Friday, November 29, 2013

Kalau Boleh Pulanglah Selalu...


Khamis. 28 November.

Norhashimah mengambil masa yang panjang untuk membersihkan rumah tinggalan emak ayah. Disapunya lantai dapur dan ruang tengah serta depan yang berdebu, dipenuhi juga tahi cicak yang bukan sedikit. Dibasuhnya bekas - cawan, gelas, koleh, piring dan pinggan - yang terletak di rak. Berdebu dan ada tanda dihidu 'orang malam', katanya. Di bawah rak itu juga ada kesan debu.

Cicak-cicak pun  faham. Jika lantai dan setiap ruang rumah dibersihkan, maka akan adalah acara akan berlangsung di rumah itu.

Kenduri lagi? Bukankah belum pun sampai tiga bulan....

Bukan.

Sekarang musim cuti sekolah.

Besar kemungkinan rumah itu akan dikunjungi  anak menantu serta cucu-cucu emak ayah. Berapa keluarga yang akan muncul, belum pasti. Tetapi ura-uranya sudah ada.

Maka cicak pun faham. Untuk sementara nanti mereka mesti membuang najis secara berhemah. Bukan sesedap perut... Silap-silap tempat memerut, mereka akan dilastik hingga maut!

Nyamuk-nyamuk pun faham. Kalau boleh untuk semalam dua mereka mesti cuba menjauhi rumah tersebut. Kalau tidak lemah oleh asap ubat nyamuk, atau mati kena tampar, sayap nyamuk muda mungkin patah dihembus angin kipas yang dipasang pada kelajuan optimum...

Lipas-lipas pun kena faham. Semasa keluarga ini berkumpul, kesabaran mestilah di tahap tertinggi. Jangan sering muncul di lantai kalau tidak mahu mati dipijak atau disembur gas beracun. Sabar sedikit walaupun rasa lapar. Sehari dua kemudian, lipas-lipas akan beraya sakan!

"Orang Malam"? Kumpulan ini pun kena bersabar. Bukan lama rumah ini akan berkeadaan terang benderang dan sentiasa ada pergerakan manusia. Selepas ini, mereka boleh meneroka dan berlarian di setiap sudut rumah..

Ya, musim cuti telah tiba. Meski tidak lama diperuntukkan kepada rumah emak ayah, sekurang-kurangnya ada juga kunjungan.

Rumah ini akan 'bersuara' seketika. Mungkin tidak seriuh zaman emak, ayah dan Tokwan masih ada. Dulu, anak cucu riuh kerana bermain lasak-lasak, paling ringan pun main masak-masak.. Anak cucu zaman sekarang bermain dengan gajet. Perlu fokus, maka perlu main diam-diam. Cuma bukan pada waktu bermain sahaja, akan ada sedikit keriuhan...

Bila mereka akan pulang? tanya cicak, lipas, nyamuk dan 'orang malam'.

Entah. Mungkin nyamuk yang ada pada 28 November tidak sempat 'berjumpa', maklumlah, jangka hayatnya pendek. Tetapi mereka tetap ada zuriat yang terus membiak ...

Berapa keluarga yang akan balik? tanya makhluk Allah itu lagi.

Entah. Tertakluk kepada kelowongan masa dan cuti sebahagian anak-anak emak atau/dan samatua masing-masing.
Fahrul

Fahrul balik dak? Kali ini pertanyaan bukan datang dari cicak dan rakan-rakannya itu.

Itu adalah pertanyaan Tok kepada Norhashimah.....

Agaknya Tok sedang kangen bangat.....


Masih ada lagi, rumah lama tinggalan ayahanda

Bila aku pulang, masih lagi terbayang lakumu
Rasa wangi lagi, harumanmu ibu
Teringat ayah, di kamar yang tinggal



Ibu... aku telah dimiliki
Jauh... kutinggalkan desa ini
Pusaramu kusiram, kurasakan aku direstui
Apa yang kau berikan, aku kini rasa disayangi



Pulang abang, pulang saudaraku
Masih hijau, di desamu ini
Bayu masih, seperti dahulu
Hujan rintik, dihias pelangi



Ku mohon ampunmu, pinta ibu tidak kutunaikan
Kutinggalkan jua, desa ibu yang sangat kucinta
Harus kuikuti, tempat ku berpayung
Selepas kau pergi, kami yang tertinggal



Saudaraku, dengar nyanyianku
Kalau boleh, [p]ulanglah selalu

Thursday, November 28, 2013

S A B A H Di Rumah Tokwan



Saya tidak ingat sama ada piringhitam ep [45rpm] ini dibeli oleh Paktih atau Paktam. Mungkin juga Paktam dapatkan dari simpanan rakannya, Ismail Hassan, yang banyak memberikan koleksinya, termasuk album De Westerlies, Sharifah Aini dan M Shariff serta beberapa album lagu hindi.

Tetapi saya ingat jelas, semenjak Sabah datang ke rumah Tokwan, hampir setiap hari dia disuruh menyanyi. Ndak cukup menggemari lagu itu. Tokwan pun. Mungkin kerana lirik berbahasa  Arab. Makna liriknya? Entahlah.

Yang pelik sedikit tentang tentang kulit album dengan dua lagu sahaja itu, di bahagian belakang ada lirik lagu yang tersalah cetak. Dicetak terkalih walaupun album itu ori. Maka untuk membaca liriknya, saya letakkan kulit album itu di depan cermin ‘biru’ [almari] rumah Tokwan. Dapatlah dibaca lirik tersebut sambil mendengar suara Sabah – walaupun lirik tulisan jawi/arab biasa, tiada baris [I’rab] seperti  al Quran.

Bukan saya tidak mencuba bertanya Ndak atau emak tentang makna lirik lagu berkenaan, tetapi sampai ke sudah saya tidak temui jawabannya. Mungkin lirik bertemakan cinta maka mereka tidak mahu sebutkan di depan saya… Atau mereka tidak faham sepenuhnya makna lirik tersebut. Entahlah.

