|
Paknjang |
Sekitar November 1990, Paknjang datang ke
rumah dengan membawa khabar yang membuatkan saya terbatuk-batuk.
Paknjang memberitahu emak bahawa dia telah
menjumpai calon menantu. Mereka bersembang di depan tangga di dalam rumah,
manakala saya sedang melengkar di dalam bilik di rumah atas. Setiap butir
perbualan mereka saya dengar, atau memang mereka mahu saya mendengarnya dengan
berbual hanya beberapa meter di bawah tempat
saya berada. Kerana mendengar perkhabaran itulah, tiba-tiba batuk menyerang
tenggorok saya….
Saya dipanggil untuk bersama mereka. Duduk di atas anak tangga yang dibuat dari
bancuhan simen yang menjadi asas tangga kayu ke rumah atas itu, saya hanya diam mendengar sambil
terbatuk-batuk kecil.
“Orang Kubor Panjang!” kata Paknjang,
mukanya menghala kepada emak, ekor matanya ke arah saya. Saya terbatuk.
“Habibah, nama dia…” kata Paknjang lagi,
mukanya masih menghala kepada emak, tetapi pandangannya sembilan puluh peratus terarah kepada saya. “… ada dua
beradik saja. Sepasang, lelaki perempuan. Habibah tu yang sulung..…… “ Batuk
saya makin menjadi-jadi….
“Hang ‘ni batuk sungguh ka?” Kali ini muka
serta pandangan serta soalan Paknjang memang diarahkan kepada saya.
Saya tersentak dan batuk pun terhenti!
“Sapa tolong cari?” Tanya emak dan saya
rasa bagai dibantunya…..
“Orang dekat rumah saya – Shadah dengan
Man….” Balas Paknjang.
Maka kemudiannya saya mula kenal Kak Shadah
dan Bang Man ini – pasangan suami isteri yang baru bertemu jodoh setahun dua
sebelum itu, pada usia masing-masing melepasi 40 tahun. Mereka tinggal sekitar
3 batu dari rumah Paknjang, menghala ke Bukit Selambau.
Kak Shadah boleh dikatakan kakak angkat
Habibah, orang Kubor Panjang yang kemudiannya menjadi isteri saya itu. Habibah
pernah tinggal di rumah keluarga Kak Shadah di sekitar Seberang Perai, semasa
menjadi guru sementara di Pasir Gebu. Khabarnya mereka cukup rapat, maklumlah
sama-sama masih solo dan berkongsi bilik pula . Ayah Kak Shadah pernah menjadi
YB pada era 70-an dahulu.
Maka tidak hairanlah sebarang acara
sepanjang proses dari menengok / merisik
sehingga perkahwinan kami pasti melibatkan Kak Shadah – dan sudah tentu bersama
suaminya, Bang Man. Saya tidak akan lupa pada malam pernikahan kami. Sebaik
selesai dinikahkan, Habibah dibawa keluar dari biliknya, untuk bersalam dengan
saya serta menandatangani surat nikah di hadapan Imam Masjid Kg Belat, Cu Haji
Ahmad. Itulah pertama kali saya
melihat Habibah, itupun setelah sah menjadi isteri. Siapakah pengiringnya keluar
dari bilik? Siapa lagi kalau bukan Kak Shadah…..
[Pertama
kali? Mungkin ada kepelikan sedikit bagi sesetengah makhluk …..
Sebenarnya demikianlah. Habibah dijumpai oleh
Paknjang, melalui Kak Shadah/ Bang Man. Mereka yang mengatur semua pertemuan
keluarga dan risikan serta peminangan. Saya berjanji kepada diri untuk menjadi
suami kepada sesiapa yang emak ayah
restui…. Maka apabila emak ayah mewakilkan Paknjang untuk mencari seorang gadis
untuk saya nikahi, saya terima sajalah hasil carian itu. Mustahil Paknjang akan
mencarikan seorang gadis senget rupa,akhlak dan akal untuk anak saudaranya….
