Monday, November 17, 2014

Sebuah Nama Senantiasa Di Hati

Anda pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang sahabat yang selalu dikenang ….
Daripada penyenaraianpendek peribadi, saya terkenang seorang sahabat, untuk dicatat…
********
Sekolah Menengah Simpang Empat.

1974.

Ada enam kelas semuanya untuk Tingkatan Satu pada tahun itu. A B C D E F. Tiada perbezaan pada tahun pertama itu. Secara rambang dimasukkan, mengikut siapa yang datang mendaftar dahulu. Tahun berikutnya barulah ada perubahan – pertukaran kelas mengikut pencapaian pada peperiksaan penggal ketiga, hujung tahun kelak. Itu kata guru kelas kami, Cikgu Mohd Hatta.

Tapi kami nampak perbezaan yang cukup ketara. Tingkatan 1A-1D ada pelajarnya bercampur - lelaki dan perempuan. Kelas kami, Tingkatan 1E, serta Tingkatan 1F, semuanya pelajar lelaki!

Satu hal lagi, empat kelas bercampur itu ada pelajaran Seni Perusahaan, manakala kami ada kelas Sains Pertanian. Ertinya, cemerlang bagaimana pun pada hujung tahun, kami tidak akan berada di dalam Tingkatan 2A atau 2B. Tidak akan dapat belajar di dalam kelas bercampur…

Demikianlah.
********

Saya mengenalinya sebaik memasuki tingkatan satu di sekolah menengah yang terletak di Jalan Kangkong itu.


Saya memilih duduk di tepi tingkap. Boleh nampak kenderaan lalu di jalanraya, alasan utamanya. Dia duduk di sebelah saya. Dia dari Sekolah Kebangsaan Lahar Budi, manakala saya dari Sekolah Kebangsaan Kangkong. Sengaja saya tidak mahu bersama rakan dari sekolah rendah yang sama, kerana pesan emak [pada malam sebelumnya tatkala membelek pakaian sekolah serba baru], kalau mahu ramai kenalan kena duduk dengan budak dari sekolah rendah yang berbeza.

Dia sentiasa tersenyum sepanjang hari pertama itu. Tidaklah kami berapa mesra berbual, sekadar bertukar info tentang kampung asal, prestasi semasa di sekolah rendah. Paling awal tentulah bertanya nama masing-masing.

Hamdan…” Katanya sepatah, dua suku kata. Saya pun menyebut nama saya sepatah, Dalam empat suku kata. Tidak kami bertanya nama ayah masing-masing. Hanya saling membelek nama penuh yang kemudiannya ditulis pada buku nota yang baru dibeli. Hari pertama di sekolah baru itu kemudiannya dihabiskan dengan mendengar taklimat dan celoteh guru kelas. Ada sekali, sebelum pulang, setiap kami diminta bangun menyebut nama penuh masing-masing dengan kuat…

Esoknya, barulah kami mula ramah. Tidak lagi kami berpaling selepas itu. Makin hari bertambah rapat sehinggalah hampir lima tahun kami bersahabat.

Rahsianya, rahsia saya. Pengetahuannya, pengetahuan saya. Bekalnya, bekal saya. Minumannya, minuman saya. [Dia adalah orang pertama yang memperkenalkan saya dengan air soya dalam botol – keluaran Yeo Hiap Seng. Tidak sedap di lidah saya, namun demi persahabatan, tekak saya dipaksa menelan].

Keputusan peperiksaan kami sepanjang tiga tahun pertama di SMSE itu saling bertukar kedudukan pada tiga teratas. Dia mahir Matematik dan Geografi, saya mendahuluinya dalam Bahasa Melayu dan Sains Paduan.

Namun biarlah saya catatkan sisi lain berkait persahabatan kami. Bukan tentang pelajaran.

Ketika itu, 1974,  siri tv Combat! sedang popular di Rangkaian 2 TV Malaysia. Setiap minggu, Isnin malam Selasa, kami menontonnya  di kampung masing-masing. Saya menonton di rumah jiran, Pakcik Yusof, atau nama asalnya Hassan. Selain rakan sebaya saya, ayah dan rakan sebayanya juga ikut menonton di rumah terdekat yang mempunyai peti tv itu...

Di sekolah kami akan bercerita dan mengulas episod malam sebelumnya secara bebas dan santai. Tentang betapa seronoknya melihat tentera Amerika memenangi pertempuran dengan tentera Jerman pada era Perang Dunia Kedua itu. Tentang masalah dalaman dalam kem Amerika. Tentang setiakawan sesama tentera Amerika. Pendek kata, kami kagum dan teruja sungguh dengan tentera Amerika.

