Memang saya tidak tahu setakat mana kemahiran Bang Mi
[yang nama sebenarnya Hassan itu] bermain gitar. Demikianlah pula akan
kemahiran Bang Mi berbahasa Inggeris…
Saya tidak berani menebak. Siapa tahu di sebalik senyap dan
tenangnya, ada kebolehan yang tidak terjangka! Lihatlah bagaimana pada hujung
60-an atau awal 70-an, anak kampung itu berjaya membuat gitar elektrik! Saya
saksinya. Gitar itu berfungsi, tidak hanya replika!
Awal 80-an. Hujung 1981, kalau tidak silap.
Saya tidak lupa malam itu.
Malam kedua Paktih pulang bercuti dari Sabah dengan skrip
yang tidak lagi seperti selalu. Kali ini Paktih pulang berdua – bersama Maktih –
buat pertama kali. [Paktih berkahwin – termasuk akad nikahnya - di Sabah,
walaupun jodohnya bukanlah berasal dari negeri Di Bawah Bayu itu. Maktih orang
Perak – Parit Buntar].
Saya bersama Chik sedang membelek album foto yang Paktih bawa
balik. Seperti selalu Paktih biasanya membawa pulang dua tiga album fotonya
sepanjang tahun di Sabah. Kali itu tentulah bertambah koleksi fotonya,
almaklumlah statusnya juga sudah berubah. Kami membelek berdepan ‘biru’ [almari
pakaian] di rumah ibu, berhampiran pintu ke rumah tengah. Kalau sesiapa yang
masih ingat [dan pernah ada waktu itu…] pintu pemisah dua rumah itu adalah
papan tebal tetapi telah ada ‘resdung’ pada kedua-dua daunnya – boleh dikutil
dan keluar serbuk kayu seperti serbuk biskut kering dari papan tebal berkenaan.
Maktih sedang berbual dengan Ndak serta Tokwan dan Tok di rumah tengah
tersebut. Paktih berada di atas bendul pintu, membahagikan perhatiannya kepada
perbualan di rumah serta belekan kami pada album foto. Sesekali dia menyampuk
perbualan serta sesekali lain pula menerangkan tentang foto yang kami belek.
[Saleh, anak Paklang, tinggal di rumah Tokwan kerana
bersekolah menengah di SM Simpang Empat [kini SMK Tunku Abd Aziz] semenjak
tingkatan Satu pada tahun 1977. Namun ketika itu cuti sekolah, maka Saleh yang
baru selesai menduduki SPM, telah pulang ke rumahnya di Alor Penyengat].
Pemain piring hitam yang terletak di atas rak khasnya pada
tiang berhampiran pintu depan rumah ibu [ berdekatan palam tiga pin tunggal di
ruang itu] telah dua hari tidak berbunyi. Tidak diputarkan. Suasana riuh
menyambut menantu di rumah tersebut sehari lepas membuatkan tiada siapa peduli
kepadanya…
Sedang kami begitulah, pintu rumah tengah terkuak. Muncul
Bang Mi yang sedikit tersipu sebaik nampak emak saudara baru hanya dua tiga depa
dari tempatnya mengesat kaki pada kain buruk di depan pintu. Tokwan pula
bersandar pada tiang seri rumah tengah – tempat kegemaran sewaktu rehatnya. Segera
Bang Mi melompat di depan Paktih yang duduk di bendul untuk menyertai saya dan
Chik di depan ‘biru’.
Saya mengunjukkan satu album foto kepada Bang Mi. Dia
membuka dan membelek seketika seperti tidak berapa minat. Dia mencuit bahu
saya. Ada sesuatu yang mahu ditunjukkannya. Saya masih khusyuk menghadap
selembar foto di dalam salah satu album.
Bang Mi bangun untuk bersandar di sebalik ‘biru’. Terlindung
dari pandangan orang di rumah tengah. Kali ini dia mengisyaratkan sesuatu
kepada saya. Saya yang masih meniarap untuk ‘mentelaah’ album foto akhirnya
terpaksa bangun apabila ibu jari kaki saya ditariknya.
“Pasang record…”
kata Bang Mi.
