Bang Mi [bukan nama sebenar…] adalah sepupu saya,
mempunyai kedudukan paling kanan atau senior dalam ranking cucu Tokwan. Anak sulung [serta tunggal] kepada anak sulung
Tokwan – Wa Isa.
Kalau ayat dalam drama terbitan Scope
Productions pasti bunyinya begini: Dialah
satu-satunya
anak tunggal
Wa. Bukan sekali dua saya mendengar
ayat yang menjengkelkan itu. Malah saya pernah catitkan untuk simpanan peribadi
betapa Omar Manan, Ros Iskandar dan Norman Hakim dalam episod berlainan drama
tebitan syarikat produksi Melayu itu melafazkan frasa begitu. Nak buat macam
mana kalau dari panel penulis skrip, pengarah sehinggalah pelakon, semuanya
telah sebati dengannya…
Bang Mi sebaya Paktam, kalau tidak silap. Lahir sekitar
tahun 1954. Maka ramailah sepupu sepapat yang terlepas satu era bersamanya.
Saya bertuah sebab hanya muda sewindu
dari mereka berdua. Sempatlah ‘bermain’ bersama...
[Perlu dijelaskan makna sewindu itu dahulu supaya anak cucu Pakya
tidak diperkonon orang. Sewindu adalah bahasa Indonesia, bermaksud tujuh tahun.
Jangan tak tahu, dalam hal masa dan waktu, ada lagi istilah seperti pekan
[ertinya minggu. Sepekan
bermakna seminggu]dan
dasawarsa [ertinya sepuluh tahun atau lebih fasih di lidah kita yang
sering memperlekehkan bahasa ibunda - sedekad…] Sengaja kali ini nak mengingatkan
sedikit sebab baru tadi melihat seorang artis tersohor kita menyanyikan lagu Gubahanku,
nyanyian asal Broery dan
Anna Manthovani. Terkernyih terkerisin penyanyi itu macam yakin sesangat
tatkala mengalunkan kalimat ‘setahun kita berpisah,
serindu terasa sudah’. Sepatutnya serindu atau
merindu itu milik sewindu.
Setahun kita berpisah, tujuh tahun terasa sudah…. Baru betul. Kalau setahun
berpisah baru nak terasa rindu, elok tinggalkan saja mangkuk tu….Nak nyanyi
lagu orang tapi buat-buat pandai! Hampas nyok betul!!!]
Berbalik kepada Bang Mi.
Rumah Bang Mi dahulu bukanlah di tapak rumahnya yang
sekarang. Dulu rumahnya berada tidak jauh dari rumah atau kampung Tokwan.
Mungkin sekitar 500 meter. Mungkin. Dekat rumah Hj Said, datuk saudaranya
sebelah emak. Wa
Aishah [atau kerap juga dipanggil Wa Lin] tidak berkahwin lagi
semenjak berpisah dengan Wa Isa. Saya tidak ingat bila rumah Bang Mi [dan Wa
Aishah] berpindah tapak, tetapi tetap ingat detik-detik ketika di rumah lama.
Saiznya tidaklah besar. Macam rumah comel yang memenuhi
kawasan pondok tok-tok guru, lebih kurang. Tidak berbilik, cuma ada satu
bahagian dapur, yang disambung dengan ‘rumah ibu’. Saya kerap ke rumah itu, dibawa oleh Bang Mi.
Kami tidaklah terlalu rapat pada mulanya, maklumlah zaman
itu ada semacam jurang, macam terasing sedikit kerana Bang Mi lebih dikenali
sebagai cucu Tok Melah [nenek Bang Mi sebelah
emaknya], bukan cucu Pakya,macam saya... [Sekarang pun Bang Mi dikenali oleh
orang kampung sebagai Mi Tok Melah]. Susahlah mahu cakap..er..