Image result for Rick Jason
Rick Jason
Vic Morrow
Pelakonnya pula sentiasa di mulut kami. Terutama teraju utamanya, yang disebut jelas dalam montaj tv – Vic Morrow dan Rick Jason. Morrow melakonkan watak Sarjan Saunders manakala Jason membawa watak Leftenan Hanley. Di kampung saya juga, dua pelakon ini muncul ..... Dua kawan saya digelar dengan nama pelakon siri itu. Mokhtar Basari sebagai Vic Morrow manakala Osman Hj Saad dipanggil dengan nama Jason. [Morrow meninggal dunia beberapa tahun kemudian (1982) akibat kecelakaan – kepala terkena kipas helikopter semasa turun darinya -  sewaktu berlakon dalam siri The Twilight Zone. Jason pula meninggal pada tahun 2000].

Satu hari, pagi selepas malamnya ada tayangan siri Combat!, Hamdan, sahabat saya itu cukup teruja menanti saya di pintu kelas. Dia bertanyakan samada perasan pada babak ada sekilas surat yang ditandatangani Leftenan Hanley. Saya hanya mengangguk. Sebenarnya saya tidak pun meneliti scene itu.

Hamdan segera menarik buku dari beg sandangnya. Dia menunjukkan tandatangannya. Hamdan. Tapi huruf H dan a sahaja yang jelas, manakala huruf m hanya ada separuh. Macam n. diikuti sambungannya dengan kerekot yang panjang.

“Awat?” tanya saya.

“Laaa… hang tak nampak ni….”katanya sambil jari telunjuk kanannya ditujah tiga empat kali ke atas buku terbuka di tangan kirinya. Tepatnya ke atas tertera tandatangannya itu.

“Betui-betui macam Hanley sign!” katanya, sambil memindahkan pandangannya ke wajah saya. Menunggu reaksi.

Oleh kerana saya tidak meneliti babak yang disebutnya, tidaklah dapat saya mengesahkan keirasan tandatangan berkenaan. Saya hanya tersenyum memandang ke wajahnya, sambil mengangguk-angguk.

Hamdan mengheret saya ke meja kami.

“Aku nak tukaq sign aku…..”katanya ketika mencapai pen mata bulat BiC yang terselit di poket atas baju saya.

Saya tetap tersenyum. Kasihan sahabat saya ini, fikir saya, kerana siri itu pun mahu ditukar tandangan yang digunapakai sejak dalam darjah enam dahulu. Apalah salahnya jika dikekalkan. Rick Jason bukannya tahu dan siapa pun tidak akan mengatakan Hamdan meniru dari siri propaganda Amerika yang bersiaran di negara asalnya selama 5 musim di antara tahun 1962-65 itu…

“Hang tengok!” kata Hamdan setelah mengembalikan pena mata bulat tadi ke poket saya. Dia mengibarkan buku tadi ke muka saya.

Segera saya capai untuk melihat tandatangan baru sahabat itu. Saya memandang ke wajahnya sebaik melihat sekilas tandatangan tersebut. Tiada perubahan pun. Cuma ada tambahan L dan t bernokhtah pada awal tandatangan asal berkenaan.

Hamdan terus tersengih.

“Hang tengok!”ulangnya.

“Apa?”

“Lt. tu?”tukasnya.

“Awat?”

Hamdan membetulkan kolar bajunya, kemudian menaikkan sedikit dada sambil  dua sikunya. Dua ibu jari diarahkan ke dada.

Lieutenant Hanley…..Leftenan Hanley….”katanya.

Sehingga beberapa minggu kemudian dia menyuruh saya memanggilnya Hanley, walaupun dalam tiga senarai cita-citanya yang ditanya Cikgu Hatta, tidak ada pun kerjaya tentera….

Selepas beberapa minggu itu, Hamdan teruja sekali lagi. Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Hamdan Sheikh Tahir [ kemudiannya Tan Sri diikuti Tun – menjadi Naib Canselor USM dan kemudian lagi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang] melancarkan sebuah buku tulisannya.

Hamdan teruja. Ada orang senamanya yang berjawatan tinggi di Malaysia ini! Hamdan Sheikh Tahir.

Mulai dari hari itu pula, dia menamakan dirinya Hamdan Sheikh Tahir… Nama penuhnya bukan begitu. Ayahnya bukan bernama Tahir….

