Tuesday, January 21, 2014

Ayahku Diajak Kahwin Lagi!

‘Ayah, janganlah balik lagi!’ bisik hati saya.
 
Di depan rumah ayah, sedikit ke kiri, ada serumpun pokok nipah. Hanya sekitar 30 kaki dari tangga beranda. Antara rumpun nipah itu dengan hutan nipah yang tebal melintang,  menganjur hingga ke bendang, ada jalan kecil. Dari jalan utama kampung, jalan kecil itu berpecah ke laman rumah ayah dan rumah Tokwan. Rumput ‘gajah’ tumbuh meliar di dua belah jalan itu. Rumput berdaun sebesar ibu jari yang sedap bunyinya apabila diragut oleh kerbau ayah.

Mata saya yang basah merenung sepanjang jalan kecil itu. Sambil berharap ayah tidak akan pulang pada waktu itu.

Saya berada di atas tangga antara beranda dan rumah ibu. Emak memegang bahu saya. Kuat sekali cengkamannya. Saya menahan sedan. Dada saya turun naik.

Di atas lantai beranda yang sering saya membantu emak membasuh serta menggosoknya setiap bulan dengan bata merah dan berus tembaga, Tok sedang bersimpuh elok. Di depannya, bersimpuh pula seorang perempuan sebaya Tok. Perempuan  itu sedang tersenyum memandang saya.

Celaka! Tiga empat kali saya menyepaknya tadi seolah tidak memberi apa-apa kesan. Sebaliknya kaki saya yang terpaksa emak urut, sambil mendapat pula tiga empat cubitan di peha. Saya teresak. Memang cubitan emak amat menyakitkan, tetapi bukan itu yang menyebabkan saya teresak. Perempuan itulah puncanya. Entah ilmu apa yang digunanya, dalam saya membela emak, saya menerima cubitan pula. Kalau terlindung sedikit di balik pintu, mungkin telinga saya yang emak pulas. Saya tidak tahu menyusun ayat supaya emak faham niat saya. 

Saya nampak Tok menghulurkan bekas pinang kepada perempuan itu. Tok macam seronok melayan perempuan itu. Celaka! Kuat sungguh ilmu yang perempuan itu miliki. Semua orang tidak memahami gelodak hati saya. Sambil menerima bekas pinang, perempuan itu tersenyum terus. Saya semakin meluat melihatnya.

“Bila Usop ‘nak balik ni…?” kata perempuan itu lalu berpaling ke arah jalan kecil tadi.

“Sat lagi balikla gamaknya…”balas Tok.

“Hang la pi balik! Pi balik!” saya memekik, meronta, menyepak angin, memandang tepat ke muka perempuan itu.

Emak mencengkam bahu saya semakin kuat. Ada cubitan juga pada tengkuk.  Saya meraung. Memang sakit cengkaman dan cubitan emak. Tetapi bukan itu yang menyebabkan saya meraung. Perempuan itulah puncanya!

Perempuan itu masih tersenyum. Tok yang bersimpuh di depannya tidak berkata apa-apa lagi. Seperti emak, Tok pun seakan telah dipukau oleh ilmu perempuan itu, gamaknya. Saya makin berang.  Tetapi apa yang boleh saya lakukan selain meraung dan menyepak angin.

“Hang pi balik! Aa… aa… aaa!” pekik saya sekali lagi ke arah perempuan itu, sekali lagi hanya menyepak-nyepak angin. Hasilnya saya mendapat satu lagi cubitan di tengkuk dalam emak terus memegang bahu saya. Saya kembali teresak.

Perempuan itu!

Namanya Halimah. Bintinya, entah. Emak memanggilnya Maklang. Tok memanggilnya Adik. Sekali dua pernah saya berjumpanya dahulu dan dia membahasakan dirinya Toklang. Dulunya dia adalah isteri Toklang Don, bapa saudara ayah, Wa, Paklang, Paknjang dan Ndak. 

