.
“Kita cari yang
takdak tv….” Kata saya. Si anak akur…
Akhirnya kami singgah ke gerai nasi kandar yang taukenya pun
tidak pernah melihat pengandar….
Tiada tv. Yang ada hanya beberapa pelanggan dari spesies tak
akan kisah sekalipun Malaysia bermain dalam perlawaanan akhir bolasepak Piala
Dunia FIFA….
Kami memilih lauk.
Kami makan. Berulam air dingin.
Kami bersembang sekitar 300 patah kata.
Selesai makan, anak membuat pusingan U untuk kembali ke
rumah ibu saudaranya. Saya mengajaknya berjalan melalui jalan lain. Biarlahjauh
sedikit, asalkan tidak melintas di depan gerai yang ada peti tv.
Di rumah adik, tv telah ditidurkan.
Lega.
“Tah cuti apa esok…” kata adik yang dalam telekung, sedang
menghampar sejadah.
“Awat? Menang ka?”
tanya saya.
“Dak lagi. Baru seri ….” Maksudnya akan ada set ketiga…
Agaknya adik tidak dapat menonton dalam tekanan, maka dipadamnya tv…
Saya tinggalkan anak yang mahu bermalam di rumah adik.
Saya tinggalkan rumah adik.
Saya tidak tahu keputusan perlawanan sehinggalah ada berita
di radio pada jam 1 pagi…
Malaysia tomoih…
Jam 8 pagi, ketika bertemu beberapa kawan yangmembuat
analisis bebas perlawanan akhir
tersebut, saya hanya mendengar. Saya belek laporan akhbar sekali lalu. Kepada
yang bertanya, saya ceritakan apa dan bagaimana keadaan saya ketika perlawanan.
Mereka tertawa.
“Tertekanlah tu…” demikian semua kesimpulan dari para
penganalisis yang serba tahu itu.
Biarlah.
Mereka tidak tahu.
Mereka tidak akan percaya pun kalau saya beritahu.
Sebenarnya, sejak mula, saya tidak kisah sangat hanya Astro
yang mendapat hak penyiaran Piala Thomas. Tv di rumah saya tidak pernah dikaitkan
dengan syarikat kepunyaan Ananda Krishnan itu…
Tetapi apabila tahu bahawa RTM telah diberi izin oleh Astro
bagi menyiarkan final supaya segenap rakyat dapat menontonnya, saya jadi tidak
menentu.
Saya buat keputusan untuk tidak menonton. Bukan kerana tidak
tahan dengan debaran. Saya pernah melalui detik kekalahan – malah menunggu
hingga kekalahan pada sembilan game!
Saya pernah merasai detik kemenangan, ikut bersorak puas..
Tapi final kali ini terasa sedikit lainnya.
Ada sesuatu menggugah emosi dan memori…
Saya ingin mencatat sehingga final 1992, sebagai entri
menjelang final 2014. Niatnya selepas itu, saya akan berlapang dada untuk ikut
menonton Dato’ Lee Chong Wei dan gengnya berhadapan dengan anak didik legenda
Korea Selatan – Park Joo Bong. Apa pun keputusan akan saya terima, kerana
khabarnya ketika masih di bumi Malaysia, hampir tiada media serta peminat sukan
yang menaruh harapan tinggi kepada skuad negara…
Tapi, entahlah. Saya
tidak melakukan apa yang diniatkan itu. Emosi dan memori benar-benar tergugah.
Siapa akan percaya, bahawa kali ini, tatkala saya membuka
lipatan sejarah panjang Piala Thomas dalam lingkungan peribadi, ada dua sosok
muncul. Kedua-dua sosok itu meninggal berselang 40 hari pada tahun 1997……
Saya benar-benar terkenangkan ayah dan Paktam.
Baca juga Malaysia Ke separuh Akhir Piala Dunia!
No comments:
Post a Comment