Selalunya begitulah. Walaupun pemain piringhitam itu bukan
saya yang punya, Bang Mi tidak akan memasangnya sendiri kalau mahu
mendengarnya. Dia mesti tunggu atau cari saya. Alasannya mudah dan boleh
diterima akal. “Record [panggilan
kami untuk benda alah itu] ni mudah rosak jarum dia. Kena sorang saja guna…”
Maka jadilah saja dj tidak rasmi di rumah Tokwan. Kalau Tokwan atau
Ndak atau Chik mahu mendengar, sayalah tukang pasang pemain piringhitam yang
Paktih belikan beberapa tahun yang lalu itu. Tak apalah juga kerana lagu-lagu
yang diminta itu adalah lagu-lagu yang saya suka pula mendengarnya.
Tetapi, Bang Mi….
Lagu-lagu pilihannya tidak satu pun yang saya pernah suka.
Bukan lagu Hindi, bukan lagu Melayu. Sebaliknya lagu Inggeris! Keraplah
dibawanya EP [album dengan 4 lagu] pirate
yang dipinjam dari kawan-kawannya. Ada lagu Tom Jones, Herman Hermit,
Stylistics dan ABBA atau Bee Gees. Semuanya dari piringhitam tiruan – bukan
yang asli. Mudah untuk mengenalinya. Kulit albumnya terdiri dari dua warna –
sama ada hitam putih atau biru muda putih. Tidak berwarna-warni.
Saya masih ingat berkali-kali Bang Mi minta dimainkan satu
lagu dari Bee Gees [tapi kini saya lupa tajuknya]. Macam mahu menangis ada dj
ini pada hari malang tersebut. Sudahlah tidak minat langsung, apa yang
dijeritkan pun oleh Robin dan sedara-maranya tidak saya faham langsung… dan
Bang Mi [cuma bersuara ketika minta diulang] boleh pula tersandar tenang pada
daun pintu rumah ibu Tokwan sambil memerhati daun kelapa terbuai dipuput
bayu….Ceh!
Maka sabarlah duhai hati…..
Tapi ada satu perangai saya yang membuatkan hati terubat.
Saya suka membelek semua yang tertulis pada kulit album. SEMUA. Baik labelnya
[masih ada walaupun bukan yang ori], nama penyanyi, pencipta, pemuzik, malah
kalau album ori, nama pencetaknya pun saya baca. Misalnya kalau zaman
piringhitam dahulu, pencetaknya [tidak pasti pula pencetak kulit album atau
pencetak album itu sendiri] selalunya adalah KMIL,PJ… Lama kemudian [setelah
tua] baru saya tahu makna huruf itu.
Tetapi sudah lupa semula kini – maklumlah benda tidak perlu. Itu adalah nama
syarikat, PJ saja yang saya ingat – untuk Petaling Jaya. IL mungkin Industries
Limited… KM, lu carilah sendiri!
“Pasang record
sat…Ada LP ‘ni. Tulen….” Kata Bang Mi separuh berbisik. Sebelum sempat saya berkata apa-apa, Bang Mi
menyelak baju yang dipakainya. Laaaa…. Album yang dikatakannya itu diletakkan
di dadanya!
Melihat kulit album yang berkilat, saya teruja. Tidak sabar
untuk membeleknya walaupun dalam usia dua dasawarsa, saya tetap tidak meminati
lagu barat…
Tetapi takkanlah malam-malam awal menyambut Maktih mahu
dipasang dengan lagu Inggeris? Agak-agaklah, Bang Mi!
Selalunya pada waktu
malam piringhitam yang diminta pasang oleh orang lain adalah lagu-lagu dari H
Nur Asiah Jamil dengan Orkes Barakahnya atau pun lagu-lagu dari Orkes El
Suraya. Kesemuanya a la padang pasir.
Paling kerap juga bacaan al Quran oleh Hajah Rogayah Sulong atau Hajah Roziah
Abdul Rahman – dua qariah terkenal. Lebih seluloi
lagi bacaan oleh qari legenda dari Kedah – Dato’ Hj Ismail Hashim – terutamanya
bacaan bertarannumnya pada ayat 30-39 dari surah Al Baqarah yang cukup popular
itu.
Ini, Bang Mi mahu saya pasangkan lagu barat…
“Lekaih la. Pi
pasang sat….”gesa Bang Mi dalam nada perlahan. Kasihan juga melihat dia
bersusah payah menyelak baju bagi mengeluarkan dua keping album bersaiz besar
itu.
