Showing posts with label Paklang. Show all posts
Showing posts with label Paklang. Show all posts

Wednesday, November 13, 2013

Ayah, Basikal dan Man Mertun

Memang saya terlalu kecil. Mungkin belum masuk darjah satu. Tapi, Alhamdulillah, saya masih ingat rumah Paklang. Rumah yang dulu, bukannya yang sekarang…

Bukan juga rumah yang ditenggelami air pada setiap hujan lebat. Bukan rumah yang ada tiga bilik berderet – menghadap ke sungai – dengan yang paling hujung menjadi bilik Tokwan ketika berkunjung ke rumah anaknya itu.

Bukan.

Rumah di tapak dulu, bukan di tapak sekarang.

Rumah Paklang yang pertama, rasanya.

Tapaknya adalah sekitar rumah Wa Omar [ abang Maklang, ipar Paklang] sekarang.  Saya tidak ingat berapa kali pernah ke rumah itu. Tetapi sekurang-kurangnya sekali – pada hari istimewa pula.

Saya ingat jelas. Membonceng di atas basikal tua ayah yang pelantarnya dilapik guni padi yang dibalut dengan kain batik. Hanya kami berdua. Ayah dan saya. Emak tidak bersama kerana ketika itu ada dua lagi adik yang masih kecil di sisinya – Nor Hashimah dan Ahmad Yadziz. Kalau pun emak mahu mengikut, mana mungkin. Basikal tua ayah terdaftar untuk dua penumpang sahaja…

Tokwan dan Tok saya tidak pasti samaada telah lebih awal sampai atau tidak pergi langsung. Malah saya tidak ingat sangat muka Saleh – sepupu , anak sulung Paklang  - ketika itu. Agaknya bercakap pun tidak sesama kami.

Pagi betul kami bertolak. Ayah mengayuh secara konsisten – tidak terlalu laju, tidak juga terlalu perlahan. Saya memakai baju kemeja bercorak kotak-kotak biru muda. Muka saya emak tampalkan bedak – tidak ingat bedak sejuk atau bedak Cuticura. Emak balut badan saya dengan kain pelikat sehelai. “Takut sejuk…” kata emak ketika melakukannya dan kata ayah ketika menyedari saya cuba membuangnya kerana rasa seperti dibedung, sedang ayah baru mengayuh sampai ke kedai Ah Oun, cina yang menyewa tapak tanah Tok di tengah kampung Permatang Ibus. [Sekarang di tapak itu adalah rumah Hassan Tipah – Tipahnya yang merupakan anak cucu pupu poyang Tok, Hassannya adalah menantu…]

Ayah mengayuh menghala Simpang Empat. Dari Simpang Empat, ayah menggunakan jalan raya utama Alor Setar – Sungai Petani.  Kereta tidak banyak. Lama-lama sekali baru terdengar hon kereta. Lama-lama sekali jugalah ayah memberikan nama model kereta yang memotong kami atau yang berselisih dengan kami, mengikut yang ayah tahu. Memag tidak banyak pun model yang ada ketika itu. Pada model yang ayah tidak tahu, ayah diam sahaja.

Ayah selamanya agak pendiam. Maka selain memberi nama model kereta serta bertanya sama ada saya lenguh atau kebas, ayah tidak berkata apa-apa. Cuma sekali ayah menunjukkan rumah tok-tok saudara di Batu 6 ketika kami melintasinya. Selebih masanya, kami buat hal masing-masing. Saya melihat sekeliling, memerhati apa saja yang melintas atau dilintasi, kiri dan kanan. Ayah pula sesekali kedengaran seperti berdikir – suatu bidang seni yang saya tahu ayah cukup minati, terutamanya sebagai back-up, menokok dengung dan lagu pada dikir yang kawan-kawan ayah sering lagukan di beberapa rumah sekitar kampung. Paling mudah hanya terdengar bunyi ‘Nggggggg’ mengikut lagu dikir. Tiada lirik.