Semasa orang hendak pergi menengok di Kubor Panjang, ketika anggota
rombongan bersedia untuk bertolak, saya menyelinap ke asrama AlFalah,
menghendap dari cermin tingkap pergerakan dua tiga buah kereta…. Salah seorang
pemandunya adalah arwah Paksu [Hazizan Sahak], suami Cu. Berbakul seranahnya di
dalam hati melihat ketiadaan saya di dalam rombongan itu. Paksu mempunyai sebab
kuat untuk memarahi saya. Sepanjang berada di rumah Habibah, di Kampung Tok Dam,
Kubor Panjang, pada hari itu, dia yang tidak berteman sebaya, hanya diam
membisu bersendirian. Tambahan lagi, penduduk di situ berbual sedikit-sedikit
akan menggunakan bahasa yang memerlukan sarikata – bahasa Siam. Kerana diamnya,
dan kebetulan hanya dia yang muda sedikit dari semua lelaki yang datang dari Kg
Permatang Ibus, sepanjang masa dia dianggap sebagai ‘anak teruna’, yakni saya. Sehinggalah waktu
hampir balik, barulah siapa dirinya
diperkenalkan…… Terangguk-angguklah pihak di sebelah ‘sana’. Mereka telah tersalah terka….Anak teruna tidak ikut sama!
“Celaka! Hari ni Paksu marah sungguh kat
hang….” Kata Paksu pula dalam bercerita ketika kami berjumpa pada petangnya.
Saya ketawa bersama Paksu!
Ketika pihak sana datang membalas
lawatan pula, [pertengahan Disember 1990], saya memanglah ada, walaupun hanya
sekejap. [Ketika itu saya sedang mengikuti kursus dalam cuti di Maktab Mahmud,
Alor Setar. Itulah alasan pula bagaimana saya hanya sekejap berjumpa keluarga
bakal mertua]. Kira sempatlah mereka ‘menengok’saya… Tetapi dalam rombongan itu
hanya ada beberapa pasang saudara yang berusia emas serta emak, ayah dan adik
kepada Habibah. Habibah hanya menunggu khabar di rumahnya…. Maka tidaklah kami saling
mengenal muka…..
Sebab itulah, saya catatkan di
atas, pada malam pernikahan itulah kali
pertama saya melihat wajah isteri dan dia melihat wajah suami…. Pertukaran
gambar/foto? Tiada. Perbualan melalui telefon? Tiada, ditambah lagi dengan
tiada juga talian telefon. Mengutuskan surat? Pun tiada. Malaslah kalau setakat
mahu menulis ‘makan apa hari ini? Pakai baju warna apa hari ini? Pecah kaca
pecah gelas…..’dan yang seumpamanya…. Facebok? Hehehehe. Halo, kawan. Semasa
itu, kalau Mark Zuckerberg tinggal di Malaysia, dia masih berhingus di dalam
kelas tadika atau darjah satu!]
Kerana rapatnya hubungan dengan Kak Shadah – dan
Bangman, maka rumah mereka termasuk di antara yang paling awal kami kunjungi
sebaik selesai kenduri-kendara. Berada bersama senarai rumah saudara-mara
terdekat. Sementelah, rumahnya tidak jauh dari rumah Paknjang, jadi kunjungan
hari itu dikategorikan sebagai dua dalam satu…. Er … tiga dalam satu. Yang
teruk sedikit hanyalah perut. Di rumah Paknjang dijamu nasi tengah hari, di
rumah Kak Shadah/Bangman dijamu nasi menjelang Asar – berselang dua setengah
jam. Selepas Asar, kami diajak ke rumah emak Kak Shadah [merangkap emak angkat
Habibah] di pinggir sungai selepas jambatan di Pekan Jeniang. Di situ, dalam
menjangkakan hanya dihidangkan teh dan pisang goreng, rupanya mereka juga
menyediakan nasi beriani dengan -antara
lainnya - ayam goreng…..
