Musabaqah Al Quran.
Itulah salah satu acara penting kepada penduduk kampung saya
[serta mungkin penduduk kampung lain juga, di seluruh negara] pada bulan
Ramadan, pada awal dekad 70-an.
Saya katakan ia acara penting sebab sejak bulan Rejab lagi
sudah dinanti musabaqah itu, berdasarkan keterujaan orang tua dan muda bercakap
tentangnya…
Ketika itu, sebelumnya, serta sehingga hujung millennium
lalu, Musabaqah [lama kemudiannya ditukarkan kepada Tilawah] diadakan pada
bulan puasa – bulan Ramadan. Bermula dengan peringkat kebangsaan dan diteruskan
dengan peringkat antarabangsa.
Kampung kami serta kampung sekitar boleh dikatakan tiada tv. Memanglah ada tv berbayar, tetapi tidak cukup dengan bilangan penonton yang
ramai. TV berbayar? Ala… tv yang tuannya kenakan bayaran lima atau sepuluh sen
sekali tengok gambar melayu [ pay per view!].
Lain kalilah saya catatkan selanjutnya…
Di hujung kampung kami, ada simpang empat – ke Kangkong, ke
Yan, ke pekan Simpang Empat dank e Kuala Kedah. Dari arah pekan Simpang Empat,
di sebelah kiri, ada sebuah surau. Kami sebutnya sebagai Surau Tok Haji Dahari
[mengambil nama pengasas dan tuan punya tapaknya yang nama sebenarnya adalah Hj
Azhari]. Beliau dan AJK surau, agaknyalah, akan menyewa tv 24” sepanjang acara
musabaqah itu berlangsung. Di laman rumahnya, berhadapan tangga rumah ibu,
dengan surau terletak di sebelah kiri kampung, akan diletakkan tv itu di atas
satu rak khas.
Sepanjang acara berlangsung itu, saya akan menyertai orang
kampung, tua dan muda berkumpul di laman itu. Menonton tv percuma. Menjelang
masuknya waktu Isyak,, orang perempuan terutamanya, akan mula bergerak berderet ke surau Tok Haji Dahari.
Ada yang mendukung anak kecil atau sekurang-kurangnya memimpin tangan anak yang
sudah boleh berjalan elok. Saya dan rakan sebaya akan menyertai gerombolan
itu… Seronok betul suasananya – berjalan beramai-ramai dengan destinasi dan
matlamat yang sama. Selalu juga Ndak dan
Chik ikut serta, manakala emak tidak pernah sekali pun ikut sama – hanya
mendengar cerita adik-adiknya atau cerita saya sendiri. Cerita saya tidak hanya
berkisar tentang qari dan qariah yang muncul di kaca tv, tetapi mesti lengkap
dengan gambaran suasana di laman serta personaliti-personaliti kampung yang
saya kenal, yang ikut menonton… Orang lelaki dewasa biasanya akan agak lewat ke
tempat tersebut. Mungkin mengerjakan solat tarawih dahulu. Mungkinlah, sebab
bukan pun 100% yang akan menuju ke surau! Kami? Kalau bertarawih dahulu di
surau kampung, alamatnya ketinggalanlah untuk mengikuti musabaqah! Lagi pula
waktu itu mana kami tahu faedah dan fadilat solat sunat tarawih!
Jarak dari rumah mungkin lebih sedikit 1KM. Tetapi dengan
jalan yang kerapnya becak dan kecil pula, dengan beberapa kali menunggu rakan
sepanjang perjalanan itu, lama juga masa yang kami ambil untuk sampai. Berjalan
berderet dalam bantuan cahaya bulan [kalau ada] tidaklah selaju sekarang dengan
jalan lebih luas dan berturap elok…
Kami selalunya sampai ketika orang yang berjemaah solat
tarawih di surau Tok Haji Dahari agaknya dalam sepertiga akhir solat berkenaan.
Tv siap dipasang dengan menggunakan kuasa dari generator, yang juga disewa.