Jika pegangan saya pada pinggangnya terlerai seketika, ayah akan bertanya “kebaska?” atau “lenguhka?” atau “mengantukka?” dengan setiap perkataan itu diawali perkataan Chek. Saya hanya menggeleng yang tidak pun ayah nampak…

Pada pertengahan jalan, mungkin bermula sekitar rumah Ndak sekarang, berselang beberapa kampung di kiri dan kanan jalan, kami melihat ada rumah dipenuhi orang yang sedang menyiang daging.  “Depa tak panggay kita. Nanti kita sampai rumah Paklang.. Kita makan di situ… Tak jauh dah…” kata ayah pada hampir setiap kali ditemui rumah yang dipenuhi orang menyiang daging atau memasak nasi kawah. Saya tidak pun bertanya. Mungkin ayah mahu menyedapkan hati saya dan tidak mahu anaknya ini tersengguk di atas pelantar basikalnya. Tapi saya tidak akan tersengguk. Pemandangan sekitar, di kiri kanan jalan, terasa rugi diabaikan tanpa dilihat. Bukan selalu saya berada di jalan utama menghala ke Alor Setar itu…

Lama kemudian kami sampai ke BB Park. Saya tidak faham maksud nama tempat itu. Hanya pernah mendengarnya dari orang lain, Paklang terutamanya. Apa maksud BB [Bee Bee] pun tidak saya tahu. Yang saya ingat, kalau menaiki bas ke atau dari Alor Setar, jika sampai sekitar BB Park, semua yang biasa mengiringi saya akan menyebutnya, lalu menunjukkan kepada saya, serta disambung dengan “jalan pi rumah Paklang…” Saya akan mengangguk pada setiap kali pemberitahuan itu.

Melintasi rel keretapi, ayah menuntun basikal manakala pasenggen [panggilan ayah dan Tokwan serta rakan-rakan mereka, bagi penumpang – dipinjam dari kata passenger…] ini kekal di atas pelantarnya. Kemudian, ayah mengayuh semula secara konsisten, menjalari jalan sempit bertanah merah di tengah-tengah jajaran sawah.

Jalan tidak seselesa jalan utama AS-SP tadi. Sesekali terpaksa badan terlambung jika tayar basikal ayah menerjuni lopak kecil atau melanda batu besar di atas jalan itu.

Saya tidak tahu selama mana ayah mengayuh dan berapa jauh dari BB Park ke rumah Paklang. Sedar-sedar ayah sudah turun dari basikalnya dan menuntun saya yang masih di atas pelantar ke bawah sebuah rumah kayu bertiang banyak. Ayah menungkat basikalnya dan mengangkat saya turun, menepuk punggung saya beberapa kali. Beberapa orang  yang duduk-duduk di bawah rumah itu menyalami tangan ayah dan sebahagiannya sempat menyalami kepala saya…

Kemudian saya Nampak Paklang dengan segak sekali bersampinkan kain pelikat. Menyalami tangan ayah dan pipi serta kepala saya. Dia menyuruh ayah membawa saya naik ke rumah… Itulah rumah Paklang yang dulu, yang asal. Tetapi ayah lebih selesa berada bersama kelompok beberapa orang tadi. Ayah duduk di atas satu tunggul kayu yang baru dikosongkan oleh seseorang lalu mengisyaratkan saya duduk pula di atas ribanya. Saya patuh malah bersandar di dada ayah. Janggut ayah menyentuh pusar rambut saya.

Saleh baru berusia sekitar  tiga atau empat tahun, sebaya dengan adik saya, Norhashimah. Namun saya tidak ingat adakah saya melihatnya pada hari tersebut.

Hanya dua perkara yang saya cukup  ingat.

