Rumah ayah telah melalui beberapa fasa renovasi sepanjang
empat dekad.
Entah kali keberapa, renovasi pada tahun 1975 itu cukup saya
ingat.
Kami enam beradik ketika itu.
Ayah menambah rumah dapur. Dapur kecil sebesar mungkin 10’ x 10’ dengan pelantar comel di hujungnya, ayah anjakkan jauh
dari rumah ibu, bagi memberi ruang kepada
rumah tengah yang baru itu. Atau tepatnya, dari hanya ada rumah ibu dan
dapur, ayah mahu menambah satu ruang lagi sebagai rumah tengah.
Rumah itu memang baru. Semuanya baru. Tiang, lantai dan dinding
serta bumbung atap nipahnya.
Setelah siap rumah baru itu, ayah letakkan pemidang dari
anyaman buluh di tengahnya, membahagiduakan rumah itu. Menghala ke rumah
Tokwan, ada satu pintu – serta pastinya satu tangga. Tangga itu anak-anaknya
adalah kayu 4”x2”, kalau tidak silap. Dari pintu itu, kalau ke kanan ertinya ke
rumah ibu, manakala ke kiri boleh terus ke dapur atau belok sedikit, di hujung
pemidang, akan membawa pula ke bahagian sebelah lagi rumah baru tersebut dimana
terletaknya katil emak ayah. Ertinya itulah bilik
emak ayah. [Saya tidak tahu siapa pembuat pemidang tersebut, tetapi seingat
saya semenjak belum ada rumah baru , pemidang buluh yang telah usang itu memang
telah ada di atas rumah ayah, menjadi pemisah ruang tidur bagi rumah tidak
berbilik itu…]
Bersandar pada dinding pemidang itu, betul-betul menghadap
ke pintu adalah sebuah set-board dengan cermin bulat sebesar dulang atau
talam penutup tempayan besar. Ada lukisan besar tiga kuntum bunga pada bahagian
atas cermin set-board itu. Di situlah
tempat kami berlangir berbedak…
Ruang antara set-board
dengan pintu ke dapur itu boleh dikatakan sebagai ruang serbaguna. Di situlah
tempat kami sekeluarga menghadap makanan, di situlah tempat ahli keluarga –
adik beradik emak ayah – bersembang jika bertandang, di situlah tempat emak
membalut ketupat atau menyediakan adunan kuih kerana ruang dapur memang hanya
muat untuk memasak….
Di situ juga tempat emak mengajar kami pelajaran agama atau
membaca al Quran.. Tidak akan saya lupakan betapa emak menuturkan pelajaran
fekah dan tauhid. Emak akan menyuruh kami menyalin apa yang disebutnya. Dalam
tulisan jawi. Maka bagi yang belum mahir dalam tulisan itu, akan bergegas ke
balik pemidang, lalu meminta emak menyebut semula, dan dengan pantas menulisnya
dalam tulisan rumi…
Di ruang itulah kami menghadam sifat 20[siap dengan wajib
dan mustahil bagi sifat Allah], sifat rasul, rukun serta semua yang berkaitan
dengan sembahyang…
Ruang itulah menyaksikan pada satu hari Khamis, pada hujung
tahun 1976, dengan tangannya masih penuh sisik ikan yang disiang di ruang
dapur, emak memegang kepala saya lalu mencium dahi dan pipi anaknya ini, yang
membawa pulang keputusan peperiksaan SRP…
Di ruang itulah, pada satu malam, saya terlena di atas
ribaan Toktih
Che Ah, kakak Tokwan, kerana terpesona pada cerita-ceritanya tentang
masa silam keluarga ,tatkala berbual dengan emak. Itulah agaknya kali terakhir
saya/kami berjumpa dengan Toktih Che Ah [yang saya panggih Toktih Ah sahaja].
Dia bermalam di rumah ayah sepanjang persediaan hari perkahwinan Paktam pada
tahun 1981 itu. Ada fotonya sehari selepas kenduri, selepas sarapan, dalam
acara bersalam /berkenalan dengan pengantin – Paktam dan Maktamlah tu…Sayangnya
foto itu telah terkubur di perut anai-anai sebelum dikuburkan di perut
bumi…Tetapi saya masih ingat Toktih berbaju biru dan berselubung putih pada
hari itu, membelakangkan dinding rumah ibu Tokwan, yang menghadap ke rumah
ayah, sebagaimana tertera di dalam foto berkenaan.[Kebiasaannya Toktih akan
datang ke rumah Tokwan dan rumah ayah tiga empat hari sebelum atau selepas ke
rumah anaknya di Sungai Nonang].