Di depan tv, di tengah laman, pihak tuan rumah meletakkan papan lebar sekaki – kalau tidak silap lantai
balai rumah kenduri – memenuhi ruang. Di atas lantai itulah kami akan bersila
atau duduk dengan lutut didirikan. Sekejap sahaja ruang itu penuh. Bagi yang
datang kemudian, termasuk jemaah surau Tok Haji Dahari itu, terpaksalah berdiri
atau bertenggek di mana-mana asalkan pandangan ke arah tv tidak terhalang.
Bukan pelik lagi ada yang bertinggung sehingga ke jalan raya. Ramai. Maklumlah,
lokasinya di simpang empat begitu memudahkan umat dari semua arah datang…
Ada seorang dua menjual makanan ringan, terutamanya kacang
kuda dan maruku. Kuaci rasanya belum lagi singgah di bibir orang kampung –
kalau pun ada hanyalah kuaci hitam, bukan dari bji bunga matahari.
Untuk beberapa malam, menontonlah kami dengan cukup
berdisiplin. Semua mata tertumpu ke cermin tv hitam putih itu. Maklumlah,
menumpang di laman orang. Lagi pula yang ditonton adalah acara membaca al
Quran, bukan musabaqah bolasepak!
Kalaupun riuh, mungkin ketika muncul wajah wakil negeri
Kedah [peringkat kebangsaan] atau wakil Malaysia [peringkat antarabangsa].
Darjah riuh akan bertambah jika pada peringkat antara bangsa itu, wakilnya
adalah dari Kedah – siapa lagi kalau bukan idola kami, Tuan Haji Ismail Hashim!
Ada beberapa lagi keriuhan yang dapat saya ingat.
Pertama, jika muncul wajah manis qariah muda [berdasarkan
umur yang diberitahu oleh pengacara tv] dari Kemboja, Filifina,Indonesia dan
Thailand. Yang tua berangan bermenantukan mereka itu, yang si dara berangan
mempunyai wajah semanis itu dengan kemampuan membaca al Quran sebaik itu. Si
uda? Sehingga ke mimpilah dibawa wajah qariah berkenaan!
Kedua, jika ada qari atau qariah negara luar yang membaca
tidak bertaranum langsung. Akan pecah tawa kami. Tidak pernah saya lupa, serta
berasa amat bersalah apabila kami ikut
menyorak bacaan seorang qari dari Maldives yang membaca seperti seorang budak
di kampung kami. Tidak dipedulikan tajwid dan lagunya. Ikut menyorak, kerana
memang ada penonton di Stadium Negara – tempat majlis berlangsung – lebih
dahulu menyorak… Entah hidup atau tidak qari yang malang itu… Semoga beliau
dirahmati, dan bersedia memaafkan kami…
Hj Ismail Hashim |
Dan ketiga, keriuhan pastilah di tahap optima adalah pada
malam keputusan diumumkan, dengan Tuan Haji Ismail Hashim [dan sekali dua Tuan
Haji Abdul Ghani @ Abdul Hak Abdullah, juga wakil Kedah] menjadi johannya… atau
sekurang-kurangnya qariah Malaysia juga menjadi johan bahagian mereka…
Kena pula penyampai hadiah kepada peserta adalah DYMM Seri
Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia yang Kelima yang merupakan Sultan
Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah…..
Demikianlah.
Pertengahan Syaaban lalu, tilawah membaca al Quran [tahun
ini ditambah dengan tilawah menghafal al Quran] peringkat atarabangsa,
berlangsung.
TV bukan lagi benda asing di setiap rumah. Siaran langsung
majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra tidak pernah terganggu. Terjemahan bacaan
setiap qari dan qariah terpancar terus dari dewan ke skrin tv di rumah kita.
Tahun ini – seperti tahun lepas – penyampai hadiah kepada
peserta lelaki di peringkat antarabangsa adalah DYMM Seri Paduka Baginda Yang
Dipertuan Agong Malaysia yang keempat belas, yang merupakan Sultan Kedah,
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah….
Berapa ramai agaknya yang menonton seteruja penduduk kampung
kami dahulu?