Toklang Don seorang yang cukup peramah dan mudah mesra. Suaranya yang nyaring terutama apabila ketawa memang cukup saya kenali dan senangi. Sering Toklang Don datang ke rumah ayah malah bermalam di situ. Berbual dan bercerita sehingga dinihari. Emak sering melayan cerita dan bualannya manakala ayah menjadi pendengar yang baik, menyampuk hanya apabila betul-betul perlu. Di kampung kami, masih ada dua lagi adiknya, tetapi  berlainan ayah atau ibu – saya tidak pasti. Ada pula beberapa anak saudara dan sepupu-sepapat. Di kalangan anak Tokwan, Paknjang paling rapat dengannya. Jika takdirnya mereka bertembung di mana-mana rumah persinggahan – Paknjang datang dari sekitar Jeniang, manakala Toklang Don dari sekitar Guar Chempedak -  sampai ke subuh mereka berdua boleh bertukar cerita!

Selalunya, kalau dia datang ke kampung kami, makan masa berhari-hari. Hampir setiap rumah sanak saudara dia akan kunjungi dan bermalam di mana-mana rumah mereka. Malah di rumah Ustaz Azizan,  di Sekolah Agama AlFalah,di kawasannya berhampiran rumah Tokwan itu,yang rasanya tidak ada pertalian darah dengannya, pun dia kerap bermalam, setelah berbual dengan ustaz itu sehingga tengah malam.

Akan perempuan tadi, Tok Limah, khabarnya baru beberapa bulan diceraikan oleh Toklang Don. Lama sekali dia tidak datang ke kampung kami. Toklang Don pun tidak lagi pernah bercerita tentang bekas isterinya itu.

Pagi itulah baru dia muncul.

Saya sedang menelentang santai di atas pelenggar  mudah alih berbentuk sesiku di tepi dinding atas beranda. Mudah alih kerana dua keping lantai pelenggarnya yang membentuk L pada dua penampang dinding itumemang tidak dipaku. Cuma diletakkan di atas tiang kecil berpalang setinggi dua kaki. Setiap keping setebal lebih dua inci dengan kelebaran lebih dari sekaki. Bagaimanapun, salah satu keping – lebih panjang berbanding yang satu lagi, dijadikan lantai pelenggar yang terletak di tepi dinding yang membelakangkan rumah Tokwan - mempunyai kelebaran sekitar sekaki  sahaja. Kata emak, lantai pelnggar itu bukan papan dalam ertikata sebenar – kerana  ketebalannya  - sebaliknya kayu sayung yang ayah perolehi dari kedai kayu.  Tidak berketam tetapi licin oleh gosokan bata atau berus sabut hampir setiap bulan itu.

Tok Limah memberi salam dengan elok. Emak menyambutnya dengan basa-basi yang molek. Maklumlah, memang lama masing-masing tidak bertemu muka. Dengan saya pun disapanya, mesra. Malah, siap dia mengacah untuk mengangkat lantai pelenggar  tempat saya menelentang yang agak berat itu. Saya hanya tersengih dan kembali merenung lelangit beranda sambil memikirkan kemelut dunia…

Kemudian dia duduk di atas lantai beranda, beralas tikar mengkuang. Mukanya yang dipenuhi dengan ‘tamparan’ kasar bedak sejuk  kelihatan sedikit berpeluh. Sesekali dia mengibas kain selubungnya ke muka.

Emak membawakan seteko kopi di dalam talam berisi dua cawan kosong, bersama sebuah bekas pinang yang secara tidak adilnya dinamakan begitu sedangkan bersama pinang ada pula sirih dan kapur .
Sebentar kemudian, Tok pula datang menyapa dan berbual sama.

Memang cantik dan molek perbualan mereka. Tentang cuaca, tentang perjalanannya ke rumah kami, tentang harga barang dapur… [agaknyalah] serta tentang kehidupannya sejak menjanda. Tetapi sub-topik yang terakhir itu rupanya cukup berpuaka sehinggakan saya terbangun dari pelenggar!

“Tak mau balik semula dengan Don ka, Adik?” tanya Tok, masih dalam nada molek, setelah sekitar sepertiga jam mereka berbual.

Tok Limah yang mulanya bercakap perlahan dan lembut, tiba-tiba menjadi kasar. Wajahnya yang bertapuk bedak sejuk yang sudah lama mengering kelihatan tegang, matanya seperti terbelalak.

“Don mana? Don Badak? Tak mau aih!” balas Tok Limah.

Saya tergelak mendengar gelaran yang Tok Limah berikan kepada bekas suaminya, Toklang Don. Masa itu, badak bagi saya hanya ada dua – air cap Badak dan cucur badak. Tidak pernah dengar pula orang badak!

