Friday, January 23, 2015

"Dulu Dia Bukan Lagu 'Ni..."

Image result for gulai kambing umbut pisang

Dia berasal dari mukim Tebengau. Kampung yang tepat tidak berapa pasti. Tidaklah mahu saya berteka-teka walaupun tekaan itu 80% mungkin tepat….


Sejak meninggalkan AlFalah, sekolah agama berdekatan rumah Tokwan, di Permatang Ibus, saya hanya pernah bertembungnya sekali dua. Bertembung – lebih kepada berselisih di jalanan. Tidak sempat bersapaan. Tapi saya masih ingat namanya. Nama abangnya juga, yang turut merupakan budak Falah….

Bulan September lepas, saya nampak kelibatnya dalam sekian banyak tetamu yang silih berganti memenuhi khemah kenduri perkahwinan Zulkifli Mansor, sepupu saya, tentulah di rumah bapanya, bapa saudara saya, Paklang Hj Mansor, di Kg Alor Penyengat, Alor Mengkudu. 

Saya tidak sempat menyapanya. Sekadar berbalas senyum ketika dia mula menyuap nasi ketika saya memerhatinya dari jarak 3 meter. Paklang ada besan di Kg Pergam, Tebengau. Dia mungkin sebahagian puak laghak keluarga mertua sepupu saya, Ahmad Tarmizi Mansor…demikian agakan yang hinggap di minda ketika itu.

Dalam riuh dan kalut suasana kenduri – apalagi dengan ramahnya dj Mat Clorox berseloka dan memutar qasidah – saya terlupa mengelik sekali ke arahnya. Hujung malam, di rumah, dalam membelek foto-foto sekitar majlis siang itu, yang saya klik dan yang sepupu-sepapat klik – termuat dalam grup WhatsApp keluarga, barulah saya teringat akan Budak Falah [BF] itu…

Fauzi [tengah, sedang memegang kamera]
Segera saya teringat akan wajahnya pada satu foto lama yang – kalau tidak silap – dimuatnaikkan oleh Hj Ahmad Nazri Hj Hashim, di grup FB BF.  Saya cari di alam maya itu untuk pengesahan kilatan yang munculdi minda. Ya. Ada.

Dia memegang kamera pada acara santai memakan bekalan atau nasi bungkus dalam satu lawatan BF yang sememangnya tidak saya sertai…

Mohd Fauzi Othman.
Abdul Hafiz Othman [tengah]
Dia merupakan salah seorang budak Falah yang mula menjejak ke sekolah agama rakyat itu pada hujung dekad 80-an. Abangnya, Abdul Hafiz, yang saya kenang sebagai seorang yang agak pendiam di dalam kelas, muncul di situ setahun dua lebih awal.

 Abdul Hafiz Othman meninggal dunia beberapa tahun sesudah  bergelar pelajar AlFalah. Saya tidak ingat samada tahu atau tidak tentang keberangkatan allahyarham ketika itu. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Sabtu lepas, 17 Januari, sekali lagi saya terserempak dengan Fauzi. Kali ini, juga di rumah Paklang di Alor Penyengat, sempena kenduri kesyukuran serta aqiqah. Kali ini pun, saya menjangkakan Fauzi datang setelah diundang sebagai sebahagian puak laghak besan Paklang/Maklang dari Kg Pergam.

Saya silap.

Tengah hari itu, saya telah selesai menghadiri dua kenduri lain. Pertama, di kejiranan saya, rumah tauke Bismi Cergas, peniaga ayam terkenal sekitar bandar kecil Simpang Empat. Lima belas minit selepas meninggalkan kanopi di depan rumah agam di jalan masuk ke kejiranan itu, saya berada di Tebengau – rumah Cikgu Am [penggerak kutipan bantuan mangsa banjir di Masjid Tebengau baru-baru ini]. Ada kambing panggang, sup kambing dan gulai kibas. Ada lagi ais kacang, putu mayam, laksa dan apom balik. Namun tiga terawal yang saya catat itulah yang menjadi pemangkin menyegerakan saya menjadi kelompok tetamu terawal – selepas kumpulan marhaban dan berendoi…

Image result for gulai kambing umbut pisangSetengah jam kemudian barulah saya ke Alor Penyengat. Kambing tiga ekor digulaikan dengan umbut pisang. Ada yang lain tapi yang saya catat itulah yang menyebabkan saya mencedok nasi lagi…

Berbual-bual seketika dengan saudara-mara, pupu-poyang  [termasuk Chik, Ndak, Paktih dan Saleh] di rumah Paklang - diikuti panggilan ke rumah sebelah - bagi acara meratah kepala kambing  di rumah sepupu, Ismail Mansor, bersama dua tiga sepupu lain, ditutupi dengan secangkir kopi o pekat melekat serta dua tiga keping kek, mata menjadi amat layu…

Saya mahu meminta diri. Saya tinggalkan rumah Ismail yang menjadi pusat berkumpul kami , mahu kembali ke rumah Paklang, bagi membuat pamitan. Saya kasihankan perut yang mungkin lebih sengsara jika saya berlama lagi di itu…

Tetamu tidak seramai awal tadi. Ruang depan rumah bapa saudara itu agak lengang. Selalunya kenduri kesyukuran begitu, waktu puncaknya tidak lama. Sehingga petang, akan adalah sekumpulan dua tetamu dari jauh bergilir datang dan pulang…

Ketika itulah saya nampak Fauzi. Dia sedang menyenduk nasi dengan sedikit kesukaran. Saya menepuk bahunya. Dia menoleh. Memandang tepat ke muka saya. Tangan kirinya memegang pinggan nasi yang di atasnya baru ada sedikit ikan goreng. Belum berkuah, belum berkambing…

Saya mencapai tangan kanannya. Baru saya tahu kenapa nampak sukar benar di menyenduk nasi tadi. Tangan kanannya agak kecil, tangan yang telah lama kehilangan upaya. Saya memegang seketika tangan itu.

