Tuesday, July 23, 2013

Hari-hari Terakhir Habibah

Habibah Abdul Hamid
1964 - 1995
Pada awal 90-an, AlFalah mula menerima bahan bacaan umum/agama untuk perpustakaan. Saya masih ingat, jumlah judul dan kuantiti buku yang banyak dengan nilai yang bukan sedikit mula disumbangkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia [YPEIM]. Selain dari AlQuran dan buku-buku dalam Bahasa Arab, terdapat buku-buku tentang agama termasuk terjemahan dari Bahasa Arab, yang diterbitkan di Indonesia. Lama masa yang diperlukan untuk menghabiskan membacanya - kalau sesiapa mahu dan mampu. Tidak lama kemudian, Bahagian Agama dan Moral Kementerian Pendidikan [ketika itu], turut menyumbangkan bahan bacaan. 

Rangkuman dari dua sumber itu, terbentuklah satu perpustakaan yang hampir lengkap, dengan bahan bacaan dalam bahasa Arab, Inggeris dan Malaysia/Indonesia - dari peringkat kanak-kanak sehingga ke peringkat bapa-ibunya. Dalam bahagian agama Islam sahaja, ada sekurang-kurangnya enam versi Tafsir AlQuran - al Maraghi, Ibn Katsir, ar Rahman dan lainnya, himpunan hadis  Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan lainnya, ada buku-buku membicarakan bab fiqh, siasah, ekonomi, etcetera...

Pada masa senggang, saya sering berada di bilik perpustakaan yang terletak di tingkat atas blok baru AlFalah. Kadangkala saya bermain carrom bersama-sama Cikgu Faisol - membantunya dengan menjadi mangsa belasahan! Namun paling kerap saya membelek-belek buku-buku dari kulit ke kulit. Kalau terdapat tajuk atau bacaan sepintas yang menarik, buku itu saya pinjam. 

Demikianlah. 


Pada suatu hari saya mencapai salah satu buku tebal yang terletak pada tingkat rak paling atas. Dari keadaan fizikalnya nyatalah tiada siapa pun pernah membukanya. Biasalah....


Saya melakukan sesuatu yang menjadi kelaziman: membelek buku itu dan mencari pengarang serta penerbit sebelum menyemak sepintas.....



Tanbihul Ghafilin. 

Peringatan Bagi Yang Lupa.

Patutlah tebal. Dikampuhkan dua jilid. Berkulit keras biru tua. 


Saya menyelak perlahan. Terjemahan Haji Salim Bahreisy dari tulisan Abullaits Assamarqandi. Saya menyemak daftar isi pada jilid pertama. Ejaannya ada yang berbeza sedikit dari ejaan BM.

  • Bab Ikhlas (Bersih Hati Dari Segala Tujuan Selain Keridho'an Allah)
  • Bab Keberatan Maut dan Kengeriannya
  • Bab Siksa Kubur dan Dahsyatnya
  • Bab Kedahsyatan dan Kengerian Hari Qiyamat
  • Bab Sifat Api Neraka dan Ahlinya
  • Bab Sorga dan Penduduknya
  • Bab Yang Dapat Diharapkan Dari Rakhmat Allah
  • Bab Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar
  • Bab Taubat
  • Bab Hak Kedua Aba Ibu (orang tua)
  • Bab Hak Anak Terhadap Orang tua
  • Bab Shilaturrahmi (menghubungi kerabat)
  • .............................................
Ada 36 bab dalam jilid pertama memerlukan 470 muka surat. Terjemahan dalam bahasa Indonesia ini keseluruhannya menjadi 1016 mukasurat apabila termasuk jilid kedua dengan 58 bab lagi:
  • Bab Fadhilah Bulan Ramadhan
  • Bab Fadhilah Sepuluh Dzulhijjah
  • Bab Fadhilah Hari Asyuraa'
  • Bab Fadhilah Puasa Sunat dan Hari Putih
  • Bab Nafkah Pada Anak Keluarga
  • Bab Mendidik Budak Sahaya
  • Bab Membantu Menolong Anak Yatim
  • Bab Zina Pelacuran
  • Bab Makan Riba
  • Bab Tentang Dosa-Dosa
  • Bab Dhalim (Aniaya)
  • ................................................
Saya terus membaca bab pertama hingga habis. Bab kedua, juga demikian. Terselit ayat-ayat al Quran dan hadis. Bersekali terjemahan. Kadangkala bersekali dengan ejaan rumi bagi bahasa Arab ayat suci dan hadis tersebut!