Pertama, di rumah mertua Paklang, Tokngah Jusoh [ di tapak rumah Pakngah Mat, abang ipar  Paklang, sekarang] orang cukup ramai. Saya memerhati dari bawah rumah Paklang, bersimpang siur orang dengan kesibukan masing-masing, lelaki perempuan. Saya tidak faham sangat tujuan mereka beramai-ramai itu.

Setelah agak lama kemudian, barulah ayah membawa saya ke belakang rumah Tokngah Jusoh.  Berhampiran sungai. Di situ ada orang memasak nasi kawah, menggulai daging dan membuat persiapan bagi menghidang makanan. Saya tahu, itulah tandanya rumah itu mengadakan kenduri tetapi tidak pula tahu kenduri apa.

Ertinya, kata ayah di atas basikal tadi, “kita makan di situ” adalah kami akan makan nasi kenduri …. Barulah saya faham. Dan memang pun saya makan sepuasnya, sesuai dengan umur, saiz perut dan selera ketika itu.

Kedua, sepanjang masa saya memegang tangan ayah.  Ke mana sahaja pergerakan ayah saya ikuti sambil tidak melepaskan pegangan tangan atau sesekali hujung baju ayah. Puncanya? Sejak kami berada bersama kelompok tukang masak dan pekerja lain di belakang rumah kenduri itu, saya terpandang seorang yang cukup menakutkan. Kepalanya licin tanpa seurat rambut. Jarang saya terjumpa orang dengan kepala begitu sepanjang hayat saya sehingga itu. Dan lebih jarang – malah tidak pernah, yang tepatnya – sepanjang hayat hingga kini, di atas kepala yang tidak berambut seurat pun itu, ada satu bekas berlopak betul-betul di tempan ubun-ubunnya.  Saya memerhatinya, dan jika dirasakan dia pula memerhati saya, makin kuatlah saya menggenggam tangan ayah.

Dari perbualan orang keliling , serta pertanyaan ayah juga apabila agak jauh dari lelaki botak itu, saya difahamkan itulah Man Mertun. [Mertun adalah sebutan lain orang Kedah kepada tukul atau Englishnya, hammer] Khabarnya lopak pada ubunnya itu adalah kesan dipukul dengan tukullah, [entah sebab apa]  maka terus digelarnya Man Mertun. Saya makin takut. Sehingga beberapa hari juga Man Mertun datang dalam mimpi saya…

[Menurut Maklang  – baru-baru ini-  Man Mertun itu bukanlah orang tempatan, kalau tidak silap orang Guar Kepayang. Dia membujang. Tempat tinggalnya adalah di surau atau rumah Tok Guru. Mana-mana rumah Tok Guru yang didiaminya, dia cukup pantang jika ada orang berbual semasa Tok Guru mengajar atau membaca kitab. Maka, amanlah suasana pembelajaran jika ada kelibat Man Mertun. Satu lagi kepantangan Man Mertun adalah mendengar adanya kenduri. Sejauh manapun yang mampu, dia akan menapak pergi. Dan rumah Tokngah Jusoh pada hari saya bersama ayah itu adalah satu dari kenduri yang didengarnya…]

Demikianlah.

Awal petang itu, dalam longlai memegang pinggang ayah dari atas pelantar basikal, saya membayangkan betapa sakitnya kepada dihentak mertun…..

Lama selepas itu barulah saya tahu bahawa kenduri yang saya hadiri itu adalah sempena perkahwinan abang Maklang, Pakngah Ahmad bin Jusoh… sekitar tahun 1967/68!

Patutlah dari corong loud-speaker di beberapa rumah kenduri di jalanan pada waktu pulang, beberapa kali saya mendengar lagu Inai Di Jari [S Jibeng], lagu terbaru ketika itu…
 

Lama nian masa berengsot… Jauhnya kalau mahu berkayuh.

Dan rupa-rupanya, lama sebelum munculnya rapper MC Hammer [dia lahir pada tahun 1962], di sekitar kita sudah ada Man Mertun...

