Hujung 60-an hingga awal 70-an, di kampung saya belum ada
bekalan elektrik. Lain tahun saya cerita bab berkenaan elektrik dan
saudara-maranya.
Kali ini saya mahu berkisah tentang pemain piringhitam.
Sepanjang pengetahuan saya, ketika itu, hanya di rumah Abdul Hamid Mohamad sahaja ada benda alah tersebut.
Kerap juga saya ke rumahnya untuk mendengar lagu-lagu dimainkan. Abdul Hamid
ini masih bujang. Orang kampung memanggilnya Mid Chek
Ne, entah dengan alasan apa. Dia sepupu dengan kawan sembang Paktam
serta ayah, Ramli Ahmad a.k.a Not alias Wak. Kenapa Ramli
menjadi Not dan Wak, tidak juga saya tahu alasannya…
Mid Chek Ne banyak menyimpan piringhitam lagu-lagu Hindi. Saya
hairan kerana tahu kami sebangsa dan sebahasa – haram sepatah tidak faham
bahasa Hindi! Biarlah! Kalau ada lagu melayu yang saya ingat hanyalah dari
album M Shariff,
Hussain Marican, Zaleha Hamid dan Jasni –
kebanyakannya dengan lagu berentak atau
sememangnya saduran lagu Hindi. Maka setiap kali saya muncul di rumahnya, Mid
Chek Ne akan memasang lagu nyanyian mereka – di antaranya Lodeh
Mak Lodeh serta Jasni dan Zaleha [
lagu asal Hasan dan Hasnah] dari duet Jasni
dan Zaleha, atau nyanyian solo Zaleha [Jangan
Tenong2, Gadis Zaman Sekarang dan Sepekan Di Tanjung Pinang], atau M Shariff dengan
saduran lagu dari filem Sangam…
Saya hanya boleh mendengar walaupun keinginan untuk menyentuh
dan mengoperasikan
pemain piring hitam itu membuak-buak… Tapi saya faham, jarum pada
alat itu terlalu kecil dan sensitif. Silap-silap boleh patah atau rosak. Paling
jauh pun saya hanya dibenarkan menyentuh dan membelek kulit album. Habis beberapa
lagu – apalagi kalau habis bateri,
saya akan tahu diri – beransur turun dari rumahnya lalu balik…
Demikianlah.
{ Mid Chek Ne itu sebaya Paktih dan telah bercucu, kini menetap
di Perak}.
Sementara itu di Madrasah AlFalah, berdekatan rumah kami,
tinggal keluarga Tuan Guru Hj Hussain yang
saya panggil Toksu. Toksu menjadi mudir Madrasah itu setelah dua pengasasnya,
anak saudara Toksu – Ustaz Azizan dan Ustaz Fauzi – masing-masing berhijrah dan
membuka sekolah di Kg Baru, Alma, Bukit Bertajam serta Sungai Yan, Kedah. Salah seorang anak
Toksu, Abdul Jalil, meminati lagu Inggeris,
walaupun asasnya dia bekas pelajar Madrasah AlFalah. Jalil ini juga sebaya
Paktih, kini tinggal di Kajang, Selangor. Apabila mengetahui Mid Chek Ne
mempunyai pemain piringhitam, Jalil mahu
meminjamnya untuk mendengar lagu dari album yang baru dibeli. Saya lupa tajuk
lagu atau penyanyinya, kalau tidak bolehlah dirujuk kalau-kalau ada di dalam
simpanan Youtube… Sekadar ingat muzik intronya
tidak memberi makna!
Satu hal menarik di sekitar kampung: payah orang biasa dapat/mahu
berkawan dengan anak tok guru. Ada rasa kekok dan hormat atau rendah diri.. Entahlah.
Mid Chek Ne izinkan pemain piringhitamnya digunakan oleh Jalil, tetapi untuk
dia menghantar ke kawasan AlFalah, susahlah sedikit. Akan Jalil pula tidak
pernah menjejak ke rumah Mid Chek Ne atau rumah lain sekitar situ. Mungkin ada
aturan tidak tertulis dalam hubungan kawasan rumah tok guru dengan orang awam…
Entah bagaimana saya boleh terlepas bebas antara kawasan rumah
Toksu Hj Hussain dengan kawasan sekitar. Maka sayalah yang terpilih untuk
membawa pemain piringhitam itu dari rumah Mid Chek Ne ke rumah Toksu, serta
memulangkannya semula pada sebelah petangnya. Saya cukup seronok! Di kalangan
rakan sebaya, hanya saya diberi izin menyentuh kotak peti nyanyi – baru
teringat istilah ini – Mid Chek Ne. Rakan-rakan akan mengiring saya penuh iri
tetapi sehingga pintu pagar kawasan Madrasah AlFalah sahaja. Sebaik nampak
kelibat Jalil, mereka akan menghilang …
Jalil menerima peti nyanyi itu lalu beriring dengan saya masuk
ke dalam kelas dalam bangunan melintang hampir dengan jalan ke rumah ayah dan
Tokwan. Seronok tidak terkata
membayangkan keadaan yang amat eksklusif itu….