Saya pun….
“Nak menjaga hati orang, konon. Aku yang teruk!”demikian sebahagian leteran usus besar saya sepanjang perjalanan
pulang, apabila dia mendengar dua tiga kali saya memberitahu isteri akan rasa sengkak yang amat sangat. Hati sendiri hanya
diam walaupun ada sedikit rasa tersindir…..
Demikianlah.
Selang tiga empat bulan kemudian, kami
jengahi lagi rumah mereka setelah berkunjung ke rumah Paknjang. Lebih santai
kali ini dengan sela masa yang selesa. Sembang-sembang dan makan-makan…..
Selepas itu lama kami tidak saling
berkunjung. Lebih setahun, rasanya. Paknjang/Maknjang pula kerap kami temui
dalam kunjungannya ke rumah Tokwan atau di rumah saudara-mara jika ada
kenduri-kendara atau sakit-demam.
Pada 1994, suku pertamanya, kami berniat
untuk menziarahi rumah Paknjang/Maknjang dan rumah Kak Shadah/Bang Man.
Demi keselamatan usus, kami bercadang ke
rumah Kak Shadah hanya selepas masuknya waktu Asar. Namun, perancangan di atas motor itu tinggal
begitu sahaja. Selesai makan di rumah Paknjang dan selepas solat Zuhur, Habibah
telah bersiap untuk berjumpa kakak angkatnya itu.
Puncanya?
Semasa menunggu waktu makan, Paknjang
mengatakan Kak Shadah dan Bang Man buat sementara ini tinggal di rumah keluarga
mereka yang di tepi sungai selepas jambatan di Pekan Jeniang itu.
“Dia ‘dah dapat anak …..” kata Pakjang.
Alhamdulillah! Hampir serentak saya dan
isteri mengucapkan syukur…..Dapat juga Kak Shadah seorang anak….
“Bila?” Tanya Habibah yang teruja.
“Dalam dua minggu lebih kut….” Balas
Paknjang sambil menyedut rokok daun.
“Kiranya tak lepas pantang lagilah…..”
Habibah berkata sambil mengangguk-angguk dan tersenyum. Paknjang ikut tersenyum. Maknjang pun.
“Anak lelaki ka perempuan?”
Tanya Habibah seterusnya.
“Orang dapur…..” jawab Paknjang tanpa menoleh; merenung asap rokok yang
berjaya dikeluarkan melalui dua lubang hidungnya…. Maknjang hanya mengiakan.
Masalah komunikasi menjadi sebab khabar
bahagia itu tidak kami terima lebih awal. Salah kami juga kerana seolah
membiarkan tali silaturahmi dengan Kak Shadah dan Bang Man makin longgar
ikatannya….
Ketika menuju ke Pekan Jeniang, tidak
henti-henti, isteri saya bercerita - betapa
perancangan Kak Shadah jika dan apabila mempunyai keluarga dan anak
sendiri - semasa mereka masih solo beberapa tahun
dahulu. Meski berada di usia penghujung 30-an ketika itu, Kak Shadah tetap
yakin Allah akan memberikannya jodoh yang baik serta anak yang demikian juga sifatnya.
Sebagai pendengar yang baik pula, saya
memang hanya mendengar. Tidak berkata sepatah pun, membiarkan Habibah
bermonolog kepada saya dan angin yang menerpa ke arah kami di atas motor. Hati
saya yakin menyatakan bahawa keterujaan Habibah menerima berita Kak Shadah
mendapat zuriat itu ada memberinya
harapan pula – kerana kami sendiri belum dikurniakan peluang bergelar ayah ibu
meski usia perkahwinan telah menginjak ke tahun ketiga. Maka saya biarkan
isteri terus bermonolog dan berilusi……
Di Pekan Jeniang , kami singgah di hadapan
dua kedai. Kedai yang menjual set pakaian bayi serta kedai buah-buahan yang
juga menjual makanan ringan dan biskut.