Tapi dia tetap mahu dipanggil Hamdan Sheikh Tahir. Sekali lagi saya akur dengan mudah. Malah saya memaklumkan nama baru sahabat itu kepada rakan sekelas yang lain…

 [Apabila di Tingkatan Tiga, 1976, dan mengetahui Tan Sri Hamdan dilantik sebagai Naib Canselor USM, Hamdan sahabat saya lagilah teruja].

Oleh kerana terbiasa dengan panggilan Hamdan Sheikh Tahir, walaupun tanpa kehadirannya, akhirnya melekatlah panggilan Sheikh untuk Hamdan, hingga ke hari ini! Apabila disebut Sheikh, maka fahamlah kami, bekas rakan sekelasnya malah sesekolah, bahawa Hamdan sahabat sayalah yang dimaksudkan itu….

Sayangnya, tidak pernah dilihatnya tandatangan tokoh akademik itu, maka dikekalkanlah sign Lt. Hanley. Kalau tidak…

Pada awal tahun 1977, hanya dua hari di Tingkatan Empat SMSE, kami, sekitar 20 orang, ditawarkan ke SM Dato’ Syed Omar, Jalan Sultanah, Alor Setar. Ketika itu – dan beberapa tahun sebelumnya - hanya sekolah berkenaan berpengantar Bahasa Melayu yang ada aliran Sains, di sekitar ibu negeri.  SM Sultanah Bahiyah berdekatannya, baru memulakan aliran berkenaan pada tahun 1977 itulah . [Sekolah berpengantar Bahasa Inggeris adalah Kolej Sultan Abdul Hamid dan Sekolah Menengah Sultanah Asma]. Pelajar dari Langkawi, malah dari Yayasan Sabah dan Yayasan Sarawak juga di hantar ke situ. Kami tiada pilihan kerana dulunya berada di kelas Sains Pertanian. Pelajar dari kelas Seni Perusahaan boleh memilih sekolah tersebut, selain berpeluang juga ke Sekolah Menengah Teknik, di Batu Dua, Jalan AS-Sungai Petani.

Di SMDSO, saya masih ditakdirkan sekelas dengan Hamdan a.k.a Sheikh. Seperti di SMSE dahulu, kami memang tidak ditakdirkan bersama pelajar perempuan!

Tahun sebelum kami, 1976, memang ada pelajar perempuan semasa di tingkatan empat. Tetapi untuk tahun 1977, seperti saya catatkan di atas, SMSB sudah mula mengambil pelajar aliran Sains. Semua pelajar perempuan, termasuk dari SMSE, dihantar ke situ….

Macam pihak jabatan atau kementerian sengaja mempelajartirikan kami. Betapa tidak. Tahun kami di Tingkatan Lima, 1978, ada pula pelajar perempuan di Tingkatan Empat SMDSO. Kelas di SMSB penuh, demikian kata guru kelas kami, Cikgu Yan Shaari, ketika diajukan ketidakpuasan hati kami…

Lantaklah!

Ada empat kelas semuanya untuk Tingkatan Empat tahun itu.

Saya dan Hamdan diletakkan di dalam kelas 4Sains3, bersama sekumpulan pelajar dari Langkawi, Pendang dan Kuala Nerang dan dua orang pelajar tajaan Yayasan Sarawak. Tingkatan 4Sains3 ini berbeza dari kelas lain hanya pada pelajaran Matematik. Kelas kami belajar Matematik Moden [Pilihan C]. Tiga kelas lagi, 4Sains1, 4Sains2 dan 4Sains4, belajar Matematik Biasa [Pilihan B]. Pelajaran lain sama sahaja. BM, BI, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik, Kajihayat, Geografi dan Pengetahuan Agama Islam.

Mengingat sekali lagi kelas lain dan tunggal, saya pernah mengatakan kepada Sheikh : Kalau ada budak perempuan tahun ni, kita nampaknya PUN tak dicampur dengan mereka… Sheikh  tersengih.

Pada era berkenaan, masih ada lagi ragging [acara suaikenal] pelajar baru. Saya dan Hamdan serta beberapa rakan dari SMSE bernasib baik kerana ragging itu hanya pada peringkat sekolah. Bayangkan rakan-rakan yang tinggal di asrama yang terpaksa menghadapi ragging pula di asrama….[Saya hanya tinggal di asrama pada tahun 1978, setelah kerap ditangkap kerana selalu lewat sampai, dengan bas terakhir… Tahun tersebut, ragging seperti diharamkan terus. Cuma ada yang dibuat secara diam-diam oleh penghuni yang teruk dikenakan pada tahun sebelumnya. Tapi tidaklah teruk sangat acara terlarang itu. Saya dan teman senasib cuma diminta menjadikan batang penyapu sebagai senapang dan disuruh merangkak di bawah katil dalam setiap dorm seluruh tingkat….Ingat, pengaruh Combat! masih ada pada waktu itu….]


