Malam itu saya bersama Paktam ke Pesta Kedah.
Tapaknya di Kanchut.
Saya tidak ingat tahunnya tapi masih jelas satu insiden yang berlaku di depan mata kami.
Bukan apa sangat yang kami buat di tapak pesta itu. Berjalan-jalan di antara gerai, melihat-lihat tetapi tidak membeli apa-apa. Makan pun tidak di dalam medan selera sementara di situ. "Balik satgi kita makan di luaq, oghang tak ramai sangat, tak seghabut..."demikian kata Paktam ketika kami melintasi bangku-bangku yang diduduki pengunjung pesta yang sedang menjamu selera.
Dari sudut selera, kami berjalan ke gerai permainan yang pelbagai jenisnya. Kemudian melangut sekejap di bawah buaian berpusing. Saja-saja.
Di tengah tapak ada pentas utama untuk penyanyi terkenal membuat persembahan. Saya tidak ingat, tetapi rasanya tidak dikenakan tiket khas bagi menonton persembahan itu. Cuma kerana ramainya penonton, kami tidak dapat menghampiri pentas itu.
Osman Aroff |
Latiff Ibrahim |
Saya masih ternampak, Daud Kilau membaling puluhan fotonya ke depan pentas, ke pada penonton yang berebut menyambutnya. Itulah sahaja. Lagu popularnya ketika itu saya tidak pasti.
Kemudian kami bergerak ke sudut lain.
Jauh dari pentas utama itu, ada satu pentas kecil. Sebuah band tempatan, rasanya, sedang membuat persembahan.
Kami berhenti di tepi pentas itu. Saya tertarik melihat penyanyinya berlagu sambil memegang segumpal kertas akhbar. Matanya berair. Padanlah dengan lagu pilihannya - Kisah Kau Dan Aku {Alleycats} - yang memang pedih isi liriknya.
Teringat kisah ku di malam itu
Sejak bertemu ku rindu selalu
Tak dapat aku melupakan oh wajah mu
Telah menjadi lukisan di hati ku
Bagaikan burung yang terbang berkicauan
Riang hati ku kau jadi kekasih
Tak ingin aku akan perpisahan
Hidup ku riang tiada mengenal sedih
Tiada ku sangka mendungkan menjelma
Datang menggelapkan sinaran hidup ku
Belum puas kumerasakan hangatnya
Dingin terasa di seluruh tubuh ku
Masa berlalu kini kau telah berjaya
Malangnya aku telah kau lupakan
Tiada ku sangka begini jadinya
Akan ku hadapi sebagai satu cabaran
Waktu ku sepi ada yang hampiri
Memberi kasihnya sebagai pengganti
Telah ku lupa segala sakit di hati
Malangnya kini kau ingin kembali
Tak mungkin aku akan menerima mu
Dan melukakan hati kekasih ku
Lupakan saja apa yang berlaku
Jadikan ini satu kisah hidup mu
Selepas menyanyikannya, sang penyanyi yang berjaket jeans itu membuka gumpalan akhbar itu. Ada benda keras seperti potongan kayu di dalam gumpalan itu rupanya.
"Terima kasih, tuan-tuan dan puan-puan..."kata penyanyi itu separuh teresak. "Saya berhak dapat benda macam ni noooo"
Dia memegang ketulan/potongan tadi dengan tangan kirinya sambil mengangkat tinggi-tinggi. Ada respons dari sekumpulan anak muda di sisi pentas. Tetapi saya tidak dapat menangkap buah butirnya.
"Awat tu?" tanya Paktam kepada seorang penonton yang berada di depan kami.
Barulah kami tahu.
Tadinya lagu itu telah dinyanyikan sekerat. Tidak masuk suara dan muziknya. Begitulah lebih kurang. Tidak 'jadi' gamaknya. Maka ada layangan gumpalan kertas membalut potongan kayu [atau mungkin batu] hinggap ke dada sang penyanyi, entah dari siapa. Muzik dihentikan sebelum ahli band terutama penyanyi memutuskan dimainkan semula dari awal....
Isy....
"Pasai tu aku tak boleh jadi penyanyi!" kata Paktam ketika mengimbau peristiwa itu semasa kami menikmati mi rebus di Medan Kota pada lewat malam itu.
Saya mengangguk. Memerhatikan Paktam yang mengunyah mi. Membayangkan bagaimana gayanya jika Paktam menjadi penyanyi....