tulis..er..taip…
Kami macam malu-malu apabila berjumpa. Emaklah yang cuba
merapatkan kami. Emak tidak jemu bercerita tentang salasilah keluarga. Betapa
rapatnya ‘darah’ kami. Tidak akan terputus. Tetapi bukan mudah untuk saya faham
ketika itu. Bukan sekali dua emak menggetu peha saya apabila berlari naik ke
rumah apabila nampak kelibat Bang Mi. Bagi saya Bang Mi tetap orang asing. Wa
Isa telah lama berkahwin dengan Wa Sarah. Ada emak, ada ayah. Ada Paklang, ada
Maklang. Ada Wa, ada Wi [dulu saya selalu juga sebut pasangan Wa sebagai Wi…]
Di mana mahu diletakkan Bang Mi? Bang Mi bukan anak Wa dengan Wi…! Puaslah juga
saya berdakwa-dakwi dengan emak sambil menggosok peha yang masih ada bekas digetu
– satu-satunya cara paling berkesan [dan paling senyap…]emak mengajar saya. Pemahaman saya hanya lebih mudah apabila emak ceritakan
hubungan saya dengan Razi, anak Paknjang dengan isteri pertamanya, Njang
Zainab. Razi juga menjadi ‘lain’, kerana setelah perpisahan PakNjang dengan
Njang Zainab, dia tinggal bersama emaknya.
Saya sudah bersekolah rendah di tahap dua ketika makin rapat
dengan Bang Mi. Saya tidak ingat apa puncanya, tapi tahu-tahu semakin kerap ke
rumah Bang Mi. Sering dijamu kopi bersama biskut Marie atau biskut kering lain.
Paling tidak dilupa, di rumah Bang Milah pertama kali saya minum kopi durian.
Bang Mi yang bancuhkan kopi dan bertanya samada saya mahu perasa durian. Tanpa
sempat menjawab, siap Bang Mi masukkan sesenduk kecil isi durian yang telah
diasingkan dari bijinya oleh Wa Aishah, yang dikumpulkan di dalam satu mangkuk
sederhana besar. Sekoleh seorang kami habiskan dalam masa tidak sampai lima
minit. Putih bulu roma di atas bibir! Rasanya? Bancuh dan campurlah sendiri!
Bang Mi cukup meminati alat muzik, terutamanya gitar. Ketika
itu mana mampu untuk dapatkan gitar Kapok… maka Bang Mi buatkan sendiri gitarnya.
Bukan bentuk gitar tong, tapi sebiji macam gitar elektrik. Saya kagum dengan
kebolehannya. Dia ambil papan sekaki lebar, tebal seinci lebih, lebihan Tokwan
buat anak tangga. Dia lakar bentuk badan gitar elektrik lalu dua tiga hari juga
diperlukan untuk menggergaji bahagian lakaran itu dengan menggunakan gergaji
bermata halus Tokwan yang biasanya digunakan untuk memotong bahagian berlarik
pada papan sayang rumah. Berhari-hari pula
Bang Mi menggosok badan gitar itu dengan kertas pasir sehingga licin. Saya pernah
cuba menggosok sama tetapi terhenti pada hari pertama lagi: Bang Mi macam tidak
puas dengan gaya gosokan saya, sentiasa ditegurnya. Bahagian batang gitar, Bang
Mi gunakan kayu tiga tengah dua [3” x 1.5”] lebihan pertukangan Tokwan juga.
Saya lupa bagaimana Bang Mi buatkan bahagian kepalanya sehingga kelihatan
sebiji macam gitar yang saya lihat digunakan oleh gitaris dalam Orkes Chandini,
Batu Lima, Sik. Siap digosok dengan kertas pasir juga. Siap satu set, Bang Mi mahu
semburkan cat yang dibelinya dua warna. Sedihnya, Bang Mi tidak izinkan saya
melihat proses terakhir itu yang dilakukan sendirian di rumahnya. “Sat ‘ni kut
hang buat kacau…” begitulah lebih kurang alasan yang diberinya. Saya menelan
liur. Saya tahu Bang Mi memang seorang yang teliti tentang kerja tangan. Sudip
yang Wa Aishah gunakan untuk mengacau nasi mendidih pun dibuatnya dari buluh
terpilih, diraut, dijemur dan diraut
lagi serta disalai sehari dua sebelum digunakan, sehingga kelihatan [bagi
sesiapa yang tidak tahu kerjabuatnya] seperti sebatang sudip yang telah lama digunakan. Sekali pandang macam
disapu varnis…
Dua hari saya tidak melihat kelibat Bang Mi. Saya
mengunjungi rumahnya tetapi terpaksa pulang kehampaan. Pintu rumahnya tertutup rapat.