Kami berulang-alik ke sekolah, dengan menaiki bas United Transpot Company [UTC] hingga ke stesen Jalan Langgar, sebelum menaiki bas The Jalan Langgar Bus Company dari situ ke Jalan Sultanah, di mana terletaknya SMDSO dan SMSB.

Dalam berulang alik itulah, satu hari saya terkejut, apabila Sheikh  memberitahu hatinya telah dicuri!

Saya terperanjat. Tapi tidaklah saya hebohkan kerana bersekali dengan pemberitahuan itu, ada permintaan agar dirahsiakan dari rakan sekelas…

Di stesen bas Jalan Langgar, dia tunjukkan gadis pencuri hati itu. Seorang pelajar Tingkatan Empat SMSB. Berambut keriting, orang Titi Keling – Batu Empat, Jalan Alor Setar – Sungai Petani. Waktu itu, dalam dua puluh orang pelajar perempuan, pun payah lagi untuk berjumpa seorang yang bertudung…

Tiga hari berturut-turut kami menaiki bas bersamanya, duduk di belakangnya. Hinggalah hari keempat, awal lagi Sheikh  meminta saya menulis surat perkenalan kepada hamba Allah itu.

“Jangan letak tarikh. Tak tau nak bagi bila….”pesannya.

Saya pun memenuhi permintaannya. Isi surat itu memang dengan niat untuk berkenalan. Tanpa kata-kata bombastik, dan tanpa juga kalimah penutup ‘pecah kaca pecah gelas’…

Satu masalah sedia timbul.

Bas UTC ke Tokai, destinasi akhir Sheikh , bernombor 8. Ada bas bernombor 6 [ke Pendang], nombor 2 [Sungai Petani], nombor 3 [Gurun] dan nombor 1 [Simpang Empat].

Saya yang akan turun di Simpang Empat boleh memilih mana-mana bas. Demikian pula dengan pencuri hati Sheikh , kerana tempat turunnya hanya di Titi Keling-Batu 4, manakala Sheikh  hanya ada satu pilihan – bas nombor 8. Maka terngangalah Sheikh  jika ketika turun dari bas Jalan Langgar, telah menunggu di stesen bas yang lain dari nombor 8. Kalau ada bas nombor 8 pun, ada kalanya, bas bernombor lain juga sedang menunggu. Pilihan saya dan pencuri hati Sheikh  cukup banyak. Kebarangkalian pencuri hati Sheikh untuk menaiki bas bernombor 8 adalah 1 daripada 5. Maka berdoalah Sheikh  setiap hari agar dapat pencuri hati itu menjadi bus-matenya….

Akan surat itu, hingga hujung penggal 1977 tidak diberikan. Disimpan kemas di dalam buku Matematik Tambahan – pelajaran kegemarannya.

Kepada saya, selalu Sheikh  bisikkan, dia tidak yakin untuk menghadapi kenyataan, andainya surat itu tidak berbalas… Baginya, biarlah pencuri hati itu kekal dengan hanya dia dan saya sebagai insan yang tahu. Akan tiba nanti, di hujung pengajian, keberanian untuk bersemuka dan menzahirkan hasrat…

Saya yang naïf hanya mengangguk. Saya tidak tahu apa-apa. Saya lagilah tidak yakin. Bukan hingga untuk menulis surat, berilusi untuk berkenan pun tidak. Seperti telah digetu perasaan saya untuk terpikat kepada insan berbeza jenis pada ketika itu. Pada ketika itu…!

Cuti hujung tahun itu, kami tidak bertemu. Saya memang tidak pernah ke rumahnya. Dia juga tidak pernah ke rumah saya. Demikianlah hubungan kami. Hanya berjumpa dan berborak sepanjang tempoh persekolahan. Namun kemesraan tidak pernah pudar oleh cuti pendek atau panjang.

Awal tahun 1978, saya mula tinggal di asrama. Masa dengan Sheikh  menjadi sedikit pendek. Cuma waktu pembelajaran di kelas atau ketika bertemu pada setiap Sabtu di bandar. [Kalau minggu tidak balik ke kampung, kami di asrama, dibenarkan keluar ke bandar, sehingga jam 6 petang. Sheikh – dan kebanyakan pelajar yang berulang dari rumah – akan menggunakan pas bulanan bas, untuk keluar ke bandar].

