Tuesday, December 31, 2013

S O S: Cerita Lemak Pedas


Sehingga usia tujuh atau lapan tahun, rumah kami rasanya tidak pernah menerima kunjungan sebotol sos cili atau sos tomato. Yang ada hanya kunjungan botol kicap. Itu pun kunjungannya tidaklah secara konsisten. Kadang-kadang sahaja.

Kata emak, sos tomato atau sos cili bukanlah keperluan utama. Tanpa sos tomato atau sos cili pun hidup masih berjalan seperti biasa. Lainlah kalau tidak ada beras, ikan, garam, gula, kopi…

Kata kawan, sos tomato sedap rasanya. Makin menyedapkan apa yang kita makan. Saya hanya menelan liur mendengarnya bercerita bagaimana sedapnya dia mencelupkan potongan buah jambu batu yang separuh ranum ke dalam sos tomato lalu mengunyahnya…

Lama juga saya cuba menghapuskan bayangan mencelupkan jambu batu ke dalam sos tomato. Selalunya jambu batu kami – adik-adik dan Chik serta Ndak – cecah dengan garam sahaja. Letakkan garam di atas tapak tangan, kemudian tokakan atau takikan buah jambu batu itu dicecahkan dengan tekanan yang kuat ke atas garam itu. Dapatlah perisa masinnya! Demikian pula dengan putik nyiur yang luruh. Bersama garam di atas tapak tangan diletakkan secubit belacan. Tokakan putik nyiur akan dipalitkan sedikit belacan sebelum dibenamkan ke dalam garam lalu di bawa ke mulut. Merambu air liur ketika mengunyah dan menikmati putik nyiur itu… Pun demikian, bukan selalu ada putik nyiur luruh. Terkadang terpaksa berebut sebaik mendengar bunyi jatuhan di perdu nyiur. Kalau putik nyiur manis, lagilah berebut dan lagilah enak dikunyah. Tetapi nyiur jenis itu hanya ada di kampung jiran Tokwan – pasangan Tokngah Hj Elias/Tokngah Sara. Di laman rumah Tokwan serta kampungnya tiada nyiur manis. Hanya nyiur kelat. Tetapi ada dua jenis pula– satu yang hijau dan satu lagi yang perang.

Kalau dengan garam dan belacan pun putik nyiur kelat menjadi sedap, bagaimanakah agaknya rasa apabila dicelup pada sos tomato atau sos cili… Dan berlenjalah air liur  apabila saya memikirkan begitu…

Awal dekad 70-an, Tokwan membeli  beberapa relung tanah di Jalan Bukit Selambau. Kalau tidak silap Batu 31. Simpang ke jalan itu terletak di Batu 10, Jalan Gurun- Jeniang. Puas juga berjalan kaki dari simpang di Batu 10 itu untuk sampai ke rumah Tokwan. Naik bukit turun bukit pula jalannya. Kata bahasa tempatan, naik gon turun gon. Sudahlah letih menaiki bas dari Gurun melalui jalan yang selain naik gon,turun gon itu, bengkang-bengkok pula mengikut kontur bukit.

Biasanya, saya dibawa ke situ pada cuti sekolah.  Cuti penggal kedua –selalunya bulan Ogos- adalah musim buah. Tanah yang Tokwan beli itu bukanlah dusun. Kebanyakannya sedia ditanam getah dengan sedikit kawasan bendang di bahagian berpaya. Ada beberapa pokok rambutan dari pelbagai ‘bangsa’, beberapa pokok cempedak, dua tiga pokok nangka serta – kalau tidak silap – hanya sepokok durian. Ada pula sepohon setol yang batangnya sebesar  tiga pemeluk orang dewasa di tepi jalanraya. Tinggi menjulang, boleh dilihat dari jauh. Pokok itu adalah penanda mudah kalau mahu dipetuakan plan ke rumah/tanah Tokwan. Pokok itu juga menjadi penaik semangat jika sudah nampak pucuknya, ketika berjalan dari Batu 10 – tanda sudah ‘sampai’.Pada musim buah, bersyukurlah kami dapat makan buah rambutan sepuasnya… [Hal lain tentang ‘dusun’ ini nantilah dicatatkan, kalau teringat].