(Lagu arab , serta lagu ala arab seperti dari Orkes ElSurayya, pun banyak bertemakan cinta, bukan hanya lirik ketuhanan.  Dengar saja lagu Takdir, Pusara Kasih, Usah Dikenang  dan Selamat Jalan nyanyian kumpulan berasal dari Medan itu, misalnya. Orang kita pula pada masa itu, terutamanya ,asalkan bahasa arab sahaja atau ada a la- a la sedikit saja iramanya terus meminatinya tanpa mengerti makna. Lagu hindi pun demikian. Macam anak bangsa saya yang terhegeh-hegeh minat lagu Korea sekaranglah. Cuma bezanya sekarang mudah dijumpai terjemahannya…)

Lagu El Dini Doulab yang terdapat pada sebelah lagi piring hitam hampir tidak pernah saya diminta pasangkan setelah mereka mendengarnya ketika mula-mula Sabah sampai ke rumah Tokwan dulu. Mungkin tidak sedap di pendengaran mereka. Atau jarang terdengar di rumah-rumah kenduri, berbanding lagu yang satu ini – Ramani El Hawa.

Sebagai penyedap hati saya reka sendiri makna lirik itu semasa memainkan lagu tersebut.

Bang Mi
Ingat catatan tentang kenduri di rumah Tokngah Jaafar di dalam entri Dudur: Kegatalan Yang Terlampau?

Wa
Tokngah Jaafar ada empat anak perempuan [kalau tidak silap, dan itu pun yang saya pernah kenal] serta seorang anak lelaki – Paktam Chin {Hashim] suami Maktam Nab, emak saudara Bang Mi. {Kiranya Wa dengan Paktam Chin pernah berbiras…}

Anak sulung bernama Long [ relevan sungguh!], yang kedua tinggal di Alor Pulai tetapi saya lupa namanya waktu ini, yang ketiga – dipanggil Maklang – bernama Hawa, manakala seorang lagi yang dipanggil Maktih, bernama Romani. Maklang Hawa adalah emak kepada Mid Chek Ne yang saya catat dalam entri Selamat Berbahagia…. Bujang Bertemu Janda.

Maka saya reka dan teka tentulah lagu nyanyian Sabah itu ada kena mengena tentang dua anak Tokngah Jaafar – Romani dan Hawa…..

Chik terkekeh semasa saya terjemahkan untuknya lagu arab tersebut…. Matanya terpejam kerana tahu saya mereka-reka, sedang sayapula semacam terlupa Chik juga lepasan sekolah arab – pondok Haji Talib [Ihya’ Ul Ulum Ad Diniah] Simpang Empat… Sebelumnya pun saya pernah terjemahkan kalimat afa hina ka isma’u  [lebih kurang, dalam lagu Ibda’ Binafsik – nyanyian H Nur asiah Jamil] sebagai apa hinakah Id Saud…. Merujuk Said bin Saud, orang kampung kami yang kini tinggal di Charok Kudong.  Itulah kesannya kalau saya tanya makna, orang tak mahu jawab….

Entah bagaimana Sabah menghilang dari rumah Tokwan. Ketika menggeledah di internet, saya difahamkan album itu mempunyai nilai yang tinggi. Lihatlah harga awal ini:

o    $43.00 USD
o    $48.99 AUD
o    $43.63 CAD
o    €32.80 EUR
o    £27.89 GBP
o    ¥3595.35 JPY


Kalaulah dia masih ada… 

Dan kalau ia banyak keping pula. Dengan kulit yang sedikit ganjil yang mungkin kerana salah cetak, harganya mungkin lebih...

Saturday, November 23, 2013

Dudur: Gatal Yang Terlampau

Buah Dudur
Puas saya meminta Pakcik Google tolong carikan. Akhirnya terjumpa satu foto buah dudur. Katanya dijumpai di Kedah.  Alhamdulillah. 

Di kampung kami, buah dari pokok spesies palma ini dipanggil kedudur [kedudoq]. Tak kisahlah. 

Seluruh pokok ini boleh mendatangkan kegatalan - kata oranglah, kerana saya tidak pernah mencuba untuk menggatal dengan sengaja..

Getah dari buahnya yang sebesar buah cermai itu sahaja yang saya tahu memang boleh menyebab kegatalan kulit.  Tidak pula pasti adakah umbut pokoknya boleh dibuat kerabu seperti umbut rembia atau umbut kelapa. 

Ini pengalaman peribadi tentang buah yang tidak juga saya tahu samada boleh dimakan atau tidak.

Hari itu ada kenduri di rumah Tok Ngah Hj Jaafar sempena perkahwinan cucunya Ramli bin Ahmad, yang lebih dikenali di kalangan orang kampung sebagai Md Nor [Not], dan menempuh sebahagian usia pula sehingga akhir hayat dengan nama Wak. Jodohnya adalah seorang gadis putih serlah bernama Fatimah Taib. {Barang diingat putih itu kalau mahu disebut dalam cara generasi emak ke atas,  suku kata pertamanya mestilah sekurang-kurangnya tiga harkat, manakala suku kata kedua semoleknya dieja dalam huruf jawi dengan menggantikan 't' itu bukan dengan huruf ta sebaliknya huruf tha [ ط }

Saya tidak ingat sangat akan kemeriahan kenduri itu. Tetapi rasanya seperti kelaziman kenduri lainlah pada era itu - sekampung warga berkumpul sejak sehari dua, saling membantu termasuk membawa ayam seekor dua atau gula sekati dua atau susu setin dua atau beras segantang dua.

Era itu acara malamnya kadangkala lebih hebat. Dijemput orang berdikir, bernasyid, membaca alQuran dan kemuncaknya, bersanding pada dini hari [ini biasanya pada rumah pengantin perempuan]. Di kalangan keluarga saya, Chik dan Chu masih bersanding pada waktu malam, tidak pada dini hari. Chik bersanding di rumah Tokwan manakala awal sedikit tarikhnya, Chu bersanding di rumah Wa Isa/Wa Sarah [di Langgar]. Kedua-duanya pada tahun 1982.

Saya tidak tahu acara apa pada malam hari di rumah Tok Ngah Jaafar itu kerana buat pertama kalinya saya ditahan di rumah pada malam tersebut dengan alasan yang munasabah, yang akan saya ceritakan ini.

Abu Hassan Taha dari Kampung Perlis ,yang berjiran dengan kampung kami adalah ketua saya di segala bidang. Rumahnya boleh dilihat dari rumah saya. Hanya tujuh lapan petak sawan memisahkan rumah kami. Tapi kami warga kepada kampung yang berbeza. Dia ketua saya [dan rakan sebaya lain] kalau mahu menangkap ikan di kubang, mahu bermain bola di bendang ketika musim kemarau, menonton tv di sebuah rumah di tengah kampung....dan pelbagai lagi aktiviti.