Tiada peluang untuk meninjau pun ke dalam rumah kerana hanya ada satu tangga
pada rumah itu. Tiada tangga pada bahagian dapur… Agaknya Wa Aishah juga dikuarantin
dek Bang Mi kerana tidak juga terdengar suara sesiapa ketika saya menunggu agak
lama di bawah rumah. Sampai hati sunggguh!
Hari ketiga, Bang Mi datang ke rumah Tokwan. Nampak saya,
dia terus menggamit. Bercakap dua tiga patah, tahu-tahu saya mengekori Bang Mi
ke rumahnya.
Wow! Gitar hasil kerjatangan Bang Mi telah siap sepenuhnya.
Seluruhnya berwarna putih, cuma bahagian badannya pada kedua-dua sisi berwarna
biru nila. Berkilat. Memang sebiji! Di mata saya, hampir tidak ada bezanya
gitar itu dengan gitar yang A Rahman [gitaris Orkes Chandini, Batu 5, Sik]
gunakan di atas pentas! Di bahagian berhampiran tempat tapak tali gitar diikat
pada badan, saya lihat ada lubang empatsegi sama yang ditutup dengan sekeping
papan nipis – tidak boleh dikesan jika tidak dilihat dengan teliti. “Tu
tempat #@*^ [saya terlupa Bang Mi sebut
apa] …” Tapi tujuan benda alah itu
menyambungkan bunyi gitar tersebut ke tong sebesar peti t v 14”, berspeaker, yang Bang Mi letakkan di sebalik pintu
rumahnya. Kiranya Bang Mi membuat gitar
elektriklah, walaupun di dalam kotak yang saya catat di atas itu, hanya
diletakkan sel kering AAA empat biji. Siap ada dua punat bulat sebesar duit
lima sen. Bagaimana operasi atau fungsi sel kering serta punat itu, kenalah
tanya Bang Mi… Bukan setakat ketika itu, sehingga kini pun tidak terjangkau
akal saya!
Bang Mi menggalas
gitarnya. Walaupun seluruh gitarnya 99.9 peratus persis, tentang tali
sendeng gitar, Bang Mi buat secara lekeh, tepatnya dia mengambil jalan mudah,
atau mungkin bahagian itu tidak penting di benaknya. Bang Mi hanya memaku tali
pinggangnya sendiri pada dua tempat yang sepatutnya, bagi membolehkan dia
menggalas gitar tersebut!
Hentam sajalah, Labu….
Bang Mi ‘memetik’ dua tali gitarnya. Wow! Bunyinya kuat.
Saya teruja. Bangga pun ya juga. Pencipta gitar elektrik pertama [mungkin] di
Permatang Ibus adalah sepupu saya! Dari
manalah Bang Mi beroleh ilmu itu, tidak juga saya tahu.
Yang saya tahu, sepanjang petang saya bercerita kepada
kawan-kawan tentang kewujudan gitar tersebut. Mereka ternganga tetapi tidak
berpeluang untuk melihat atau mendengarnya. Ketika berbondong kami ke rumahnya,
Bang Mi tidak izinkan sesiapa pun melihat masterpiecenya
itu. Diselimutnya gitar tersebut bersama tong speaker di balik pintu.
Rupa-rupanya, selain Bang Mi dan Wa Aishah, sayalah yang mendapat hak eksklusif
melihat, mendengar malah mengusap badan gitar tersebut!
Saya tidak tahu setahap mana kemahiran Bang Mi bermain gitar
kerana walaupun beberapa kali gitar itu dibawa ke rumah Tokwan [secara senyap
dan rahsia dari pengetahuan kawan-kawan saya],
tidak pernah sekali pun Bang Mi memetiknya. Mungkin kerana tidak dibawa
bersama tong speaker, fikir saya. Maka
setakat memperagakan dan menggayakanlah saja kami di bawah pokok jambu di depan
rumah Tokwan. Tokwan tidak berkata apa-apa. Tapi pada wajah keringnya, saya
yakin Tokwan berbangga kehalusan kerjatangannya telah turun kepada salah
seorang cucunya. Meski pun diterjemahkan dalam bentuk gitar…
[Hujung tahun 1972, Paktam yang menyertai Kursus Belia
Pelopor Negara di Pusat Latihan Belia Dusun Tua, membawa pulang dua tiga pasang
baju overall yang sudah dipakainya
ketika masuk ke bengkel latihan di pusat berkenaan. Warna biru tua. Bergaya
sakanlah Chu dan Chik serta Ndak bergambar di laman rumah Tokwan sambil
mengenakan overall tersebut. Satu dari posing mereka siap dengan kacamata
hitam. Oleh kerana saiz saya yang jauh dari saiz Paktam, Ndak membuat sedikit ubahsuai.