Tanah Tokwan terletak di lereng bukit. Bahagian tingginya adalah tanah milik seorang yang agak ‘ada-ada’. Md Saman namanya. Entahlah nama panggilan atau nama berdaftar. Toktam Md Saman.

Kiranya rumah Toktam Md Saman itu terletak di atas bukitlah.  Rumahnya besar. Dapurnya sahaja pada penilaian saya mungkin lebih besar dari rumah ayah/emak! Ada sekurang-kurangnya dua biji kereta. Satu untuk dibawanya ke merata. Satu lagi diletakkan di bawah pokok nangka di tepi lamannya. Yang kedua ini tidak dibawa ke mana-mana. Saya kerap mendapat peluang  memandunya. Bukan susah, ikutlah mana yang mahu didulukan - pulas stereng, masukkan gear, tekan pedal minyak dan brek, tekan butang hon, buka radio  - tetapi bunyi enjin, radio dan honnya tidak pernah serentak sebab mesti datang dari mulut sendiri….

Saya rapat dengan seorang anak Toktam Md Saman,setiap bercuti di rumah Tokwan  Malangnya saya sudah lupa namanya. Njang pernah menyebutkan beberapa nama anak Toktam Md Saman, tetapi saya pula lupa anaknya  yang mana menjadi kawan semasa awal tahun tujuhpuluhan itu…

Namun satu hal yang cukup saya ingat sampai kini…

Biasanya, selepas sarapan, Tok dan Tokwan akan pergi menoreh. Kalau tidak memanjat pokok rambutan, saya akan memanjat bukit – ke rumah Toktam Md Saman. Bermain-main dengan anaknya. Bagi memudahkan cerita, biarlah saya namakan anaknya itu Jonghyun [alang-alang anak Melayu gilakan k-pop…].

Sebagai anak orang ada-ada, Jonghyun mempunyai banyak barang mainan. Kebanyakannya tidak pernah saya lihat atau miliki… Jonghyun tidak berkira. Malah kalau dirosakkan pun barang mainannya,  dia tidak akan berkata apa-apa. Dia hanya akan terkekeh dan kerap pula ikut merosakkan sama.  Kerosakan akan berlaku kerana teman bermainnya ini tidak begitu cekap mengendalikan barang permainan yang banyak menggunakan tenaga kinetik dan tenaga sawat. Maklumlah, tidak pernah jumpa…

Puas bermain di dalam rumah, kami bermain di luar. Pastinya di dalam kereta Toktam Md Saman yang diparkir kekal di bawah pokok nangka. Meski bermain berdua, tetapi bunyi enjin, radio dan hon cuma datang dari mulut saya. Jonghyun hanya tertawa dan kerap tidur di bahagian belakang. Menjadi ‘tuan’.

Apabila tiba waktu letih dan waktu makan, saya akan balik ke rumah Tokwan. Tidak pernah saya makan di rumah Toktam Md Saman, walaupun kerap diajak oleh Toktam dan Jonghyun.

 Saya tidak mahu kehilangan peluang bermain dengan Jonghyun. Itulah punca saya menolak ajakan makan di rumah besar tersebut.  

[Flashback music, please…]

Di belakang rumah Toktam Md Saman, bersetentang dengan rumah Tokwan, ada sebuah rumah kayu yang saiznya  hampir sama saiz rumah ayah/emak  saya di kampung. Ketua keluarganya saya panggil Pak Mat, berasal dari Singkir, Kedah. Pak Mat dan isteri merupakan pekerja Toktam Md Saman – menoreh di kebun getahnya yang berelung-relung. Pada satu musim cuti sekolah, rumah Pak Mat dikunjungi beberapa anak buahnya. Salah seorangnya sebaya saya. [Sekali lagi saya lupa nama, tapi tidak perlulah saya ‘koreakannya’ kerana cerita tentangnya sedikit sahaja…] Saya selalu juga bermain di situ. Rapat pula dengan teman sebaya tersebut. Sering masuk ke belukar berdekatan rumah bersama, mencari buah berangan, dan selepas digoreng, makan pula bersama-sama, sambil melihat ahli keluarga lain bermain congkak…