Kami boleh dikatakan masih belajar bersama seperti dahulu. Selalu diberikan kerja rumah matematik untuk saya selesaikan di asrama. Saya tetap – seperti sejak di Tingkatan Satu – memberikan sinopsis cerpen atau novel yang saya baca. Sheikh minat dengan sastera tetapi ‘malas’ berlama membelek cerpen di akhbar/majalah, apalagi membelek novel. Maka setiap cerita yang saya baca akan saya berikan sinopsisnya secara lisan. Sheikh pendengar yang baik, begitu menumpukan perhatian pada apa yang saya tuturkan… Tidak hairanlah isi novel-novel seperti Juara [karya S Othman Kelantan], Sejuk-sejuk Tokyo [Wijaya Mala/Abu Yazid Abidin], Desa Pingitan [Ibrahim Omar] Interlok [Abdullah Hussain], Badan Bertuah [Ismail Alfalah], secara lisan juga, dapat dipindahkannya kepada orang lain dengan tepat,  persis yang saya sampaikan …

Dan ceritanya masihlah cerita saya. Setiap perkembangan yang dilihat pada pencuri hatinya diberitahu kepada saya. Sehinggakan bas nombor berapa yang pencuri hati itu naik pada hari sebelumnya, awal pagi lagi telah dimaklumkan kepada saya! Malah dapat dirasakan betapa makin hampir waktu untuk surat yang saya tulis tidak bertarikh dahulu, diberikan kepada pencuri hati itu…

Namun, selepas cuti penggal pertama,  Sheikh ditimpa sakit. Saya tidak tahu apa sakitnya. Dia mula jarang dapat ke sekolah. Saya hanya mendapat maklumat jika sesekali dia datang.

Akar keceriaannya bagai dicabut. Tidak lagi bercerita banyak tentang doa agar pencuri hati menaiki bas nombor 8. Malah tidak disinggung hal itu, kecualilah jika saya bertanya separuh menggiatnya. Sheikh lebih bercakap tentang sakit dan rawatan, selain tentang pelajaran.

Satu hari, dia memberikan buku latihan Matematik Tambahan serta buku Log kepada saya. Memang saya selalu merujuk pelajaran itu kepadanya. Dia salah seorang murid kesayangan Cikgu Chee Kok Hong, guru Matematik Tambahan kami dan Cikgu Yan Shaari, guru Matematik Moden merangkap guru kelas kami.

“Hang guna….kut-kut aku tak boleh mai minggu depan…”katanya, dengan nafas seperti tersekat-sekat.

Saya membelek tanpa berasa apa-apa. Memang ungkapan tak boleh mai minggu depan sering diucapkan pada setiap hari Khamis, sebelum waktu pulang. Cuma apabila membuka bahagian belakang buku latihan yang tebal, berbalut kertas minyak perang itu, saya ternampak sampul surat yang saya tulis dahulu… Masih kukuh digam sampulnya. Hanya tertulis Kepada: pada bahagian depan sampul itu.Tulisan tangan Sheikh sendiri…

Benar, minggu berikutnya Sheikh  tidak datang. Dia sakit. Demikian Cikgu Yan diberitahu oleh abang Sheikh , yang kebetulan belajar di situ di Tingkatan Enam Atas. Saya tidak rapat, malah tidak pernah berbual dengan abang Sheikh  itu. Cuma kenal ketika berjumpa sesekali semasa di SMSE dahulu. Dia di Tingkatan Lima manakala kami di Tingkatan Tiga.

Minggu seterusnya juga demikian…

Saya tidak lagi bertemu Sheikh .

Keadaannya, saya dan rakan sekelas mendapat maklumat dari rakan sekampungnya, yang sama belajar di SMDSO – Abd Rashid Abdullah, Abd Rashid Hamid dan Shahbanar Shaari.

Yang amat dikesalkan hingga kini, barangkali keadaan semasa, tidak sekali pun saya menjengahnya di kampungnya. Memang jauh rasanya jarak di antara kampung kami, dengan jalan masuk bertanah bendang hitam yang kelebarannya  hanya muat untuk sebuah basikal…Jangankan ke kampungnya yang jauh dari jalan utama itu, ke pekan Tokai pun saya [serta kawan-kawan dari sekitar kampung saya] tidak pernah sampai dengan basikal….

Bulan Julai 1978.