“Rasa macam kenai…”kata Fauzi ketika tangannya saya lepaskan.

Macam kenal?

Maknanya dia tidak pasti siapa saya?

Saya terkenang betapa sebelum itu pun ada BF yang tidak lagi mengenali diri nan seorang ini. Saya harus terima kenyataan, daya ingatan semua orang tidaklah sama…Faktor masa, faktor usia, dan ada seorang pernah menyebut faktor mata…Saya sering tambah, ada satu lagi faktor: saiz mana-mana bahagian atau seluruh badan…

Untuk memudahkannya, saya bertanya Fauzi, “Pernah mengaji di Falah dulu?”

Fauzi mengangguk, separuh terkejut setelah mulutnya menyebut sekali nama sekolah yang sekarang sedang terjajah itu.

Saya baru mahu menokok, tetapi Fauzi lebih cepat bersuara, “Cikgu apa ‘ni…?”

Matanya tepat memandang mata saya. Termos nasi menjadi saksi…Saya mengangguk.

“Cikgu…Cikgu Din ka ‘ni?”

Saya melanjutkan anggukan.

“Laaaa….” Itu saja yang terkeluar dari mulut Fauzi. Ada semacam kegelisahan atau keserbasalahan dalam bahasa badannya. Macam mahu diletakkan dahulu pinggan nasi pada tangan kirinya. Dia menoleh kiri dan kanan.

“Isy…”luahnya. Entah apa yang ada di fikiran Fauzi ketika itu.

“Cikgu….lama tak jumpa…isy…” itu yang terkeluar dari mulutnya.

“Ni rumah pak penakan saya…”kata saya. Entah untuk apa kata-kata itu dizahirkan tidaklah saya tahu. Tiba-tiba terkeluar.

“Saya menantu Wa Omar…” balas Fauzi.

Subhanallah.

Kenapa saya tidak tahu.  Omar Jusoh, mertua Fauzi, adalah abang ipar Paklang, abang sulung Maklang. Kami memanggilnya Wa Maq. Rumah mertuanya hanya nun… di seberang jalan, hanya sejarak 500 meter dari rumah kenduri yang sedang kami hadiri itu…Mungkin salah satu kenduri kahwin di rumah Wa Maq yang pernah saya hadiri adalah kenduri sempena pernikahan Fauzi…[Wa Maq juga pernah menjadi BF pada era awal pembukaan pondok oleh Almarhum Ustaz Azizan dan Almarhum Ustaz Fauzi dahulu ]

Anehnya… atau malunya… telah lama dia menjadi sebahagian puak laghak Maklang, saya tidak pun tahu.

“Hangpa kenai ka?” tiba-tiba datang soalan dari Paklang di muka pintu. Rupa-rupanya sejak awal dia telah menyaksikan pertemuan saya dengan Fauzi. Tidaklah hanya termos nasi sebagai saksi…

“Kenai….”balas Fauzi, “cikgu saya di Falah dulu…”

Paklang, yang juga BF era 60-an, tersenyum. Dia pun baru tahu anak saudaranya ini dan menantu abang iparnya rupanya ada pertalian…

“Tapi memang tak kenai tadi…”kata Fauzi lagi.

Saya tersenyum. Mata saya mengekori pergerakan matanya yang turun naik memerhatikan saya. Sudah dapat diagak. Dia sedang mencari kata-kata yang sesuai untuk melanjutkan bicara.

“…dulu dia bukan lagu 'ni!” itulah frasa yang Fauzi jumpa. Dah agak dah…lagi pula matanya tadi berhenti agak lama pada bahagian perut saya…Ketika menuturkan itu pun sekali lagi matanya melorot ke perut ini...

Paklang tergelak.

Pandai Fauzi... Nampaknya faktor saiz yang dijadikan alasan kenapa tidak mengenali saya awalnya...

Kami sama-sama tergelak.

Saya tidak boleh lama lagi. Silap-silap perut akan meraung jika duduk semeja pula dengan Fauzi. Takkanlah mahu dibiarkan Fauzi seorang melayan tekak…

Lagi pula mata macam mahu meragam, marah kerana tidak dilayan...

Saya harus pamit.

Namun sempat juga saya bertanya sedikit tentang Fauzi.

Dia tingal di kuarters penjara Pokok Sena. Bertugas sebagai warden di situ.

Ketika mahu menulis ini, saya hubungi emak saudara isterinya, Maklang Limah, di Alor Penyengat. Difahamkan tangan kanannya kehilangan upaya lama sebelum berkahwin. Khabarnya akibat kemalangan. Kini Fauzi telah dikurniakan dua orang cahaya mata.

Demikianlah.



No comments:

Post a Comment