Satu tengah hari, saya makan di rumah Pak Mat, setelah berkali-kali diajak oleh teman sebaya. Kekenyangan. Lama kemudian saya mendengar, Tokwan memanggil saya balik. Berkali-kali.  Memikirkan Tokwan hanya memanggil untuk makan tengah hari, saya abaikan panggilan itu. Kemudian dua tiga kali pula terdengar panggilan Tok. Kalau Tokwan panggil nama hujung, Tok biasanya memanggil nama penuh dalam makhraj arab. Tidak juga saya  peduli. Saya leka melihat anak-anak buah Pak Mat bermain congkak.

Petang sedikit, sebaik saya pulang, Tokwan memanggil saya. Tidak banyak yang saya ingat apa yang diucapkan cuma perenggan akhir yang agak mengejutkan: Jangan pi main rumah Pak Mat lagi!

Saya hanya mengagak, inilah dendanya kepada orang yang makan nasi di rumah orang lain.

Saya patuh dan terpaksa kehilangan seorang teman bermain. Saya setakat melintas rumah Pak Mat untuk ke rumah Toktam Md Saman. Pertanyaan anak buah Pak Mat kenapa saya tidak lagi singgah bermain bersamanya tidak saya jawab kerana memang tidak ada jawabannya. Tokwan pun tidak memberikan sebab kenapa saya tidak dibenarkan bermain di situ lagi. Yang ada cuma agakan sendiri.

Nantilah saya nukilkan lanjutan tentang anak buah Pak Mat itu.

Saya akan balik makan nasi di rumah Tokwan yang Tok sediakan bersama Chik. Kalau tidak silap, selalunya, Chik dan Ndak akan bergilir datang ke rumah Tokwan di kawasan bukit itu. Salah seorang akan tinggal di rumah Tokwan di kampung. Cuma pada musim buah, kedua-duanya akan datang serentak. Kalau tidak salah ingatanlah. Kalau mereka ingat, bolehlah tanyakan pada mereka.

Lauk paling popular di rumah Tokwan adalah ikan tamban atau ikan gelama kering. Sesekali ada ikan sardin. Ikan segar amat payah didapati. Tokwan perlu berkayuh ke pekan Jeniang. Selalunya jika ada pekan sehari barulah dapat merasa ikan segar sehari dua.

Selepas makan, agak petang sedikit, saya akan kembali bermain bersama Jonghyun di rumahnya. Tidak pernah rasanya Jonghyun datang bermain di rumah Tokwan. Maklumlah, apa yang mahu dimainkan? Biji getah adalah…

Sekali peristiwa, sebelum masa makan tengah hari yang lazim, Jonghyun telah dipanggil untuk makan oleh emaknya. Agaknya dia tidak bersarapan, maka awallah waktu makannya di penghujung pagi itu. Jonghyun masuk ke ruang dapur, dan memandangkan saya masih ada di rumahnya, dia keluar bersama sepinggan nasi berlaukkan ikan seketul, untuk bersila di atas sebuah pelantar luar berhampiran pintu dapur. Pelantar itu selalunya menjadi tempat Toktam Md Saman melayan rakan-rakan dan jirannya – termasuk Tokwan – bersembang selepas solat Asar .

Saya tertarik pada tangan kiri Jonghyun – ada sebotol sos tomato. Dalam bersila, Jonghyun menuang sos tomato ke atas nasi serta sedikit ke atas ketulan lauk. Saya menelan liur. Belum pernah melihat sos tomato selumayan itu…Kemudian Jonghyun menggaul nasi sehingga merah semuanya dipalut dek sos. Merah juga semua jariyang yang ‘berisi’.Saya ternganga melihatnya. Sos yang berpadu dengan nasi panas menghasilkan aroma yang tidak pernah saya hidu. Jonghyun mencubit sedikit lauk, membenamkan ke dalam nasi lalu menjemput nasi itu ke mulutnya. Semasa nasi masuk ke mulutnya, saya masih ternganga. Sebaik dia mula mengunyah, mulut saya tertutup dan kerongkong pun melakukan proses peristalsis, menolak air liur ke dalam perut…

Satu pemandangan yang cukup tebal melekat di minda.