Selain set pakaian siap berbungkus itu, Habibah membeli dua jenis buah
import . Di kedai buah itu dia dapatkan juga dua jenis biskut yang selalu
dimakan oleh wanita di dalam pantang – satu bungkus biskut empatsegi bulat
[acahan saya untuk memeningkannya] serta satu bungkus lagi biskut
bulat kering, rapuh dan tawar yang boleh menyerap secawan air dengan hanya satu
rendaman…..
Hujan renyai mula turun ketika kami
melintasi jambatan Jeniang. Bang Man, yang hanya berkain pelikat dan bersinglet
putih, keluar menyambut kami, sebaik mendengar
lafaz salam saya. Lebar senyumannya – senyuman seorang yang baru bergelar ayah. Makin lebar
lagi apabila sambil berjabat tangan, saya ucapkan ‘tahniah’kepadanya. Belumpun
sempat disempitkan sedikit senyum itu, Habibah yang mahu melangkah masuk ke
rumah pula ikut mengucapkan tahniah. Makin meluaslah senyum di wajah Bang Man…
Di ruang tamu, berhampiran sofa berdekatan
tingkap, terdapat buaian mudah alih. Habibah menerpa ke situ. Diletakkannya
bungkusan yang dibawa bersama tadi ke atas meja kopi di sebelah sofa itu.
Betul-betul teruja isteri saya itu, sambil melafazkan frasa yang sudah klise –
sering didengar di wad hospital kanak-kanak, di klinik serta di dalam drama tv:
“Amboi comelnya……” Dia mengacah-acah ke arah bayi di dalam buaian, sambil
menggeleng-geleng kepala. Sebiji seperti aksi seorang opah di dalam drama yang
kami tonton beberapa hari sebelumnya…
Saya menghampiri buaian itu. Menatap wajah
bayi yang sedang kehairanan , agaknya, melihat wajah dua orang asing di
atasnya. Saya tidaklah sampai melafazkan juga baris skrip seperti Habibah tadi.
Comel memanglah, tapi comel itu bukankah subjektif sifatnya. Di Somalia, anak yang baru lahir seperti itu
pun tentulah dianggap comel oleh jiran-jiran, apa lagi saudara-mara
ibu-bapanya. Namun, supaya tidak
terdapat vakum pada watak saya, saya pun melafazkan, “Jantina mungkin ikut Kak
Shadah tapi matanya mengikut Bang Man….” Terus terang, saya hanya membina
kalimat itu, tidak pasti pun bagaimana dikatakan persamaan mata seorang bayi
dengan seorang dewasa separuh abad… Tetapi saya cukup bahagia melihat Bang Man
yang berdiri berdekatan saya tersenyum lagi lebar…
“Hmmm! Bertubuh seketul! “ kata isteri saya
lagi.
Saya
tersentak.Sudah lama saya ingin mendengar ayat itu dan dapat menyoal balik
secara vokal. Selalunya saya mendengar
frasa tersebut dari orang lain, terutamanya orang tua-tua, sebaik melihat bayi
yang baru dilahirkan. Kerana mereka ‘orang lain’ dan tua-tua pula, terpaksalah
saya simpan soalan mudah saya.
Kali ini saya berpeluang untuk bertanya
terus: “Awat, anak orang Ethiopia atau Somalia ‘nu tak ‘bertubuh’ka?” Bang Man
tergelak kuat. Isteri saya menjeling suaminya…. “Dah orang dok sebut macam
‘tu….budak-budak sihat elok depa panggil ‘bertubuh’la….”katanya di hujung
jelingan.
Betul, kan? Isteri saya hanya menghafal
frasa yang diturunkan dari generasi ke generasi apabila melihat bayi atau anak
kecil…. Saya hanya mengangkat bahu dan
Bang Man tersengih melihat saya.