Seluruh negara meriah. Pilihanraya Umum pertama dan terakhir semasa pentadbiran Dato’ Hussein Onn, sebagai Perdana Menteri.

Sekolah beroperasi seperti biasa. Pelajar calon SPM seperti kami diberi perhatian sebagai harapan sekolah. Masing-masing sibuk dengan pelajaran, terutama yang tinggal di asrama. Siang dan malam berada di sekolah.

6 Julai. Khamis. Kami yang tinggal di asrama diminta pulang ke kampung semuanya. Sabtu, 8 Julai, adalah hari mengundi. Kempen semakin rancak.

Sudah lama tidak begitu. Maklumlah, PRU 1974, kurang meriahnya kerana banyak kerusi dimenangi tanpa bertanding – BN disertai sama PAS. Tahun 1978, PAS berada di luar BN. Tentulah sengit pertarungan antara dua pihak.

 Undilah tuan dan puan
Bulan Julai 8 haribulan
Pilihanraya di Malaysia
Undilah undilah bersama-sama
 
Suara Zainal Alam melagukan rentak boria dari lagu mengundi lama yang diberi lirik baru kedengaran setiap hari. {Zainal Alam adalah seorang tokoh penyiaran dan seorang penyanyi. Antara lagu yang pernah dirakamkan ialah Durian, Rose Rose I Love You dan Rumput Di Padang. Beliau diingati juga sebagai pengacara pertarungan bersejarah Muhammad AliJoe Bugner merebut gelaran juara tinju dunia heavyweight di Kuala Lumpur pada tahun 1975}

Saya yang memang belum layak mengundi, sempatlah bersama rakan sebaya meronda hingga ke Simpang Empat pada dua malam terakhir berkempen itu. Semua markas yang kami temui kami masuki tanpa mengira parti. Kami makan dan minum.

Hari Sabtu itu, saya hanya duduk-duduk di rumah sambil melihat orang dewasa bersiap keluar mengundi….

Awal malam keputusan mula diketahui. Saya tidak peduli sangat. Yang mahu didengar bukan tentang pilihanraya umum, tetapi pengumuman ‘cuti umum’ pada hari Ahad…

Ahad cuti. Saya mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar. Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman serta Berita Minggu. Memang tidak ada keputusan pilihanraya. Cuma berita dan foto sekitar hari mengundi. Tapi, seperti setiap Ahad, saya hanya mahu membaca cerpen di ketiga-tiga akhbar itu.

Isnin saya ambil cuti sendiri. Saya mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar. Ada keputusan penuh pilihanraya umum.

Selasa, malas pula mahu ke sekolah. Saya mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar.

Rabu…. Ah, tidak padan hanya dua hari belajar…. Saya mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar.


Khamis, saya ambil lagi cuti sendiri… Saya mengayuh ke Simpang Empat. Membeli akhbar. Dan meninjau peniaga di pekan sehari – Pekan Khamis.


Jumaat.

Tengah harinya, saya ke Masjid Alor Pulai. Tidak pernah saya disambut orang setiap kali ke situ. Tetapi hari itu berbeza. Belumpun sempat menghabiskan doa sesudah wuduk, tangan saya ditarik seseorang.

Zainuddin Yahya. Kawan sekelas saya dari darjah satu hingga tingkatan tiga.. Dia tinggal di Sungai Nonang. Oleh kerana ketika itu, yang terkenal di radio dan tv adalah pelakon Zainuddin Zimbo [Presiden SENIMAN yang pertama], semua kami memanggilnya dengan nama Zimbo

“Hang pi mana, tak pi sekolah ka?”tanyanya.

Hairan. Dia yang berada di Tingkatan Lima SMSE boleh bertanya begitu kepada saya. Mana dia tahu tentang cuti saya?

“Depa tanya hang…..cari hang merata …..”katanya. Wajahnya serius.

“Awat?”tanya saya. Ada kejutan sedikit melihat wajahnya itu. Macam mustahak sahaja gayanya.

“Hang tak tau lagi….Sheikh  dah tak dak!…”kata Zimbo. Badannya lebih besar dari badan saya. Selepas kalimah akhir itu dia memeluk saya sambil menangis.

Saya ikut menangis. Tiada ucapan Innalillah..

“Bila?”soal saya dalam kami berpelukan itu. Pandangan orang keliling berdekatan kolah masjid tidak kami pedulikan.

Senayan hari tu….”balas Zimbo, diikuti pertanyaan yang tidak akan saya jawab, “hang pi mana?”