Saya pernah menikmati nasi bergaul sos kacang soya [kicap] serta isi ikan yang disiat-siat tetapi – sungguh – tidak pernah merasakan nasi bergaul sos tomato atau cili. Kalaupun ada kelainan gaulan cumalah nasi bergaul minyak bekas goreng ikan, nasi bergaul cabai kering goreng yang rangup atau nasi bergaul kerisik. Nasi goreng pula [dulu dipanggil nasi rendang] biasanya selain dengan kicap, digoreng dengan gilingan cabai kering. Emak kerap juga menggoreng nasi bersama kelapa kukur , ketika  -rasanya - kehabisan minyak masak. Mudah sahaja resepinya:  nasi, kelapa dan garam secukup rasa, tanpa pewarna tiruan. Dan rendang hingga takat kegaringan yang dimahukan…

Nasi bergaul sos tomato…

Jonghyun terus membuat suapan dan kunyahan. Saya yang masih kenyang dengan sarapan merasa perut seakan kosong, kerongkong kontang dan  liur berlenja. Alangkah sedapnya nasi yang Jonghyun kunyah itu!

Mulut saya terbuka setiap kali Jonghyun menyuap, tertutup setiap kali Jonghyun mengunyah. Mata saya berlari mengikut pergerakan tangan kanan Jonghyun. Antara pinggan dan mulutnya.

Pada satu peringkat, Jonghyun bangun masuk ke dapur. Menambah lauk dan nasi. Saya nampak botol sos tomato yang terbuka. Penutupnya berada tidak jauh dari lutut saya. Saya memerhati keliling. Ke pintu dapur. Ke laman rumah Toktam Md Saman. Kea rah rumah Tokwan di tebing bukit. Saya celupkan jari telunjuk ke dalam mulut botol sos tomato. Hanya dua tiga saat. Jari itu dibalut sedikit sos tomato. Sebaik mendengar pergerakan Jonghyun menghampiri pintu, jari telunjuk itu saya masukkan ke dalam mulut saya. Dua tiga saat. Jari telkunjuk dikeluarkan. Sos tomato yang ditinggalkan di atas lidah, saya kemam. Empat lima saat. Ada  satu rasa yang …..aduhai….

Jonghyun kembali bersila. Dia mencapai botol sos tomato lalu menuangnya ke dalam pinggan. Saya melihat tangannya agak kemerahan. Kemudian Jonghyun mengulangi acara menggaul. Saya melihat jari telunjuk sendiri.  Ada kesan kemerahan.!

Sehingga waktu balik makan pada tengah hari berkenaan, sedapat mungkin saya mengelakkan  jari telunjuk itu dilihat oleh Jonghyun…

Di rumah Tokwan, saya menggaul nasi dengan sos kacang soya yang hitam pekat . Saya membayangkan gaulan itu menghasilkan warna merah. Namun tidak dapat membayangkan rasa gaulan itu sama seperti yang sedikit saya rasakan di pelantar bersama Jonghyun. Sos kacang soya  meski namanya kicap lemak atau kicap manis, tetap ada rasa masinnya…

Ketika sekolah dibuka semula, Che Awang, tuan gerai ais kepal di depan sekolah saya, buat pertama kali memperkenalkan ubi sengkuang potong. Di atasnya ada sapuan dua ‘perisa’ : kuah rojak hitam pekat dan… sos tomato/cili!

“Berapa rit?” tanya saya kepada seorang rakan yang sedang baru membuat tokakan pertama pada potongan sengkuang yang dibelinya.

Lima rit…” katanya sambil mengunyah. Saya menelan liur.

Lima rit @ lima duit @ lima sen.