Saya tertarik pada muka surat 11 [dari Bab Ikhlas]:



Seorang ahli hikmat berkata: Contoh orang yang beramal dengan riyaa' atau sum'ah bagaikan seorang yang keluar ke pasar dan mengisi kantongnya dengan batu, sehingga orang-orang yang melihat kantongnya semua merasa kagum dan berkata: Alangkah penuhnya kantong orang itu, tetapi sama sekali tidak berguna baginya sebab tidak dapat dibelikan apa-apa hanya semata-mata mendapat pujian orang-orang. Dermikian pula orang yang beramal dengan riyaa', sum'ah tidak ada pahalanya di akhirat.


Saya melipat muka surat yang turut mengandungi sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a di atas dan ayat 23 surah al Furqan di bawahnya. Sudah kebiasaanya begitu jika saya menggemari mana-mana bahagian buku. Saya membaca lagi, dan merasa perlu untuk melipat juga..... Kesimpulannya, buku itu cukup menarik untuk dibaca dan difahami dan dirujuk kepada mana-mana tuan guru untuk mendalaminya.

Saya meminjamnya dan dalam masa yang terdekat mencari juga buku tersebut di sebuah kedai buku di Alor Setar untuk dijadikan koleksi sendiri. Terbitan tempatan dengan izin produksi dari seberang. Harganya lumayan....

Saya tunjukkan kepada isteri yang ketika itu sudah mula terlantar di rumah. Dia membelek lama untuk beberapa muka surat secara rawak.

Dia akhirnya menyerahkan kembali kepada saya - meminta saya bacakan untuknya. "Kita berdua akan dapat memahami dan manfaat......" Begitu alasannya.

Maka setiap petang, selalunya saya sampai di rumah di Kg Tok Dam, Kubor Panjang menjelang Asar, saya akan bacakan sekadar untuk pendengaran kami bertiga - termasuk anak kami yang berusia 5 bulan-  sekurang-kurangnya satu bab. Lepasan STPM Maktab Mahmud itu akan bersuara perlahan mengulas apa yang didengarnya. Kalau melibatkan ayat-ayat AlQuran, dia meminta saya membaca sekali, tidak hanya membaca terjemahan. "Dapat pahala berganda..." katanya. Maka berhati-hatilah saya membacanya, dikeranakan dua sebab: semua hadis dan ayat alQuran di dalamnya bertulisan tangan [mungkin dari kitab asalnya] bukan dari font di komputer, dan yang mendengarnya pula adalah guru KAFA yang akan menegur terus jika saya salah....

Setelah lebih separuh jilid pertama saya baca dengan lengkapnya, kesihatan isteri semakin merosot. Berselang-seli dengan urusan merawatnya secara tradisional dan membaca alQuran di sisi, acara bacaan Tanbihul Ghafilin menjadi tidak lagi teratur. 

Kalau petang tidak sempat dibaca seperti selalu, saya lakukan menjelang lena saya dan anak pada malamnya - isteri tidak tentu waktu lenanya. Sesekali jika terlepas satu hari tanpa menyentuh buku itu, dia akan meminta maaf. Katanya dia terasa seperti satu hari yang kosong tanpa mendengar suara saya membaca dalam lenggok slanga Indonesia kadangkalanya. Dalam mententeramkannya, saya mencari-cari bab yang sesuai bagi menghiburkannya. Ketika begitulah saya temui dan bacakan:
  • Bab Hak Suami Atas Isterinya
  • Bab Hak Isteri Atas Suami
  • Bab Fadhilah Penyakit dan Sambang Orang Sakit
  • Bab doa-Doa Yang Mustajab
  • Bab Lunak
  • Bab Sedih KeranaMemikir Akherat
  • Bab Memikirkan Makhluk Allah
  • Bab Ridha Pada Hukum allah
  • Bab Doa dan Tasbih
  • Bab Sabar Menghadapi Bala' dan Kesukaran
  • Bab sabar Menghadapi Musibah
  • ............................................
Dia mendengar tetapi tidak lagi mengulas seperti selalu. Cuma sesekali mencelah jika perkataan yang saya sebut lebih kemalaysiaan sedangkan berpusing lidah mencuba mengikut rentak Indonesia. "Jawa celup..." atau "Jawa over..." candanya. Namun  bacaan petikan ayat alQuran cukup ditelitinya. Setiap kesalahan sebutan akan pantas dia memberikan isyarat tangan - menyuruh saya mengulang baca.