Saya tidak ingat tahun rumah itu kemudiannya diubah/dibaikpulih.
Yang pasti ketika kenduri perkahwinan Paktam, rumah itu
masih ada.
Yang lagi pasti, rumah itu dibina pada tahun 1975.
Kenapa saya begitu pasti dengan tarikh pembinaannya?
Ada sebuah radio transistor berwarna merah di rumah ayah. International jenamanya.
Dengan bahagian dinding belum berpaku, ayah gantungkan radio itu pada salah
satu rangka jenang tingkap. Saya duduk di atas bendul rumah ibu. Tokwan pun
ada, bersandar pada tiang seri rumah baru ayah, menyilang kaki. Ayah berhenti
bertukang, bersandar pada tiang berhampiran pintu yang menghala ke rumah Tokwan
itu.. Emak yang tidak peduli sedang memasak di dapur. Cukup indah panorama itu
dalam bingkai kenangan.
Tidak seorang pun bercakap kerana kami bertiga memokuskan
pendengaran kepada radio. Agaknya itulah kali pertama dan terakhir kami boleh
bertahan amat lama mendengar radio tanpa bergerak dan bersuara.
Semuanya kerana Piala Dunia!
Malaysia bermain di peringkat separuh akhir pada petang itu.
Menentang India. Tetapi tewas. Pada penentuan tempat ketiga dan keempat,
kemudiannya, juga Malaysia tewas. India menjuarainya.
Ya. Malaysia pernah menjadi pasukan keempat terbaik di Piala
Dunia!
……………
Piala Dunia Ketiga
berlangsung di Malaysia
……………..
Itu saja yang masih saya ingat lagu berentak march nyanyian Jamaluddin
Alias yang mempromosikan kejohanan Piala Dunia di Kuala Lumpur itu.
Tiada tv di rumah Tokwan apalagi di rumah ayah.
Hanya radio itulah perantaranya. Tidak pasti siapa
pengulasnya ketika itu. Mungkin Baharin Tahir atau Zulkarnain Hassan atau Karim
Mohammad.
Beberapa hari sebelum kejohanan, saya sudah teruja membaca
akhbar tentang kedatangan skuad negara luar. Akhbar akan menyenaraikan nama
semua pemain serta gambar masing-masing. Saya paling teruja dengan pasukan
Pakistan. Ada nama Islamnya. Di antaranya adalah Manzur
Hassan, Akhtar Rasool. Tetapi paling saya
suka nama Islahuddin….Entah mengapa…..
Skuad negara 1975 |
Seluruh negara bergembira apabila buat pertama kali Malaysia
layak ke peringkat separuh akhir. Piala Dunia, dik. Kena bersaing di peringkat
kelayakan, bukannya main jemput-jemput macam kenduri arwah. Nama-nama pemain kebangsaan
mula meniti di bibir. Saya masih ingat nama-nama Poon Fook Loke , M Mahendran,
Brian Sta Maria, K Balasingan, A Francis, Franco d'Cruz, Khairuddin Zainal, Sri Shanmuganathan [kapten] dan Len Oliviero…
Maka tidak hairanlah jika kami tidak bersuara sepanjang
perlawanan berlangsung. Daya imaginasi yang kuat membuatkan kami seperti nampak
setiap pergerakan pemain, selari dengan ulasan di radio. Jatuh, bangun, bersemangat
dan kecewa pemain dapat kami bayangkan kerana hampir tidak terhenti ulasan
berjalan. Entah berapa cawan liur pengulas jika dikumpulkan sepanjang
perlawanan itu, terutamanya ketika Malaysia membuat serangan…
… dan Malaysia kalah …
Itulah juga kali terakhir negara layak sehingga peringkat
empat terbaik …
Piala Dunia sedang berlangsung di The Hague, Belanda ketika
ini. Malaysia layak ke kejohanan kali ini. Entah edisi yang keberapa.Tetapi melihat senarai lawan, seperti Australia dan tuanrumah, kita tidak boleh mengharapkan keajaiban sangat...
Yang pasti, edisi ketiga kejohanan hoki Piala Dunia telah berlangsung di negara kita,
Malaysia.
Pada tahun 1975.