Tuesday, September 10, 2013

Penangan Cabai Kering Giling

Panggilan haji 
telah tiba lagi.....

Tokwan mengerjakan haji pada tahun 1975, menjadi anggota kumpulan terakhir jemaah dari Malaysia yang ke Semenanjung Arab dengan menaiki kapal laut. Selepas itu, semua jemaah melalui Tabung Haji pergi mengerjakan rukun Islam yang kelima itu dengan mengenderai kapal terbang....

Saya tidak ingat dan tidak tahu kenapa saya tidak termasuk sebagai saksi keberangkatan pergi [dan balik] Tokwan - tidak ada di dalam senarai rombongan keluarga Pakya ke Pulau Pinang. Tiada sesiapa lagi untuk saya rujuk kes ini.....

Maka tinggallah saya dan adik-adik [semasa itu kami baru enam beradik] di kampung. Ayah sebagai anak kedua Tokwan, menyertai rombongan ke Tanjung itu bagi menghantar Tokwan yang ke Mekah bersama Wa Isa dan Wa Sarah, pasangan sulung anak-menantu Tokwan. Kenapa saya tidak ada di dalam rombongan itu? Isy, musykil sungguh.....Tiada sesiapa lagi untuk saya rujuk kes ini.....

Paklang dan Paknjang ada di dalam kelompok yang pergi. [Paktih sedang berkelana di Sabah manakala Paktam berada di Kay El...kalau tidak salah ingatan.] Pakndak, Pakcik dan Paksu pula? Mereka belum berada di dalam ranting pokok keluarga Pakya....... Ndak, Chik dan Chu masih seperti Dato' Lee Chong Wei di dalam gelanggang - single/ perseorangan. Tapi, kenapa saya tidak ada di dalam rombongan itu? Isy, musykil sungguh-sungguh.....Sayangnya, tiada sesiapa lagi untuk saya rujuk kes rumit ini.....

Di rumah, di Kampung Permatang Ibus, hanya tinggal kami  serta Maklang dan anak-anaknya dan Ngah Dah dan Pakngah Choh serta anak-anak mereka. Kiranya, Pakngah menjadi penjaga kami - sebagai satu-satunya lelaki dewasa yang tinggal. Maklang, kalau tidak silap, sedang berbadan dua semasa itu.

[Tok, walaupun tidak menyertai Tokwan ke Mekah itu, tetap ikut serta menghantar Tokwan dan pasangan Wa].

Saya tidak ingat situasi ketika Tokwan 'turun' dari rumah. Selain tidak berapa peduli - kerana tiada di dalam senarai ahli rombongan - saya lebih tertarik dan ingat  pada raungan seorang budak lelaki berusia 6 atau 7 tahun.

Lama sungguh dia meraung. Hingga deretan kereta yang membawa Tokwan dan barisan penghantarnya sudah sampai ke sempadan Kedah/ Pulau Pinang, agaknya, dia masih berprestasi tinggi menghasilkan raungan.

Puncanya: dia tidak dibawa bersama untuk menghantar Tokwan. [Memang diakui ramai, dia dan ayahnya, Paklang, jarang berenggang. Entah kenapa, kali itu Paklang rela berenggang dua hari dengan anaknya itu...] Tidak hairanlah si kecil mengumpul seluruh kudrat meneran menghasilkan raungan.....

Saya pun sepatutnya ikut meraung tetapi memandangkan usia diri yang tujuh tahun lebih tua, rasa segan timbul secara jelas. Lagi pun, kalau dia yang separuh dari usia saya boleh meraung sebegitu, tentulah kasihan pula kepada alam dan penduduk sekitar jika seorang yang sudah di Tingkatan Dua turut menghasilkan raungan dengan kekuatan dua kali lipat......

Pelbagai usaha dilakukan bagi memujuknya, namun siapa pun pemegang watak si pemujuk, ia tetap dikecewakan.... Raungan, kalau pun terhenti, sekadar ditukar kepada nada yang lebih melankolik - rantaian esakan.....