Mula-mula saya diminta ke kedai Paknjang
Ad [arwah Hj Saad Md Ali] – kaum puak
Tokwan juga – yang terletak di tepi jalanraya, boleh dilihat dari rumah kami
atau dari kawasan Madrasah AlFalah. Di situ, saya membeli sekotak rokok Lucky Strike, sedikit gula-gula [untuk saya,
sebagai upah] serta semestinya 6 biji sel kering [bateri] Cap Kambing. Seperti satu syarat tidak tertulis
juga, Mid Chek Ne akan memberikan peti nyanyi tadi tanpa bateri. Bateri dibeli
oleh Jalil. Setelah puas mendengar, peti nyanyi beserta baterinya dibawa ke
rumah Mid Chek Ne. Besoknya, peti nyanyi itu tidak berbateri juga dari rumah
Mid Chek Ne. Jalil akan belikan bateri. Puas mendengar…… Begitulah setiap hari,
jika Jalil ingin menggunakan peti nyanyi tersebut. Sayalah yang berperanan ke
kedai itu serta berulang alik dari Madrasah AlFalah ke rumah Mid Chek Ne…..
Penat? Mana ada? Seronok lagi adalah!
Pertama, saya dapat makan gula-gula setiap hari. Kedua, hanya
saya yang dapat mendengar bersama Jalil akan lagu kegemarannya – walaupun
sampai ke sudah saya tidak dapat menyebut nama penyanyi dan lagu yang tertulis
di atas album itu! Ketiga, seronok menjadi ‘budak terpilih’ – dicemburui oleh
rakan-rakan. Keempat dan paling utama, saya makin tahu mengoperasikan peti nyanyi itu
walaupun sekadar di dalam kepala! Sampai ke akhirnya angan-angan boleh
meletakkan jarum peti nyanyi ke atas piring hitam tinggal menjadi angan-angan…
Maka tidak terkiralah gembiranya pada hujung dekad 70-an,
angan-angan itu menjadi kenyataan. Itu pun dalam keadaan tergigil-gigil dan
beberapa kali gagal! Sungguh!
Satu hari, Paktih, yang bercuti di kampung, membawa balik
benda alah itu dari Alor Setar. Kalau tidak silap jenama National. Bersamanya atau
terkemudian sedikit, Paktih membawa sebuah album LP yang saya ingat sampai
mati! Album Faridah M Amin. Manis sekali
wajahnya di kulit album. Kulit album tersebut – serta satu dua kulit album lagi [termasuk DJ
Dave dan H Nur Asiah Jamil]- masih ada
di dalam almari rumah emak setahun dua yang lalu, namun tidak dipedulikan
kerana tidak tahu nilai sentimentalnya serta tidak sangka akan ada blog ini!
Ketika itu elektrik telah merata diterima, tidak perlu lagi
menggunakan bateri Cap Kambing atau Cap Kucing [Eveready].
Saya membelek kulit album Faridah [pernah menjadi penyanyi
utama kumpulan nasyid Al Mizan yang terkenal itu] sedang Paktih memasang palam dua pin
peti nyanyi ke soket– hehehe – di tiang
berdekatan dinding di rumah ibu Tokwan, di antara lepau dan bilik Chik dan
Ndak. Paktih memainkan muka 1 album tersebut. Selepas itu, Paktih berbaring di
lepau yang tingkapnya menghala ke rumah emak ayah. Paktih mengiring
berbantalkan dua lengannya betul-betul menghadap pintu lepau/rumah ibu. Kakinya
diluruskan menghala kea rah mentari jatuh – arah kiblat.
Sambil mendengar lagu pada muka 1, saya membelek berkali-kali lagi depan belakang kulit album Faridah. Membaca nama
pencipta lagu serta penulis lirik [ada juga lagu lama yng tidak dicatatakan
nama penciptanya], malah nama penerbit album serta pencetaknya!
