Thursday, July 18, 2013

Nama Paktih Masuk 'Paper' The Star!

Abd Hamid Zakaria
Paktih
Paktih saya [Abdul Hamid Zakaria] serta Paktam [Ibrahim] mengaji di Madrasah Ihya'Al Ulum Ad Diniah, Simpang Empat, yang lebih kerap disebut Pondok Haji Talib bermula pada penghujung tahun 60-an.


Walaupun ada pondok untuk pelajar tetapi Paktih tetap tinggal bersama Tokwan di Kampung Permatang Ibus. Setiap pagi dia akan mengayuh ke sekolah. Ketika ayah tidak dapat menghantar saya ke sekolah rendah di Kangkong, selalunya saya menumpang basikal Paktih hingga hujung kampung, tepatnya di kedai Ah Chye - salah satu dari dua kedai runcit di kampung kami. Satu lagi adalah kedai Ah Unn yang terletak di tengah kampung yang memanjang itu.

Dari situ, saya akan berjalan kaki ke barat - ke Kangkong, manakala Paktih mengayuh basikalnya ke timur, menghala ke Simpang Empat.

Pondok Hj Talib adalah sebuah sekolah agama rakyat. Kurikulumnya, seperti sekolah-sekolah yang sama jenis dengannya, lebih mengutamakan pelajaran agama dan bahasa Arab.

Ketika itu peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran [SRP] atau semua orang mudah menyebutnya dalam ringkasan Bahasa Inggerisnya, LCE [Lower Certificate of Education] mungkin tahap tertinggi peperiksaan peringkat nasional yang disediakan di sekolah berkenaan.

Untuk peringkat Sijil Pelajaran Malaysia [SPM], pelajarnya kenalah mengambilnya secara persendirian. Itupun mungkin tidak berapa ramai pekajar lulusan SRP yang berminat.

Paktih mendaftar untuk mengambil peperiksaan tersebut, disamping terus belajar agama dan Bahasa Arab di pondok berkenaan. Oleh kerana tiada kelas seumpama tuisyen disediakan di sekitar Simpang Empat, Paktih terpaksa bekajar di kelas malam di Alor Setar. Dia memilih kelas kelolaan Yayasasan Bimbingan, milik Persatuan Belia Bimbingan, Alor Setar [PBBAS].

Lokasinya adalah di sekitar Teluk Wanjah. Saya tidak pernah ke situ dan tidak tahu lokasi sebenarnya. Hanya Paktih pernah bercerita bahawa kelasnya terletak di seberang sebuah sungai. Saya hanya tahu PBBAS memiliki tapak bangunan mereka sendiri apabila terpandang lencananya di Jalan Langgar pada dekad 80-an. Kini bangunan itu terletak bertentangan dengan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan nampak seperti tidak terurus....

Dengan Paktih mengambil SPM, secara tidak langsung saya mendapat bahan bacaan yang agak 'tinggi'nilainya. Saya boleh membaca novel dan antologi puisi yang Paktih gunakan di dalam pembelajarannya. Kalau tidak silap, pada masa itu antologi puisi bertajuk Duri dan Api manakala novelnya Ranjau Sepanjang Jalan. Walaupun mungkin tidak tepat tetapi kedua-dua buku itu memang pernah Paktih bawa balik ke rumah Tokwan. Sebabnya saya masih ingat bagaimana betapa saya tertawa apabila pertama kali melihat kulit belakang buku Duri dan Api itu. Penerbitnya, Pustaka Abbas Bandung, Melaka. Saya sangkakan mi dan ais saja yang ada bandungnya....


Usman Awang
Malah saya masih menghafal- kerana selalu diulangbaca - satu bait puisi bertajuk Duri dan Api karya Usman Awang itu, yang dicetak pada kulit buku berkenaan.


Kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.


Akan novel Ranjau .... karangan Shahnon Ahmad itu usah cakaplah. Dua tiga kali saya baca sambil makin mengenali Jeha dan Lahuma serta tujuh anak mereka.

Paktih selalu juga membawa pulang tiga majalah bertulisan jawi, Al Islah, terbitan Ustaz Yusof Rawa, Majalah Dian terbitan Pustaka Dian, Kelantan serta majalah Utusan Qiblat, terbitan Utusan Melayu. Dari kedua majalah ini saya makin mahir membaca tulisan jawi pada usia 9-10 tahun.... Nantilah diadakan satu entri lain tentang itu...