Pernah sekali, sesudah membaca satu bab, dia hanya tersenyum ketika saya katakan dia akan mendapat semua yang Allah janjikan.


"Betulka?" tanyanya seperti selalu.


Betapa tidak, saya menjawab. Dalam detik sukar tidak pernah dia melupakan suruhan Sang Pencipta.


Sepanjang tempoh empat tahun kami bersama, tidak pernah sekali pun dia meninggi suara atau memarahi saya. Malam, di bilik tidur, setiap kali mengiring kelenguhan, jika akan membelakangkan saya, dia akan meminta maaf terlebih dahulu..... Apakah balasan untuk isteri yang patuh kepada Rabbnya,yang diredai pula oleh suami selain dari syurga?

Dia tersenyum. Melihat ukiran cantik pada bibir kontang itu, saya bisikkan kepadanya:



Syurgalah di tanganmu
Tuhanlah di sisimu.....

dari lirik lagu Camellia iv [Ebiet G Ade].


"Kenapa tak perabis......" katanya, meminta saya menyambung bait yang mula sebati padanya kerana sering  membaca contengan lirik itu di kertas yang saya bawa pulang.


Saya menggeleng. Rasa kesal mengeluarkan kalimah dari lagu itu menyerbu. Lalu dia  menyambung,  cukup perlahan......."Kematian adalah tidur panjang.....Kan?. Hujung hidup ada kematian, kan? Kan?"


Segera saya letakkan telapak tangan kanan di atas keseluruhan mulutnya. Saya menutup mata dan hidung dengan tangan kiri - sebelum memicit-micit antara penjuru mata dan pangkal hidung.....


Empat tahun bersama menempuh gelombang hidup, kini dia seorang menghadap sakit yang entah apa. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mengurangkan sakitnya namun tiada tanda-tanda berhasil. Tubuhnya semakin susut dan tidak bermaya. Senyumnya yang tidak pula hilang, bukan lagi senyum manis yang selalu saya lihat sepanjang tiga tahun yang lalu.  Senyum paling manis seperti tatkala Dr Rahimah di Pendang memaklumkan bahawa kami bakal menerima cahaya mata setelah tiga tahun setengah bernikah tidak pernah menjelma lagi. Yang ada hanya senyuman berbaur perit dan pedih, terpancar pada kerut wajahnya.

Seperti tahu di mana hujungnya penyakit yang dihidapi, dia lebih banyak menitipkan pesan dan meminta maaf.


Pesannya yang paling banyak berulang adalah menjaga anak tunggal kami sebaik mungkin.


"Hindi kita malimot..." bisik saya sekali, ketika dia bagai tidak mahu berhenti berpesan.....Kalimat itu tidak merujuk kepada isi keseluruhan lagu dari Filifina itu. Hanya maksud frasa tersebut - Aku takkan melupakanmu - sebagaimana yang kami berdua faham, bagi menyatakan rasa sayang kepadanya.


"Sungguhka 'ni..." tukasnya pula, dalam kerimut wajah menahan sakit.


Saya mengangguk-angguk. Dia mencuba untuk tersenyum dan mengagah anak di sisi. Anak yang hanya sempat merasa susu ibu selama sebulan itu ikut tersenyum. Pipi milik si anak yang sudah jarang di ribanya akhir-akhir ini kerana terlalu sakit otot pehanya bagi menerima sebarang beban, dicium bertalu-talu. Saya menggosok belakangnya lalu dia berpaling, mengangguk dan mencuba lagi untuk memaniskan senyum. Saya mengusap seluruh mukanya seakan mengisyaratkan supaya tidak payahlah bersusah berusaha untuk tersenyum kepada saya. Saya tahu keperitan yang dihadapnya..


Detik indah  rupanya makin menipis....

Sekali, dia berkisah tentang seorang perempuan tua, merangkap saudara dan jiran kami. Ketika dikunjungi oleh emak saya  bersama emak mertua, dia beria-ia berharap agar isteri saya cepat sembuh. "Kasihan Din...." katanya, "silap-silap dia cari lain......lelaki 'ni....bla.....bla......". Hal itu diceritakan oleh emak mertua kepada isteri saya.