Akhirnya enam lagu pun habis didendangkan Faridah. Tiada satu pun yang dapat ‘menangkap’ hati saya, agaknya kerana baru pertama kali mendengarnya.
Akhirnya enam lagu pun habis didendangkan Faridah. Tiada satu pun yang dapat ‘menangkap’ hati saya, agaknya kerana baru pertama kali mendengarnya.
Paktih, yang makin enak berbantalkan lengan di lepau, menyuruh
saya mengoperasikan
peti nyanyi itu – angan-angan yang tertangguh hampir sedekad!
Menggigil tangan saya mengeluarkan piring hitam vinyl penyanyi
kelahiran Singapura itu dari atas peti nyanyi!
Saya letakkan kembali piring hitam di atas tempatnya. Kali ini muka 2. Sebaik diangkat kepala pemain yang berjarum halus di bawahnya, berpusinglah
piring hitam bersaiz besar itu. {Biasanya album LP mengandungi 12 lagu – enam
lagu setiap side, manakala biasanya album
berbentuk EP hanya mengandungi 4 lagu –
dua lagu pada setiap side. Saya catat
biasanya bagi lagu-lagu pop lazim. Kalau lagu dari Orkes
El Suraya, yang panjang sedikit durasi, misalnya, sebelah piring hitam EP hanya
ada satu lagu…}
[ Ketika membelek kulit album awalnya, saya membaca tajuk semua
lagu yang dirakamkan.
1
- Diam-diam Jatuh Hati
- Rahmat Aidilfitri
- Menyambut Kedatanganmu
- Menanti (Hari Minggu)
- Ibu
- Terang Bulan
- Mari Menyanyi
- Hari Raya Hari Mulia
- Di Hari Persandingan
- Tari Bunga Rampai
- Selamat Berbahagia
- Kudrat Allah
Pada keratan kelima, ada lagu Selamat Berbahagia. Lagu asal
nyanyian biduanita Indonesia itu [saya lupa siapa] pernah saya dengar. Lagi
pula kata emak - lama sebelum itu , tatkala mendengar radio - dalam lagu-lagu
cinta yang pernah didengarnya, inilah lagu yang agak Islamik
{istilah ini tentulah bukan dari emak, tapi maksudnya sefaham saya begitulah…}
Sebabnya? Hangpa baca lirik ini:
Selamat berbahagia
Kuucapkan kepadamu
Semoga engkau berbahagia
Di samping kekasihmu
Selamat berbahagia
Dengan kuiringi doa
Tetapkan iman tahan godaan
Dari segala cubaan
Janganlah kau cuba lagi
Mengenang diriku ini
Lupakan oh kasih
Peristiwa yang lalu
Dirikan mahligai kasih
Bina jangan sampai runtuh
Satu lagi pesan dan doaku
Allah jangan kau lupakan
Kuucapkan kepadamu
Semoga engkau berbahagia
Di samping kekasihmu
Selamat berbahagia
Dengan kuiringi doa
Tetapkan iman tahan godaan
Dari segala cubaan
Janganlah kau cuba lagi
Mengenang diriku ini
Lupakan oh kasih
Peristiwa yang lalu
Dirikan mahligai kasih
Bina jangan sampai runtuh
Satu lagi pesan dan doaku
Allah jangan kau lupakan
Hangpa ada? Tonton di sini.untuk menghayatinya... ]
Malangnya, kerana hanya melihat dan mengetahui teori, saya gagal membuatkan Faridah M Amin bernyanyi. Setiap kali saya mahu meletakkan pada keratin kelima itu, bunyi ‘tak’ terhasil dan piring hitam berhenti berputar perlahan-lahan.
Dua kali begitu.
‘Tak’
Tiga kali pun begitu.
‘Tak’
“Hang dok angkat tinggi buat apa?” tanya Paktih. Suara yang
keluar dari mulut yang terletak tidak jauh dari dua lengannya…
Empat kali pun, Faridah masih tidak mahu bernyanyi.
‘Tak’
“Hang dok caghi lagu apa?” mulut berhampiran dua lengan tadi
terus bertanya.
Lima kali…..