Hassan ketua yang cukup adil dan tegas. Saya bagi satu contoh yang cukup membekas.

Tahu atau pernah lihat bola plastik berjalur hijau putih atau merah putih sebesar bola baling itu? Kami berkongsi seorang lima duit [lima sen] untuk membelinya di Kedai Ah Piang di Kangkong. Petangnya, kami bermain dengan puas di dalam bendang yang tunggul padinya kami cangkul buang bersama. Dua petang begitu. Seronok tidak tercerita. Petang ketiga, ada perkelahian sengit. Puncanya, seorang rakan sepasukan saya tidak mengaku bola terkena tangannya ketika berada semeter dari pintu gol kami. 'Lawan' yang ternampak, berkeras mahukan tendangan penalti.Saya dan beberapa lagi rakan sepasukan juga nampak kesalahan itu. Tetapi hingga sudah ditumbuk beberapa das oleh 'lawan' yang berang, rakan kami yang boleh tahan keras kepalanya, tetap tidak mahu mengaku. Hassan yang berada dalam pasukan saya, pulang ke rumahnya setelah pujukannya agar kedua-dua pihak berdamai, tidak diendahkan. Terjadi pergulatan yang kami sendiri hanya mampu menengok. Bergulingan badan dua kawan kami ini di atas tanah bendang, dengan kepala dipenuhi jerami padi...Sambil bertukar tumbukan dan kutilan, mereka berduet menangis!

Hassan datang semula. Di tangannya ada pisau lipat berharga lima sen yang selalunya di dalam bilik darjah, kami gunakan untuk mengasah pensil atau paling brutal, mengasah/mengukir pembaris kayu menjadi sebilah keris... Hassan tidak pedulikan dua rakan yang terus bergomol dan menangis itu. Dia mengambil bola yang adiknya, Ali, pegang, lalu duduk di atas batas bendang. Dibenamkan mata pisau ke tengah-tengah bola. Kemudian dia melangut sambil jari ditunjukkan ke arah setiap yang ada di kelilingnya - membilang ahli kumpulan. Maka dihirisnya bola plastik itu menjadi juraian sebanyak ahli kumpulan kami. Dapatlah kami seorang sejurai - termasuk dua rakan yang tiba-tiba berhenti bergumpal. Saya sendiri mendapat juraian berwarna merah.... Berjurai air mata kami ketika masing-masing melangkah pulang pada petang  hening itu....

Besoknya, kami berkumpul seperti biasa di rumah Tok Ngah Taha, ayah Hassan. Hassan menyuakan tapak tangannya dan kami yang seperti beratur meletakkan syiling lima duit seorang ke atas tapak tangan itu. Mengikut ranking, saya adalah orang kanan Hassan, yang kami panggil Chan. Sebagai orang penting, banyak kegiatan yang kami lakukan bersama. Berbasikal ke Kangkong [saya pemboncengnya] adalah yang paling lumrah. Maka petang itu kami berdua ke Kedai Ah Piang untuk membeli bola baru....

Namun petang hari kenduri perkahwinan Wak itu saya tersilap besar. Keseronokan sebagai orang nombor dua tidak bertahan lama...

Budak-budak sebaya saya berlarian gembira di laman rumah Tok Ngah Jaafar. Dari gigi bendang di depan sehingga ke bawah rumah, membawa ke gigi bendang di belakang rumah menjadi medan permainan. Walaupun sebaya, saya lupa apa yang menyebabkan kami berlarian gembira begitu. Lari saja-saja. Aku kuit hang, aku lari, hang ligan. Dia kuit dia tu, dia lari, dia tu ligan. Tetapi semuanya ketawa, baik yang menguit atau yang dikuit.

Begitulah.

Hassan yang tua dua tahun dari saya, muncul bersama setangkai buah dudur yang diambil dari pokok di kampung Tok Hj Seman - sebelah kampung Tok Ngah Jaafar. Dia berikan beberapa biji buah itu kepada saya. Dia tunjukkan sekali, secara manual, cara 'bermain'. Sambil berlari-lari, kami tekapkan bahagian bergetah pada buah itu ke mana-mana bahagian kanak-kanak lain. Dada, perut bagi yang tidak berbaju dan tengkuk bagi yang berbaju. Jika tidak ke bahagian tersebut, paling 'koman' kami tekapkan ke bahagian lengan atau pipi.

Kesannya tidak lama untuk dilihat. Semua yang terkena getah itu akan menggaru-garu. Hassan dan saya tertawa bersama kanak-kanak lain yang belum 'gatal'. Tidak lama kemudian, hampir semua tergaru-garu. Misi saya dan Hassan untuk melihat situasi sedemikian telah berjaya. Terkekeh-kekehlah kami ketawa melihat pelbagai gaya kanak-kanak lelaki perempuan menggaru tempat yang gatal.

Ada tangisan! Seorang menjadi dua, dan seterusnya makin ramai. Saya dan Hassan makin kuat ketawa. Ada yang berlari ke rumah Tok Ngah Jaafar, agaknya mencari ubat... Kami berdua terus ketawa ketika senja makin tua.

Tiba-tiba saya nampak telinga Hassan ditarik oleh sebuah tangan besar. Hassan berhenti ketawa. Saya pun.

Pakngah Lazim, menantu Hj Seman, yang rumahnya bersebelahan rumah kenduri mengheret telinga Hassan. Sebagai tanda kerjasama, seluruh badan Hassan pun ikut sahaja arah telinga ditarik - ke rumah Pakngah Lazim. Mulut Hassan mengaduh. Saya yang terkejut terus berlari sekuat hati apabila nampak Paktih Saad, adik ipar Pakngah Lazim, menghampiri saya pula dengan muka yang bengis.

Sup-sap-sup-sap. Saya berlari. Semua jalan pulang ada di dalam kepala. Saya berlari ke arah matahari naik, melompat parit kecil, melepasi rumah Pakcik Syup, sambil berpaling sekali dan melihat Paktih Saad seperti sedang mengejar. Saya lompat parit kecil lagi satu, melewati rumah Hj Seman/ Tok Hatiah, meniti titi buluh dua batang yang melintang di atas parit besar antara kampung Hj Seman dengan kampung Hj Yeh. Walaupun saya tahu tiada sesiapa lagi mengejar, saya tetap berlari terus, melintasi pula parit sebesar dua depa di antara kampung Hj Yeh dengan kampung Tokwan. Saya rasa selamat setelah berada di bawah rumah Tokwan. Sambil termengah-mengah, saya membuka baju lalu duduk di atas lesung di tepi tiang tengah rumah tengah Tokwan. Peluh membasahi badan. Mujur tidak sempat ditangkap Paktih Saad, fikir saya, kalau tidak......