Tetapi takkanlah malam-malam awal menyambut Maktih mahu
dipasang dengan lagu Inggeris? Agak-agakla…
“Pi la pasang
sat….”
Malam-malam pasang lagu Inggeris? Ketika Tokwan pula sedang
bersuaikenal dengan menantu barunya?
Isy!
Saya membelek kedua-dua album itu. Dua-duanya dari rakaman
konsert.
Uriah Heep dan Deep Purple!
Biar betul, Bang Mi….
“Lekaih la…”
Sungguh. Saya kagum dengan Bang Mi. Duduk sekampung dengan
saya, tapi minatnya kepada muzik… lain sungguh dari makhluk sebaya dan sekampungnya!
Fahamkah Bang Mi dengan lagu nyanyian kumpulan itu? Saya
tidak berani bertanya. Mana tahu, sepatah ditanya, dibantainya menjawab dalam
bahasa Inggeris, tidakkah tertelan kahak dibuatnya?
“Lekaih la… aku
pinjam sat saja kat kawan ni…” suara perlahan Bang Mi serentak menyentuh
gegendang telinga dan hati saya.
Saya pegang album Deep Purple. [Nama kumpulan begitu pun rasanya sudah lama sangat
saya dengar. Biasalah, di Malaysia pun ada berpuluh grup dengan nama Inggeris –
Carefree, Discovery, D’ Unlimited Desire, Midnight Sun, The Strollers,
contohnya. Di Singapura ada Black Dog Bone, The Sweet Salt [penyanyinya Datin
Rina Rahman] manakala dari Indonesia ada Clique Fantastique… Eleh, sebelum
wujud Nirvana dengan Kurt Cobainnya pun, Malaysia telah jauh lebih lama ada
Orkes Nirwana dengan A Rahman Hassan dan Azizah Mohammad…]
Dalam deretan senarai lagu, saya tertarik pada satu tajuk: Highway Star.
Saya pernah dua kali dengar lagu itu dinyanyikan secara live oleh anak Melayu – S Mokhtar dari Orkes Chandini, Batu 5, Sik di pentas kenduri
kahwin pada hujung dekad 70-an… [S Mokhtar juga pernah dendangkan lagu Smoke On The Water dari nyanyian asal Deep Purple]
Tapi saya tetap tidak faham maknanya. Saya terjemahnya
secara harafiah, dan bebas: Jalan Tinggi
di Bintang [kut]…
Jangan salahkan saya. Masa itu apa maksud Highway pun tidak
ramai yang tahu. Yang pernah terdengar cuma sesekali juruhebah radio tersasul
menyebut Lebuhraya Persekutuan sebagai Federal Highway. Apa ke jadah benda
Highway atau lebuhraya itu entahlah. Itu pun hanya terdapat di Kuala Lumpur.
Bukan di Kuala Lanjut! Bukan juga di Kuala Kedah!
Dan apabila lebuhraya utara-selatan
mahu dibina, lama juga ramai orang Kedah menyebutnya lubukraya – satu bukti bahawa memang asing perkataan itu di
telinga kami dulu-dulu…
Kiranya, sepupu saya nan seorang itu mahirlah berbahasa
Inggeris. Setahap mana? Hanya Allah dan dia yang tahu. Saya tidak berani
bertanyanya…
Maka malam bersejarah itu saya berjaya menjaga sekurang-kurangnya
dua hati – hati Bang Mi dan hati Maktih.
Untuk Bang Mi, saya mainkan juga piringhitam itu.
Untuk Maktih, supaya tidak terkena kejutan budaya [maklumlah
malam kedua di rumah mertua dipaksa mendengar nyanyian konsert Deep Purple]
saya meminimumkan bunyi speaker piring hitam itu. Amat perlahan. Satu syarat
yang saya kenakan kepada Bang Mi jika mahu juga saya mainkan record. Bang Mi akur.
Bang Mi |
Maka malam itu, ketika saya dan Chik terus membelek album
foto, ada seorang insan berdiri dekat tiang di mana terdapatnya rak khas bagi
pemain pring hitam. Hanya dengan cara itu, dia boleh mendengar suara dengan
jelas… Suara sahaja, jangan bayangkan
dentuman dram atau dengungan bass atau
gorengan
lead guitar atau sorakan penonton konsert yang entah di
mana lokasinya….
Kesian dia…
Bang Milah itu!