Itu bukan nilai yang kecil. Saya hanya membawa dua kupang [dua puluh sen] dan telah habis dibelanjakan di kantin Mak Nab, isteri guru besar, pada waktu rehat tadi. Mahu meminta pada ayah yang menunggu di depan kedai Amar percuma sahaja. Ayah [ dan emak] telah berpesan, kalau ayah pergi mengambil saya, berbasikal dengan memakai kain pelikat, jangan minta apa-apa. Ayah memang tidak membawa wang. Lainlah kalau ayah berseluar pentalon…  Saya melihat ayah dari kejauhan. Hari itu ayah berkain pelikat…

Esok sahajalah. Saya beritahukan rancangan kepada emak yang hanya mengangguk.

Esoknya, hanya saya dan dua lagi budak lelaki yang baju masing-masing seperti pagi kelmarin. Yang lain semuanya ada bekas merah di sekurang-kurangnya pada satu tempat di bahagian dada, tumpahan sos tomato/cili  pada potongan sengkuang Che Awang. Saya merasa cukup terasing…

Tengah harinya, sambil terkangkang di atas pelantar basikal tua ayah, saya menokak potongan sengkuang. Hanya sekali saya memberikan ayah peluang membuat tokakan, sebagai upah berkayuh...

 Sos tomato/cili saya jilat perlahan. Lekatan di jari juga saya jilat. Ada sedikit terjatuh ke atas dada baju. Saya biarkan.

Saya telah masuk kelab pemakan sos tomato/cili!

Wednesday, December 11, 2013

Nama Lain untuk Empat Anak Tokwan

Ingat Chu yang ditukar namanya kepada Amiroh sebaik tinggal bersama Wa Isa dan Wa Sarah?

Sebenarnya  di rumah Tokwan juga ada pertukaran nama kepada anak-anaknya yang lain.

Nampak muka Chik dua tiga hari lalu saya teringat satu perkara. Namun kerana saya pergi ke rumahnya bersama seorang jiran, pertanyaan lanjut tentang apa yang ingatkan itu terpaksalah diurungkan dulu.

Semasa masing-masing belumpun berkahwin, Paktam atau Paktih memanggil Chik  tidak dengan nama betulnya, sebaliknya dengan menggunakan nama Syed. Kalau semasa mood tidak berapa baik sedikit nama Syed itu ditambah pula dengan kudung – jadilah Syed Kudung. Saya tidak tahu siapa Syed yang kudung [entah kaki atau tangan kudungnya itu] juga tidak tahu kenapa Chik yang digelar begitu. Bolehlah ditanya kepada Chik kalau dia mahu bercerita…

Setakat yang saya tahu, Syed adalah seorang  yang mahu dijodohkan  dengan Chik.  Kalau tidak silap Syed berkenaan merupakan pelajar sekolah agama Al Falah yang terletak bersempadan dengan kampung Tokwan.

Biasalah, mungkin semasa bercakaran sedikit antara adik-beradik, akan adalah giat-menggiat serta ejek- mengejek. Lalu dipasangkanlah Chik dengan seorang berpangkal nama Syed yang kudung itu. Masakan semasa bercakaran itu akan dipasangkan Chik dengan seorang Syed yang serba sempurna sifatnya!

Lama juga saya mendengar Chik dipanggil begitu. Mungkin setelah Chik berkahwin barulah secara perlahan panggilan begitu hilang. Agaknya kerana jodoh Chik bukan dengan seorang Syed…

Ndak pula, Paktih dan Paktam mahu jodohkan dengan seorang yang rasanya pernah saya jumpa. Seorang lagi pelajar di sekolah agama itu. Namanya [maaf kalau tuan tubuh membacanya] Abdul Hamid Junus [Mid Junuih]. Mungkin kerana hamba Allah ini sering melintasi sekitar rumah Tokwan atau merupakan rakan sekelas Ndak, maka sebagai sebuah sakatan, Ndak pun dipanggil Mid Junuih

Yang peliknya sedikit kepada saya, walaupun disakat begitu, baik Chik mahu pun Ndak tetap akan menyahut atau memberi respons walaupun masing-masing dipanggil Syed dan Mid Junuih. Tiada bantahan malah seakan senang dengan panggilan demikian.