Dibuang bahagian seluar serta bahagian lengan yang sememangnya panjang bagi
tubuh saya. Dapatlah satu blazer yang merambu-rambu pada bahagian pinggang dan
ketiak…. Ops…. Bukan ketiak, sekarang bahasa sopannya: bawah lengan…. Separuh
kampung saya peragakan baju ‘baru’ itu hatta pada tengah hari rembang dengan
peluh ‘bersimbur’. Rupa-rupanya, baju itu telah menarik perhatian seorang seniman
– Bang Mi! Banyak kali dia datang meminta baju itu malah diajaknya ditukarkan
dengan baju-t kesayangan jenama Texwood
- saya ingat lagi warnanya, berbelang halus hijau dan ungu. Saya menolak
kerana bukan seorang dua pula rakan yang berkata kalaulah mereka juga ada
seorang ‘Paktam’ yang juga berkursus di Dusun Tua… Ketika menaip catatan ini
barulah saya terfikir: bukankah ada dua tiga pasang baju itu? Kenapa tidak Bang
Mi minta Ndak ubahsuai satu untuknya?
Entahlah. Hal ini kekal menjadi sebuah pertanyaan. Agaknya Bang Mi mahu memakai baju itulah ketika mahu memetik gitar…
dan kerana kempunan, tidak ditunjukkan langsung bakatnya!Bagaimanapun ini
hanyalah satu gamakan…]
Tidak tahulah apa nasib gitar itu kemudiannya. Agaknya
tel;ah dimakan anai-anai atau diratah oleh api. Kalaulah saya tahu nilainya
sekarang…
Yang nyata minat Bang Mi terhadap gitar tidak pernah padam
kerana kini dia ada studio sendiri yang dibina khas di rumahnya. Ada tiga gitar
elektrik, set drum, malah piano terpakai.Salah seorang anaknya mempunyai
kebolehan bermain instrument itu.
Bang Mi?
Entahlah.
Pernah dua kali kami [sepupu sepapat] berkumpul di
studionya, sempena dua kenduri kahwin di rumah Maktam. Sekali siang, sekali
malam. Usop
Paknjang mengungguli permainan gitar pada kedua-dua kali itu.
Pada kenduri pertama [petang], anak Bang Mi ikut serta
bersama rakannya yang bermain dram. Abang Usop, M Nasir juga ada. Tapi saya tidak
ingat sangat kerana ketika mereka berjamming sakan, saya dan Saleh,
sepupu yang tidak minat langsung hatta pada tamborin, terlena di depan tong
dram! Letih kenduri serta malam sebelumnya berbual sakan di rumah Bang Mi!
Kali kedua, kenduri kedua. Malam kenduri. Usop juga main
peranan utama. Kali ini abangnya yang lain, Abdullah, ikut serta. Bersama sepupusepapat
lain termasuk Jatt,
Khiruddin,
Wa Zul,
Putera Best,
Hujung Kepala
dan KJ,
kami singgah di studio Bang Mi setelah
minum-minum di Simpang Empat. Sesekali, yang duduk bersandar pun bernyanyi
secara harmoni lagu-lagu Rahim Maarof, Ramli Sarip dan Lefhanded serta Wings! Hingga
dinihari kami di situ.
Ada. Mana boleh tuan studio tiada bersama… Tetapi dia hanya
tersenyum, bersandar di daun pintu studio sambil menahan kantuk. Tidak berkongsi
suara dan tidak pun menyentuh mana-mana instrumen.
Maka, sehingga kini [2014] saya masih tidak tahu setahap
mana kemahiran Bang Mi bermain muzik, terutamanya gitar…