“Tak elok dok soghang-soghang…” seperti seluloi Tok bersuara, tenang dan perlahan. Tok memang berbakat menjadi seorang kaunselor… Ada lagi yang Tok tokok tetapi telinga saya tidak dapat menangkapnya secara jelas. Ada tinggi rendah nadanya. Sesekali seperti berbisik sahaja.

“’Tu yang cek mai ni, kak oi …” kata Tok Limah sebaik Tok mengucapkan perkataan terakhir pada pusingan itu. Suara Tok Limah kembali lembut seperti awal tadi. Atau mungkin lebih lembut.

“Awatnya?” tanya Tok. Agaknya Tok sendiri tidak menyangka topik yang sekadar mahu dijadikan sebagai perendang bicara itu, langsung mendapat respons yang baik.

“Cek nak menikah la!” balas Tok Limah. Dia menyeringai. Menghinggut badan sendiri dua tiga kali sambil mengukuhkan simpuhan.

Baguih la. Adik nak menikah dengan sapa pulak, oghang mana?” Tok seperti tidak sempat menahan soalan dari kepala. Laju sahaja terpacul dua soalan yang kalau ditulis sepertinya hanya ada satu tanda soal…

“Cek nak menikah dengan Usop…” balas Tok Limah. Ada seperti hilaian kecil di hujung jawapannya itu.

Usop?

Saya tersentak.

“Usop mana?” tanya Tok lagi. Suaranya juga mempunyai ciri disentak!

“Usop Pakya la. Usop laki Besah ‘ni…” selamba sahaja Tok Limah menjawab sambil memuncungkan mulutnya ke arah emak di depannya. Emak pula tersenyum.

Emak!

Emak boleh tersenyum? Ataukah emak tidak mendengar apa yang Tok Limah ucapkan?

Ayah?

Saya bangun. Duduk berjuntai di atas pelenggar. Kepala saya terhantuk sedikit ke daun tingkap rumah ibu yang bertepatan dengan pelenggar di atas beranda itu. Sakit. Tapi bukan kerana hantukan itu…

“Ih, caghi oghang lain kut aih…” Tok masih bersuara perlahan. “ Usop ‘ni anak pun empat ‘dah…”

“Tak mau. Cek nak menikah dengan Usop ‘ni juga” balas Tok Limah. Serius sahaja wajahnya.

“Usop baik…” sambung Tok Limah kemudian. Kali ini dia tersenyum pula.

Ini sudah lebih!

Saya terjun dari pelenggar. Melompat ke arah Tok Limah.

Rasanya emak memanggil nama saya dua tiga kali sambil mendepangkan tangan tetapi sudah terlambat. Saya tidak peduli.Saya memekik.

“Tak boleh!! “

“Aku tak bagi!”

“Aku tak mau!!”

Bersama setiap frasa itu saya menyepak Tok Limah sekali. Ditambah sekali lagi bersama satu raungan kuat, sebelum emak yang terkejut sejak melihat sepakan pertama tadi, menangkap kaki saya.  Saya jatuh terduduk. Saya meraung. Emak memegang kuat lengan saya lalu mengheret saya naik ke rumah dengan seluruh kudratnya. Saya yang kesakitan terpaksa menurut tetapi hanya separuh jalan. Badan saya tersangkut di muka pintu, terjelepuk di atas bendul antara tangga beranak dua dari lantai beranda dengan rumah ibu. Saya berpusing untuk kembali menyepak Tok Limah, tetapi emak sempat mencengkam  bahu saya. Terduduk pula di atas anak tangga teratas, belakang menyentuhi bendul dengan kaki berada di atas anak tangga terbawah.

“Hang pi balik! Pi balik!” saya memekik semula serta kembali menyepak angin, memandang tepat ke muka Tok Limah yang sedang tersenyum. Empat sepakan kuat saya tadi tidak memberi bekas kepadanya.

Emak dan Tok memanggil nama saya dua tiga kali. Nama penuh dengan makhraj yang betul. Saya tidak peduli. “Tak baik buat macam ‘tu kat Toklang…” sambung Tok.

Toklang?

Orang yang dipanggil Toklang itu memandang saya. Alangkah bencinya saya melihat senyumannya! Emak memegang saya dengan kuat. Kalaulah emak lepaskan, ingin saya menyepak pula senyuman itu!