Belum pun sempat saya selesai mensyukuri kemujuran serta memikirkan keberuntungan diri, telinga kanan saya terasa pedih akibat piatan dan pulasan dua jari kasar. Saya terkejut tetapi meronta akan hanya menambahkan kepedihan hati....errr... telinga. Dengan kepala yang terpaksa ditelengkan mengikut tarikan naik pada telinga, saya nampak wajah bengis ayah!

Ayah tidak berbaju, hanya sehelai kain cukin [basahan] melingkari tengkuknya. Kain pelikat yang dipakainya digulung sehingga ke paras lutut. Ada kesan selut pada hujung kain itu.

"Sapa ajaq tak senonoh 'ni?" kata ayah sambil mengheret telinga saya ke arah rumah. Seluruh badan telah berjanji untuk sehidup semati, maka semuanya mengikut telinga....

Emak yang sedang menaiki tangga dapur kehairanan. Mukanya basah tanda baru mengambil wuduk di telaga yang terletak di celah pokok nipah di belakang sedikit antara rumah Tokwan dengan rumah ayah. Emak bertanya sesuatu kepada ayah, yang menjawabnya sambil pulasan pada telinga rasanya macam dikuatkan. Ayah rupanya baru balik dari rumah Pakngah Lazim setelah berbual santai selepas hampir sekerat hari bergotong-royong di rumah kenduri. Dari situlah dia tahu duduk perkara...

Saya faham bahasa yang mereka gunakan tetapi tidak pun sempat saya berfikir, emak menggunakan bahasa tangan pula. Dipiatnya telinga kiri saya. Meski jarinya tidak sebesar jari ayah, tetapi pulasan tangan emak lebih menyakitkan. Maka jadilah saya seperti baton lari berganti-ganti. Sebaik saya mengaduh kuat hasil pulasan emak, ayah pun melepaskan jepitan jarinya ke telinga saya.

Lama telinga saya dipiat emak. Selama mulutnya tidak henti berkata-kata, memarahi saya. Saya mengaduh sambil menangis. Berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan bersama Hassan tadi. Tetapi emak tidak pula melepaskan tangannya sehinggalah datang penyelamat tidak terduga dari atas rumah. Ahmad Yadziz, anak ketiganya  yang berasa lama ditinggalkan menangis kuat secara tiba-tiba dan emak pun melepaskan telinga saya. Fuh!

Saya menggosok-gosok dua cuping telinga yang tidaklah cedera apa-apa bahagian dalamnya kerana masih boleh mendengar suara Tokwan dari atas tangga dapurnya. "Padan muka..." kata Tokwan. Saya memaling dan melangut, mendapati Ndak dan Chik terkernyih di tingkap rumah tengah Tokwan sedang Tok berada di belakng Tokwan di muka pintu dapur.

Saya mengesat airmata di pipi. Belum pun lama, sekali lagi ayah menggunakan bahasa tangannya. Seingat saya itulah kali pertama bahasa demikian digunakan Ditariknya telinga saya ke tepi telaga di celah pokok nipah, di bawah pokok keriang itu. Lantai papan tebal berkampuh tiga menerima badan saya tengan bunyi terkejut. Terpercik air limbahan di sekelilingnya. Tetapi ayah tidak berhenti di situ. Ayah menarik saya untuk duduk di atas kepingan konkrit sebesar almari lauk - tempat emak selalu gunakan sebagai alat menyental kain basuhan. Disentalnya seluruh badan saya dengan pulur sabut yang dipalit sedikit sabut Cap Kapak lembik yang emak tinggalkan di dalam timba terpakai, tergantung di satu tunggul nipah.

"Tang mana kena?" tanya ayah.

[Beberapa hari kemudian barulah saya faham, rupanya ayah menyangka badan saya juga terkena getah buah dudur seperti kana-kanak lain. Sebab itulah disentalnya seluruh badan saya apabila soalan tadi tidak berjawab. Mana boleh jawab sambil menangis .....]

Ayah tidak berkata atau bertanya apa-apa lagi. Dari hujung kaki sehingga ke tengkuk ditonyohnya pulur sabut bersama sabun basuhan itu. Saya teresak-esak menahan kepedihan serta ketakutan.

"Deen..."

Saya kenal bangat suara itu. Itu suara Hassan yang melintas di depan rumah kami untuk pulang ke rumahnya. Saya menghentikan esakan serta-merta. Takut kekananan saya di sisi Hassan terjejas kalau diketahuinya saya menangis...

Ayah pula secara tidak langsung membantu menghilangkan sedu-sedan yang berbaki dengan menjirus kuat air telaga ke atas kepala saya...Maka tidaklah dapat saya menyahut panggilan Hassan - sesuatu yang saya tidak mahu dan yang ayah tidak kan izinkan ketika itu.

[Beberapa hari kemudian juga barulah saya difahamkan bahawa Hassan mendapat pengajaran setimpal pada petang itu. Dagu dan dua sikunya dilumur getah buah dudur oleh seorang dewasa yang Hassan tidak kenal, di rumah Pakngah Lazim. Terkekeh-kekeh kami ketawa ketika Hassan menunjukkan cara dia menggaru dagu dan sikunya. Kalau tangan menggaru dagu, tangan kiri menggaru siku kanan. Kemudian bertukar servis, kata Hassan. Tangan kiri menggaru dagu, tangan kanan menggaru siku kiri.Bergilir-gilir servis bertukar. Sehingga melupas kulit dan sehingga terlena... Tapi saya bangga kerana kata Hassan, dia sedikit pun tidak menangis. Dan saya lebih bangga apabila di depan kawan-kawan kami, Hassan bercerita bahawa saya pun tidak menangis disental dan dipiat oleh ayah dan emak...]

Malam itu, selesai mandi, emak menyuruh saya masuk ke dalam kelambu. Buat pertama kali saya tidur dengan seluruh badan ditempek bedak sejuk. Tetapi mata sukar terpejam. Selain sakit yang bersisa, saya tertanya-tanya bagaimanakah meriahnya rumah kenduri malam itu... Sayangnya, kerana saya terlepas satu detik yang sejak berminggu-mingu ditunggu....