Saya meraung.

Sheikh!

Senayan. Isnin. 10 Julai.

Saya di rumah. Membelek dua akhbar – bertulisan jawi dan rumi – yang saya beli di Simpang Empat.

“Semua kawan kita ada….kelas hang boleh kata pi semua…”kata Zainuddin yang sudah reda sendunya. Dia pula seperti menggosok belakang saya yang masih terhinggut-hinggut menangis…. “…kawan yang di sekolah Simpang Empat pun pi….”

Sheikh!

Saya mendengar khutbah malah bersolat Jumaat dengan pipi yang lembab. Sesekali sedan muncul. Ingatan terhadap Sheikh  amat membekas.

Ketika doa dibacakan imam, saya berdoa sendiri. Lebih panjang dari doa imam. Ketika semua jemaah meraup tangan mengakhiri mengaminkan doa, tangan saya masih terngadah…

Sheikh !

Aku sahabatmu yang paling rapat tetapi aku yang paling akhir tahu tentang pemergianmu….

Sahabat apakah dan bagaimanakah aku ini?

Sepanjang mengayuh pulang, saya terus menangis di dalam hati dengan pipi terus lembab…. Sampai di rumah, saya hanya mampu memeluk emak sambil teresak. Emak kehairanan. Hanya setelah puas dipujuknya barulah saya ceritakan duduk perkara…

Di asrama pada petang Sabtunya, saya dihukum kerana ponteng asrama empat hari. Saya menerima denda dan hukuman tanpa rasa malu dan bersalah. Saya hadapi tanpa rasa apa-apa sebenarnya. Hati masih bersedih. Kawan, sahabat paling akrab, teman berkongsi meja , berkongsi cerita, berkongsi ilmu sepanjang lebih empat tahun, telah tiada…

Sepanjang petang, malam membawa ke esoknya, saya tidak bercakap apa-apa dengan sesiapa! Rakan-rakan di asrama seperti mengerti, bersimpati. Mereka tahu bagaimana hubungan saya dengan Sheikh. Saya cuba bertenang. Cuba menahan airmata dari jatuh. Tapi saya lemah….Dilemahkan oleh satu soalan dari beberapa rakan sekelas yang tidak tinggal di asrama, malah guru kelas: ke mana, di mana pada hari Isnin itu? Saya tidak menjawab sepatah pun. Kerana jawapannya terkumpul pada takungan air yang tertahan di dua penjuru mata …

Lama juga masa yang saya – dan rakan sekelas – ambil untuk melupakan kelibat Sheikh, sahabat yang mesra, sentiasa tersenyum yang sering menjadi jurutunjuk jalan kira Matematik…

Setiap kali ada PRU saya terkenang Sheikh. Setiap tahun, 10 Julai tidak pernah saya lupa. Saya titipkan doa buat sahabat saya itu - sebelum lama kemudian saya tambahkan pula titipan doa buat arwah isteri, arwah ayah dan arwah emak…

Akan pencuri hatinya dahulu, tidak lagi saja jumpai setelah tamat Tingkatan Lima. Surat untuknya yang saya tuliskan bagi pihak Sheikh masih saya simpan beberapa tahun kemudian sebelum hilang entah di mana. Kali terakhir saya melihat surat bersampul itu adalah pada tahun 1984, tahun saya mula tinggal di asrama AlFalah yang baru diwujudkan. Surat itu mungkin terselit antara buku-buku lama yang kemudiannya samada dibakar atau dimakan anai-anai…

Demikianlah.

Coretan kenang-kenangan terhadap seorang sahabat yang bersama melatam denai awal remaja…

*********
Ustazah Rohana [kiri] dan Ustazah Rodziah
Ustazah Rohana memang berasal dari Kg Lahar Budi. Telah hampir  sedekad dia mengajar di AlFalah. Dua kali saya ke rumahnya kerana memenuhi kenduri di rumahnya. Ketika berada di khemah kenduri itu, hati tergaru juga ingin tahu, di manakah lokasi rumah Syeikh?

Saya jarang berbual lama dengan ustazah yang agak pendiam itu. Hanya jika ada yang agak perlu sahaja, barulah kami berbual. Hairannya, dalam perbualan yang sedikit itu pun, tidak pernah saya bertanya tentang Sheikh, walaupun tahu mereka sekampung. Walaupun setiap 10 Julai saya mengingati sahabat saya itu.