Hairan sungguh!

Emak menahan saya, malah mencubit. Tok kata tidak baik menyepak dan menjerkah Tok Limah. Tidakkah emak dan Tok mendengar bahawa Toklang mahu bernikah dengan ayah?  Emak dan Tok seperti menyebelahi Tok Limah. Emak dan Tok seperti sedang dipukau.

Kenapa begitu jadinya?

“Bila Usop ‘nak balik ni…?” sekali lagi Tok Limah merenung ke arah jalan.

Celaka!

Saya meraung. Menghamun Tok Limah. Sesekali jika ada perkataan yang terpacul, salah dalam peradaban bangsa, tengkuk saya menerima cubitan dari emak. Emak masih cuba mengheret saya ke atas rumah ibu tetapi saya dapat bertahan di atas anak tanggga beranda itu dengan bantuan bendul…

Harap-harap janganlah ayah balik pada waktu ini. Harap-harap yang balik adalah Tokwan. Biar dijerkahnya sama Tok Limah yang tidak sedar diri itu. Biar tunggang terbalik Tok Limah berlari meninggalkan rumah kami.

Tetapi saya cukup kecewa. Tokwan hanya akan pulang lewat petang nanti dari rumah tempatnya bertukang. Yang pulang awal adalah ayah!
 
Selamba sahaja ayah menongkat basikal tuanya berdekatan nipah nan serumpun di depan beranda itu. Raungan saya tidak ayah pedulikan. Baginya raungan itu sama motonousnya dengan raungan hari-hari biasa… Kalulah ayah tahu punca raungan hari itu!

Setelah menyuakan barang yang dibawanya ke atas beranda, Tok menggamit ayah dan memberitahu sesuatu di sisi tangga beranda yang di atas tanah.

“Haa…Usop balik ‘dah…” Tok Limah teruja melihat kemunculan ayah. Suaranya ketika menyebut itu terutamanya pada nama ayah cukup lembut dan amat memualkan tekak saya…

Dia mengengsot merapati Tok, cuba mendengar perbualan Tok dengan ayah. Sempat dia berpaling kepada saya dan emak. Dengan senyum yang saya cukup menyampah itu…

Ayah kelihatan mengangguk terhadap entah apa yang Tok katakan atau ceritakan. Tok Limah pula kelihatan mengangguk lebih laju dan lama dari ayah. Dengan senyumnya itu yang tidak hilang. Ish, menyampah sungguh….

Tetapi apa daya saya yang berada dalam cengkaman kuat emak. Sambil teresak dan menyeranah Tok Limah, saya masih sempat mengukur , mematut-matut dan memadankan tapak kaki saya dengan belakang perempuan itu. Kalau emak lepaskan, rasanya dua tiga hari juga Tok Limah kena berurut pinggang atau belakangnya…  Biar padan muka.

“Adik balik dulu noo. Usop hantaq…”

Di hujung perbualan yang tidak saya ketahui apanya itu, saya mendengar  Tok bersuara.

Balik dulu? Ayah yang akan menghantar Tok Limah?

Apa ini?

Emak yang mengerti akan berlaku ledakan dari saya, segera mengukuhkan lagi cengkamannya ke bahu saya. Tidak sempatlah saya berkata apa-apa. Hanya sempat menguatkan sedikit esakan dan menambah sepatah dua kata seranah. Sakit cengkaman emak. Memang. Tapi sakit lagi melihat senyum Tok Limah…

Bagaimana akan saya tegah ayah dari berkayuh menghantar Tok Limah entah ke mana? Bagaimana pula kalau ayah tidak balik? Tidak dibenarkan balik oleh Tok Limah?

Saya melihat muka emak. Tenang sahaja wajahnya ketika matanya menghala ke arah ayah, Tok dan Tok Limah. Ketika sorot matanya jatuh ke muka saya, saya melihat putih mata hitamnya! Ada kerutan pada bahagian luar pipi emak , di kawasan rahang. Saya tahu gigi emak sedang diketapkan. Kalaulah emak tahu niat baik saya…

“Haghi ‘ni tak boleh menikah?” saya mendengar Tok Limah bersuara kepada Tok.