Ketika itu muncul Kak Shadah bersama
emaknya dari arah dapur. Mereka menyalami serta memeluk isteri saya. Kepada
saya mereka mengangguk-angguk, tersenyum. “Tahniah nooo, Kak Shadah.”kata
saya. Kak Shadah tersengih. Nampak dia
sihat seperti dahulu, berhias kemas, memakai kemeja t lengan panjang berkain
tanpa corak berwarna hijau pucuk pisang. Rambutnya dibungkus skaf hijau muda.
Tidak seperti wanita baru bersalin lain yang tipikal – muka bertempek bedak
sejuk, rambut ditocangkan, memakai sweater di bahagian luar, berkain
batik kusam serta berstokin……
Habibah mengambil tiga bubgkusan yang
dibawa tadi. Diserahkannya kepada Kak Shadah yang kemudian menghulurkan pula
kepada emaknya. Ketika memegang bungkusan ketiga – berisi biskut kering – dua
berana itu tertawa agak kuat. Bang Man ikut serta setelah sejak tadi mengulum
senyum. Saya terpinga-pinga. Habibah tentulah juga demikian, malah mungkin
lebih lagi.
“Paknjang tak habaq ka? “Tanya Kak Shadah
sebaik tawanya sedikit reda.
“Awat?” saya dan isteri bersuara hampir
seirama. Darjah kehairanan makin meningkat.
“Kak hangpa ‘ni bukannya bersalin……” kata
emak mertua Bang Man yang mula duduk di
sofa bersebelahan buaian mudah alih tadi. Tawanya masih ada walaupun nipis.
Kami masih terpinga-pinga.
Bang Man yang ikut duduk tidak jauh dari
situ dalam tawa yang tidak berbunyi kemudiannya menerangkan duduk perkara.
Katanya, anak itu diberikan oleh seorang ibu beranak ramai yang baru melahirkan
bayi itu dua minggu lalu. Orang Langkawi. Bukan orang ‘ada-ada’. Malah berjanji jika melahirkan lagi, pun akan
diberikan juga kepada Kak Shadah… Tentang bagaimana mereka boleh berjumpa
dengan orang Langkawi itu tidak perlulah saya perincikan….
Saya terlopong seketika sebelum ikut
ketawa. Patutlah mereka tertawa kuat tadi terutama tatkala melihat bungkusan
biskut untuk ibu bersalin….. Patutlah saya nampak Kak Shadah seperti
‘biasa-biasa’ sahaja.
Isteri saya terduduk. Dalam tawa juga, dia
menyebut dua kali nama satu watak:
Paknjang, Paknjang…..
Selepas kematian Habibah pada 23 Julai
1995, hubungan saya dengan pasangan suami isteri yang baik itu menjadi cukup
renggang. Hanya tiga kali saya ke rumah Kak Shadah/ Bang Man di jalan Bukit
Selambau [satu darinya pada hari kematian Paknjang ], serta sekali bersama
arwah emak ke rumah emaknya di Pekan Jeniang itu kerana majlis kenduri kahwin
adik Kak Shadah….
|
Maknjang |
Kak Shadah dan Bang Man mendapat seorang
lagi anak dari orang Langkawi itu kemudiannya, dan mereka juga dikurniakan
Allah seorang zuriat sendiri yang kini berusia 12 tahun….
Jumaat, 16 Ogos lalu, saya bersama samatua yang kedua ke rumah arwah Paknjang.
Dalam berbual dengan Maknjang serta anaknya Yusof, timbul cerita tentang Kak
Shadah yang sudah mendapat menantu. Anak kecil yang saya dan Habibah ziarahi
dahulu itulah yang menjadi pengantinnya. Kendurinya berlangsung pada hari raya
keempat baru lalu [11 Ogos 2013] di rumah adik Kak Shadah di Taman Indah, Jeniang.