Namun akhirnya saya terlena juga apabila muncul satu wajah. Wajah Pakngah Lazim, yang meskipun pendiam orangnya, tetapi garang di mata saya...

Sejak itu, saya amat segan dengan Pakngah Lazim. [Satu jawaban tambahan untuk entri Ayah Di Antara Chan Tok Chin Dan Santokh Singh kenapa saya agak renggang dengan Pakngah Lazim...]

Nota:

Ketika menyiapkan entri ini, komputer mogok seketika. Saya mengambil peluang pulang ke sekitar Kangkong untuk menghadiri tiga kenduri. Di pertengahan jalan, sebelum sampai ke ban Padang Jambu, di sebelah kanan, saya nampak sepokok dudur di tepi jalan. Pokok yang telah lebih tiga dekad tidak saya jumpa. Betapa satu kebetulan. Malangnya, saya tidak punya gajet yang memungkinkan dirakam foto pokok dan buah dudur itu..... 

Tuesday, November 19, 2013

Ayah Di Antara Chan Tok Chin dan Santokh Singh

Santokh Singh
Kedah hanya mula masuk final Piala Malaysia [sejak diubah dari nama Piala Malaya pada hujung dekad 60-an] pada tahun 1987. Bermula di situ, Kedah layak lagi pada tahun berikutnya, dan berikutnya....Enam kali dalam tempoh 7 tahun.

Namun pada era lebih awal, Selangorlah yang mendominasi pentas akhir. Ketika itu, dengan tidak pernah boleh membayangkan Kedah akan berada di peringkat tertinggi arena bolasepak tempatan itu, Selangorlah pasukan kegemaran saya. Selain kerapnya mereka masuk ke perlawanan akhir, pasukan itu juga membekalkan hampir separuh pemain skuad kebangsaan. Lagi pula, jika pertemuan di final melibatkan pasukan jemputan, Singapura, semangat patriotik pula membuatkan saya menyokong Selangor...


Santokh dan Chin Aun 

Dalam pasukan Selangor - juga Malaysia - semua kaum terdapat di dalamnya, dengan masing-masing bermain bukan sekadar pelengkap kuota atau menjadi penumpang. Setiap yang dipilih mempunyai kebolehan,kemahiran dan kesungguhan yang diakui penyokong. Sebut sahaja R Arumugam [serta Rashid Hassan] di pintu gol, Soh Chin Aun di bahagian pertahanan, Reduan Abdullah di posisi tengah, serta pastinya Supermokh [Mokhtar Dahari] di barisan penyerang.


Selain daripada Soh Chin Aun yang berasal dari Melaka itu, pertahanan tengah Selangor/Malaysia menjadi milik tetap pemain tegap berjersi nombor 5 - Santokh Singh.


Saya bukanlah mahu mengulas corak permainan atau kisah peribadinya. 


Cuma, saya terkenang satu detik bersama ayah, di kampung kami.


Di kampung kami, elektrik menjengah menjelang pertengahan dekad 70-an. Di rumah kami tiada tv. Rumah Tokwan pun demikian -  Paktih belikan sebuah tv pada awal dekad berikutnya.


Jiran terdekat kami yang mempunyai tv adalah Yusof Hj Othman [Pakcik Syup], sekitar 150 meter dari rumah kami - berselang 5 buah rumah.


Pada malam yang 'sesuai' saya akan ke rumah Pakcik Syup - malam adanya rancangan Gusti, Hiburan Minggu Ini, siri Combat, The Misadventures of Sheriff Lobo, siri CHips, Tayangan Gambar Melayu, Tayangan Gambar Hindi, Orkestra RTM - ertinya hampir setiap malamlah....


Ayah pun demikian. Kena pula di situlah tempat berkumpul kawan-kawan bersembangnya. Berjemaahlah kami menonton bersama Wak [ Ramli Ahmad a.k. a Not], Pakngah Lazim [Lazim Husain] dan Pakndak Noq [Md Noor Shafie]. Mereka ini adalah jemaah tetap manakala adalah sesekali datang kawan-kawan mereka yang lain. Di kalangan kanak-kanak dan remaja, sayalah rasanya yang paling dominan. Sebabnya jelas,di situ saya ada ayah! Kawan-kawan lain pun ada ayah tetapi ayah mereka tidak ambil kisah dengan siaran tv, maka jaranglah mereka diizinkan keluar menonton... {nanti kita cerita.....}


Berbalik pada Santokh Singh.


Pertengahan tahun 1978,  ada final Piala Malaysia. [Belum ada Liga M]Selangor bertemu Singapura. 


Semua kami tentulah menyokong pasukan dari Malaysia - Selangor. Kedah pada masa itu? Malaslah mahu dicatat...


Hampir keseleruhan pemain Selangor adalah pemain skuad kebangsaan. Dari penjaga gol hinggalah penyerang semuanya dari skuad yang sejak bertukar ke taraf profesional menjadi Gergasi Merah. Malah penjaga gol simpanan Malaysia pun datangnya dari Selangor! {Semasa itu R Arumugam dan Rashid Hassan - kedua-duanya dari Selangor - adalah penjaga gawang skuad negara.} Bintang Selangor yang lain  adalah Abdullah Ali, Ramli Junit, Khalid Ali, John Engkatesu, serta dua  orang baru - Khan Hung Meng dan K Rajagobal.....

Fandi

Fandi Ahmad masih remaja waktu itu [16 tahun] dan menjadi sebahagian skuad Kota Singa. Ada ramai lagi bintang yang masih diingati: Edmund Wee, S Rajagopal, Syed Mutalib,Dollah Kassim, Quah Kim Song, Nasir Jalil, Samad Allapitchay .....


Selepas 34 minit permainan, Singapura mendahului dua kosong hasil kesilapan Rashid Hassan.  Kami terdiam. Mana mungkin pasukan yang ketinggalan begitu boleh memenangi perlawanan. Perlawanan akhir di Stadium Merdeka, bukan permainan di dalam bendang di kampung kita yang tidak had masa permainan...


Tetapi Ramli Junit menjaringkan gol pertama Selangor tiga minit kemudian. Arumugam menggantikan Rashid [penjaga gol nombor wahid negara] yang terus ke bilik persalinan - sambil menangis. Kami tidak juga bersuara. Selangor di ambang kekalahan.. 