Saya tersentak.


Tidak tahu untuk menilai siapa yang tolol dalam keadaan demikian!


Dia yang menyabarkan saya dari bertempik pada petang itu.  "Mak*** bercakap benar. Abang baru 34 tahun. Ada isteri pula yang sakit macam 'ni......." 


Saya hanya mampu mengawal airmata dari jatuh di hadapannya.


Berkali-kali dia berpesan: jika akan beristeri semula, carilah yang baik untuk saya dan untuk anak kami.


Bagaimanakah harus saya jawab, jika dia sambung dengan meminta saya jangan menyanggah takdir. Dia mencungkil apa yang pernah saya bacakan dari Tanbihul Ghafilin: bagaimana Ummu Salamah yang bermurung kerana kematian suami dinasihati Nabi s.a.w agar berdoa supaya mendapat jodoh yang lebih baik. Ummu Salamah berkata adakah akan ada lelaki yang lebih baik dari arwah suaminya. Ternyata akhirnya Ummu Salamah menjadi salah seorang isteri Rasulullah........


"Tak ada yang lebih baik dari Bibah...." kata saya.


"Ada..." balasnya.


"Tak kan ada dua Habibah...." saya cuba meletakkan perasaannya dalam kedudukan selesa.


"Abang siapa? Boleh membaca yang Dia tulis? Kena berdoa, tau....." kerimut wajahnya menekankan itu hingga kini masih basah di ingatan...


Benarlah seperti yang pernah dialami dan diceritakan oleh seorang rakan. Sukar untuk berhadapan dengan si sakit yang boleh bercakap .............


Tetapi tentu sukar pula jika menghadapi si sakit yang terkedang, dan tidak bersuara apa-apa, fikir saya.


Dalam berpesan dan memohon maaf itulah, satu pagi, 21 Julai 1995, dia meminta dibawa ke klinik kerana tidak tertahan dengan keadaan sakit di dalam perutnya. Berkali dia meminta untuk membawa bersama anak kami untuk diribanya. Saya menegah untuk tidak mahu mengganggunya yang sesiapa pun tahu sedang sakit yang amat sangat jika dilihat pada mimik mukanya. Anak pula seperti mahu mengikut dengan menangis terus di atas dukungan neneknya yang berdiri di muka pintu melihat kami bertolak. Sampai kini, saya ingat situasi itu, bagaimana seorang ibu melambai buat kali terakhir kepada anak yang terusan meraung. Kalau skrip dapat ditulis semula, pasti saya izinkan anak itu berada di atas ribanya sepanjang perjalanan......


Saya dan adik lelakinya, Hamzah,  membawanya ke Klinik Dr Fauzi, di Alor Setar, yang kemudian merujuknya terus ke Hospital Besar Alor Setar.

Isteri masih boleh berbual seperti biasa malah sempat lagi mengaduh setiap kali kereta yang dinaiki terhentak ketika melepasi jalan yang berlubang.


Di hospital, dia hanya di tempatkan sebentar di wad, sebelum doktor memutuskan untuk membedah isteri saya. Barulah diketahui bahawa dia menghidap sakit buah pinggang yang kronik - sesuatu yang amat berbeza dengan 'tekaan' tabib-tabib tradisional.......


22 Julai, pembedahan dilakukan, dan selesai sekitar jam 2 petang. Tetapi situasi yang tidak stabil memerlukan isteri dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU). Kami, ahli keluarga, hanya bergilir seorang demi seorang masuk melawatnya.


Pagi 23 Julai, awal lagi saya dipanggil oleh doktor memberitahu keadaan isteri yang berada pada tahap paling kritikal. Saya meminta izin untuk berada di sisinya. Doktor mengizinkan tetapi tidak boleh lama kerana rawatan susulan yang rapi perlu diberikan.


Mengusap rambutnya - beberapa helai luruh - saya merenung wajahnya yang sebahagian ditutupi penekup hidung pembantu pernafasan. Isteri yang dulunya periang dan sering bercanda dan berkata-kata, kini membisu. Matanya yang tertutup, seakan dibukanya sedikit. Ada linangan tipis pada pipinya.


Kalaulah ada, apakah kata-kata yang sesuai pada detik itu?