Akan Paktam pula, saudara-saudaranya itu memanggilnya sebagai Pak Itam Dongga. Saya tidak pernah melihat Pak Itam Dongga yang betul walaupun khabarnya memang wujud individu terbabit. Atau memang saya pernah bertemu dengannya tetapi saya tidak mengenalinya. Almaklum saya masih terlalu kecil untuk mengenali semua warga sekampung, apalagi yang berasal dari luar kampung. [Pak  Itam Dongga kahabrnya tinggal di pesisir laut Kangkong/ Alor Pulai] Tidak diketahui kenapa Paktam dipanggil begitu. Mungkin kerana kebetulan Paktam agak gelap kulitnya berbanding Paktih, Ndak dan Chik. Kalau mahu dikatalkan berkait dengan dongga, rasanya Paktam tidaklah kepalanya menjendol sangat. Normal sahaja. Seperti tadi, dalam menggelar orang, sekadar untuk menyakat, jarang kita akan temui yang dikatakan sebagai baik, elok, cantik atau sempurna…

Bagaimana dengan Paktih?

Saya tidak ingat kalau ada saudara-saudaranya menggelar atau memangggilnya dengan nama yang dijadikan sebagai giatan atau ejekan.

Namun saya tetap teringat satu nama yang Paktih sendiri pilih untuknya. Tidak kena mengena dengan giatan atau ejekan. Ndak mungkin tidak pernah tahu kerana nama tersebut tidak pernah disebut secara lisan. Chik dan Paktam mungkin tahu kerana mungkin terjumpa pada kulit buku Paktih.

Saya sendiri mulanya tercari-cari siapa tuan punya buku yang Paktih bawa balik. Bukan nama Paktih tapi nama orang lain. Saya pernah terlihat nama itu misalnya pada buku Filsafat Ketuhanan [karangan Hamka] serta antologi sajak Duri Dan Api [Usman Awang], selain pada buku-buku tulis yang Paktih selitkan pada rak bukunya  yang  istimewa, yang tidak lagi saya temui di tempat lain, di rumah lain, sehingga kini – rentangan tali plastik hijau berpintal yang diikat pada dua paku di dua kayu terdapatnya ‘tangga’ bagi disusun dinding rumah.

Hobi saya sejak pandai membaca dulu adalah mencari nama sebenar serta latar belakang penulis atau seniman yang menggunakan nama samaran atau nama pena. Apabila saya dapat, saya akan tuliskan pada sebuah buku khas. Maka banyaklah yang sempat saya simpan. Ada juga penulis [misalnya Usman Awang] yang mempunyai sehingga setengah dozen nama pena!

Maka akrablah saya dengan nama serta tempat asal/kelahiran Awam -il Serkam, Keris Mas, Masuri SN, Kasajiza AS, Rawan Hiba, Kala Dewata, Nora,  Noorjaya, Akhdiat Hadimaja, Hamka, Salmi Manja, Sabda S, Zaihasra,Malungun, Dharmala NS, Dharmawijaya, Wadi Leta S A serta ramai lagi. Dengan itu, tidak hairanlah saya terus mengangkat ‘pembohong’ kepada seorang kawan yang dengan yakin menyatakan di dalam kelas, bahawa WAHBA adalah nama samaran bagi seorang yang bernama Abd WAHAB, kerana sejak lama saya tahu itu adalah nama pena bagi WAn Hamzah Bin Awang….

Jadi, apabila tahu yang tertulis di buku-buku itu adalah nama samaran Paktih, saya mereka dan memadankan  sendiri kenapa namanya begitu. Adakah cantuman nama Paktih dan seseorang yang ada di hatinya? [Seperti misalnya, kelak  - sekitar empat dekad kemudian -  saya terjumpa nama samaran Jafni Ateen? Hehehehe…. ]

Seseorang yang mungkin rakan sekolah atau rakan fp….. 

[ fp? Jangan tak tahu, sebelum ada fb, sudah lama orang menggunakan fp sebagai satu alat bagi mendapatkan teman atau kenalan atau jantung hati. fp? Sengajalah direka bagi mengikut rentak…fp kependekan Fountain Pen. Selain ball point pen [pena mata bulat], fp sering digunakan untuk berhubung sesama rakan /sahabat pena [penpal], bukan? Maksud mudahnya, digunakan untuk menulis atau membalas suratlah....]