Tinggal 10-11 minit....


Waktu itulah Selangor mendapat sepakan bebas dari tepi padang - jauh amat dari pintu gol.  Chin 'Tauke' Aun mengambil tempat di belakang bola. Saya masih ingat dengan jelas bagaimana sepakannya menerjah gol lawan. Kami - Wak, Pakndak Noq, Pakngah Lazim serta dua beranak yang ikut menyaksikan perlawanan itu....  - melompat sakan. Pakcik Syup, seperti selalu, hanya tersenyum!


Tinggal kurang dari 9 minit. Kami tetap bersorak. Santokh Singh mendapat rentaknya semula sebagai pemain pertahanan tengah yang kental. Setiap asakan penyerang dari Kota Singa dihadangnya dengan yakin dan kemas.


Pertembungan di antaranya dengan pemain lawan kami tonton dengan bersemangat.


"Boh Santokh Singh, boh...." begitu jerit Wak, Pakndak Noq, Pakngah Lazim dan ayah. Berkali-kali, jika melihat Santokh yang berbadan sasa itu menghadang penggempur Singapura. Pakcik Syup tetap tersenyum.


Lima minit menjelang tamat perlawanan, satu sepakan lambung jarak jauh dari John Engkatesu berjaya menembusi gol Singapura. Kami melompat sedang tuan rumah - Pakcik Syup - hanya tersenyum ambil bersandar pada dinding pemidang rumah...


Dari ambang kekalahan, Selangor berada di gerbang kejuaraan....


Asakan Singapura makin memercik. Penuh kekasaran. Chin Aun serta Santokh terus menghadang. Di antara dua bintang itu, kami lebih terpesona dengan gaya hadangan Santokh - keras tetapi bersih...


"Boh Santokh Singh, boh...." lagi jerit Wak, Pakndak Noq, Pakngah Lazim dan ayah. Pakcik Syup terus tersenyum melihat gelagat tetamu tetapnya.


Berkali-kali pula mereka jeritkan begitu.


"Boh Chan Tok Chin, boh!" jerit saya pula. Sengaja menongkah arus atau seperti sengaja mencari pasal!


Tiba-tiba suasana di dalam rumah menjadi sepi. Saya terkejut. 


Ramli Junit menjaringkan satu gol lagi pada saat terakhir perlawanan. Tetapi kesepian terus berlaku. Tiada lompatan gembira lagi di rumah Pakcik Syup, sedangkan suasana di stadium gamat.


Majlis penyampaian hadiah juga hambar di rumah itu. Tiada siapa pun bersuara, mengulas,sehinggalah kemudiannya, seorang demi seorang turun dari rumah Pakcik Syup, didahului oleh Pakngah Lazim. Ayah mengisyaratkan saya supaya ikut balik, ketika Santokh dan rakan-rakan sedang mengarak piala mengelilingi stadium...


Chan Tok Chin adalah seorang lelaki sebaya ayah - lebih kurang - yang tinggal di jalan antara Simpang Empat dengan Kangkong. Nama sebenarnya Hassan bin Husain. Anaknya - Noraini - sebaya saya, sama belajar di SM Simpang Empat.

Pakcik Chan [ panggilan kami untuknya] adalah seorang yang cukup peramah dan suka bergurau. Semua peringkat usia senang dengan Pakcik Chan. 

Di rumah, agaknya ayah bercerita sesuatu yang agak panjang dengan emak ketika saya sedang dalam perjalanan ke alam mimpi....


Besoknya, emak berhadap dengan saya di dapur.


"Tau siapa Chan Tok Chin tu?" tanya emak. Saya mengangguk.


"Tak tau habis kut?" tanya emak lagi. Saya tidak menjawab.


"Dia 'tu adik beradik Tok..." kata emak. Saya hanya diam. 


Salah apa saya semalam sehingga hal salasilah begitu ditimbulkan? Saya hanya sebut Chan Tok Chin. Biasa saja. Chan untuk Hassan. Tok Chin untuk Husain, ayahnya. Cuma saya tidak sebut Pakcik  kerana saya memaksudkan ungkapan Chan Tok Chin itu untuk Santokh Singh! Sekadar suka-suka ketika ayah dan rakan-rakannya asyik menyebut Santokh...


Ayah saya lihat duduk di tangga dapur. Macam menggelisah. Macam mahu berkata sesuatu. 


Emak terus bercerita tentang  Tok. Sebelum berkahwin dengan Tokwan, Tok berkahwin dengan orang sekampung juga - Shaari. Itu saya tahu lebih awal, sebab sesekali jika ingin berjenaka dengan Tok, Tokwan akan menyebut tentang Shaari itu, dan saya pernah tanyakan sendiri kepada Tok. 


Tetapi kata emak lagi, sebelum berkahwin dengan Shaari itu, semasa muda dara - sepatah kata Tok - Tok pernah berkahwin dengan abang kepada Pakcik Chan itu, Bakar namanya. Kiranya Tok pernah menjadi menantu Tok Chinlah...


Panjang juga cerita dari emak... Tapi untuk apa?


Tiba-tiba ayah naik dan duduk di depan saya juga.


"Pakngah Lazim 'tu abang Pakcik Chan!" kata ayah. Emak mengangguk, mengiyakan sesuatu yang sebenarnya mahu disebutkan kepada saya tetapi belum terjumpa kalimat, agaknya, sehingga terpusing-pusing mengaitkan Tok dan jodoh awalnya...


OOOOOO!! Lazim bin Husain, Hassan bin Husain...... manalah saya tahu mereka mempunyai pertalian begitu!


Saya mengangguk, faham. Saya berasa amat bersalah serta malu.


Patutlah sedang berghairah menonton bola semalam, sebaik saya sebutkan Chan Tok Chin, tiba-tiba  suasana  sepi, semua terdiam. Tahi cicak jatuh atas tikar mengkuang di rumah Pakcik Syup pun dapat didengar....


Pakngah Lazim [ setengahnya memanggil Pakndak, setengah lagi Pakcaq - mengikut gelaran kerabat sebelah mana pemanggilnya datang] adalah abang ipar Pakcik Syup.  Saya memanggil Pakngah sebab isterinya, Asiah saya panggil Makngah...