Ish! Orang tua ini…

“Haghi ‘ni tak boleh…“Kata kaunselor yang dirujuknya itu, yang kemudiannya menyambung “Kena pakai baju elok-elok dulu, baju baghu…”

Mengkala yang boleh?” tanya Tok Limah. Mengkala dalam konteks ini bermaksud bila.

“Mengkala –mengkala pun bulih aih.. “ Sang kaunselor membalas dengan ramahnya. “ Tapi kena la bersiap elok-elok, pakai baju lawa-lawa…”

Saya nampak Tok Limah mengangguk dan menyeringai. Agaknya, luruhlah beberapa kepingan kecil tempelan bedak sejuk kering yang berjalur mukanya.

Apa ini?

Jadi kahwin juga? Pada hari lain?

Saya nampak ayah menuju ke basikal yang baru saja ditongkatnya berdekatan nipah nan serumpun itu. Ayah nampak selamba sahaja. Menguis pengunci tongkat basikal lalu menghalakan tayar depan ke arah jalan kecil tadi.

Ayah! Apa ini?

Takkanlah ayah mahu berkahwin dengan perempuan itu?

Saya tahu ayah tidak mendengar soalan di hati saya. Ayah cuma mendengar raungan saya. Raungan yang monotonous.

Emak! Apa ini?

 Masakan emak mengizinkan ayah berkahwin dengan Tok Limah, janda Tok Lang Don?

Emak juga tidak mendengar pekikan di hati saya. Emak telah lali dengan raungan saya.

Tok! Apa ini?

Kenapa ayah perlu berkahwin lain sedang emak belum pun mencecah usia 30 tahun?

Tok, sang kaunselor, mungkin mendengar jeritan hati saya, kerana ketika berkata sesuatu kepada ayah, ekor mata Tok ditujukan ke arah saya.  Tetapi setalat itu sahajalah. Tok tidak pun menghalang pula  pergerakan ayah di sisi basikalnya.

Tok Limah bangun bersalam dengan Tok. Wajahnya ceria. Kemudian Tok Limah menghala untuk bersalam dengan emak. Dia perlahankan langkahnya sebaik mata kami bertembung. Senyumnya berkurang 25 peratus. Tetapi memandang wajah emak yang  siap tangannya melepaskan bahu saya untuk dihulurkan kepada Tok Limah, ayunan langkah dan senyumnya kembali seperti biasa.

Betul-betul dada Tok Limah berada di atas kepala saya ketika dia bersalam dengan emak.

Inilah masanya! Sepakan jitu atau tendangan padu. Gunakan kaki kanan sebab kaki kiri tidak begitu kuat. Sekali pun cukuplah. Kalau sempat mungkin lebih dari dua kali…

Itulah bisikan makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan. Rasanya elok sahaja saya mengikut anjurannya.

Mujurlah saya sempat menyemak pengalaman.  Berfikir sejenak.

Siapa yang akan menyelamatkan saya kalau emak menyental telinga saya, menggetu perut saya atau mencubit halus dan lama peha saya, selepas Tok Limah yang kesakitan dada atau perut atau pinggangnya dibawa ayah dengan basikal tuanya kelak?

Tok?

Tok tidak akan membantu kerana emak pakar menyasarkan telinga atau perut atau peha tanpa diketahui sesiapa. Hanya Allah, emak dan saya yang tahu.

Meraung sekuat hati?

Akankah Tok kisah sedangkan sejak hampir setengah jam sebelumnya dia telah jenuh mendengar saya meraung… Hari-hari sebelumnya pun Tok sudah terbiasa mendengar raungan saya…

Maka, selamatlah Tok Limah menuruni tangga beranda, diiringi oleh Tok hingga ke basikal ayah. Selepas bersalam dengan emak tadi, sempat lagi Tok Limah menggosok kepala saya sambil berkata entah apa-apa. Saya hanya menunduk. Menahan sebak, melihat kedua-dua belah kaki sendiri yang sedang tergelakkan tuannya yang berangan besar…

Saya hanya memandang benci tatkala Tok Limah meletakkan punggungnya ke atas pelantar besar basikal tua ayah. Kebencian itu meningkat melihat Tok Limah memegang pinggang ayah ketika bakal suaminya itu mula mengayuh.

Tiada siapa tahu raungan kuat di dalam hati saya melihat adegan itu… Zahirnya saya hanya teresak lebih-lebih lagi apabila melangut melihat wajah emak yang cukup selamba – seperti tidak ada apa-apa yang berlaku di depan matanya.