Hampir semua menggelabah. Ngah paling menonjol dalam memujuk, termasuk sesekali sengaja bertutur gaya pelat kanak-kanak . Mengagah dan mengacah, mirip Mas'ud Albuaya ketika memujuk cucu yang belum bernama yang asyik menangis, di dalam filem Ahmad Albab. Bezanya, budak yang realitinya bersama kami sudah bernama dan berusia 6 atau 7 tahun....

Pakngah hanya tersenyum memerhati dan sesekali mengeluh perlahan. Saya juga mengeluh tetapi lebih kerana bosan dengan bunyi yang monotonous... Kalau sesekali bertukar rentak, seronoklah juga.

Menjelang petang, Pakngah berbasikal tua [milik ayah] ke Kuala Kangkong, tepatnya ke kedai runcit bagi mendapatkan barangan dapur. Watak utama di dalam senarai panjang barang yang dibawa pulang adalah sebungkus cabai kering.

Ngah merendam dan seterusnya menggiling cabai kering itu bersama bahan sekupunya bagi menghasilkan sepiring besar cabai giling.


Budak kecil yang meraung dan teresak tadi terdiam apabila diunjukkan cabai giling tersebut. Maklang menggaul nasi dengan cabai tersebut pada kadar yang sesuai dengan usia budak kecil yang merupakan anak ketiganya itu. Dipatahkan juga seekor ikan tamban kering yang digoreng, sebagai aksesori tambahan.....

Berselera budak kecil itu menyuap nasi yang kelihatan merah dek gaulan bersama cabai giling air tangan Ngah. Pakngah tersenyum sambil menggeleng kepala. Ngah pun demikian juga.

"Kalau aku tau hang boleh sengap dengan cabai 'tu, awai lagi aku giling bagi kat hang..." begitu kata Ngah kepada budak kecil tadi apabila mendapati anak saudaranya itu seperti terlupa bagaimana untuk meraung malah tidak ingat juga apa punca dia membazirkan tenaga dan masa meraung sejak awal pagi....

Sungguh! Walaupun rombongan menghantar itu hanya pulang dua hari kemudian, semenjak mengunyah nasi bergaul cabai kering giling itu, budak kecil itu tidak sekali pun menangis......

Si kecil pada tahun 1975, kini [kiri]
Bertahun-tahun kemudian, setiap kali bertemu budak kecil yang kemudiannya membesar dan menjadi suami dan ayah orang, Ngah akan mengungkit cerita berkenaan. Malah kalimat yang diucapkannya pada tahun 1975 itu akan diulangnya.

Lelaki yang masih kecil pada tahun Tokwan menunaikan ibadah haji itu hanya tersengih atau menggerakkan misainya untuk tersenyum....antara ingat dan tidak akan episod tersebut.

Sekarang, jika terserempak anak lelaki bongsunya menangis, dengan melihat wajah si kecil itu - meski di dalam sebab tangis yang berbeza - saya terkenang pada muka si ayah tatkala menghasilkan raungan hampir 40 tahun lalu. Kepersisannya mencapai tahap 90%. Sebiji!

[Adik saya, Norhashimah, paling ingat episod ini - terutama bahagian punca raungan, gilingan cabai serta komen Ngah tersebut...]

**************************************************************

Hari ini, 10 September 2013, jam 12 tengahari,  hampir empat dekad selepas episod di atas, Pakngah akan berangkat ke Tanah Suci Mekah, bagi melakukan ibadah haji, buat kali kedua. Ngah Dah pula sudah tujuh tahun meninggal - sempat mengerjakan haji bersama Pakngah serta emak, beberapa tahun sebelum kematiannya......

Selamat berangkat buat Pakngah. Semoga dapat menyempurnakan ibadah haji serta mendapat haji yang mabrur. Aamin.