Sejak kejadian itu hampir seminggu saya tidak mengunjungi rumah Pakcik Syup. Malah kemudiannya pun saya semakin jarang pergi menonton di situ. 


Lama kemudian tv makin banyak tumbuh di kampung. Dalam masa yang hampir sama di rumah Tokwan juga telah tumbuh sebuah tv yang disemai dan ditanam oleh Paktih - tv 16 inci, jenama National.


Dengan Pakngah Lazim pula saya kian renggang - setelah sebelumnya, saya hanya sedikit renggang oleh satu peristiwa. [Nantilah, bila sampai serunya untuk bercerita tentang itu].


Wak pula selalu menyakat saya dengan mengatakan Pakngah Lazim sering tersebut-sebut nama saya.....



******************************************************************


Kini, semua penonton tv bersama saya itu telah meninggal dunia. Mokhtar, Arumugam dan Dollah Kasssim juga telah tiada.


Hanya kenangan yang dapat diimbau.


Dan saya terkenang peristiwa itu tatkala berada di bawah khemah kenduri di rumah anak Pakngah Lazim - Aishah - di sekitar Tokai pada Sabtu lalu [16 Nov]. Saya bertemu dengan dua lagi anak arwah - Shuib dan Ahmad di situ. Kenangan itu makin segar apabila berjumpa juga dua anak arwah Pakcik Syup - Wan dan Ismail...


Demikianlah.



Wednesday, November 13, 2013

Ayah, Basikal dan Man Mertun

Memang saya terlalu kecil. Mungkin belum masuk darjah satu. Tapi, Alhamdulillah, saya masih ingat rumah Paklang. Rumah yang dulu, bukannya yang sekarang…

Bukan juga rumah yang ditenggelami air pada setiap hujan lebat. Bukan rumah yang ada tiga bilik berderet – menghadap ke sungai – dengan yang paling hujung menjadi bilik Tokwan ketika berkunjung ke rumah anaknya itu.

Bukan.

Rumah di tapak dulu, bukan di tapak sekarang.

Rumah Paklang yang pertama, rasanya.

Tapaknya adalah sekitar rumah Wa Omar [ abang Maklang, ipar Paklang] sekarang.  Saya tidak ingat berapa kali pernah ke rumah itu. Tetapi sekurang-kurangnya sekali – pada hari istimewa pula.

Saya ingat jelas. Membonceng di atas basikal tua ayah yang pelantarnya dilapik guni padi yang dibalut dengan kain batik. Hanya kami berdua. Ayah dan saya. Emak tidak bersama kerana ketika itu ada dua lagi adik yang masih kecil di sisinya – Nor Hashimah dan Ahmad Yadziz. Kalau pun emak mahu mengikut, mana mungkin. Basikal tua ayah terdaftar untuk dua penumpang sahaja…

Tokwan dan Tok saya tidak pasti samaada telah lebih awal sampai atau tidak pergi langsung. Malah saya tidak ingat sangat muka Saleh – sepupu , anak sulung Paklang  - ketika itu. Agaknya bercakap pun tidak sesama kami.

Pagi betul kami bertolak. Ayah mengayuh secara konsisten – tidak terlalu laju, tidak juga terlalu perlahan. Saya memakai baju kemeja bercorak kotak-kotak biru muda. Muka saya emak tampalkan bedak – tidak ingat bedak sejuk atau bedak Cuticura. Emak balut badan saya dengan kain pelikat sehelai. “Takut sejuk…” kata emak ketika melakukannya dan kata ayah ketika menyedari saya cuba membuangnya kerana rasa seperti dibedung, sedang ayah baru mengayuh sampai ke kedai Ah Oun, cina yang menyewa tapak tanah Tok di tengah kampung Permatang Ibus. [Sekarang di tapak itu adalah rumah Hassan Tipah – Tipahnya yang merupakan anak cucu pupu poyang Tok, Hassannya adalah menantu…]

Ayah mengayuh menghala Simpang Empat. Dari Simpang Empat, ayah menggunakan jalan raya utama Alor Setar – Sungai Petani.  Kereta tidak banyak. Lama-lama sekali baru terdengar hon kereta. Lama-lama sekali jugalah ayah memberikan nama model kereta yang memotong kami atau yang berselisih dengan kami, mengikut yang ayah tahu. Memag tidak banyak pun model yang ada ketika itu. Pada model yang ayah tidak tahu, ayah diam sahaja.

Ayah selamanya agak pendiam. Maka selain memberi nama model kereta serta bertanya sama ada saya lenguh atau kebas, ayah tidak berkata apa-apa. Cuma sekali ayah menunjukkan rumah tok-tok saudara di Batu 6 ketika kami melintasinya. Selebih masanya, kami buat hal masing-masing. Saya melihat sekeliling, memerhati apa saja yang melintas atau dilintasi, kiri dan kanan. Ayah pula sesekali kedengaran seperti berdikir – suatu bidang seni yang saya tahu ayah cukup minati, terutamanya sebagai back-up, menokok dengung dan lagu pada dikir yang kawan-kawan ayah sering lagukan di beberapa rumah sekitar kampung. Paling mudah hanya terdengar bunyi ‘Nggggggg’ mengikut lagu dikir. Tiada lirik.

Jika pegangan saya pada pinggangnya terlerai seketika, ayah akan bertanya “kebaska?” atau “lenguhka?” atau “mengantukka?” dengan setiap perkataan itu diawali perkataan Chek. Saya hanya menggeleng yang tidak pun ayah nampak…

Pada pertengahan jalan, mungkin bermula sekitar rumah Ndak sekarang, berselang beberapa kampung di kiri dan kanan jalan, kami melihat ada rumah dipenuhi orang yang sedang menyiang daging.  “Depa tak panggay kita. Nanti kita sampai rumah Paklang.. Kita makan di situ… Tak jauh dah…” kata ayah pada hampir setiap kali ditemui rumah yang dipenuhi orang menyiang daging atau memasak nasi kawah. Saya tidak pun bertanya. Mungkin ayah mahu menyedapkan hati saya dan tidak mahu anaknya ini tersengguk di atas pelantar basikalnya. Tapi saya tidak akan tersengguk. Pemandangan sekitar, di kiri kanan jalan, terasa rugi diabaikan tanpa dilihat. Bukan selalu saya berada di jalan utama menghala ke Alor Setar itu…

Lama kemudian kami sampai ke BB Park. Saya tidak faham maksud nama tempat itu. Hanya pernah mendengarnya dari orang lain, Paklang terutamanya. Apa maksud BB [Bee Bee] pun tidak saya tahu. Yang saya ingat, kalau menaiki bas ke atau dari Alor Setar, jika sampai sekitar BB Park, semua yang biasa mengiringi saya akan menyebutnya, lalu menunjukkan kepada saya, serta disambung dengan “jalan pi rumah Paklang…” Saya akan mengangguk pada setiap kali pemberitahuan itu.