Saya membisikkan syahadah. Membisikkan rasa cinta yang teramat terhadapnya. Berjanji akan memastikan anak kami mendapat perhatian terbaik, menjadi insan berguna dunia akhirat.....kerana saya tahu itulah yang diingininya, seperti yang dinyatakan selalu bahkan ketika masih belum mengandung dahulu.....


Ketika petugas di bilik itu mengisyaratkan agar saya keluar, saya mencium kedua-dua pipinya yang dingin. Meski cuba ditahan, air mata kami ditakdirkan bersatu di situ....


Saya membisikkan syahadah sekali lagi. Membisikkan agar dia tabah dan menyatakan cinta dan reda untuknya. Ketika diiring ke arah pintu oleh seorang doktor, saya menoleh, melihat isteri terkedang. Makin jauh......


Di luar, saya dipaksa untuk turun melapik perut di gerai di hadapan kiri hospital. Saya mulanya menolak kerana jarak pergi balik dan masa minum itu mungkin mengambil 15 minit masa saya. Tetapi dengan desakan beberapa orang saudara dan jiran, saya terpaksa menurut.


Ketika mengacau minuman panas di meja gerai itu, saya melihat seorang jiran kami kelihatan tergesa-gesa datang. "Doktor panggil Paklong!" katanya dalam termengah kepada saya.


Saya berlari sekuat hati ke blok ICU yang terletak di tengah-tengah kawasan hospital. Dua anak tangga saya langkau sekali lompat. Semua saudara, jiran dan waris pesakit lain memerhati ke arah saya. Seseorang siap membuka pintu serentak dengan ketiban saya di situ.


Di dalam bilik, saya terus ke katil isteri. Di situ telah ada seorang ibu saudara isteri - sedang meraung. Saya cuba bertenang. Lima ayat awal surah Yaasiin saya lontarkan. Ibu saudara berusia lebih 70 tahun yang meraung itu memeluk bahu saya. Saya melihat wajah isteri yang sedang bertarung di saat akhirnya. Saya bisikkan syahadah. Berulang kali. Sesekali dikuatkan. Saya tidak pernah berhadapan dengan orang nazak sebegini hampir dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain membisikkan syahadah itu.


Beberapa ketika kemudian bahu saya ditepuk. Doktor membisikkan kata putus yang tidak pernah saya duga akan saya dengar pada usia 34 tahun: Isteri yang berusia 30 tahun itu telah ditutup pintu hayatnya!


                                           


Ruang di dalam bilik itu terasa kosong. Esakan yang ditukarkan dari raungan ibu saudara tadi saya dengar makin jauh dan hilang. Melihat tubuh isteri yang kaku, saya benar-benar keliru: apa yang telah dan akan berlaku?


Saya menciumnya sekali sebelum diiring keluar oleh seorang sepupu yang baru masuk.


Di luar, semua orang memerhatikan saya. Tanpa sepatah kata dari sesiapa, saya menuruni tangga, mencari pondok telefon. Saya menelefon emak yang sedang bersiap di rumah untuk datang menziarah menantunya yang sakit......Saya menghubungi Paknjang Ahmad Zakaria di Jeniang yang kedengaran sebak. Saya memberitahu kepada pihak AlFalah, telefon diangkat oleh Ustaz Zahari Ahmad. Itu sahaja nombor telefon yang saya ingat. Paklang Mansor Zakaria dari Alor Penyengat telah sedia ada di situ, mengekori pergerakan saya.


Kepada mereka semua saya sebut frasa yang hampir serupa:


"Habibah telah pergi......"

Muhd Safwan Hadi

Sementara, saya terduduk di kaki pondok telefon itu.

Alhamdulillah. Membaca beberapa bab dalam Tanbihul Ghafilin bersama isteri selama ini, banyak membantu saya menjadi reda, tabah dan tidak meraung pada hari itu!


Tetapi setakat manalah saya mampu bertahan........ 

Tiba-tiba saya teringat Muhd Safwan Hadi, anak yang baru mencecah usia 6 bulan di rumah!


3 comments:

  1. sedih...semuga tabah dalam menghadapi kehidupan

    ReplyDelete
  2. takpa. kas ok. anak tu tak taula...

    ReplyDelete
  3. rindu kak bibah............. alhamdulillah.........safwan pernah saya lawat kat mahaz tahfiz derga bersama rakan yg pernah belajar kat situ dan mngikuti sanath hadith 40 oleh syeikh mohamad...........

    ReplyDelete