Saya tidak tahu bagaimana peritnya Paktih sepanjang masa sebelum mengambil peperiksaan tersebut. Dengan paginya belajar seperti biasa lagi, berkayuh dari rumah. Dengan ikut melakukan kerja-kerja sekitar sawah dan kampung bagi menampung kos pengajian. Saya tidak ingat sangat.

Yang saya ingat, hanya pada banyaknya bacaan di rumah Tokwan. Saya seronok tenggelam di dalamnya. Tiada almari buku. Semua buku Paktih diletakkan di rak khas ciptaan Paktih. Saya masih ingat akan rak-rak tersebut.
Contoh sisipan dinding
Dinding rumah Tokwan termasuk lepaunya adalah dari susunan papan bersisip.Di ibu rumah, pada dua tiang bagi dinding itu, Paktih akan ketukkan paku seinci sedalam setengah darinya pada ketinggian setengah kaki atau sekaki.Pada kedua-dua kepala paku tadi, Paktih ikat tali plastik hijau kecil dan ditarik sehingga menjadi tegang. Pada antara dinding dan tali itulah Paktih selitkan buku-bukunya... Kalau tidak muat, Paktih buat satu lagi rak itu di penampang atau ruang dinding yang lain.

Saya, setiap hari selepas balik sekolah, akan hanya perlu memilih bahan mana untuk dibaca dari rak tersebut......

Saya meminati bahan bacaan berunsur sastera. Di sekolah, saya selalu meminjam novel dan antologi cerpen. Novel yang tebal biasanya tidak disentuh oleh rakan-rakan yang lebih suka membaca buku cerita berilustrasi seperti Sang Kancil Menipu Buaya, Anak Rusa Nani serta Sang Kelembai....

Antaranya, saya pernah membawa pulang novel yang masih baru kulitnya bertajuk Jalan Penuh Debu serta antologi puisi Anak Rempang Karam Di Kota karya Jihaty Abadi, khabarnya orang Kepala Batas, Kedah. Seronok saya dapat membacanya dan berangan-angan dapat berjumpa dengannya pada suatu hari nanti.

Jihaty Abadi
Saya ternganga apabila Paktih memberitahu salah seorang gurunya di Yayasan Bimbingan adalah Yahya Husin - yang menggunakan beberapa nama pena dalam berkarya, termasuk Jihaty Abadi!

Kiranya hebat juga guru-guru yang mengajar Paktih, fikir saya. Sayangnya saya tidak berpeluang bersua dengan Jihaty sehingga akhir hayatnya...

Saya tidak ingat waktu-waktu Paktih mengambil peperiksaan tersebut.

Hanya detik apabila keputusan dikeluarkan saya ingat sampai hari ini.

Waktu itu agaknya tidak ramai yang mengambil peperiksaan SPM atau MCE [Malaysian Certificate of Education].Calon-calon persendirian di negeri-negeri di utara Semenanjung - Perlis, Kedah dan Pulau Pinang
hanya beberapa ratus orang sahaja.

Maka, nama semua mereka yang lulus dari pangkat 1 hingga pangkat 3 boleh dimasukkan di dalam akhbar!

Tengah hari itu, Paktih membawa pulang akhbar The Star edisi utara. Paktih menyerahkan akhbar berbahasa Inggeris itu kepada saya. Ada senarai nama pelajar persendirian yang lulus di dalam SPM dan MCE. Disusun mengikut setiap negeri di utara dan diatur mengikut pangkat kelulusan.

Saya membelek penuh teliti senarai panjang untuk negeri Kedah dengan menggunakan jari telunjuk sebagai penunjuk - bergerak dari satu nama ke satu nama.

Akhirnya saya temui nama itu!

Abdul Hamid bin Zakaria.

Paktih lulus!

Saya tersengih!
Buat pertama kalinya, nama ahli keluarga saya masuk di dalam akhbar. The Star pula.....

2 comments:

  1. sy pulak... gambar saya keluar paper berita harian tahun 2003

    ReplyDelete
  2. Berita harian 2005

    ReplyDelete