Namun carian dan rekaan cantuman nama tidak berjaya. Terutamanya kerana tidak pernah dibawa ke sekolahnya, saya tidak mengenali rakan sekolah Paktih yang berlawanan jenis. Rakan-rakan yang selalu datang ke rumah Tokwan hanyalah yang satu gender dengan Paktih. Takkanlah Paktih sengaja mencantumkan namanya dengan kawan yang sebegitu? Belum ada sejarahnya [meminjam kata orang terlanjur kaya yang low profile , Ma’dit Musyawarah,  dalam drama berantai dari seberang -  Islam KTP] orang mendapatkan nama samaran daripada cantuman nama dengan rakan karib sejantina…

Saya tidak pula terfikir untuk bertanya.  Tetapi kalau pun saya bertanya, akankah Paktih memberikan jawaban kepada budak yang baru hendak tamat sekolah rendah ketika itu?

Lagi pula, apa guna samaran jika didedahkan?

Hamisma Zakri.

Itulah nama samaran Paktih pada awal dekad 70-an dahulu.

Zakri  tentulah nama Tokwan  - Zakaria - yang disamarkan sedikit. [Ada penulis bernama pena Zakri Abadi].

Bagaimana dengan Hamisma?

Ada sesiapa yang boleh berikan makna nama itu?

Atau ada sesiapa yang mahu tahu dengan tepat?

Bertanyalah kepada Paktih!



Sunday, December 8, 2013

Ariffin Majid: Seorang Cucu Tokwan



Paktam [Ibrahim Hj Zakaria]
Saya bertemu Paktam Chin [Hashim bin Hj Othman], di rumah kakak iparnya, Tokngah Mah, salah seorang tauke nira nipah di kampung saya.




Paktam Chin tinggal di Pahang , begitu juga anaknya Cha [ingat Md Isa - mudim-mate saya dulu?]. Mereka berhijrah ke kawasan Felda pada penghujung tahun 70-an. Dulunya Paktam Chin adalah di antara jiran kami yang rapat. Dia adalah adik ipar Pakngah Lazim [ingat kisah Chan Tok Chin dan buah dudur?]

Isteri Paktam Chin adalah Maktam Hawa binti Hj Saad. Oleh kerana nama isteriya Hawa, maka teman rapat memanggilnya Adam! Kadangkala dipanggil Chin Tok Adam. Bagi yang tidak tahu asal usul mesti menyangka ayah Paktam Chin bernama Adam...

Ketika saya bertemu dengannya itu, Paklang ada bersama, kerana kami dalam perjalanan menziarahi Toklang Lah, suami emak saudara Paklang, ayah, Wa, Paknjang dan Ndak - Toklang Fatimah. Sengaja kami singgah di rumah tauke nira nipah yang arwah suaminya adalah saudara mara Paklang bersaudara juga. [Nantilah dalam entri lain...]

Kebetulan Paktam Chin pulang dari Pahang dan singgah juga di situ. Maktam Hawa tidak begitu mengecam saya lagi, maklumlah hampir 4 dekad tidak berjumpa, walaupun kerap juga dia pulang ke kampung. Dia keliru antara saya dan adik saya, Ahmad Yadziz. Maka terpacullah nama lain, yang membuatkan Paklang terbelalak. Paklang pernah mendengar nama itu tetapi mungkin sudah lupa.

"Ni Salahuddin [صلاح الدين] , anak sulung Tok Janggut.. " kata Paktam Chin kepada isterinya. Atau kata Tok Adam kepada Tok Hawa...hehehehe. "Tok Pin tu adik dia..."

Saya tergelak. Ingat lagi Paktam Chin akan nama Tok Pin.

