Monday, June 30, 2014

Antara Yang Hilang...

Musabaqah Al Quran.

Itulah salah satu acara penting kepada penduduk kampung saya [serta mungkin penduduk kampung lain juga, di seluruh negara] pada bulan Ramadan, pada awal dekad 70-an.

Saya katakan ia acara penting sebab sejak bulan Rejab lagi sudah dinanti musabaqah itu, berdasarkan keterujaan orang tua dan muda bercakap tentangnya…

Ketika itu, sebelumnya, serta sehingga hujung millennium lalu, Musabaqah [lama kemudiannya ditukarkan kepada Tilawah] diadakan pada bulan puasa – bulan Ramadan. Bermula dengan peringkat kebangsaan dan diteruskan dengan peringkat antarabangsa.
 
Kampung kami serta kampung sekitar boleh dikatakan tiada tv.  Memanglah ada tv berbayar, tetapi tidak cukup dengan bilangan penonton yang ramai. TV berbayar? Ala… tv yang tuannya kenakan bayaran lima atau sepuluh sen sekali tengok gambar melayu [ pay per  view!]. Lain kalilah saya catatkan selanjutnya…

Di hujung kampung kami, ada simpang empat – ke Kangkong, ke Yan, ke pekan Simpang Empat dank e Kuala Kedah. Dari arah pekan Simpang Empat, di sebelah kiri, ada sebuah surau. Kami sebutnya sebagai Surau Tok Haji Dahari [mengambil nama pengasas dan tuan punya tapaknya yang nama sebenarnya adalah Hj Azhari]. Beliau dan AJK surau, agaknyalah, akan menyewa tv 24” sepanjang acara musabaqah itu berlangsung. Di laman rumahnya, berhadapan tangga rumah ibu, dengan surau terletak di sebelah kiri kampung, akan diletakkan tv itu di atas satu rak khas.

Sepanjang acara berlangsung itu, saya akan menyertai orang kampung, tua dan muda berkumpul di laman itu. Menonton tv percuma. Menjelang masuknya waktu Isyak,, orang perempuan terutamanya, akan mula  bergerak berderet ke surau Tok Haji Dahari. Ada yang mendukung anak kecil atau sekurang-kurangnya memimpin tangan anak yang sudah boleh berjalan elok. Saya dan rakan sebaya akan menyertai gerombolan itu… Seronok betul suasananya – berjalan beramai-ramai dengan destinasi dan matlamat yang sama.  Selalu juga Ndak dan Chik ikut serta, manakala emak tidak pernah sekali pun ikut sama – hanya mendengar cerita adik-adiknya atau cerita saya sendiri. Cerita saya tidak hanya berkisar tentang qari dan qariah yang muncul di kaca tv, tetapi mesti lengkap dengan gambaran suasana di laman serta personaliti-personaliti kampung yang saya kenal, yang ikut menonton… Orang lelaki dewasa biasanya akan agak lewat ke tempat tersebut. Mungkin mengerjakan solat tarawih dahulu. Mungkinlah, sebab bukan pun 100% yang akan menuju ke surau! Kami? Kalau bertarawih dahulu di surau kampung, alamatnya ketinggalanlah untuk mengikuti musabaqah! Lagi pula waktu itu mana kami tahu faedah dan fadilat solat sunat tarawih!

Jarak dari rumah mungkin lebih sedikit 1KM. Tetapi dengan jalan yang kerapnya becak dan kecil pula, dengan beberapa kali menunggu rakan sepanjang perjalanan itu, lama juga masa yang kami ambil untuk sampai. Berjalan berderet dalam bantuan cahaya bulan [kalau ada] tidaklah selaju sekarang dengan jalan lebih luas dan berturap elok…

Kami selalunya sampai ketika orang yang berjemaah solat tarawih di surau Tok Haji Dahari agaknya dalam sepertiga akhir solat berkenaan. Tv siap dipasang dengan menggunakan kuasa dari generator, yang juga disewa.