Melintasi rel keretapi, ayah menuntun basikal manakala pasenggen [panggilan ayah dan Tokwan serta rakan-rakan mereka, bagi penumpang – dipinjam dari kata passenger…] ini kekal di atas pelantarnya. Kemudian, ayah mengayuh semula secara konsisten, menjalari jalan sempit bertanah merah di tengah-tengah jajaran sawah.

Jalan tidak seselesa jalan utama AS-SP tadi. Sesekali terpaksa badan terlambung jika tayar basikal ayah menerjuni lopak kecil atau melanda batu besar di atas jalan itu.

Saya tidak tahu selama mana ayah mengayuh dan berapa jauh dari BB Park ke rumah Paklang. Sedar-sedar ayah sudah turun dari basikalnya dan menuntun saya yang masih di atas pelantar ke bawah sebuah rumah kayu bertiang banyak. Ayah menungkat basikalnya dan mengangkat saya turun, menepuk punggung saya beberapa kali. Beberapa orang  yang duduk-duduk di bawah rumah itu menyalami tangan ayah dan sebahagiannya sempat menyalami kepala saya…

Kemudian saya Nampak Paklang dengan segak sekali bersampinkan kain pelikat. Menyalami tangan ayah dan pipi serta kepala saya. Dia menyuruh ayah membawa saya naik ke rumah… Itulah rumah Paklang yang dulu, yang asal. Tetapi ayah lebih selesa berada bersama kelompok beberapa orang tadi. Ayah duduk di atas satu tunggul kayu yang baru dikosongkan oleh seseorang lalu mengisyaratkan saya duduk pula di atas ribanya. Saya patuh malah bersandar di dada ayah. Janggut ayah menyentuh pusar rambut saya.

Saleh baru berusia sekitar  tiga atau empat tahun, sebaya dengan adik saya, Norhashimah. Namun saya tidak ingat adakah saya melihatnya pada hari tersebut.

Hanya dua perkara yang saya cukup  ingat.

Pertama, di rumah mertua Paklang, Tokngah Jusoh [ di tapak rumah Pakngah Mat, abang ipar  Paklang, sekarang] orang cukup ramai. Saya memerhati dari bawah rumah Paklang, bersimpang siur orang dengan kesibukan masing-masing, lelaki perempuan. Saya tidak faham sangat tujuan mereka beramai-ramai itu.

Setelah agak lama kemudian, barulah ayah membawa saya ke belakang rumah Tokngah Jusoh.  Berhampiran sungai. Di situ ada orang memasak nasi kawah, menggulai daging dan membuat persiapan bagi menghidang makanan. Saya tahu, itulah tandanya rumah itu mengadakan kenduri tetapi tidak pula tahu kenduri apa.

Ertinya, kata ayah di atas basikal tadi, “kita makan di situ” adalah kami akan makan nasi kenduri …. Barulah saya faham. Dan memang pun saya makan sepuasnya, sesuai dengan umur, saiz perut dan selera ketika itu.

Kedua, sepanjang masa saya memegang tangan ayah.  Ke mana sahaja pergerakan ayah saya ikuti sambil tidak melepaskan pegangan tangan atau sesekali hujung baju ayah. Puncanya? Sejak kami berada bersama kelompok tukang masak dan pekerja lain di belakang rumah kenduri itu, saya terpandang seorang yang cukup menakutkan. Kepalanya licin tanpa seurat rambut. Jarang saya terjumpa orang dengan kepala begitu sepanjang hayat saya sehingga itu. Dan lebih jarang – malah tidak pernah, yang tepatnya – sepanjang hayat hingga kini, di atas kepala yang tidak berambut seurat pun itu, ada satu bekas berlopak betul-betul di tempan ubun-ubunnya.  Saya memerhatinya, dan jika dirasakan dia pula memerhati saya, makin kuatlah saya menggenggam tangan ayah.

Dari perbualan orang keliling , serta pertanyaan ayah juga apabila agak jauh dari lelaki botak itu, saya difahamkan itulah Man Mertun. [Mertun adalah sebutan lain orang Kedah kepada tukul atau Englishnya, hammer] Khabarnya lopak pada ubunnya itu adalah kesan dipukul dengan tukullah, [entah sebab apa]  maka terus digelarnya Man Mertun. Saya makin takut. Sehingga beberapa hari juga Man Mertun datang dalam mimpi saya…

[Menurut Maklang  – baru-baru ini-  Man Mertun itu bukanlah orang tempatan, kalau tidak silap orang Guar Kepayang. Dia membujang. Tempat tinggalnya adalah di surau atau rumah Tok Guru. Mana-mana rumah Tok Guru yang didiaminya, dia cukup pantang jika ada orang berbual semasa Tok Guru mengajar atau membaca kitab. Maka, amanlah suasana pembelajaran jika ada kelibat Man Mertun. Satu lagi kepantangan Man Mertun adalah mendengar adanya kenduri. Sejauh manapun yang mampu, dia akan menapak pergi. Dan rumah Tokngah Jusoh pada hari saya bersama ayah itu adalah satu dari kenduri yang didengarnya…]

Demikianlah.

Awal petang itu, dalam longlai memegang pinggang ayah dari atas pelantar basikal, saya membayangkan betapa sakitnya kepada dihentak mertun…..

Lama selepas itu barulah saya tahu bahawa kenduri yang saya hadiri itu adalah sempena perkahwinan abang Maklang, Pakngah Ahmad bin Jusoh… sekitar tahun 1967/68!

Patutlah dari corong loud-speaker di beberapa rumah kenduri di jalanan pada waktu pulang, beberapa kali saya mendengar lagu Inai Di Jari [S Jibeng], lagu terbaru ketika itu…
 

Lama nian masa berengsot… Jauhnya kalau mahu berkayuh.

Dan rupa-rupanya, lama sebelum munculnya rapper MC Hammer [dia lahir pada tahun 1962], di sekitar kita sudah ada Man Mertun...