Tok Limah melambai ke arah Tok sebaik kayuhan ayah mula stabil. Sebelum ayah membelok ke jalan utama kampung, dari celahan batang nipah yang bergoyang ditiup bayu hujung pagi, saya nampak Tok Limah melambai ke arah beranda, kepada emak dan saya – bakal madu dan anak tirinya...

Anak tirinya?

Hah!…


********************************************

Lama mana saya tidak dipedulikan, sambil mengusap bekas cubitan, getuan, dan piatan tidak perlulah saya catat. Sakit bukan boleh dieja rasanya...

Setelah dijirus mandi di telaga di dalam hutan nipah di belakang rumah antara bahagian dapur Tokwan dan bahagian dapur ayah, sementara menunggu ayah pulang, emak dan saya kembali normal. Emak bercerita sedikit tentang Toklang Limah. Kata emak, janda Toklang Don itu sakit. Sebab itulah dia bersikap dan bercakap seperti yang saya pagi tersebut. Saya bertanya apa jenis sakitnya dan emak pun menjawab tetapi tidak saya fahami, sehinggalah ketika mendengar perbualan Tok, Tokwan, ayah, emak dan Ndak beberapa hari kemudian.
                                           
Yang pasti,Toklang Limah tidak siuman. Tahap mana penyakitnya itu tidak saya ketahui.

Saya tidak ingat cerita lanjut tentangnya. Maka tidak pastilah samada ketidaksiuman itu terjadi sebelum atau selepas bercerai dengan Toklang Don.

********************************************

Satu hari, pada satu musim kemarau, tahun 2004 atau 2005, saya bersama Paklang berjalan-jalan ke satu perkampungan di tengah sawah, agak jauh dari jalanraya, di sekitar Kampung Rambai, Pendang. Kata Paklang, itulah rumah menantu lelaki Toklang Limah. Saya tidak mengenalinya kerana tidak pernah bertemu, walaupun kata menantu itu, dia kerap ke kampung kami, ke rumah beberapa kenalannya. Malah dia dan arwah ayah saling mengenal.

Di dalam rumah itu, sambil menikmati kopi o pekat, saya hanya mendengar perbualan rancak Paklang dengan lelaki tuan rumah itu. Tidak tahu untuk mencelah di mana-mana bahagian…

Sekitar dua puluh lima kaki dari sofa tempat kami duduk itu adalah pintu tak berdaun menghala ke ruang tengah atau dapur.  Ada seorang perempuan tua, berkulit hitam manis, bersanggul secotet, sedang memerhatikan kami. Gayanya seperti baru lepas mandi kerana baju Kedah yang dipakainya kelihatan sedikit basah di bahagian tengkuk. Bedak sejuk di mukanya masih kelihatan baru ditempel.

Bedak sejuk?

…..

“Apa khabar Maklang?” sapa Paklang kepada perempuan itu. Perempuan tersebut tidak menjawab sapaan tersebut, hanya sedikit tersenyum dan mengangguk.

Maklang?

“Bukan berapa ghajin bercakap sangat emak ‘tu….” Kata lelaki tuan rumah  separuh berbisik kepada kami.

Maklang?

“Tu la janda arwah Toklang Don hang dulu…” bisik Paklang pula kepada saya. Entah di mana Paklang belajar ilmu firasat. Tahu-tahu saja apa yang sedang bermain di fikiran saya. Jimatlah satu soalan dari saya…

Saya mengangguk.

Toklang Limah...

Tok Limah...

Dia tidak mungkin mengingat kes di atas beranda rumah ayah itu. Tetapi sebaik disahkan bahawa itulah Tok Limah tersebut, saya seperti diterbangkan ke masa lalu…

Ke masa di atas beranda pada hari itu…

Bersandar di sofa, saya mencuri melihat wajah Toklang Limah. Secara perlahan saya kembali nampak memang ada persamaan sosok wajah itu dengan wajah yang saya lihat lebih tiga dekad yang lalu…

Saya teringat ayah yang telah tiada.

Saya teringat emak yang juga telah tiada.

Beranda itu pula jauh lebih awal telah tiada

Meminjam dua baris lirik daripada Ebiet G Ade…

Walau tak terucap
Aku sangat kehilangan…