Sebelum itu, biarlah saya perkenalkan akan Tok Janggut itu dahulu. Dialah ayah saya dan lapan lagi adik-adik. Sekampung memanggilnya Tok Janggut. Atau Usop Tok Janggut. Agaknya kalau orang luar mendengarnya tentu pula menyangka ayah Usop bernama Janggut... Dan saya pula dipanggil Din Tok Janggut... Kalau nama sebenar, biasanya orang lama akan menyebut dengan bau kearaban, jelas bunyi Sad [ص]dan Dinnya [Deen]...صلاح الدين

Akan Tok Pin yang disebut Paktam Chin itu adalah merujuk kepada panggilan untuk Ahmad Yadziz. Tok Pin adalah kependekan kepada Ariffin. Ariffin Majid nama penuhnya.

Saya tahu benar sejarahnya.

Ada seorang petugas JPJ Alor Setar bernama Ariffin Majid. Dia berbakat dalam bidang nyanyian. Dia pernah muncul bersama Orkes Chandini, Batu 5 Sik yang cukup terkenal di utara satu ketika dahulu. Malah band itu pernah mengikat kontrak mengiringi D J Dave ke seluruh Malaysia menghiburkan abang-abang polis pada tahun 70-an . Anggota polis dan keluarga  pada era tersebut  tentu pernah melihat persembahan Orkes Chandini atau sekurang-kurangnya mendengar nama band tersebut.


Saya tidak tahu selama mana Ariffin Majid bersama orkes kepunyaan dua beradik yang sering menyanyikan lagu Hindi - A Hamid Khan dan A Ghani Khan itu. Mungkin sekadar penyanyi jemputan, kerana ketika band berkenaan merakamkan album, hanya suara S Mokhtar, M Nasir dan Rohani Sopian yang kedengaran. M Nasir? Itu bab lainlah. Kena klik di sini.

Ariffin kemudiannya pernah menganggotai sebuah band dari Tokai, SBS Band dan seingat saya, mereka pernah muncul di dalam satu rancangan RTM, menyampaikan lagu Andainya Ku Pergi Dulu nyanyian asal grup Alleycats.

Selepas itu saya tidak lagi tahu tentang Ariffin ini sehinggalah bertemunya dalam satu perjumpaan syarikat jualan langsung - Zhulian - di Alor Setar, beberapa tahun dahulu. Rupa-rupanya dia telah menjadi pemimpin berjaya di dalam grupnya di syarikat itu. Agaknya ketika itu dia sudah pun meninggalkan jawatan di JPJ.

Demikianlah.

Sekitar pertengahan 70-an, Paktam memanggil Ahmad Yadziz sebagai Ariffin Majid. Paktam  memanggilnya dalam nama penuh. Barangkali Paktam meminati Ariffin Majid, sang penyanyi.

'Ariffin Majid'
Ramailah juga yang ikut memanggil Yadziz sebagai Ariffn, termasuk jiran-jiran. Saya sendiri kadangkala melagukan nama itu sebagai Ariffitnahe, mengikut lirik yang saya dengar dalam lagu Hindi, Phoolon Ka Taron Ka dari filem Hare Rama ... Ada satu kalimatnya disebut begitu.

Saleh, sepupu kami, anak Paklang yang tinggal di rumah Tokwan sepanjang persekolahan menengahnya ikut memanggil nama itu. Malah sehingga sekarang pun, kadangkala dia tersasul menyebut nama pendek - Pin!

Agaknya oleh kerana nama Ariffin Majid agak panjang untuk disebut, tinggallah Pin sahaja. Ditambah pula dengan Tok, maka jadilah Tok Pin!

Paktam meninggal pada tahun 1997 - samalah dengan ayah. Tetapi sapaannya secara manja, untuk anak saudara yang ketika dipanggil dahulu berusia sekitar 8 atau 9 tahun, rupanya masih berbekas. Setiap kali melihat anak saudara itu bermain dengan debu dan tanah,di bawah cucur atap atau di tepi rumah, Paktam akan memanggil, " Aripin Majid...." Anak saudara yang dipanggil itu akan mendongak dan tersengih sebelum menyambung semula tugas...

Tidak pernah tersangka panggilan nama itu, meski di dalam versi yang hanya tinggal satu atau dua sukukata [Pin @ Tok Pin], kiranya terbawa-bawa sehingga ke Pahang sehingga kini!