Di depan tv, di tengah laman, pihak tuan rumah meletakkan papan lebar sekaki – kalau tidak silap lantai balai rumah kenduri – memenuhi ruang. Di atas lantai itulah kami akan bersila atau duduk dengan lutut didirikan. Sekejap sahaja ruang itu penuh. Bagi yang datang kemudian, termasuk jemaah surau Tok Haji Dahari itu, terpaksalah berdiri atau bertenggek di mana-mana asalkan pandangan ke arah tv tidak terhalang. Bukan pelik lagi ada yang bertinggung sehingga ke jalan raya. Ramai. Maklumlah, lokasinya di simpang empat begitu memudahkan umat dari semua arah datang…

Ada seorang dua menjual makanan ringan, terutamanya kacang kuda dan maruku. Kuaci rasanya belum lagi singgah di bibir orang kampung – kalau pun ada hanyalah kuaci hitam, bukan dari bji bunga matahari.

Untuk beberapa malam, menontonlah kami dengan cukup berdisiplin. Semua mata tertumpu ke cermin tv hitam putih itu. Maklumlah, menumpang di laman orang. Lagi pula yang ditonton adalah acara membaca al Quran, bukan musabaqah bolasepak!

Kalaupun riuh, mungkin ketika muncul wajah wakil negeri Kedah [peringkat kebangsaan] atau wakil Malaysia [peringkat antarabangsa]. Darjah riuh akan bertambah jika pada peringkat antara bangsa itu, wakilnya adalah dari Kedah – siapa lagi kalau bukan idola kami, Tuan Haji Ismail Hashim!

Ada beberapa lagi keriuhan yang dapat saya ingat.

Pertama, jika muncul wajah manis qariah muda [berdasarkan umur yang diberitahu oleh pengacara tv] dari Kemboja, Filifina,Indonesia dan Thailand. Yang tua berangan bermenantukan mereka itu, yang si dara berangan mempunyai wajah semanis itu dengan kemampuan membaca al Quran sebaik itu. Si uda? Sehingga ke mimpilah dibawa wajah qariah berkenaan!

Kedua, jika ada qari atau qariah negara luar yang membaca tidak bertaranum langsung. Akan pecah tawa kami. Tidak pernah saya lupa, serta berasa amat bersalah apabila kami ikut menyorak bacaan seorang qari dari Maldives yang membaca seperti seorang budak di kampung kami. Tidak dipedulikan tajwid dan lagunya. Ikut menyorak, kerana memang ada penonton di Stadium Negara – tempat majlis berlangsung – lebih dahulu menyorak… Entah hidup atau tidak qari yang malang itu… Semoga beliau dirahmati, dan bersedia memaafkan kami…

Hj Ismail Hashim
Dan ketiga, keriuhan pastilah di tahap optima adalah pada malam keputusan diumumkan, dengan Tuan Haji Ismail Hashim [dan sekali dua Tuan Haji Abdul Ghani @ Abdul Hak Abdullah, juga wakil Kedah] menjadi johannya… atau sekurang-kurangnya qariah Malaysia juga menjadi johan bahagian mereka…

Kena pula penyampai hadiah kepada peserta adalah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia yang Kelima yang merupakan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah…..

Demikianlah.

Pertengahan Syaaban lalu, tilawah membaca al Quran [tahun ini ditambah dengan tilawah menghafal al Quran] peringkat atarabangsa, berlangsung.

TV bukan lagi benda asing di setiap rumah. Siaran langsung majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra tidak pernah terganggu. Terjemahan bacaan setiap qari dan qariah terpancar terus dari dewan ke skrin tv di rumah kita.

Tahun ini – seperti tahun lepas – penyampai hadiah kepada peserta lelaki di peringkat antarabangsa adalah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia yang keempat belas, yang merupakan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah….

Berapa ramai agaknya yang menonton seteruja penduduk kampung kami dahulu?


No comments:

Post a Comment