[Kawan-kawan sekelas dahulu pun saya ingatkan tarikh sedih itu. Mereka kagum dengan ingatan saya tentang tarikh itu. Sebenarnya, saya cuma ingat berdasarkan tarikh mengundi tahun itu, yang terdapat di dalam lagu Zainal Alam. Dua hari selepas mengundi itulah Sheikh meninggal].

*********

Hujung millennium lalu, menjelang hujung-hujung penglibatan saya sebagai guru di AlFalah, juga hujung perkhidmatan Ustazah Rohana di situ sebelum bertukar ke Madrasah An Nahdzoh, Bukit Besar. Suatu hari, pada satu waktu selepas rehat, dalam langkahan ke bilik guru lelaki, saya terpandang tong sampah terbuka di kakilima, di bawah bangunan yang di atasnya menjadi asrama lelaki.

Ada gumpalan kertas fotostat yang banyak. Putih bersih. Saya ambil sekeping yang jatuh di luar tong sampah. Saya luruskan kertas itu. Sebuah salinan kad pengenalan yang agak tebal dakwatnya.

Saya terpandang wajah di salinan kad pengenalan itu. Macam pernah saya lihat. Saya belek bahagian namanya.

Budiman bin Abdul Hamid
Kg Lahar Budi
…………

Kenapa ada di situ?

Saya belek sekali lagi wajah pada kertas putih itu. Juga namanya sekali lagi. Alamatnya…

Budiman bin Abdul Hamid

Benarlah.

Budiman itulah abang Sheikh, yang di Tingkatan Enam, semasa saya dan Syeikh di Tingkatan Lima…

Saya bergegas ke bilik guru perempuan. Membawa bersama bekas gumpalan kertas tadi.Ustazah Rohana sedang menulis di buku ringkasan. Tiada kelibat dua lagi guru perempuan - Cikgu Siti Khadijah dan Ustazah Rodziah - di situ.

“Ni kertas fotostat sapa?”tanya saya seraya mengangkat kertas tersebut di depan Ustazah Rohana.

Ustazah itu terkejut. Agaknya dengan cara soalan mengejut pula yang diterimanya.

“Saya buang tadi….dakwat lebih sangat….”katanya lembut. Dia yang berhenti menulis memerhati ke arah kertas yang saya pegang.

“Budiman ni dengan Ustazah jadi lagu mana?”tanya saya lagi. Dada sedikit berdebar.

“Abang saya….”balas Ustazah Rohana.

“Jadi Ustazah ni adik arwah Hamdan la…?”debaran saya makin kuat. Saya tidak perlukan jawapan lagi sebenarnya.

“Ya….Awat, Cikgu Din kenai ka?”

Subhanallah.

Sheikh! Sedekad adikmu bertugas bersamaku, hari ini baru aku tahu!

Saya keluar tanpa menjawab soalan Ustazah Rohana secara lisan. Saya hanya mengangguk…

Saya masuk ke bilik guru lelaki. Ustaz Mohammad dan Ustaz Zahari sedang berbual di tepi meja yang di atasnya ada peti tv. Mereka menoleh hampir serentak ke arah saya. Saya yang tidak tentu arah, berundur. Laju saya ke bilik air di belakang surau. Tidak mempedulikan satu panggilan dari arah kantin. Tidak pasti pula samada itu panggilan Bang Man, si tauke kantin atau panggilan salah seorang rakan setugas…

Saya basuh muka dengan dua tiga raupan air. Saya berkumur dua kali.

Subhanallah.

Sheikh!

Saya benar-benar teringatkannya.

Kecil betul dunia ini.

Sedapatnya saya tidak mahu menggunakan frasa yang agak klise di atas. Tetapi frasa yang entah siapa dan bila mula gunakan itu memang ada kebenarannya. Tidak pernah saya terfikir boleh bertemu dengan darah daging sahabat yang tidak pernah hilang terus dari ingatan itu.

Kecil betul dunia ini.  Apatah lagi saiz dan jarak di antara AlFalah dengan Kg Lahar Budi…

Kenapalah selama ini tidak pernah saya tanyakan Ustazah Rohana samada mengenali atau tidak Sheikh dari Kg Lahar Budi itu. Sepatutnya, hari atau minggu pertama ustazah berkenaan melaporkan diri di AlFalah dahulu, sudah saya tanyakan soalan tersebut…

Saya tidak tahu mahu menangis atau apa. Tetapi dada mula bergelombang…

Saya tahu, dua tiga hari pulalah diperlukan untuk menstabilkan perasaan…

Sheikh!

Leftenan Hanley…

Hamdan bin Abdul Hamid.

Sahabat dan teman saya!