‘Tak’
“Bodoh!” kata mulut berhampiran dua lengan itu lalu bergerak
bersama seluruh tubuh menghampiri saya. Saya mengelak membri ruang kepada tuan
mulut itu. Sang tangan memegang kepala
peti nyanyi itu. Jarum pada kepala itu diletakkan pada track pertama side b
tersebut. Mudah sahaja muzik intro keluar diikuti suara Faridah yang lembut…
“Bodoh!” kata mulut tadi yang tidak lama kemudian dibawa sang
badannya kembali mengiring di lepau serta kembali berdekatan dua lengan …
hehehehe.
Pengalaman itu membuatkan saya ‘pandai’ mengoperasikan peti
nyanyi pada hari itu juga. Untuk beberapa lama kemudian, hanya saya yang
‘berani’ memasang peti nyanyi itu. Ndak dan Chik hanya berani mendengar. Tokwan
dan Tok juga tidak marah walaupun saya memainkan lagu-lagu hampir separuh siang
pada hari-hari cuti…
Selepas Paktih balik bertugas di Sabah, sayalah yang
mengendalikan benda alah itu. Paktam yang balik bercuti menambahkan koleksi
piringhitam. Ada yang ori dan ada [kebanyakan] yang pirate – istilah masa itu untuk album cetak rompak… Ada album
Ahmadi Hassan [yang masih menyanyikan lagu saduran Hindi – bukan nasyid seperti
hujung hayatnya, Sharifah Aini [solo serta bersama Broery], DJ Dave, Uji
Rashid, Ahmad Jais, M Shariff [masih dengan lagu saduran Hindi] dan lainnya.
Kebanyakannya dalam bentuk EP – empat lagu.
Lebih seronok lagi apabila Paktam membawa balik piringhitam
yang sudah jemu kawan sekampungnya – Ismail Hassan – dengar. Ada album kumpulan
De Westerlies [terkenal dengan lagu Gembala Lembu, D Latinos [ lagu Goreng
Pisang dan Nasi Kandar] serta Hussain Marican [lagu-lagu saduran Hindi], Sharifah
Aini [Selamat Malam…], Oma Irama dan Inneke Kusumawati [lagu Anaknya Lima – ketika ini Oma belum haji, maka digunakannya nama sebenar
itu. Selepas menjadi haji barulah bertukar kepada RHoma. RH itu maknanya Raden Haji {sekadar info, jangan diperkonon…}], S Ahmad/S Rohani
[Aku Tak mahu Dimadu dan Mari Bermain Tali] dan banyak lagi.
Saya sendiri pernah membeli satu album nyanyian Khatijah Idrus
– bukan kerana lagunya tetapi tertarik pada foto sang penyanyi. Ketika itu saya membelek album di kedai Sin Sin Records di Jalan Langgar, Alor Setar. Satu pembelian
silap, tidak berbaloi, yang amat dikesali. Tidak siapa pun yang ingin mendengarnya di rumah
Tokwan. [Maaf, Kak Kathy!]
Kemudian muncul album lain – bercampur yang asli dan pirate. A Azmi Othman a.k.a M Daud Kilau Kedah [yang saya ingat kulit albumnya, tiga dari empat lagunya, terbitan M Daud
Kilau, iringan orkes Uthaya Sooriyan…]. Album H Nur Asiah Jamil [Panggilan
Ka’abah dan Ibdak Binafsik], Orkes El Surayya dan Orkes Al Watan, tidak
ketinggalan.
Semuanya saya pasang secara bergilir, mengikut selera sendiri
serta permintaan Ndak dan Chik serta pasangan Tokwan dan Tok.
Tokwan dan Tok?
Ya!
Ya!
Ada satu lagu dari satu album yang bertajuk sama
dengan lagu itu yang wajib saya pasang setiap hari sejak dibeli. Kadang-kadang
tiga kali berturut-turut, sebelum dibenarkan dimainkan lagu dari album lain.
Itulah lagu yang membuatkan Tokwan dan Tok duduk berjuntai di tangga beranda
sambil menghadap arah mentari naik. Tokwan akan meletakkan lutut kanan ke atas
lutut kiri, lalu digoyang-goyang sedikit sambil merenung jauh – mungkin
mengingat dua anaknya yang memang tinggal jauh atau mengenang masa silam yang
makin jauh ditinggalkan…. Tok akan duduk di sisi Tokwan, diam mendengar lagu,
dan hanya kan bangun apabila Tokwan mengisyaratkan sudah boleh main lagu lain…
[Kalau saya tahu akan ada blog ini, sahih saya berani bertanya Tokwan semasa
itu, apa istimewanya lagu berkenaan…!]
Nyanyian M Daud Kilau dan S A Ayesya.
Bujang Bertemu Janda…